Judul: Gunung Cha
Pengarang: Malim Ghozali PK
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM 25.00
Tahun:

Pengulas:

2020

Ismail Hashim

Perjalanan Muhammad Bin Tuah atau lebih dikenali sebagai Mad ke Gunung Cha dilalui dengan pengalamannya pada masa silam. Masa silam ini telah mempengaruhi jalan cerita novel setebal 234 halaman karya Malim Ghozali PK. Penulis banyak menggarami jalan ceritanya dengan menggunakan kaedah imbas kembali (flash back).

Mad bukanlah kali pertama memanjat gunung. Antara gunung-gunung yang pernah didaki oleh Mad ialah Gunung Salu, Gunung Bujang Melaka, Gunung Gelung Gajah, Gunung Tempurung dan Gunung Kandu. Mad minat dalam bidang matematik. Walau bagaimanapun, di universiti Mad menukar bidangnya kepada bidang sains sosial dan kemudian kepada seni halus. Mad seorang yang tidak konsisten dalam keputusan.

Sewaktu melanjutkan pelajaran di London dan pada musim cuti semester, Mad bercadang mahu menghabiskan cutinya itu dengan melancong. Di stesen kereta api Paris Nod, Mad bertemu dengan Cha seorang gadis berbangsa Perancis. Mad bercadang mahu melawat Perancis bagi menghabiskan cuti semesternya di  Notredame, Eifel Tower dan Sungai Seinne.

Cha menarik perhatian Mad ketika gadis itu memegang novel bahasa Melayu Merantau Ke Deli yang jarang sekali gadis Eropah lakukan dan setelah berkenalan dengan Cha, gadis ini pula fasih dalam bahasa Melayu dan memiliki Ijazah Sastera Nusantara, St.Dauphine.

Cikgu Halimah adalah seorang guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Seri Kepayang. Cikgu Halimah tidak pernah berkahwin setelah patah hati dalam percintaan dengan Syed Khairul Syed Khalid.

Semasa melawat matau (kawasan pembalakan) bersama Ramdin, sahabatnya itu telah ditimpa kecelakaan dan meninggal dunia. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Ramdin ada berpesan kepada Mad supaya menjaga Rusida – wanita Kemboja yang hidup sebatang kara dan sedang mengandung tujuh bulan.

Laluan ke Gunung Cha agak berliku dan perlu melalui Cerun Batu Putih, Gunung Berincang – puncak yang tertinggi di Tanah Tinggi Cameron. Terdapat gajah-gajah liar dan beruang madu di gunung itu. Mad memulakan perjalanannya dari Kampung Poh Ulu menggunakan sistem kedudukan sejagat (GPS). Merah – burung enggang yang berbulu hitam putih menjadi petunjuk kepada Mad semasa pendakian ke Gunung Cha.

Di sekitar Gunung Cha tinggal penduduk orang asli dan Tok Batin bernama Ngah Salak. Profesor Zulfan mengingatkannya Mad supaya berhati-hati pada ranting mati dari pohon yang tinggi yang menghempap tubuh.

Persoalannya, apakah Gunung Cha wujud di dalam realiti atau Gunung Cha hanya wujud dalam mimpi sahaja yang sinonim dengan Cha isterinya di Paris? Daripada Sharifah Khamsiah, ejen yang membeli karyanya tempoh hari, Mad mengetahui Cikgu Halimah Udi yang berasal dari Chemor meninggal dunia dalam tidur ketika menunaikan haji di Makkah. Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid al-Haram dan dikebumikan di Ma’ala.

Mad berjumpa dengan Rusida untuk memaklumkan wasiat gemulah Ramdin supaya menjaga balunya. Akhirnya, Mad mengambil Rusida sebagai isterinya setelah enam bulan Rusida melahirkan kandungannya. Pernikahannya itu diadakan di Masjid Jamek Grik dan Naib Kadi daerah yang mengijabkabulkan mereka.

Pernikahan Mad tanpa pengetahuan isteri pertamanya Cha yang tinggal di Avignon, Perancis. Rusida selamat melahirkan anak sulungnya dan menamakan anak sulung mereka, iaitu Rusdin. Cha menghubungi Mad dan mahu datang ke Malaysia melalui penerbangan KLM dan meminta Mad menjemputnya di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA.

Cha bertolak menggunakan penerbangan Air France dari Lapangan Terbang Antarabangsa Charles De Gaulle, Paris dan menukarkan penerbangannya di  Schiphol – mengambil masa 12 jam. Hal ini merupakan kali pertama Cha datang ke Malaysia. Mad membawa Cha melancong dalam negeri. Antara tempat-tempat yang mereka lawati ialah Kelantan, Terengganu, Taiping, Langkawi dan Sarawak. Cha berhasrat berjumpa Rusida bagi mengucapkan takziah kematian gemulah suami di matau itu.

Cha menghabiskan cuti hampir tiga minggu di Malaysia bersama-sama suaminya, Mad. Lewat tengah hari, Mad dan Cha ke rumah Rusida. Mereka ambil maklum Rusida di dalam pantang dan membeli makanan yang telah siap ketika mereka singgah ke Lembah Sayong berhampiran tebing Sungai Perak. Cha juga telah membeli lampin pakai buang dan susu bayi, pakaian dan stoking untuk Rusdin. Kemesraan antara Mad dengan Rusida menerbitkan rasa cemburu pada Cha.

Mad berasa jiwanya tidak tenang apabila Cha mengesyaki hubungan Mad dengan Rusida dan berjumpa Naib Kadi yang pernah menikahkan mereka. Dalam perjalanan pulang dari hotel di Tanah Rata, Rusida bertanyakan pada Mad, tentang perkahwinan mereka sama ada sudah diketahui Cha.

Akhirnya, Mad memberitahu Cha bahawa dirinya telah menikahi Rusida. Cha telah memutuskan talian telefonnya setelah mengetahui khabar itu. Rusida jatuh sakit dengan batuk-batuk. Mad membawa Rusida ke hospital. Waktu itu Rusida sedang mengandung anak kedua mereka. Ketika bangun dari kerusi rodanya Rusida rebah akibat serangan jantung secara mengejut dan rebah yang menyebabkan berlakunya keguguran pada kandungannya.

Rusida dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan disitulah Rusida menghembuskan nafasnya yang terakhir.  Selama 17 tahun, Mad terputus hubungan dengan Cha. Usai pendakiannya ke Gunung Cha, Mad meninggalkan Cerun Batu Putih yang berhampiran dengan Gunung Cha untuk berjumpa Haji Walid imam surau di Kampung Poh Ulu. Mad mahu menceritakan pengalamannya mendaki Gunung Cha pada Imam Walid.

Usai solat Zuhur, Mad bertanyakan jemaah tentang Hj.Walid. Jemaah tidak mengenali Hj. Walid. Imam surau itu membawa Mad berjumpa Tok Siak yang memaklumkan kepada Mad pernah mendengar nama Hj.Walid dan imam itu ghaib dan menjadi wali Allah. Jemaah juga berasa pelik tentang Gunung Cha – yang tidak wujud pada pengetahuan mereka.

Mad sampai ke warung yang terletak di kepala simpang yang menghala ke rumahnya untuk mengambil motorsikal yang diletakkan di warung itu sepanjang pendakiannya ke Gunung Cha. Di warung itu, pemilik warung memaklumnya ada seorang gadis remaja yang berkulit putih orang Eropah mencari rumah Mad. Perkara ini mendatangkan tanda tanya pada Mad. Dengan gesit Mad bermotorsikal pulang ke rumahnya.

Gadis yang sedang duduk ditangga rumah itu bangun mendapat Mad. Setelah memberikan salam, gadis itu memperkenalkan dirinya sebagai Nuraini binti Muhammad. Mad bertanya nama ibu Nuraini. Gadis itu menghulurkan surat dari ibunya, Cha kepada Mad. Rupa-rupanya gadis itu adalah anaknya bersama Cha. Rusdin tidak ada di rumah kerana ada perkhemahan dengan kawan-kawannya di Intan Suraya. Mad menunggu kepulangan Rusdin untuk memperkenalkannya dengan adiknya, Nuraini.

Novel ini mempunyai ambiguiti tentang Gunung Cha adalah kemuncak pendakian Mad dalam hidupnya. Dalam dirinya sebenar-benarnya wujud Gunung Cha. Persoalannya, adakah benar kata-kata Profesor Zulfan ‘Kau ibaratkan ia wujud, walau tak berjumpa’. Disinilah terletaknya keunikan jalan penceritaan novel karya Malim Ghozali PK.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013479
    Visit Today : 742
    This Month : 32824
    Total Visit : 1013479
    Hits Today : 2468
    Total Hits : 4134573
    Who's Online : 15
  • Kategori