Oleh: KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

Setiap tahun terdapat pelbagai serangan virus yang telah meragut nyawa manusia. Antara serangan virus terkenal di seluruh dunia ialah virus MERS-CoV dari negara Timur Tengah di rantau Asia Barat (Huda Hussain, 2014: 136). Secara umumnya, nama saintifik bagi Virus MERS-CoV ialah Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-Cov) merupakan satu penyakit baharu yang melibatkan jangkitan saluran pernafasan yang disebabkan oleh novel coronavirus. Penyakit ini  mula berlaku di Arab Saudi pada tahun 2012. Selain itu, Novel Coronavirus merupakan keluarga virus terbesar yang terdiri daripada pelbagai strain yang boleh menjangkiti manusia dan haiwan. Malah, virus SARS merupakan salah satu daripada strain coronavirus tersebut. Secara keseluruhannya, virus MERS-CoV dan virus SARS merupakan dua strain coronavirus yang berbeza antara satu sama lain.

Pada dasarnya, virus MERS-CoV berpunca daripada jangkitan haiwan seperti unta dan kelawar yang ditemui dalam populasi unta di Qatar, Mesir dan Arab Saudi. Selain itu, jangkitan haiwan seperti unta di beberapa negara Arab lain menyebabkan virus MERS-CoV berlaku. Jelas bahawa terdapat lebih banyak lagi maklumat yang diperlukan bagi mengenal pasti peranan unta, kelawar dan haiwan lain dalam penularan virus MERS-CoV di Semenanjung Tanah Arab dan Timur Tengah.

Penularan virus MERS-CoV dikesan daripada kes yang disahkan menjangkiti individu yang lain melalui kontak rapat. Selain itu, penularan virus MERS-CoV melibatkan kes yang menjangkiti individu yang lain melalui kontak rapat telah dikesan oleh doktor semasa memberikan rawatan kepada pesakit virus MERS-CoV. Malah, penularan virus MERS-Cov turut dikesan melalui kontak rapat individu yang tinggal bersama-sama dengan pesakit MERS-CoV. Keupayaan virus MERS-CoV untuk menular dalam komuniti agak terhad berdasarkan kajian hingga kini. Laporan kes jangkitan MERS-CoV menunjukkan sejarah perjalanan pesakit yang menghidap MERS-CoV ke negara-negara di Semenanjung Tanah Arab sebelum pulang dan jatuh sakit. Secara keseluruhannya, terdapat juga segelintir pesakit yang dijangkiti oleh virus MERS-CoV sejurus pulang dari negara Timur Tengah.

Secara umumnya, terdapat dua cara untuk mengesan seseorang individu yang telah dijangkiti virus MERS-CoV. Cara pertama untuk mengesan seseorang individu yang telah dijangkiti virus MERS-CoV adalah menerusi ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) ke atas sampel saluran pernafasan. Ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) merupakan ujian pengesahan bagi jangkitan MERS-CoV aktif. Cara kedua untuk mengesan virus MERS-CoV adalah menerusi pemeriksaan ke atas sampel darah yang dilakukan bagi mengesan kewujudan antibodi MERS-CoV. Oleh itu, jika virus MERS-CoV berjaya dikesan dalam tubuh seseorang pesakit menunjukkan bahawa seseorang pesakit tersebut telah dijangkiti oleh virus MERS-CoV sebelum dari tempoh pengesahan Ujian PCR.

Tanda-tanda awal serangan virus MERS-CoV bermula daripada perubahan pesakit sebaik sahaja dijangkiti virus MERS-CoV berdasarkan gejala utama melalui jangkitan respiratori yang dikesan. Secara umumnya, jangkitan respiratori yang dikesan berlaku secara akut dan serius, iaitu demam dan kesukaran untuk bernafas. Selain itu, kebanyakan pesakit juga didapati mengalami radang paru-paru. Malah, bagi individu yang menghidap penyakit kronik dan kurang daya tahan jangkitan (immunocompromised) serangan virus berlaku dalam bentuk yang tidak lazim seperti gastrointestinal yang menyerang bahagian perut dan usus (Lin, L; Zhang, J, 2017:18). Oleh itu, pesakit yang mengalami gejala jangkitan serius mengakibatkan kegagalan sistem pernafasan perlu diberikan rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU). Sebahagian pesakit virus MERS-CoV mengalami kegagalan fungsi pelbagai organ dalaman seperti buah pinggang dan hati. Jelas bahawa situasi sedemikian sering dilaporkan dalam kalangan individu yang mempunyai sejarah penyakit kronik yang lain seperti kencing manis, kanser dan mengalami kurang daya tahan jangkitan.

Kadar kematian (Case Fatality Rate) dalam kalangan individu yang disahkan telah dijangkiti oleh virus MERS-CoV adalah sebanyak 30 peratus. Terdapat juga individu yang dijangkiti virus MERS-CoV tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan. Kebanyakan golongan yang dijangkiti virus MERS-CoV telah dikesan melalui aktiviti susulan. Secara keseluruhannya, aktiviti susulan merupakan aktiviti untuk mengesan kontak rapat bagi pesakit yang disahkan telah dijangkiti oleh virus MERS-CoV.

Usaha untuk mencegah jangkitan virus MERS-CoV jelas membuktikan bahawa tiada vaksin dan tiada pemeriksaan khusus yang perlu dilalui oleh sesiapa yang ingin berkunjung ke negara-negara Timur Tengah sebagai langkah pencegahan bagi melawan jangkitan MERS-CoV. Namun begitu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyarankan jemaah umrah dan jemaah haji supaya mengambil vaksin influenza bermusim dan pneumococcal sebelum berlepas ke Tanah Suci Mekah. Langkah ini dapat mengelakkan jemaah umrah dan jemaah haji dijangkiti oleh penyakit saluran pernafasan yang lain.

Terdapat kes jangkitan MERS-CoV yang pertama direkodkan di Malaysia pada 16 April 2014 berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, iaitu melibatkan kes kematian seorang pesakit lelaki warga negara Malaysia, berusia 54 tahun yang disahkan dijangkiti virus MERS-CoV. Pesakit lelaki tersebut meninggal dunia selepas pulang daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah. Selepas kes tersebut hingga kini, tiada kes baharu MERS CoV dikesan di Malaysia. Namun demikian, terdapat satu kes baharu serangan virus MERS-CoV yang disahkan pada 23 Disember 2017 telah menjangkiti seorang jemaah umrah yang dipercayai telah melawat dan meminum susu unta mentah ketika berada di Hudaibiyah. Jemaah umrah terbabit tiba di Malaysia pada 23 Disember 2017.  Sejurus pulang dari Tanah Suci Mekah, jemaah umrah terbabit telah diserang demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki. Seterusnya, jemaah umrah terbabit telah menjalani ujian saringan MERS-CoV di Hospital Sungai Buloh pada 30 Disember 2017. Malah, jemaah umrah terbabit telah menjalani ujian pengesahan seterusnya di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 31 Disember 2017. Hasil ujian pengesahan menunjukkan bahawa beliau telah disahkan positif menghidap sindrom virus MERS-CoV. Akhirnya, jemaah umrah terbabit berada dalam keadaan stabil dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut. Rawatan kepada pesakit yang dijangkiti oleh virus MERS-CoV berdasarkan gejala yang dialami oleh pesakit, iaitu symptomatic treatment dan tahap status klinikal pesakit tersebut. Pesakit yang mengalami gejala symptomatic treatment setelah dijangkiti oleh virus MERS-CoV perlu dirawat dengan segera di wad pengasingan (isolation ward) sehingga sembuh.

Persoalannya, sejauh manakah jangkitan virus MERS-CoV terbukti berbahaya berdasarkan kesan terhadap sesiapa yang dijangkiti virus MERS-CoV. Jawapan kepada persoalan tersebut boleh dianggap serius kerana jangkitan virus ini jelas menunjukkan bahawa penularannya mungkin boleh berubah dari semasa ke semasa. Malah, punca dan cara jangkitannya juga masih belum diketahui sepenuhnya. Secara keseluruhannya, terdapat aspek lain yang perlu diberi perhatian dalam mempertimbangkan punca dan cara jangkitan virus MERS-CoV seperti yang berikut:

1  Kadar kematian dalam kalangan individu yang disahkan dijangkiti virus MERS-CoV sekitar 30 peratus.

2  Sebanyak 70 peratus pesakit yang dijangkiti virus MERS-CoV tidak meninggal dunia.

3  Keupayaan virus MERS-CoV untuk menular agak terhad.

4  Virus MERS-CoV tidak menjangkiti individu lain kecuali jika terdapat kontak rapat ketika mengendalikan pesakit MERS-CoV tanpa menggunakan perlindungan diri dan kesihatan dengan baik.

5  Laporan International Health Regulation Emergency of International menunjukkan kelemahan pencegahan dan pelaksanaan kawalan jangkitan terhadap virus MERS-CoV.

                                                                            (Huda Hussain, 2014: 137)

Pelbagai langkah untuk mengelakkan diri daripada jangkitan virus MERS-CoV bermula daripada persiapan awal untuk bakal jemaah umrah, jemaah haji dan pelawat ke negara-negara di Timur Tengah berdasarkan lapan langkah yang berikut:

1  Jemaah umrah, jemaah haji dan pelawat ke negara-negara Timur Tengah perlu mengambil vaksin influenza bermusim dan pneumococcal.

2  Jemaah umrah, jemaah haji dan pelawat ke negara-negara Timur Tengah diwajibkan memakai pelitup muka, menyapukan pensanitasi tangan dan sentiasa mencuci tangan menggunakan air dan sabun.

3  Jemaah umrah, jemaah haji dan pelawat ke negara-negara Timur Tengah perlu membawa bekalan ubat yang mencukupi.

4  Jemaah umrah, jemaah haji dan pelawat ke negara-negara Timur Tengah perlu mendapatkan rawatan segera jika jatuh sakit selepas pulang dari Tanah Suci Mekah dan negara-negara di Timur Tengah.

5  Mengamalkan aktiviti fizikal seperti bersenam dan bersukan.

6  Mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat.

7  Mengatasi tekanan dengan bijak dan bersikap rasional.

8  Melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

                                                                          (Huda Hussain, 2014: 138)

Peringatan untuk jemaah haji, jemaah umrah dan pelawat sepanjang tempoh lawatan ke Tanah Suci Mekah, negara-negara di Semenanjung Tanah Arab dan negara-negara di Timur Tengah agar sentiasa berwaspada dan menjaga kesihatan. Selain itu, jemaah haji, umrah dan pelawat yang mengikuti lawatan ke Tanah Suci Mekah, negara-negara di Semenanjung Tanah Arab dan negara-negara di Timur Tengah perlu mengamalkan pemakanan sihat, selain minum air masak dengan secukupnya dan minum air mineral dalam botol yang bersih. Malah, jemaah haji, jemaah umrah dan pelawat yang mengikuti lawatan ke Tanah Suci Mekah, negara-negara di Semenanjung Tanah Arab dan negara-negara di Timur Tengah perlu mengelakkan memakan makanan mentah dan makanan yang tidak dimasak. Secara keseluruhannya, jemaah haji, umrah dan pelawat yang mengikuti lawatan ke Tanah Suci Mekah, negara-negara di Semenanjung Tanah Arab dan negara-negara di Timur Tengah perlu mengelak daripada mendekati dan menyentuh unta dan haiwan-haiwan yang lain.

Jemaah haji dan jemaah umrah yang pulang dari Tanah Suci Mekah perlu mengehadkan masa untuk berjumpa dengan orang ramai dalam tempoh dua minggu selepas pulang dari Tanah Suci Mekah. Selain itu, mereka juga perlu sentiasa mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan mengamalkan adab ketika batuk. Jika jemaah haji dan umrah tidak sihat apabila pulang dari Tanah Suci Mekah, mereka perlu mendapatkan rawatan segera dan memaklumkan tempoh masa perjalanan ke Tanah Suci Mekah kepada doktor yang merawat.

Kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan agensi kesihatan dari negara Timur Tengah dalam menangani virus MERS-CoV dilaksanakan dengan menggunakan International Health Regulation (IHR). Secara umumnya, IHR merupakan panduan kesihatan antarabangsa yang diperkenalkan pada 15 Jun 2007 dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang telah disertai oleh 194 negara anggota dari seluruh dunia. Pelaksanaannya menekankan skop seperti yang berikut:

To prevent, protect against, control and provide a public health response to the international spread of disease in ways that are commensurate with and restricted to public health risks and which avoid unnecessary interference with international traffic and trade.

                                                 (International Health Regulation, 2005)

Peranan Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Bahagian Kawalan Penyakit sentiasa memastikan orang ramai mendapat maklumat terkini tentang jangkitan virus MERS-CoV. Rakyat Malaysia yang mengerjakan ibadah umrah dan haji di Tanah Suci Mekah secara berterusan perlu berwaspada dengan jangkitan MERS-CoV di Tanah Suci Mekah dan negara-negara di Timur Tengah. Oleh sebab itu, informasi kesihatan jangkitan virus MERS-CoV oleh Kementerian Kesihatan Malaysia telah diedarkan untuk panduan orang ramai, jemaah haji, umrah dan pelancong di semua lapangan terbang di seluruh Malaysia. Informasi ini dipaparkan dari semasa ke semasa.

Terdapat kematian akibat jangkitan virus MERS-CoV yang direkodkan di 18 buah negara yang diserang oleh virus MERS-CoV. Kementerian Kesihatan Malaysia telah memantau perkembangan virus MERS-CoV berdasarkan laporan kes jangkitan MERS-CoV di 18 buah negara seperti dalam jadual yang berikut.

Jadual 1 Laporan kes jangkitan MERS-CoV meliputi beberapa negara dari lima benua di seluruh dunia.                                                       Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

BIBLIOGRAFI

Huda Hussain. “MERS-CoV Sejauh Manakah Anda Mengenalinya” dlm. InTrend Julai 2014.

Lin, L; Zhang, J, 2017. Role of Intestinal Microbiota and Metabolites on Gut Homeostasis and Human Diseases. BMC Immunology.

Syalikha Sazali, 2018. “Jemaah Dijangkiti MERS-Cov: Larang Pakej Umrah Ziarah Hudaibiyah” dalam Berita Harian, 3 Januari: 14.

http://www.mgazette.com/ Apa yang Anda Patut Tahu Tentang Wabak MERS-CoV. (14 Oktober 2015).

WHO Factsheet on MERS. http:/ www.WHO International Media Centre. Factsheets MERS-CoV (3 Januari 2018).

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    279456
    Pelawat Hari Ini : 390
    Pelawat Bulan Ini : 12487
    Jumlah Pelawat : 279456
    Hits Hari Ini : 1088
    Jumlah Hits : 735120
    Siapa Atas Talian : 4
  • Kategori