Judul buku: Menunggu Pesawat

Penulis: Zurinah Hassan (Sasterawan Negara)

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 2021

Harga: RM20.00

Pengulas: Ismail Hashim

Menunggu Pesawat ialah kumpulan sajak yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara Zurinah Hassan melalui pemerhatiannya yang rencam dan tajam bagi menentukan ragam dalam tema sajak yang ingin disampaikannya. Zurinah Hassan merupakan Sasterawan Negara Malaysia yang ke-13 dan sebelum ini pernah menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada tahun 2004 dan Hadiah Puisi Sunthorn Phu (Hadiah Puisi Negara ASEAN) pada tahun 2013.

Zurinah juga pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Sastera Utusan, Hadiah Buku Perpustakaan Negara untuk karya cerpen dan memoir yang dihasilkannya.  Karyanya banyak diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, misalnya buku yang bertajuk “Menghadap ke Pelabuhan” yang telah diterbitkan dengan terjemahan bahasa Inggeris, Sepanyol, Rusia dan Perancis.

Buku setebal 128 halaman ini mempunyai 104 buah sajak dan telah dibahagikan kepada dua bahagian. Sajak-sajak yang baharu diletakkan di Bahagian 1 dan mengandungi 54 buah sajak serta sajak-sajak yang lahir daripada pelbagai kumpulan sajak mengandungi 50 buah sajak dan diletakkan di Bahagian 2.

Sajak-sajak yang terdapat di Bahagian 1 menyingkap tema yang pelbagai. Sajak “Menunggu Pesawat” menjadi judul kepada kumpulan sajak penyair kerana dapat menggamit perasaan pembaca bermonolog ke dalam diri tentang kepulangan atau keberangkatan. Jalan penceritaan penyair bersahaja dan dapat mencuit perasaan pembaca:

‘Setiap kita adalah penunggu pesawat

Harus bersedia di balai berangkat…’

Sebahagian rangkap sajak tersebut mengingatkan kita kepada kematian dan seperti fitrah kejadian Tuhan, setiap yang hidup pasti akan mati akhirnya. Ruang pengisian seorang penumpang di dalam pesawat biasanya selesa dan mudah terlena sehingga kita mengetepikan perkara-perkara yang lain. Situasi tersebut mengingatkan pembaca tentang kelalaian sifat manusia yang sukar dihindari. Penyair berupaya menyedarkan pembaca tentang takdir dan sesuatu ketentuan Ilahi adalah pasti dan kita tidak berdaya menolaknya.

Sebuah lagi sajak “Penumpang Terakhir” mengajak pembaca berteka-teki siapakah penumpang yang dimaksudkan oleh penulis di dalam bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Beberapa orang penumpang bas ekspres terselamat daripada rentung walaupun bas telah terbakar dan terjunam ke dalam gaung.

Mereka yang terselamat telah membawa batu nisan atas nama Nasir bin Hassan ke pusara pemandu yang selamat disemadikan di tanah perkuburan. Pemandu bas itu terkorban akibat hilang konsentrasi ketika memandu. Di sebalik kemalangan, Nasir terpaksa bekerja keras untuk menambah pendapatan dan mencari wang lebih untuk keperluan dan kehendak perbelanjaan keluarganya. Bukan itu sahaja, Nasir selalu memandu melebihi had laju yang dibenarkan kerana ingin mengejar perjalanan malah dia juga mengambil dadah bagi mendapatkan tenaga yang berganda. Akibat kelalaiannya, Nasir terkorban dalam kemalangan bas ekspres yang dipandunya itu seperti yang terungkap dalam sebahagian rangkap puisi yang berikut.

‘…Malam pun meraung

Ketika kuda menjunam ke gaung…’

Sajak-sajak Zurinah menarik untuk dibincangkan kerana menggunakan bahasa yang bersahaja, iaitu dilihat lebih berbentuk prosaik namun mengandungi maksud yang berlapis dan mengajak pembaca untuk terus mencernakannya ke dalam minda. Misalnya, bukan sahaja melihat kemalangan yang berlaku disebabkan kecuaian, tetapi dapat dilihat kegigihan pemandu tersebut untuk mencari ‘wang tambahan’ sehingga mendorongnya tidak mengutamakan keselamatan diri mahupun penumpang yang lain.

Dalam Bahagian 2, terdapat sajak yang menggamit pembaca untuk mengenali sasterawan dengan lebih dekat, terutamanya anak-anak muda yang berasa ‘glamor’ dengan status tersebut dan bercita-cita untuk bergelar sasterawan. Diperlihatkan pertanyaan anak muda yang mahu bercita-cita menjadi pengarang besar atau dikenali sasterawan itu supaya berjiwa besar dalam rangkap sajak yang berikut.

‘…Pertama, janganlah kau menjadi orang kecil

Kelak segala yang kau tulis, walaupun besar

Akan diperkecil-kecilkan…’

Sebuah lagi sajak yang menarik apabila penyair melahirkan petuanya dalam ‘‘Bunga di Kolam” yang mengekalkan self esteem atau mengekalkan daya tahan diri. Setiap pembaca dapat melonjakkan diri dan berdepan dengan cabaran berdasarkan kepada ‘keistimewaan’ atau ‘kekuatan’ yang ada pada diri masing-masing seperti mana dalam rangkap sajak yang berikut.

‘…Kita sepatutnya belajar

Dari kembang teratai

Yang berlumpur di tangkai

Namun tetap dijulang

Dalam warna cemerlang…’

Keistimewaan Zurinah Hassan dalam menggauli setiap puisinya ialah jalan penceritaannya, iaitu mengambil alam sebagai aksara utama dan bersahaja dalam mengungkapkan peristiwa yang bermakna dan dapat menyentuh perasaan pembaca. Ini termasuklah pemerhatiannya terhadap masyarakat sekitarnya.

Zurinah juga menggunakan peribahasa dan pembaca sudah pasti mengetahui maksud atau sindiran yang terkandung dalam sesebuah peribahasa. Ini menjelaskan lagi mesej yang ingin disampaikan dalam setiap sajaknya itu.

Ibu bapa atau orang yang lebih dewasa kerap menggunakan peribahasa sebagai jalan terbaik untuk menegur perangai anak-anak mereka. Peribahasa mempunyai penyampaian berkias dan tidaklah ‘mencederakan’ perasaan si pendengar secara langsung.

Zurinah turut menegur seorang YB yang melupakan janji-janjinya semasa pilihanraya satu ketika dahulu melalui sajaknya “Peribahasa untuk YB”. Bait-bait puisinya begitu terkesan dan puitis apabila penulis menggunakan peribahasa dalam puisinya seperti bagai tebu tumbuh di bibir, jangan pagar memakan padi, jangan kaduk yang naik junjung dan lain-lain bagi memberikan kesan mendalam kepada pembaca.

Sajak Zurinah yang berbentuk monolog terukir dalam sajaknya yang berjudul “Dosa Peragut”. Di dalam sajaknya, peragut berasa bersalah kerana menjadi peragut namun meletakkan kesalahan itu pada dirinya semata-mata yang dirasakan tidak adil. Peragut turut menyalahkan pemerintah yang hidupnya bermewah-mewah tanpa memberikan perhatian kepada kebajikan rakyat marhaen sepertinya yang terhimpit dengan kepayahan hidup. Mereka yang hidup susah sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan, asalkan mendatangkan wang dan salah satunya adalah menjadi peragut. Diperturunkan sebahagian daripada bait-bait sajak untuk tatapan pembaca.

‘Bertahun-tahun aku menjadi peragut

Tidak pernah merasa bersalah

Sebaliknya aku marah-marah

Kepada pemerintah

Pemimpin bermewah-mewah

Membazir wang rakyat

punca jenayah meningkat…

Kita juga mampu melihat Zurinah membaca sebuah ‘takdir’ Tuhan melalui sajaknya yang berjudul “Hidup” dengan mengumpamakan kehidupan ini ibarat sebatang lilin bernyala yang akan menjadi cair dan pendek. Cahaya lilin akan padam dan berakhir bila-bila masa, sebagaimana Zurinah meninggalkan puisinya yang belum siap itu. Begitulah juga takdir yang menjadi penentuan hidup dan mati tanpa mampu diawalkan atau ditangguhkan. Kita meninggalkan tugas yang gagal dibereskan disebabkan panggilan takdir llahi itu. Segala yang berlaku itu adalah ketentuan Tuhan.

Kesimpulannya, sebahagian daripada sajak-sajak penyair ini dapat dijadikan ‘cerpen’ yang memerlukan penaakulan minda kerana ada perkara yang ‘tersembunyi’ yang cuba dinyatakan dan mendambakan rinci di sebalik cerita yang menyulami setiap sajak. Silakan untuk mendapatkan senaskah buku kumpulan sajak ini yang sedia ada di pasaran.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042891
    Visit Today : 755
    This Month : 25490
    Total Visit : 1042891
    Hits Today : 2329
    Total Hits : 4281924
    Who's Online : 8
  • Kategori