Oleh Khairol Anuar Harith Fadzillah

Tanggal 3 April 2014 (Khamis), tepat pukul 3.30 petang merupakan tarikh keramat yang menyaksikan dunia puisi Melayu moden Malaysia dan dunia puisi Kedah Darul Aman telah kehilangan seorang penyair kembara tersohor Kedah, iaitu Allahyarham Jamaludin Darus atau lebih dikenali sebagai Jamaludin D. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri tercinta, Kamariah dan anaknya di Hospital Putrajaya setelah menghidap penyakit barah hati sejak tahun 2013. Sebelum itu, Allahyarham Jamaludin Darus yang menghidap penyakit kencing manis telah dibawa ke Hospital Putrajaya dari rumahnya di Taman Desa Jaya, Sungai Petani, Kedah oleh anaknya yang bertugas di Jabatan Muzium Putrajaya. Seminggu sebelum pemergiannya, Allahyarham tetap bersemangat melayan sahabat handai yang menziarahinya. Akhirnya, jenazah Allahyarham Jamaludin Darus telah disemadikan di Kampung Kinjang Lama, Chenderiang berhampiran Lata Kinjang, Tapah, Perak.

Allahyarham Jamaludin Darus penyair kembara tersohor Kedah dalam dunia puisi Malaysia.

Jamaludin Darus dilahirkan di Kulim, Kedah pada 19 Julai 1946 dan mendapat pendidikan awal di Sultan Badlishah School Kulim, Kulim, Kedah. Beliau pernah bekerja sebagai buruh dan pemberita di Alor Setar sebelum berkhidmat sebagai pegawai kastam dan telah bersara daripada jawatan Pegawai Kastam Kanan ketika berkhidmat di Langkawi. Selain aktif dalam kerjaya kastam, beliau aktif dalam memartabatkan dunia puisi Melayu moden di Malaysia khususnya di Kedah menerusi penghasilan karya puisi terbaiknya. Selain itu, beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) sejak 10 tahun yang lalu. Selepas kehilangan beliau, ASASI telah kehilangan seorang penyair terbaik Kedah yang sentiasa menyumbangkan ilmu dalam dunia puisi Melayu moden di Kedah.

Penglibatan awal Jamaludin Darus dalam dunia puisi Melayu moden Malaysia bermula menerusi dua puisi awal yang bertajuk “Senyum Simpati di Jalan” dan “Putih Mata” yang disiarkan dalam akhbar Warta Mingguan bertarikh 3 November 1966. Manakala, puisi terakhir beliau yang bertajuk “Mawar Liar Bermekaran antara Serigala Buta” disiarkan dalam Dewan Sastera April 2014 yang mengandungi empat rangkap menceritakan luahan hati Jamaludin Darus seperti yang berikut:

            Mawar Putih Bermekaran antara Serigala Buta

            Di gunungku ada mawar liar

  subur, bermekaran indah

  biak menjulang awan

  umbur kuntum-kuntum wangi

  sekitar daerah perimbaan.

 

  Antara lembah canang berdesing

  mengaum ledakan suara, sesudah lena

  lampias serangan bertubi, deras sungai

  menyimpan taring dan tajam kukunya.

 

  Lena serigala buta di pelimbahan

  terpinga dalam keterjagaan

  menusuk kehangatan-kepanasan

  meronta menyentap belaka-garing

  suara hembusan meliuk-lentuk daunan

  terkoyak belaka.

 

  Mawar liar bermekaran

  antara serigala buta

  di atas mereka jatuh hujan menimpa

  dingin pergunungan dan lebatnya belantara

  membebati pohon-pohon duka hilang ritma

  memadam kejelitaan serakah ganas.

 

Keunggulan Jamaludin Darus sebagai penyair kembara tersohor Kedah mahupun penyair kembara terbaik di Malaysia dengan keberhasilan lebih 600 buah puisi beliau yang tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah terkemuka di Malaysia. Himpunan karya puisi Jamaludin Darus bersama-sama dengan penyair lain telah diterbitkan dalam 60 buah antologi puisi seperti Antologi Siri Gema Membelah Gema terbitan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Qalha dan Puncak Dua terbitan ASASI dan Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKNK). Selain itu, antologi Keris Bahasa, Peneraju Zaman dan Bunga Kekasih diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Malah, puisi beliau turut diterbitkan dalam Antologi Menatap Hujan dan Antologi Perkebunan Iman oleh Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), Universiti Teknologi Mara (UITM). Secara keseluruhannya, Jamaludin Darus merupakan penyelenggara antologi puisi bersama rakan-rakan ASASI yang berjudul Antologi Alegori Mimpi dan diterbitkan pada tahun 2012 (Osman Ayob, 2014: 30).

Kumpulan Puisi Jamaludin Darus bertajuk Bunga Kepingin Kelopak Rindu terbitan ITBM.

Keunggulan beliau ditambah dengan penghasilan 15 buah kumpulan puisi dan kumpulan puisi yang diterbitkan sendiri seperti Kumpulan Puisi Gunung Putih Bunga Benua dan Telah Sampai Aku di Sempadan Aura Membelit Kehadiran. Selain itu, Kumpulan Puisi Jalur-jalur Rindu, Kumpulan Puisi Kawah Gelombang, Kumpulan Puisi Ritma Laut dan Kumpulan Puisi Selaut Belantara telah diterbitkan oleh DBP. Lebih membanggakan, UPENA turut menerbitkan kumpulan puisi Jamaludin Darus bertajuk Gemuruh Rinduku dan Berlading Bicara Menghunus Suara dan kumpulan puisi Tangkai-tangkai Gemuruh (2013) terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Puisi beliau yang bertajuk “Laut Telukmu Seorang Perempuanku” (The Water of Your Inlet My Women”) dan “Seberkas Belenggu” (A Bunch of Snackles) turut diterjemahkan oleh Syed Jaafar Syed Hussin ke dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan dalam Jurnal Malay Literature Volume 14 bertarikh 2 November 2009.

Keunggulan dan sumbangan Jamaludin Darus telah melayakkan beliau untuk menerima hadiah dan penghargaan seperti Hadiah Penulisan Darul Aman ASASI 1984: Kategori Hadiah Puisi, Hadiah Sastera Utusan Public Bank 1989 bagi puisi bertajuk “Wayang”, “Lubang-lubang Duka” (1992) dan “Asin Musia Genting” (1999), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2002-2003 menerusi puisi “Pagi”, Warkah Penghargaan ASASI bagi Pengarang Puisi Kedah Tahun 2006 dan Anugerah Tokoh Penyair GAPENA 2013  (Osman Ayob, 2014: 31).

Sumbangan Jamaludin Darus dalam dunia puisi Melayu moden di Malaysia terserlah sebagai tenaga pengajar Program Penghayatan Sastera dan Budaya, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Beliau turut menerima Sijil Penghargaan sebagai Ketua Jurulatih Kumpulan 3 Siri 3 2006, termasuklah Sijil Penghargaan sebagai Ketua Jurulatih Kumpulan Kem Legenda Langkawi. Malah, beliau banyak diundang dalam aktiviti mendeklamasikan puisi, pertandingan mendeklamasikan puisi dan bengkel penulisan puisi bagi mengajar teknik penulisan puisi kepada penyair muda. Ketokohan beliau turut melayakkan diri diundang sebagai juri sayembara deklamasi puisi yang diadakan pada peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.

Kumpulan Puisi Tangkai-tangkai Gemuruh antara kumpulan puisi terakhir Jamaludin Darus diterbitkan pada tahun 2013 oleh ITBM.

Keunggulan Jamaludin Darus sebagai penyair kembara tersohor Malaysia berdasarkan pengembaraan Jamaludin Darus di dalam mahupun luar negara. Kemunculan setiap karya puisinya lahir daripada sumber ilham dan kepekaan terhadap pengalaman baharu ketika berada di negara yang dilawati. Antara karya puisi yang menyerlahkan keindahan diksi seperti “langkisan”, “langit kirmizi” dan “kasmaran” yang memperkayakan keindahan kosa kata dalam bahasa Melayu.

Kembara puisi Jamaludin Darus membawa kembara bahasa yang mengangkat keindahan diksi dalam semua puisi terbaik beliau seperti “rempang”, “fawana”, “londang” “bergelojakan” dan “berjelaga”. Selain itu, unsur kembara puisi dalam puisi bertajuk “Telah Sampai Aku di Sempadan Aura Membelit Kehadiran” menurut Dr. Sakinah Abu Bakar merupakan kembara dan kisah kehidupan Jamaludin Darus. Malah, kekuatan isi dan tema dalam puisi Jamaludin Darus merupakan kepekaan beliau terhadap keburukan manusia dalam kehidupan bermasyarakat dan memaparkan kesombongan manusia yang tidak bertempat. Ringkasnya, Jamaludin Darus menggunakan perlambangan visual berdasarkan contoh puisi “Pentas”, karya Prof. Dr. Siti Zainon Ismail sebagai Sasterawan Negara yang ke-14.

Perlambangan bentuk visual dalam puisi kembara Jamaludin Darus terserlah menerusi proses tipografi puisi seperti proses menyusun, penulisan puisi, percetakan dan penerbitan buku. Selain itu, perlambangan bentuk visual dalam semua puisi memaparkan perlambangan garis dan warna. Malah, beliau turut menulis puisi yang memaparkan pemikiran, kiasan, pengalaman kehidupan, kembara dan pandangan dunia. Jelaslah bahawa keindahan bahasa dalam semua puisi beliau memaparkan keindahan kata, kiasan, diksi dan metafora.

Kembara puisi Jamaludin Darus menampilkan semua karya puisi yang membentuk identiti beliau sebagai penyair kembara tersohor Malaysia yang terus dapat dikenang oleh generasi pengkaji puisi Melayu moden kini. Sumbangan puisi beliau menjadi khazanah puisi Melayu moden Malaysia yang berharga. Sepanjang hayatnya, beliau banyak melafazkan kesyukuran di atas setiap kejayaannya dalam setiap pertandingan puisi dan sastera di Malaysia dan menganggap penulisan puisi sebagai kudrat dan sumber ilham daripada Allah SWT. Jelaslah bahawa proses kepenyairan Jamaludin Darus bertujuan untuk memperoleh keberkatan daripada Allah SWT, selain membetulkan kesilapan silam kerana baginya setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan (Osman Ayob, 2014: 32).

Foto kenangan Jamaludin Darus bersama mantan editor ITBM, MK Riza di salah sebuah majlis.

Sepanjang hayat kembara Jamaludin Darus dalam dunia puisi Melayu moden di Malaysia telah berjaya mencapai kemuncak dunia kepenyairan yang sebati dalam kehidupannya berbekalkan niat suci yang diberkati oleh Allah SWT. Oleh itu, kembara puisi Jamaludin Darus menyajikan himpunan puisi yang menampilkan unsur ketuhanan dan alam semesta seperti melambangkan keagungan Tuhan Yang Maha Esa melalui penyampaian dalam kumpulan puisi persendirian beliau yang bertajuk Telah Sampai Aku di Sempadan dan Aura Membelit Kehadiran serta Antologi Ritma Laut dan Selaut Belantara yang diterbitkan oleh DBP. Falsafah Jamaludin Darus tentang kehidupan manusia terserlah menerusi ungkapan “Kehidupan manusia tunangannya atau gandingannya ialah kematian.” Kembara puisi Jamaludin Darus memaparkan kebesaran Allah SWT dalam semua puisinya sebagai bekalan untuk semua manusia menuju ke alam akhirat. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Jamaludin Darus dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.

 

Bibliografi

Hassan Baseri Budiman, “Jamaludin D: Penyair Pengembara yang Setia Mencari Tanah Akarnya” dlm. Jendela Utara, Ogos 2007.

Jamaludin D, 2009. Gemuruh Rinduku. Shah Alam: Penerbitan UPENA UITM.

Jamaludin D, 2013. Tangkai-Tangkai Gemuruh.  Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Osman Ayob, “Jamaludin D. Dalam Kenangan” dlm. Dewan Sastera, Jun 2014.

Rozninah Abd Azib, “Mencari Berkat Allah dalam Kepengarangan” dlm. Dewan Sastera, Ogos 2010.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013807
    Visit Today : 1070
    This Month : 33152
    Total Visit : 1013807
    Hits Today : 3810
    Total Hits : 4135915
    Who's Online : 7
  • Kategori