Oleh: Nazariyah binti Sani

Apabila doktor mengesahkan bahwa tulang ibu jari kaki saya telah patah tiga (fraktur), patah rasanya hati ini. Luluh jiwa raga. Doktor telah menayangkan pada saya imej sinar-X yang menunjukkan tulang ibu jari kaki saya yang telah patah tiga itu. Jelas kelihatan jalur patahnya berwarna hitam.

Sinar-X keadaan tulang yang patah tiga.

Walaupun tidak patah riuk, namun sudah cukup membuat saya patah semangat tetapi tidak pula patah nafsu kerana statistik berat badan ini tetap meningkat. Mulalah keluar patah kata untuk menyalahkan mesin timbangan.

Kata doktor, fraktur atau patah tulang berkisar daripada retakan tipis hingga patah. Fraktur boleh terjadi secara melintang, memanjang kerana dipengaruhi oleh kekuatan atau tekanan.  Dalam kes saya, patah yang dialami ialah patah melintang kerana ditimpa oleh objek berat dari ketinggian 10 kaki.

Kaki dibalut untuk mengekalkan kedudukan tulang.

Musibah memang tidak dapat diduga. Siapalah kita untuk menolak takdir. Tetapi takdir itu menambah pengalaman. Apakah sidang pencinta bahasa pernah mengalami pengalaman patah seperti saya?  Patah apa?  Patah anggota seperti saya? Atau patah hati? Bagaimanakah rasanya? Sudah terlanjur patah jari, mari bersama-sama saya menelusuri    makna yang tersurat dan tersirat di sebalik diksi patah.

Andai sidang pencinta bahasa ”agak silu” untuk membuka kamus, saya kongsikan di sini bahawa diksi patah bersinonim dengan kata sekah, pukah, ripuk, kopak dan sempal. Dalam konteks kiasan, diksi patah bersinonim dengan terhenti, terencat, tergencat, tergendala, terhalang, terbantut, terbengkalai dan terkandas. Manakala antonim bagi diksi patah ialah utuh, bersatu dan lurus.

Sorotan dalam Kamus Dewan mendapati kata patah itu ertinya suatu keadaan yang tidak bertaut atau tidak bercantum kuat-kuat. Sebagai contoh dalam ayat berikut; Tulang ibu jari kakiku telah patah tiga akibat ditimpa pintu kabinet. Maknanya, tulang ibu jari kakiku telah tidak bercantum dengan kuat, telah hilang pertautan.

Tidak hairanlah dalam penelusuran ini ditemui pelbagai makna patah yang dimuatkan dalam Kamus Dewan. Makna kedua patah ialah tidak dapat diteruskan atau dilanjutkan lagi, iaitu terhenti. Contoh ayat;  Tanggungjawab saya sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu patah di tengah jalan kerana ibu jari kaki saya telah patah tiga akibat ditimpa pintu kabinet.

Bukan rahsia lagi, diksi patah turut digunakan sebagai penjodoh bilangan untuk kata sebagai contoh, beberapa patah kata, sepatah dua kata, satu atau dua patah kata, sedikit perkataan. Contoh ayat; Pengarah IPG KPI telah menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis perasmian Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat IPG KPI 2021.

Mengenai faktor tatabahasa, terdapat juga simpulan bahasa, kata majmuk berkaitan perkataan patah seperti patah arang yang bermakna putus langsung, tidak boleh berbaik kembali akibat perselisihan. Contoh ayat; Hubungan dengan komunis telah lama putus sama sekali ibarat kata pepatah Melayu, telah berkerat rotan berpatah arang.

Perkataan patah balik pula membawa maksud berbalik, iaitu bertukar arah hingga berlawanan dengan yang semula. Contoh ayat; Polis masih menggunakan budi bicara dan tidak terus mengenakan kompaun terhadap individu yang melanggar arahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi mengarahkan banyak kenderaan berpatah balik.

Berdasarkan penerokaan makna, sinonim dan antonim diksi patah yang dibuat, memang dapat disimpulkan bahawa diksi patah berkonotasi negatif yang dapat saya rumuskan. Saya sangat bahagia ketika ibu jari kaki saya belum patah. Saya boleh melompat ke sana ke mari, memandu, berjoging dan berbuat apa sahaja yang saya suka.  Kini saya terlantar. Tidak boleh pergi kerja. Hilang upaya. Bertongkat ke sana sini. Ibarat burung dalam sangkar. Mata terlepas, badan terkurung. Namun, saya tidak patah batu. Saya masih gigih berusaha untuk pulih. Lebih menggembirakan lagi, saya tidak patah kaki kerana rakan-rakan di Jabatan Pengajian Melayu sentiasa membantu tugasan saya yang patah pucuk.

Mengimbau waktu lalu, saya pernah mendengar kalimat ini daripada patah kata almarhumah emak. Kata emak, kalau seterika seluar atau celana, ikut patah celana, iaitu lipatan pada seluar agar kemas. Tambah emak, sewaktu menyeterika buatlah sungguh-sungguh agar tidak patah said, iaitu renyuk, tidak licin baju, seluar sewaktu ayah pakai pergi kerja. Lebih cun lagi, saya masih terbayang rambut emak yang patah mayang, iaitu ikal dan mengombak apabila ditiup angin petang sewaktu mendidik saya menjadi dewasa. Rindunya pada emak.

Rentetan kecederaan ini, setelah melaksanakan solat Istikharah, muhasabah diri, syura dengan pengurusan serta keluarga, saya memilih untuk mengundur diri daripada tugas sebagai penjawat awam. Sebagai ketua jabatan, saya yakin mereka yang saya pimpin tidak patah dahan tempat bernaung, ataupun  patah lantai tempat berpijak kerana tidak bermakna  pengunduran diri saya ini, mereka tiada lagi tempat untuk meminta pertolongan dan lain-lain.

Saya pasti mereka “kalau patah kepala bertongkat paruh, kalau patah paruh bertelekan dan kalau patah tongkat berjeremang”. Mereka pasti tidak putus harapan, terus berikhtiar, bekerja kerana daya juang dan aras intelek mereka yang tinggi. Lagi pun, peribahasa Melayu ada mengatakan yang patah pastikan tumbuh dan yang hilang akan berganti. Namun, ingatlah kerana tiada patah yang tak tempang. Tiap-tiap pergaulan tetap meninggalkan bekas perasaan yang baik dan tidak baik. Yang baik dijadikan teladan, yang kurang baik dibuat sempadan, dianyam kemas di sudut memori.

Walaupun patah lidah saya apabila diasak soalan tentang keputusan mengundur diri oleh pihak pengurusan dan ada kalanya tidak dapat berkata dengan lancar, tidak dapat menjawab, saya tetap yakin dengan pilihan ini. Namun begitu, percayalah saya tidak patah perang kali ini. Dengan izin-Nya saya ingin bangkit pada lain masa.

Sekian lama menjadi pemimpin, saya dapati memimpin bukanlah sesuatu yang sukar selagi pemimpin itu mendapat kerjasama jitu daripada yang dipimpin. Tetapi, memimpin secara efektif dan berkesan dalam keadaan kesihatan diri yang tidak optimum adalah suatu tugas yang amat mencabar. Hal ini merupakan satu cabaran terbesar, realiti yang perlu dihadapi oleh saya sebagai pemimpin. Izinkanlah saya mengundur diri. Doakan patah di hati dan patah di jari kaki saya segera sembuh.

Bagi sidang pencinta bahasa yang mengikuti perkembangan bahasa masa kini pastinya diksi patah ini sudah sering dibahas khalayak dan tidak asing lagi. Usaha ini sekadar perkongsian demi memperkaya kosa kata bicara bahasa kita agar sentiasa gramatis. Renung-renungkan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035609
    Visit Today : 387
    This Month : 18208
    Total Visit : 1035609
    Hits Today : 1895
    Total Hits : 4247985
    Who's Online : 11
  • Kategori