OLEH SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Dalam masyarakat Banjar, apabila sampai masa untuk melangsungkan perkahwinan, ‘’basasuluh’’ akan diadakan, iaitu mendapatkan maklumat tentang calon isteri merangkumi tentang agama, keturunan, kemampuan rumah tangga dan  kecantikan wajahnya. Adat masyarakat Bajar, agama dan keturunan adalah perkara terpenting yang dilihat. Selain itu, bagi keluarga calon isteri, jenis pekerjaan calon suami turut diperhalusi dengan cermat. Perkara itu sangat penting kerana akan turut menentukan nilai “kemampuan” perjalanan bahtera rumah tangga tersebut.

Kemudiannya, adat “badatang,’’ iaitu keluarga lelaki bertandang ke rumah calon isteri akan berlangsung. Kedatangan ini diterima secara tradisional, biasanya lahirlah dialog yang disebut ‘’baturai pantun,’’ yakni berbalas pantun antara keluarga. Yang menariknya, selama 40 hari sebelumnya, gadis Banjar tidak dibenarkan keluar rumah. Selama itu juga gadis tersebut harus membersihkan diri, ‘’berlangir,” yang disebut sebagai ‘’bekasai’’, sekali gus diberikan beberapa nasihat.

Adat basasuluh.

Majlis pernikahan disebut sebagai ‘’meantar jujuran.’’ Dua hingga tiga hari sebelumnya, pengantin harus melaksanakan mandi wap atau ‘’batimung’’ pada waktu malam. Dengan batimung akan mengurasi segala peluh, menyihat dan mengharumkan tubuh. Hal ini akan memberi kebaikan kepada kedua-dua pengantin sewaktu persandingan kerana tidak akan berpeluh.

Pada waktu pagi menjelang persandingan, pengantin perempuan melangsungkan upacara mandi pengantin dengan air yang berisi pelbagai jenis bunga. Selesai mandi, pengantin perempuan disuruh memijak telur ayam dengan hujung tumit. Kemudiannya, pengantin perempuan akan bercukur yang dipanggil ‘’belarap,’’ selain membuat cecantung pada kiri kanan wajahnya. Seterusnya, upacara ‘’selamatan’’ kecil dengan nasi lamak (ketan) berinti gula merah dan pisang mauli akan berlangsung.

Upacara ‘’batapung tawar,’’ merupakan acara penebus atas berakhirnya masa perawan bagi seseorang perempuan. Untuk itu disediakan ‘’peduduk,’’ dalam bekas sasanggan (bokor kuning) yang terdiri daripada segantang beras, sebiji nyiur, gula merah, seekor ayam betina hitam, telur ayam tiga biji, lading, lilin, sekeping wang bahari (perak), jarum dengan benangnya, sirih, rokok daun, dan rerempah dapur. Seterusnya, isi peduduk ini diberikan kepada bidan kampung yang memimpin upacara mandi. Untuk yang hadir disuguhi air teh manis atau kopi dengan kuih, bubur habang, bubur putih, cucur, wadai gincil, wadai galang dan lakatan berinti.

Tidak ketinggalan, dilangsungkan ‘’batamat al-Quran’’ yakni membaca al-Quran sebanyak 22 buah surah, dimulai dari surah Ad-Dhuha hinggalah ke surah An-Nas ditambah dengan beberapa ayat surah Al-Baqarah dan ditutup dengan doa khatam al-Quran ­- pembaca doa biasanya guru mengaji pengantin. Suatu kebiasaan yang unik ialah apabila pengantin telah sampai kepada bacaan surah Al-Fiil, ramailah remaja merebutkan telur masak sekali gus memakannya. Kononnya yang mendapat telur masak itu akan menjadi terang hatinya, cepat pandai membaca al-Quran.

Adat batimung.

Usai majlis ‘’batamat al-Quran,’’ acara ‘’walimah’’ akan berlangsung. Besar kecilnya walimah ini bergantung kepada kemampuan keluarga masing-masing. Kebiasaannya, jiran tetanggalah yang akan melaksanakan semua tugas, dibentuk semacam jawatankuasa yang disusun secara lisan saja. Biasanya tugas seperti berikut:

  • Nang jadi kepala gawe (pimpinan kegiatan)
  • Nang meurus tajak sarubung (mendirikan khemah)
  • Nang meurus pengawahan (masak nasi dan ikan)
  • Nang meurus karasmin (mengurus kesenian)
  • Nang besaruan lalakian (pengundang untuk lelaki)
  • Nang besaruan bebinian (pengundang untuk perempuan)
  • Nang menerima saruan (penerima tetamu)

Dalam susunan pembahagian tugas ini jelas sifat gotong-royong untuk merealisasikan perkahwinan tersebut. ‘’Petataian’’ (pelaminan) biasanya diletakkan di tempat ‘’tawing halat’’ (dinding sempadan tengah rumah) atau disebut ‘’balai kencana.’’ Terdapat juga yang dibina khusus, disebut ‘’balai warti,’’ yang terdiri daripada tempat duduk pengantin berlatarbelakangkan air gucci gemerlapan . Selain itu, pada kiri dan kanannya agak ke belakang tersusun bantal bersarung merah atau kuning bersulam benang emas yang disebut ‘’tetumpangan.’’ Belakang tetumpangan pula terdapat pucuk tetumpangan berbentuk segi tiga sama. Di situlah tersedia sesajian di atas piring kuning besar, diletakkan atas bokor sesanggan kuningan.

Akhir sekali, kelambu pengantin selalunya ditempatkan di bilik depan yakni ruangan tempat tidur sebelah kanan. Digantung di ruang anjung dalam bentuk segi empat, umumnya berwarna putih atau kuning. Di atasnya di pasang langit-langit kain nipis dengan sulaman kembang pancar matahari bagi menyerikan lagi “malam pertama’’ kedua-dua pasangan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046323
    Visit Today : 1219
    This Month : 28922
    Total Visit : 1046323
    Hits Today : 4013
    Total Hits : 4294578
    Who's Online : 11
  • Kategori