Judul buku: Tulang-tulang Berserakan

Penulis: Usman Awang

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 2019

Harga: RM10.00

Pengulas: Jaymani Sevanathan

 

Pengulas mengenali sosok kepengarangan Usman Awang sebagai penyair dan Sasterawan Negara yang ketiga. Pengulas gemar membaca puisi “Kurang Ajar” nukilan beliau pada baris “suatu bangsa tidak menjadi besar tanpa memiliki sifat kurang ajar” benar-benar menyengat dan mendalam maksudnya. Selepas membaca biografi beliau, pengulas sedar bahawa “Tulang-tulang Berserakan” merupakan satu-satunya novel yang dikarang oleh Usman Awang. Terima kasih buat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana menerbitkan semula karya-karya Sasterawan Negara dalam Edisi Malaysia Membaca. Sebagai satu-satunya novel yang dihasilkan oleh Usman Awang, semestinya pengulas menghargai dan teruja untuk membaca karya tersebut.

Dalam prakata, kita diterangkan segala kronologi sejarah Malaysia daripada zaman pendudukan Jepun sehinggalah Undang-Undang Darurat diperkenalkan hingga tahun 1960. Ia sangat membantu pembaca dalam memahami penceritaan Usman Awang dengan lebih jelas kerana latar belakang masa dan tempat selepas Inggeris mengambil alih Tanah Melayu.

Sebenarnya, pembaca dapat menyimpulkan dengan mudah bahawa watak utama, Leman merupakan Usman Awang itu sendiri. Hal ini dapat dibuktikan apabila gambar sebenar beliau yang bertugas sebagai Pasukan Polis Hutan (Jungle Squad) turut diselitkan dalam manuskrip tersebut. Pada masa yang sama, tempat kelahiran Leman dan Usman Awang juga sama, iaitu di Kota Tinggi, Johor. Hujah lain pula dalam pengakhiran novel, apabila Leman berhasrat untuk menukar kerjayanya dan Cikgu Alimin membantu Leman untuk mendapatkan kerja di Melayu Raya melalui rakannya. Apabila menelusuri biografi Usman Awang, beliau sememangnya pernah bekerja di Melayu Raya yang bertempat di Singapura sebagai pembaca pruf. Jadi, tidak dapat disangkal lagi bahawa watak Leman sebenarnya ialah Usman Awang.

Novel ini sangat ringkas dan bahasanya mengalir bersahaja, mudah dan seronok dibaca. Ringkasnya, novel ini menceritakan sebuah pasukan polis yang ditubuhkan dengan anggota seramai 40 orang dan ditempatkan di Melaka. Mereka memantau dan menyaman kesalahan orang awam yang berlaku di Melaka. Selain Leman, antara watak yang dilihat berperanan besar dalam novel ialah Mahmud, Majid, Mamat, Ujang dan Wak Stop. Masing-masing memiliki kehidupan yang tersendiri; penuh suka dan duka.

Tidak lama kemudian, latar masa dilihat berubah dan Leman ditempatkan dalam pasukan polis hutan. Mereka bertugas untuk menentang tentera komunis yang bersembunyi di hutan. Sehinggalah, Majid dan Mamat meninggal dunia akibat pergelutan yang berlaku dengan pihak komunis. Ujang pula kehilangan sebelah kakinya akibat kemalangan. Wak Stop juga meninggal dunia setelah ditempatkan di hospital. Leman sangat terkesan dengan kehilangan rakan-rakannya dan berhasrat untuk meninggalkan kerjayanya sebagai polis.

Leman bukan sahaja berperanan sebagai seorang polis biasa yang hanya menjalankan perintah dan tanggungjawab. Beliau seorang pembaca tegar, berfikiran rasional, tegas, terbuka dan menghormati pendirian semua individu. Walaupun pada waktu itu, komunis dianggap pengganas kerana membunuh mangsa yang tidak berdosa dan mencetuskan kacau bilau dengan mengugut penduduk kampung, tetapi bagi Leman, cara penerimaannya amat berbeza.

Bagi Leman juga, orang Inggeris juga bukan calang-calang orang dan motif mereka hanya untuk mengeksploit segala hasil bumi Tanah Melayu. Oleh sebab itu, parti berhaluan kiri seperti AWAS, API dan GERAM bermatian-matian untuk mendapatkan kemerdekaan. Leman menghormati pendirian mereka. Terdapat sebuah pantun yang diucapkan oleh seorang watak yang tidak disebut namanya dalam novel ini tetapi pengulas pasti bahawa beliau ialah Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Pantun tersebut benar-benar mencetuskan semangat nasionalisme dalam diri Leman. Pantun tersebut berbunyi seperti yang berikut;

Di atas robohan kota Melaka,
Kita bangunkan jiwa merdeka;
Bersatu-padulah seluruh baka,
Membela hak keadilan pusaka.

Leman merasakan orang yang berjuang untuk mendapat kemerdekaan ialah perwira bangsa yang sebenar seperti petikan cerita pada halaman 139;

Orang yang berjuang untuk kemerdekaan saja yang boleh disebut gugur sebagai bunga bangsa. Macam Indonesia. Katanya, pemuda-pemuda Indonesia dengan bambu runcingnya berjuang untuk kemerdekaan dan mereka ditembak Belanda. Itu baru gugur seperti bunga bangsa. Tetapi kita?

Novel ini umumnya bertemakan kemanusiaan. Beberapa babak dalam novel ini menunjukkan betapa Leman memiliki sifat kemanusiaan dan tidak pernah mementingkan diri. Misalnya, Leman menegur Mahmud yang suka menyaman orang awam. Mahmud berpendapat semua kesalahan orang awam perlu diberikan hukuman kerana wang itu jugalah yang akan digunakan untuk membayar gaji pasukan polis. Tetapi bagi Leman, kesalahan tersebut masih mampu dimaafkan kerana sekiranya mereka disaman, mereka akan kehilangan segala-galanya dan tidak dapat menanggung perbelanjaan keluarga.

Contoh lain pula apabila Leman yang bertugas menjaga lokap yang memuatkan tahanan daripada parti haluan kiri, iaitu Anuar dan Leman memberinya makan dan minum. Leman tidak memandang Anuar sebagai banduan malah meminta autografnya. Selain itu, Leman turut bersimpati dengan nasib yang dihadapi para pekebun sayur yang seakan-akan terperangkap. Mereka terdesak antara dua pemerintahan. Mereka tidak memiliki apa-apa jaminan terhadap nyawa.

Kemudiannya, kemanusiaan tidak terhad antara manusia sahaja tetapi terhadap binatang dan alam sekitar juga. Leman dilihat sangat menyayangi haiwan apabila memarahi seorang mata-mata yang tidak membenarkan seorang budak kecil membawa anak anjing kesayangannya setelah diperintahkan keluar dari perkampungan. Leman juga mampu merasai derita yang dihadapi orang lain walaupun dianggap kecil dan remeh. Selain itu, Mahmud yang menendang dan menyeksa tawanan komunis juga telah ditegur oleh Leman kerana baginya tawanan yang sudah menyerah kalah, tidak patut dipukul lagi. Rasa belas kasihan menguasai hatinya.

Pendek kata, Leman tidak pernah mengadili sesiapa. Leman menghormati setiap nyawa, agama dan bangsa. Walaupun dia memiliki rasa marah terhadap pihak komunis, dia menerima pendirian mereka. Hal ini adalah kerana kedua-dua pihak sama-sama menggadaikan nyawa dan saling menghalakan muncung senjata; yang satu mempertahankan keruntuhan dan sebelah pihak lagi menegakkan keyakinan.

Benar, kita jarang-jarang mempertemukan watak Leman dalam dunia realiti. Malah, kita sendiri mungkin tidak cukup memiliki sikap terpuji seperti dalam diri Leman. Oleh sebab itu, pengulas begitu kagum dengan Leman dan karya tersebut. Kadang kala, kejahatan atau sikap negatif dapat dihancurkan dengan kebaikan dan sifat kemanusiaan. Semoga novel ini terus menjadi karya penting dalam dunia kesusasteraan Melayu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    218762
    Melawat Hari Ini : 214
    Jumlah Pelawat : 218761
    Hits Hari Ini : 1006
    Jumlah Hits : 537111
    Siapa atas talian : 3
  • Kategori