OLEH MOHD FAHIMI BIN ZAKARIA

Bahasa dan adab ialah dua perkara yang saling melengkapi antara satu sama lain. Setiap bahasa mempunyai nilai estetika tersendiri yang menjadi asas pembinaan sesebuah bangsa sejak dari awal sejarah kelahiran bahasa. Bahasa digunakan oleh penutur dalam sesebuah masyarakat bagi tujuan yang pelbagai demi memenuhi keBahasa dan adab ialah dua perkara yang saling melengkapi antara satu sama lain. Setiap bahasa mempunyai nilai estetika tersendiri yang menjadi asas pembinaan sesebuah bangsa sejak dari awal sejarah kelahiran bahasa. Bahasa digunakan oleh penutur dalam sesebuah masyarakat bagi tujuan yang pelbagai demi memenuhi keperluan hidup manusiawi. Melalui penggunaan bahasa yang betul, maka akan lahir masyarakat yang mempunyai nilai adab yang tinggi sesuai dengan kedudukan bahasa sebagai medium perkembangan agama dan tamadun. perluan hidup manusiawi. Melalui penggunaan bahasa yang betul, maka akan lahir masyarakat yang mempunyai nilai adab yang tinggi sesuai dengan kedudukan bahasa sebagai medium perkembangan agama dan tamadun. Bahasa dan adab sentiasa bersama dalam usaha melahirkan masyarakat yang bertamadun dan beragama kerana dimensi adab dalam bahasa sangat dominan, lantaran itu kesantunan bahasa seharusnya dipupuk agar usaha melahirkan masyarakat beradab dapat diterjemahkan secara realiti.

Sebagai contohnya, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Malaysia sejak pengisytiharan kemerdekaan pada tahun 1957, menjadikan bahasa Melayu bagi semua masyarakat berbilang bangsa yang terdapat di Malaysia. Menurut pengkaji sosiolinguistik Melayu, iaitu Hashim Musa dan Halimah Pondo menerusi buku mereka Isu Sosiolinguistik di Malaysia (2012), menyatakan bahawa bahasa Melayu menjadi salah satu daripada bahasa Islam yang utama di dunia pada hari ini kerana penutur bahasa Melayu merupakan pemeluk agama Islam yang terbesar di dunia, iaitu menjangkau suku bilion manusia sekaligus lebih banyak daripada penutur bahasa Arab sendiri. Justeru, bahasa Melayu tidak dapat dipisahkan daripada agama Islam yang kaya dengan adab yang mulia seperti yang terdapat di dalam al-Quran dan Sunnah junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Adab yang lahir daripada amalan dan kesantunan bahasa akan membawa masyarakat kepada sebuah sistem kehidupan beragama. Ini adalah kerana adab antara silibus pengajian ilmu agama yang juga dikenali dengan pelbagai nama lain seperti akhlak, moral, etika dan tasawuf. Begitu juga bahasa Melayu dengan agama Islam yang mempunyai hubungan yang kuat. Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam buku beliau bertajuk Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972) dengan jelas mengatakan bahawa bahasa Melayu mempunyai hubungan simbiosis dengan agama Islam, iaitu melalui agama yang membawa revolusi baru yang berasaskan rasionalisme dan intelektualisme.

Masyarakat penutur bahasa Melayu seharusnya mengetahui hakikat ini bagi diterjemahkan dalam kehidupan seharian seperti di rumah, pejabat, sekolah, universiti dan sebagainya. Asmah Omar menerusi Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan, Pentadbiran dan Media (2018) mengulas panjang mengenai adab. Antara pandangan pakar linguistik Melayu ini ialah adab sering dikaitan dengan tertib, iaitu tradisi hidup yang berlandaskan peraturan yang mulia dan indah. Sejak kecil manusia diajar dengan adab dan tertib semasa menjalankan ibadah seperti sembahyang, puasa dan  adab ketika membawa kitab agama.

Jelasnya di sini menunjukkan bahawa bagaimana bahasa sebagai wahana yang berupaya membawa masyarakat penutur memanfaatkan fungsi agama dengan sebenar-benarnya serta mematuhi prinsip yang telah ditentukan oleh agama. Atas faktor inilah bahasa Melayu berkembang secara bertahap dengan pengaruh yang besar hasil daripada perkembangan agama yang dianuti oleh masyarakat penutur bahasa Melayu. Ilmu bahasa mengajar penuturnya supaya beradab kerana bahasa ialah syarat penting untuk mengikuti proses pengajian dan kefahaman agama. Sebagai contoh, agama Islam menerusi asas yang jelas seperti yang disebut di dalam al-Quran yang bermaksud, “Sesungguhnya dia (Muhammad) mempunyai akhlak yang paling mulia” (al-Qalam: 4). Menurut Imam al-Tabari bahawa perkataan akhlak dalam ayat ini merujuk kepada adab Rasulullah SAW dengan al-Quran yang terkandung di dalamnya agama Islam dan hukum-hakamnya.

Kewujudan adab adalah dengan wujudnya prinsip kerjasama daripada orang yang mendirikan masyarakat penutur bahasa. Prinsip ini juga membentuk penglihatan dunia (world view) yang membawa kepada penentuan sekumpulan peraturan yang mengajar anggota masyarakatnya mengenal yang mana baik dan yang mana buruk. Adab seterusnya menjadi sebahagian besar komponen agama yang memberi impak besar kepada kehidupan masyarakat melalui medium bahasa. Apabila runtuh sistem bahasa lantaran kejahilan masyarakat, maka adab akan hilang lenyap dalam arus kehidupan tanpa pedoman. Agama pula hanya tampak secara teoritikal kerana adab yang bersifat praktikal mesti diterjemah dalam masyarakat.

Agama sebenarnya mempunyai penganut yang mengalami proses perkembangan dengan menggunakan bahasa. Bagi agama yang mempunyai kitab suci seperti agama Islam, maka hubungan dengan bahasa sangat kukuh. Hal ini kerana kitab suci mempunyai bahasa tertentu yang terdiri daripada sistem bahasanya seperti tatabahasa, morfologi, sintaksis, retorik, sastera, pemikiran dan unsur bahasa yang tersendiri. Hakikat ini terbukti bahawa semakin tinggi keperluan kepada penggunaan bahasa agama, maka bertambah tinggi nilai adab sesebuah masyarakat itu. Dengan ini akan terhasil sebuah peradaban masyarakat yang kaya dengan nilai-nilai kehidupan yang murni seperti yang pernah ditunjukkan oleh sejarah ketamadunan lampau yang kukuh disebabkan kekuatan agama.

Hashim Musa ketika membicarakan adab dalam Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu (2001), beliau menyebut bahawa orang yang paling beradab dalam masyarakat Melayu dikenali sebagai budiman. Orang yang budiman pula mempunyai tiga sifat utama, iaitu budi pekerti dan adab sopan yang mulia dan berbudi bahasa,  budi bicara yang santun, bernas serta berwibawa dan hati budi serta akal yang tinggi lagi bijaksana. Pedoman ini menjelaskan tentang kesantunan dan keindahan bahasa Melayu yang kaya dengan peradaban agama. Seyogia masyarakat penutur Melayu mengambil pedoman ini sebagai asas kehidupan yang kelak akan menjadi amalan masyarakat turun-temurun.

Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian agama sesuai dengan kehendak fitrah manusia yang percaya kepada Tuhan. Jika dirujuk Kamus Dewan (2015) jelas menyatakan bahawa agama ialah kepercayaan kepada Tuhan, sifat-sifat dan kekuasaannya. Penerimaan ajaran dan perintahnya, kepercayaan kepada yang maha kuasa yang membawa semua penganut agama kepada kepercayaan dan keyakinan. Sementara bahasa yang menjadi penyatu kepada kepelbagaian agama ini ialah bahasa Melayu yang difahami oleh semua masyarakat majmuk di Malaysia. Agama menjadi tonggak utama kesantunan dan kesopanan bahasa akan memandu masyarakat menuturkan perkataan yang baik lagi beradab. Bahasalah wahana yang membuahkan masyarakat yang berakhlak dan beradab melalui konsep kepercayaan dan keyakinan yang wujud dalam kalangan masyarakat kepada Tuhan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043811
    Visit Today : 232
    This Month : 26410
    Total Visit : 1043811
    Hits Today : 613
    Total Hits : 4285586
    Who's Online : 15
  • Kategori