Judul buku: Antologi Gesekan Er Hu

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 2011

Harga: RM13.60

Pengulas: Dr. Nazariyah Sani

Antologi Gesekan Er Hu menghimpunkan 64 buah cerpen yang telah memenangi Sayembara Menulis Cerita Kanak-kanak bersempena dengan Hari Guru 2009.  Terdapat empat kategori yang dipertandingkan dalam sayembara ini, iaitu kategori sekolah rendah, sekolah menengah rendah, sekolah menengah atas dan kategori guru.  Bagi setiap kategori,  lapan buah cerpen bahasa Melayu dan lapan buah cerpen bahasa Inggeris telah diberi anugerah. Dengan tema “Terima Kasih Cikgu” majoriti cerpen berkisar tentang persekolahan murid-murid. Ulasan keseluruhannya berfokuskan pada 64 buah cerpen yang memenangi semua kategori.

Dalam Antologi Gesekan Er Hu dipaparkan 64 buah cerpen termasuklah cerpen bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang memenangi kategori sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah menengah atas dan kategori guru. Rata-rata pengarang  cerpen sayembara memaparkan tema dan persoalan dengan berkesan dalam usia yang masih muda. Mereka arif akan kehendak yang ingin disampaikan dalam penulisan cerpen mahupun keinginan khalayak pembaca. Garapan cerpen memberi tumpuan pada pendidikan murid-murid di samping menerapkan unsur kemajuan teknologi, perpaduan kaum dan nilai-nilai murni.

Hal ini membawa kepada unsur intelek, iaitu menimbulkan satu fikiran baharu yang tinggi dan menarik dalam sesebuah karya sastera yang sesuai untuk tatapan khalayak sekolah rendah menerusi watak utama mahupun watak sampingan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pengarang muda mampu meletakkan diri di tempat pembaca melalui olahan pelbagai watak yang menarik dan berkesan lantas dapat memukau khalayak pembaca.

Ulasan berikutnya membawa lapan buah cerpen bahasa Melayu yang terpilih dan memenangi hadiah utama sayembara menerusi kategori sekolah rendah. Sebagai contoh, dalam cerpen Secangkir Impian Selaut Budi yang memenangi tempat pertama memaparkan watak Aiman yang digambarkan sebagai seorang murid Tahun Enam Excellent yang bersemangat kental dan mempunyai wawasan untuk mengubah nasib keluarga.  Walaupun Aiman berstatus anak yatim dan hidup susah dengan menjual telur masin namun semangat juang untuk maju dan berjaya tidak pernah pudar.  Ilmu yang dipelajari Aiman berkaitan proses membuat telur masin di sekolah diaplikasikan dalam menyara kehidupan seharian.  Akhirnya, Aiman memenangi hadiah berupa set komputer daripada Pengarah Pelajaran Perak apabila esei Sains hasil penanya dinobatkan sebagai johan peringkat negeri Perak.

Dalam cerpen yang mendapat tempat kedua yang bertajuk Taman Agroteknologi memaparkan watak Raziq yang digambarkan sebagai murid yang bersemangat tinggi walaupun pernah dihina sebagai budak lombong. Semangat Raziq tidak pernah luntur dengan penghinaan tersebut, dia akhirnya berjaya memajukan bekas lombong di mana tempat dia dibesarkan sebagai sebuah Taman Agroteknologi.  Hal ini berlaku demikian berkat Raziq memanfaatkan ilmu yang dipelajari  di sekolah rendah hingga ke Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Dalam cerpen Guru yang Ku Kagumi yang memenangi tempat ketiga, watak Cikgu Maziah dirakamkan oleh pengarang sebagai sangat mempengaruhi murid beliau, iaitu May Lin dan Manimala. Hal ini demikian kerana ketegasan Cikgu Maziah, disiplin yang diamalkan, naluri keibuan dan teknik pembelajaran menyeronokkan yang diaplikasikan kepada muridnya.

Cerpen yang memenangi hadiah sagu hati sayembara juga tidak kurang hebatnya daripada sudut penghasilan watak.  Sebagai contoh, cerpen Semurni Kasih Cikgu yang memaparkan watak seorang guru besar, iaitu Cikgu Azizah yang digambarkan sebagai insan yang prihatin akan kehidupan peribadi anak didik beliau, iaitu Athirah. Athirah didapati sering tidak hadir ke sekolah.  Berkat keprihatinan Cikgu Azizah menyiasat kes tersebut, akhirnya Athirah berjaya mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR dan dapat menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh.

Watak Cikgu Ramlah dalam cerpen Kasih Seorang Guru merupakan watak yang dibenci oleh murid beliau, iaitu Aisyah. Namun, akhirnya Aisyah insaf setelah mengetahui bahawa Cikgu Ramlah sangat menyayangi anak didiknya.

Watak aku dalam cerpen Terima Kasih Cikgu ialah watak pelajar yang sentiasa positif dalam mengharungi alam persekolahan.  Aku rajin membaca dan memenangi hadiah Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) peringkat daerah. Rentetan itu aku menerima hadiah RM150.00 dan sekali gus merealisasikan hasrat aku untuk bercuti ke Kuala Lumpur.

Cerpen Keranamu Cikgu mengangkat watak Zali bin Dato’ Farid, seorang murid yang nakal sebagai watak utama.  Berkat kesabaran Cikgu Jamilah mendidik dan menderma darah beliau kepada Zali yang kritikal akibat kemalangan, Zali akhirnya insaf. Justeru, Zali berubah menjadi murid yang berjaya dalam pelajaran.

Cerpen Terima Kasih, Cikgu Rani mengusik emosi pembaca menerusi watak Cikgu Rani dan Encik Borhan sebagai bekas pelajar beliau.  Borhan, murid yang nakal sewaktu zaman persekolahan pernah memecahkan pasu bunga kesayangan Cikgu Rani. Setelah berjaya dalam pelajaran dan menjawat jawatan sebagai Pegawai Daerah, Borhan bertemu Cikgu Rani sewaktu majlis perasmian sekolah baharu di Miri dan menghadiahi beliau sebuah bungkusan.  Pertemuan ini mewujudkan suasana pilu antara murid dan guru yang terpisah sekian lama.

Kesemua pengarang pada lapan buah cerpen yang terpilih memenangi hadiah utama sayembara ini telah membuktikan jalan penceritaan sampai kepada khalayak pembaca.  Kebanyakan cerita dalam cerpen itu membawa kepada unsur emosi, iaitu membezakan antara cerpennya sebagai karya sastera daripada karya bukan sastera.

Apabila pembaca teruntun emosinya dengan cerita, maka pengarang telah berjaya menyampaikan ceritanya kepada pembaca. Penulis memikirkan pula apa yang ingin dinikmati oleh pembaca dan hal yang demikian membawa kepada unsur imaginasi, iaitu memperlihatkan ketajaman daya pengamatan dan daya bayangan sehingga dapat melukiskan perkara dan peristiwa seperti benda yang nyata dan benar-benar terjadi.

Akhir sekali penulis memikirkan bagaimana karyanya dapat dinikmati oleh pembaca. Pemikiran ini membawa kepada unsur teknik, iaitu kreativiti dalam pengolahan dan membentuk cerita sehingga karya berkenaan menjadi cerita yang berlainan daripada yang lain.

Penulis juga tidak melupakan unsur dramatik dalam cerpen masing-masing.  Oleh itu, unsur dramatik dapat difahami sebagai kehadiran cerita atau pergerakan cerita yang menimbulkan rangsangan kerana terdapat persoalan, konflik dan peleraian konflik tersebut; yang datang daripada aksi cerita serta peranan watak.  Sebagai contoh, dalam cerpen Secangkir Impian Selaut Budi, pembaca terangsang untuk mengetahui persoalan yang dihadapi oleh watak seorang anak yatim, iaitu Aiman.  Bagaimanakah watak Aiman dapat meneruskan pembelajaran setelah kematian ayahnya.  Pembaca terangsang untuk mengetahui bagaimanakah hasrat Aiman untuk memiliki sebuah komputer itu dapat dicapai.

Begitu juga dengan cerpen Taman Agroteknologi. Watak Raziq yang bersemangat tinggi membangunkan lombong menjadi Taman Agroteknologi meninggalkan kesan emosi dan nilai kepada pembaca.  Semangat perpaduan kaum di Malaysia disampaikan secara tersurat menerusi watak Cikgu Eng Huat yang bertanggungjawab sebagai penyuluh dan obor semangat di sebalik kejayaan Raziq.  Unsur dramatik dilihat sebagai antara unsur yang penting dalam penulisan atau penghasilan karya sastera, termasuk sebagai unsur penting dalam penulisan cerpen.

Keseluruhan watak dalam lapan buah cerpen bahasa Melayu ini mengangkat peribadi murni sama ada murid mahupun guru. Menerusi kategori sekolah rendah dalam antologi ini, kita telah disajikan dengan lapan buah cerpen yang dihasilkan oleh remaja ataupun mereka yang dianggap sebagai barisan penulis muda. Syabas kerana dapat meneruskan tradisi merakam penaakulan dalam penulisan. Mudah-mudahan penulisan mereka lebih matang dan mengujakan sama ada pada sisi persoalan yang diajukan mahupun sorotan teknik gubahan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014776
    Visit Today : 805
    This Month : 34120
    Total Visit : 1014776
    Hits Today : 3098
    Total Hits : 4139900
    Who's Online : 18
  • Kategori