Judul:            Seratus Rumah yang Sunyi

Editor:           Hafizah Iszahanid

Penerbit:       Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga:           RM 18.00

Tahun:          2021

Pengulas:     Ismail Hashim

Cerpen-cerpen yang dilahirkan penulis wanita dalam Antologi Seratus Rumah yang Sunyi setebal 183 halaman ini mempersembahkan tema-tema menarik dan dapat mencetus keinginan pembaca sehingga ke akhir penceritaan setiap cerpen.

Cerpen Seratus Rumah yang Sunyi  ditulis oleh Ruhaini Matdarin mengumpan tanda tanya pembaca tentang ‘kehilangan’ sebuah rumah agam di atas Bukit Vor. Saodah, isteri kedua membuat laporan di Balai Polis Putatan dan Koperal Salman menerima laporan tersebut termasuk foto-foto berkaitan dengan rumah agam yang hilang.

Turut hilang ialah pembantu rumah berbangsa Moro, rumah kucing dan kereta terbangnya yang diletakkan di ruang parkir. Saodah mengesyaki kehilangan tersebut adalah pakatan jahat daripada tukang kebun, tukang masak, pengawal keselamatan dan seorang gadis yang menyimpan rekod rutin hariannya.

Suaminya, bernama Omar terpaksa meminta maaf kepada Koperal Salman atas sikap isterinya yang kurang siuman semenjak kejadian gerai kecilnya dirampas oleh peniaga warga asing di pasar malam. Saodah sering masuk dan keluar Hospital Bukit Padang bagi mendapat rawatan gangguan jiwa.

Cerpen Kasut nukilan Rebecca Ilham menceritakan pelari sukan yang taasub dengan kasut sukan kegemarannya. Kasut inilah juga yang digunakan semasa menjalani latihan, pertandingan mahupun acara sukan pemulihan. Ketaasuban terhadap kasut ini mengajarnya kesabaran dan setia pada pendirian.

Cerpen Halus tulisan Siti Jasmina Ibrahim memanipulasikan minda manusia dengan cerita dahulu kala dan sejarah kehancuran setiap bangsa untuk dijadikan sebagai matlamat perjuangan. Putera Syah telah dibawa ke Gunung Tunggal. Di tengah perjalanan, Putera Syah menghadapi suasana gelap gelita dan secara tiba-tiba muncul cahaya bersumberkan daripada akal manusia.

Cerpen Para Pencari Rumah ditulis oleh Ummu Hani Abu Hassan menceritakan pengalaman suka duka pendatang tanpa izin (PATI) yang merantau ke Korea Selatan yang berdepan dengan kesukaran mahu melakukan solat atau berpuasa kerana pihak pengurusan kilang yang kurang prihatin terhadap kebajikan pekerja beragama Islam. Penulis menyifatkan rumah juga ialah negara  yang menjadi pilihan kepada pendatang dalam mencorakkan masa depan mereka.

Cerpen berikutnya ialah Mana Dia Pergi tulisan Nadia Khan yang menceritakan cinta tiga segi antara Pak Cik Wan dengan Zulaikha dan Noraini. Isterinya, Noraini menghidap kanser rahim memendam perasaan setelah Pak Cik Wan menjalin hubungan dengan Zulaikha.

Pak Cik Wan mengalami kemurungan (delay grief reaction) dan anaknya, Tarmizi telah menghantarnya ke Villa Impiana. Pak Cik Wan juga menghidap Alzheimer. Tabiat Pak Cik Wan suka bertanyakan ‘Mana Dia Pergi’ pada penghuni Villa Impiana dan merenung ke langit serta menyebut nama Zulaikha ketika melihat kapal terbang di udara telah mendatangkan tanda tanya.

Tia dan abangnya, Tarmizi berjumpa Encik Hassan bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang Zulaikha. Hubungan cinta antara Pak Cik Wan dengan Zulaikha terputus di tengah jalan setelah mendapat tentangan daripada keluarga Pak Cik Wan.

Selepas kematian Noraini, Pak Cik Wan bersetuju menikahi Zulaikha. Namun terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan tersebut kerana Zulaikha mempunyai urusan dengan ibu saudaranya di Jakarta. Zulaikha terlibat dalam nahas pesawat yang terhempas dan mengorbankan semua nyawa termasuklah Zulaikha.

Cerpen Jidi_Pulaubudi.com yang dihasilkan Radzemah Bolhassan menceritakan kesulitan Jidi dalam memperkenalkan kaedah baru jualan melalui telefon bimbit. Sebelum ini, Usen ayahnya bergantung kepada ‘orang tengah’ bagi menjual hasil tangkapan lautnya. Tetapi rancangan Jidi mendapat tentangan daripada Usen dan Uyah. Hasrat Jidi tidak kesampaian setelah maut dalam sebuah kemalangan.

Cerpen Menara Ke Langit daripada Salina Ibrahim menyentuh ego serta ‘sindiran’ sifat rakus manusia dalam memikirkan sesuatu di luar kotak. Pasukan projek dikehendaki mencapai kehendak tuan presiden untuk membina menara setinggi 1000 meter. Musibah menimpa ketika dalam pembinaan fasa kedua itu apabila sayap kanan menara runtuh menyebabkan keretakan dinding kaca bangunan dan tiga orang pekerja kontrak terbunuh.

Setelah menara tersebut siap, ketua projek terkejut dengan kehendak tuan presiden yang mahukan mereka membina tangga di puncak menara bagi membolehkan tuan presiden naik ke langit untuk berjumpa Tuhan.

Dayangku Mastura menghasilkan cerpen Angin Sebagai Saksi yang menceritakan penduduk-penduduk kampung yang meminggirkan masjid dan meninggalkan solat lima waktu menerima balasannya.

 Suatu hari, penduduk kampung telah digemparkan dengan bunyi beduk dari masjid dan diikuti dengan suara azan pada pukul 10.00 pagi yang dilakukan oleh Raman. Sejak itu, Raman telah mengimarahkan suara azan di masjid tersebut dan mengajak penduduk kampung melakukan solat di masjid.

Nisah Haji Haron pula menghasilkan cerpen Jalur-jalur Mobius terarah kepada pertemuan antara ibu dengan anak yang memperlihatkan jalan cerita secara imbas kembali.

Di dalam pesawat, Humeira teringatkan gemulah suaminya, Amir Zulfakar Timurovic yang terkorban di Sarajevo.  Mereka mempunyai seorang anak bernama Kirril Timurovic. Kali terakhir Humeira berjumpa Kirril Timurovic adalah pada majlis graduasi Kirril Timurovic di Universiti Oxford. Pengumuman pramugari pendaratan pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sarajevo mematikan khayalan Humeira.

Cerpen Sunyi yang dihasilkan oleh Hafizah Iszahanid menterjermahkan sunyi dari akal kiri dan akal kanan. Sunyi dari akal kanan menunjukkan pengaruhnya manakala sunyi dari akal kiri lebih kepada pertentangan kepada sesuatu perasaan. Cerpen Suny’ adalah pernyataan berkesan dan cara terbaik ‘menyembuhkan luka’ yang didatangi daripada tekanan sunyi.

Penulis Rita Robert Rawantas dalam cerpennya Lelaki Sunyi di Simpang Jalan mengisahkan kehidupan terpinggir Loboh dengan anjing jantannya, Gapu. Loboh duduk di atas kerusi plastik di simpang jalan sambil menunggu kereta sapu untuk membawanya ke hospital.

 Gapu bertindak sebagai ‘pelindung’ daripada anjing-anjing liar yang menceroboh pondok Loboh. Di simpang itu juga, Gapu menemui ajalnya apabila dilanggar kereta. Dunia Loboh semakin sunyi semenjak kematian Gapu.

Jalan cerita cerpen Kota dalam Kabut tulisan Ainunl Muaiyanah Sulaiman membawa keinginan mencari ketenangan dan menyembunyikan salah laku kejahatan di ‘Kota dalam Kabut’ yang terletak di lereng gunung.

Suatu peristiwa berlaku pada petang itu apabila kabut mulai bergerak secara perlahan-lahan menuju ke puncak gunung – ‘menelanjangkan’ kejahatan sebenar penghuni-penghuni ‘Kota dalam Kabut’. Pada masa yang lain muncul pula penguasa kota yang menyamar sebagai debu setinggi gunung dan menangkap penghuni-penghuni yang bersalah untuk tujuan pengadilan. Cerpen ini memerlukan ‘penaakulan minda’  pembaca dalam menghadamkan jalan ceritanya.

Penulis Fazleena Hishamuddin dengan cerpennya Lara Instagram menyatakan kehidupan kanak-kanak bernama Luna yang berusia tujuh tahun dan mempunyai aplikasi Instagram. Terdapat 20 ribu rakaman gambar dan video Luna yang tersimpan dalam Instagram dan telah dirakam oleh Fuad, Daddy Luna sejak Luna berumur dua hingga tiga tahun.

Fuad juga mengajar Luna bagaimana memuat naik video ke dalam Instagram. Malam itu Fuad menemani Luna tidur. Mereka dikejutkan dengan serbuan pihak polis ke rumah itu. Ketika Fuad mahu menyerahkan Ipad kepada Luna, polis melepaskan tembakan ke dada Fuad. Di dalam perjalanan ke Balai Polis, Fuad menghembuskan nafas yang terakhir dan Luna berjaya memadamkan kandungan Instagramnya.

Penulis Zalila Isa pula menghasilkan cerpen Apa Khabar, Ani? yang merupakan catatan penulis terhadap Ani – memiliki ijazah perubatan dalam bidang farmaseutikal dan menghidap radang paru-paru atau Pneumonia. Ani mendapat bantuan alat pernafasan daripada tong udara seberat lima kilogram yang disangkutkan pada bahagian bahunya.

Cerita tentang Ani hanya berjaya disiapkan setelah tiga tahun gemulah Ani meninggalkannya. Olahan jalan penceritaannya berkesan menguris hati pembaca.

Cerpen terakhir dalam antologi ini dihasilkan oleh Farahana Hussain, iaitu Kerudung Mentari. Kerudung mentari mempunyai kuasa sakti. Maharaja Wilayah Aman Sentosa berasa murka dengan ketua rombongan pedagang Negara Limbungan yang membawa masuk kerudung mentari yang telah diharamkan ke wilayah tersebut.

Kedatangan rombongan tersebut telah diraikan oleh isteri-isteri ketua penasihat pelbagai cabang dengan mengadakan pesta joget lambak. Mereka turut memakai kerudung mentari dan berjoget lambak sehingga lupa diri hingga ke dinihari.

Maharaja telah mengadakan siasatan ekoran kejadian tersebut dan mendapati sulaman kerudung mentari telah dijalin dengan bulu burung unta betina bersama kuku harimau belang hitam. Warnanya dioles dengan air mata beruang polar putih.

Kesimpulannya, antologi cerpen setebal 183 halaman ini mempunyai 15 buah cerpen yang menarik untuk dibaca bagi mendapatkan ‘kelainan’ atau penaakulan minda pembaca dalam menghadam cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh penulis wanita.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043520
    Visit Today : 1384
    This Month : 26119
    Total Visit : 1043520
    Hits Today : 5151
    Total Hits : 4284746
    Who's Online : 8
  • Kategori