OLEH SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Bertamu ke kampung suku Temiar Bukit Kala, Batu 12, Gombak telah mendorong saya menelusuri beberapa budaya unik masyarakat minoriti ini. Temiar merupakan suku Senoi, suku orang asli terbesar di Semenanjung Malaysia. Selain Temiar, suku Senoi terdiri daripada Semai, Che Wong, Jahut, Semoq Beri dan Mah Meri.

Kanak-kanak suku kaum Temiar

Kepercayaan turun-temurun orang Temiar ialah animisme, iaitu mempercayai bahawa setiap ciptaan atau benda di dalam hutan mempunyai semangat. Misalnya seperti pokok, batu sungai dan air terjun yang dikatakan mempunyai semangat yang tersendiri. Begitu juga dengan matahari dan bulan yang dikatakan mempunyai semangat yang paling utama dan bintang-bintang ialah anak-anak mereka.

Suku kaum Temiar mempunyai sistem Tuhan yang rumit tetapi mirip Tuhan nenek moyang kaum asli yang lain. Bagi mereka, setiap Tuhan sama dari segi kuasa dan amat ditakuti. Hal ini bermakna tiada Tuhan yang lebih berkuasa daripada yang lain. Kaum ini juga percaya tentang syurga, iaitu tempat segala roh dan semangat bebas bergerak serta tempat pulangnya seseorang suku Temiar.

Meskipun kini ramai antara orang Temiar beragama Islam, kepercayaan nenek moyang yang mereka warisi tetap sebati dalam diri. Paling menarik, tiga budaya unik hidup orang Temiar, iaitu tentang mimpi, jati diri dan sikap menghormati. Ketiga-tiga budaya ini jelas dalam hidup mereka.

Suku Temiar percaya setiap ciptaan pokok dan batu mempunyai semangat

Mimpi

Orang Temiar menganggap ‘mimpi’ sebagai asas kearifan dalam hubungan suku kaum dan dapat mengatasi masalah, keganasan serta jenayah. Kebiasaannya mereka akan berbincang mengenai mimpi mereka bersama-sama dengan ahli keluarga pada waktu sarapan pagi. Orang yang lebih tua akan membuat takrifan tentang mimpi itu. Sekiranya mimpi itu menakutkan, orang itu akan digalakkan ‘mengubah’ bentuk mimpinya dan kemudian cuba untuk bermimpi lagi. Mimpi lebih sukar difahami akan dirujuk secara musyawarah kepada orang tua yang lebih arif. Bagi mereka, manusia boleh mengawal mimpi untuk mengurangkan perasaan takut dan meningkatkan kenikmatan hidup. Mimpi boleh dikawal atau dibentuk melalui interpretasi dalam musyawarah berkumpulan untuk mengecap kehidupan yang lebih harmoni. 

 

 

Jati Diri

Orang Temiar tidak menganggap diri mereka sebagai ‘penghuni hutan’ tetapi ‘orang yang tinggal di tanah lapang, dikelilingi hutan rimba’. Mereka berpendirian tanah milik semua makhluk. Mereka tidak boleh memiliki tanah tetapi hanya boleh memiliki apa yang ditanam atau dijumpai. Pada masa dahulu, orang Temiar akan berpindah ke kawasan lain jika salah seorang ahli mereka mati. Kini mereka hanya akan berpindah sekiranya terdapat ramai antara anggota keluarga mereka yang mati ataupun atas tujuan ekonomi, untuk berada dekat dengan kawasan tanah yang subur.

 

Sikap Menghormati

Masyarakat Temiar bersifat mesra alam, harmoni dan mereka akan menjauhi dari aktiviti keganasan dan kemusnahan alam. Bagi mereka, semua makhluk alam termasuk tumbuh-tumbuhan berhak hidup. Menebang atau memusnahkan hutan secara membakar dengan sengaja dilarang sama sekali melainkan untuk bertani.

Sekiranya mahu membuka ladang baharu, mereka mesti meninggalkan sebatang pokok di hujung atau pangkal ladang. Kebiasaannya, pokok yang lebih besar dan unik paling diminati oleh burung dan pokok tersebut akan dibiarkan supaya dapat dijadikan tempat berteduh bagi burung-burung yang berterbangan di situ. Sebelum membakar hutan untuk membuka ladang, orang Temiar akan mengambil kira musim dan kedudukan angin untuk memastikan api tidak merebak sehingga merosakkan flora dan fauna hutan.

Jika mereka melalui laluan denai, mereka tidak menggunakan parang untuk mencantas semak tetapi hanya menyelak semak-samun. Makanan utama Temiar ialah ubi dan setiap tiga atau empat hari kemudian barulah mereka akan menjamu nasi. Oleh sebab itu, mereka hanya keluar berburu sekali bagi setiap sepuluh hari. Hanya satu jenis binatang sahaja yang boleh diburu.

Pantang bagi mereka memburu binatang berlebihan tetapi cukup sekadar keperluan makanan sekeluarga untuk sehari. Mereka turut memasang perangkap di sekitar kediaman mereka tetapi lebih sebagai perlindungan. Binatang liar yang masuk ke dalam kampung tidak boleh diburu untuk makanan. Aktiviti berburu hanya boleh dilakukan di hutan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013377
    Visit Today : 640
    This Month : 32722
    Total Visit : 1013377
    Hits Today : 2103
    Total Hits : 4134208
    Who's Online : 11
  • Kategori