Judul: Hikayat Perempuan Bernama Latifah

Editor: Nik Afifah Nik Abdul Aziz

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2017

Harga: RM10.00

Pengulas: ATIQAH ABD RAHIM

Islam telah tersebar dengan meluasnya di alam Melayu melalui peranan yang dimainkan oleh para mubaligh Islam. Syiar Islam disebarkan termasuklah melalui karya-karya berbentuk keagamaan dan kesusasteraan kreatif atau kesusasteraan bukan kreatif dalam genre hikayat.

            Karya-karya kesusasteraan hikayat mencerminkan pengaruh asing dari Arab, Paris atau India terhadap kesusasteraan Melayu tradisional. Masyarakat Melayu tradisional yang sememangnya gemar mendengar cerita-cerita penglipur lara menjadi lebih terbuka untuk menikmati cerita-cerita yang bercampur dengan unsur agama selepas kedatangan Islam di alam Melayu.

            Perkembangan hikayat berlaku selepas masyarakat Melayu menguasai tulisan Jawi dan manuskrip bertulis tangan disalin serta disebarkan kepada umum. Pada akhir abad ke-19, munculnya mesin percetakan yang membolehkan teks hikayat diulang cetak berkali-kali dan tersebar dengan lebih meluas dalam kalangan masyarakat umum.

            Salah satu sastera hikayat yang mendapat tempat dalam kalangan peneliti sastera tradisional ialah sastera hikayat berunsur Islam. Sastera hikayat ini menggunakan lokasi Timur Tengah sebagai latar penceritaannya. Temanya amat hampir dengan agama Islam dan peristiwa tertentu yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW dan tokoh Islam. Karya hikayat turut menyampaikan ajaran dan didikan yang berlandaskan agama Islam.

            Buku ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama ditulis oleh editor, Nik Afifah Nik Abdul Aziz yang memperkenalkan Hikayat Perempuan Bernama Latifah serta kajian yang mendalam terhadap intipati dan tafsiran hikayat tersebut. Beliau juga menulis tentang ringkasan perbandingan antara hikayat ini dengan hikayat lain yang menceritakan tentang isu wanita dari sudut pandangan Islam. Antara teks hikayat yang memfokuskan kepada kaum wanita yang telah sedia ada dikaji ialah Hikayat Darmatasiah, Hikayat Puteri Salamah, Hikayat Fatimah dan Hikayat Perempuan Bernama Latifah yang menjadi fokus utama dalam buku ini.

            Bahagian kedua ialah transliterasi teks Hikayat Perempuan Bernama Latifah yang telah dirumikan daripada teks asal yang bertulisan Jawi. Menurut Nik Afifah, naskhah hikayat ini berada dalam simpanan koleksi Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia. Walaupun keadaannya agak usang, naskhah ini masih berada dalam keadaan yang baik dan lengkap. Kertas naskhah ini berwarna putih kekuningan dan tidak ada sebarang tera air. Tulisannya berwarna hitam, terang dan kemas. Naskhah ini menggunakan bahasa Melayu klasik dan terdapat ayat-ayat al-Quran serta istilah Arab.

            Ketelitian dan kekemasan naskhah yang dihasilkan ini dapat dilihat berdasarkan cara sususan setiap huruf pada setiap helai halaman naskhah yang menggunakan tulisan tangan. Lembaran kertas naskhah ini tidak ada yang hilang walaupun tiada penomboran pada halaman muka surat. Hikayat Perempuan Bernama Latifah mempunyai 17 helai yang terdiri daripada 26 halaman. Dari segi usia naskhah pula, pengarang tidak mencatatkan tarikh naskhah ini dikarang atau disalin, seterusnya sukar untuk menentukan usianya.

            Kebiasaannya, maklumat pengarang atau penyalin tercatat di bahagian kolofon atau di bahagian akhir sesebuah naskhah. Walau bagaimanapun, nama pengarang hikayat ini tercatat pada bahagian kulit naskhah, tetapi ejaan namanya agak kabur dan tidak lengkap tulisannya. Justeru itu, naskhah ini tidak dapat ditentukan nama pengarangnya.

            Hikayat Perempuan Bernama Latifah mempunyai persamaan dengan kebanyakan karya kesusasteraan Melayu tradisional, iaitu tidak dinyatakan nama pemilik asal naskhah, nama penyalin, tempat dan tahun karya itu dihasilkan. Hal ini sudah menjadi tradisi masyarakat ketika itu yang beranggapan bahawa sesebuah karya bukan bersifatkan hak cipta seseorang, tetapi lebih mementingkan keindahan susunan kata-kata serta cerita yang menyenangkan, menghiburkan dan memberi manfaat kepada masyarakat sejagat.

            Hikayat Perempuan Bernama Latifah mengisahkan watak Latifah, seorang wanita solehah yang taat kepada suaminya. Hikayat ini bertujuan menyemai ajaran Islam dan membentuk peribadi mulia khusus kepada kaum wanita. Latar penceritaan hikayat ini berkisar pada zaman Nabi Muhammad SAW. Teks naskhah ini terbahagi kepada dua bahagian. Pada bahagian pertama diceritakan tentang kisah seorang wanita bernama Latifah yang baru sahaja mendirikan rumah tangga. Pada bahagian kedua, dikisahkan situasi seorang perempuan yang bernama Pertan Salam bersoal jawab dengan Nabi Muhammad SAW.

            Pada bahagian pertama diceritakan, Latifah seorang perempuan yang manis, mempunyai rupa paras yang sederhana dan berbudi pekerti. Latifah berumur 12 tahun dan sudah mengalami akil baligh. Bapanya, Nasri bercadang untuk mengahwinkan anak perempuannya dengan seorang lelaki peranakan Syam. Namun begitu, Latifah tidak bersetuju dengan permintaan ayahnya kerana merasakan masih belum bersedia untuk bergelar isteri. Terdetiklah di hati Nasri dan isterinya untuk berjumpa Nabi Muhammad SAW bagi menceritakan perihal keengganan anaknya itu.

            Nabi Muhammad SAW menerangkan kepada Latifah tentang kelebihan seorang perempuan yang bersuami dan ganjaran yang bakal diterimanya daripada Allah SWT. Kemudian, Latifah menyuarakan hasrat murninya kepada Nabi Muhammad SAW untuk mencarikan seorang lelaki yang baik dan patuh kepada ajaran Islam. Latifah dinikahkan dengan Narbir, seorang pemuda bangsawan peranakan Syam yang juga sahabat Nabi. Latifah menjalankan kewajipannya sebagai seorang isteri dengan taat dan setia sehinggalah Latifah menghembuskan nafas yang terakhir.

            Pada bahagian kedua pula, seorang perempuan yang bernama Pertan Salam bersoal jawab dengan Nabi Muhammad SAW tentang tertib perempuan yang bersuami. Nabi Allah mengajar Pertan Salam tentang cara-cara berbakti kepada suami dan setiap perbuatan isteri terhadap suaminya akan mendapat balasan Allah SWT di akhirat kelak.

            Kesimpulannya, siri Warisan Sastera Klasik yang diusahakan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka ini amat penting. Usaha mengumpul, menyunting dan menerbitkan manuskrip manuskrip Melayu lama dan sastera rakyat membolehkan hasil kesusasteraan Melayu klasik ini hidup sepanjang zaman.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1037110
    Visit Today : 592
    This Month : 19709
    Total Visit : 1037110
    Hits Today : 1877
    Total Hits : 4254232
    Who's Online : 8
  • Kategori