OLEH SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Gordang Sambilan di negeri Selangor bermula seiring penghijrahan masyarakat Mandailing dari Tamparuli Selatan, Sumatera Utara ke Tanah Melayu. Pada tahun 1987, Gordang Sambilan diperkenalkan kepada tetamu sempena perasmian Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam serta kesenian ini diisytiharkan secara rasmi sebagai Gendang Paluan Negeri Selangor.

Di Kuala Langat Selangor, kesenian Gordang Sambilan telah dipelopori oleh Persatuan Penggiat Seni Budaya Daerah Kuala Langat (PESAT). PESAT telah ditubuhkan oleh Encik Awaludin Md Jahid, Setiausaha Eksekutif Majlis Kebudayaan Negeri Selangor pada tahun 2005.

Urutan nama Gordang Sambilan dimulai dari gordang paling besar hingga yang paling kecil.

Pada tahun 2007, PESAT telah dijemput menyertai persembahan Gordang Sambilan di Dataran Merdeka sempena sambutan kemerdekaan negara pada tahun tersebut. Kini, kesenian ini kian pupus kerana tiada lagi generasi pelapis yang berminat untuk menyemarakkan semula dalam kalangan masyarakat.

Gordang Sambilan adalah salah satu kesenian tradisional suku Mandailing. Gordang yang bermaksud gendang atau dikenali sebagai bedug di dalam bahasa Inggeris manakala sambilan pula bererti  sembilan. Gordang Sambilan terdiri daripada sembilan buah gendang panjang dengan diameter yang berbeza sehingga menghasilkan nada yang berbeza.

Penulis (berbaju Melayu merah) bersama-sama Dato’ Samad Maharuddin, mantan Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Selangor

Kesenian ini kebiasaannya dimainkan oleh empat, lima atau enam orang dengan nada gendang yang paling kecil 1, 2 sebagai taba-taba, gendang 3 sebagai tepe-tepe, gendang 4 sebagai kudong-kudong, gendang 5 sebagai kudong-kudong nabalik, gendang 6 sebagai pasilion dan gendang 7, 8, 9 sebagai jangat.

Menurut Dato’ Samad Maharuddin, mantan Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, sejarah pertama persembahan Gordang Sambilan dari Selangor adalah semasa Pesta Gendang-gendang di Malaysia pada 11 hingga 21 September 1998. Sejarah Gordang Sambilan di Selangor bermula pada sekitar tahun 1980-an. Secara kebetulan negeri Selangor mempunyai sembilan daerah maka kesenian ini dinobatkan sebagai salah satu muzik tradisional selain Gendang Selangor.

Bentuk Gordang Sambilan menyerupai gendang besar dan panjang. Ia berbeza-beza bentuk dan disusun secara rapi. Gordang Sambilan termasuk jenis alat muzik ritmis yang dimainkan dengan cara dipukul atau ditabuh, biasanya dimainkan dengan alat muzik lain seperti gong, alat muzik yang ditiup dan sebagainya.

Kesenian ini terdiri daripada sembilan buah gendang dengan ukuran yang relatif besar dan panjang (drum chime) yang diperbuat daripada kayu ingul dan batang kelapa serta dimainkan oleh empat atau lima orang dengan menggunakan alat pemukul yang diperbuat daripada kayu. Ukuran besar dan panjang sembilan gendang tersebut bertingkat mulai daripada yang paling kecil sampai kepada yang paling besar. Tubuh gendang dibuat dengan cara melubangi kayu dan salah satu hujung lubangnya, iaitu bahagian kepalanya ditutup dengan membran yang diperbuat daripada kulit lembu yang dikeringkan yang disebut sebagai jangat dan telah diregangkan dengan rotan yang sekali gus berfungsi sebagai pengikatnya.

Persembahan Gordang Sambilan semasa Pesta Gendang-gendang di Malaysia pada 11-21 September 1998.

Seperti muzik tradisional yang lain, irama yang dihasilkan oleh Gordang Sambilan adalah berasaskan suara alam mengikut keperluannya. Irama Gondang Tor-tor Sarama ketika menyambut tetamu memberikan ulos atau sambutan (sarama bermaksud selendang) atau lebih dikenali sebagai irama ‘pukulan’.

Irama Gondang Aek Magodang amat sesuai dimainkan semasa mengiringi para pembesar kerana irama ini menyerupai suara-suara alam. Mereka juga akan lebih bersemangat apabila hendak mula berperang atau mengadakan pertandingan kerana irama Gondang Moncak Silat sebagai pembakar semangat pahlawan. Pada amnya, setiap irama yang dihasilkan merupakan irama yang terpilih oleh pemain sehinggalah pemukul gendang memberikan isyarat untuk berhenti.

Secara amnya, Gordang Sambilan telah diterima di Selangor sebagai salah satu daripada muzik tradisional yang kaya dan tinggi nilainya. Persembahan Gordang Sambilan turut dimainkan pada majlis-majlis rasmi seperti majlis kerajaan negeri, adat istiadat istana, majlis berkabung (kesedihan), majlis kesyukuran serta pada majlis perkahwinan yang bertujuan untuk memberitahu bahawa satu majlis sedang diadakan dan sekiranya mendapat restu daripada tuan rumah. Persembahan Gordang Sambilan ini akan diikuti dengan tarian sehinggalah persembahan selesai.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044951
    Visit Today : 1372
    This Month : 27550
    Total Visit : 1044951
    Hits Today : 5154
    Total Hits : 4290127
    Who's Online : 13
  • Kategori