Judul: Bantogen

                                                   Penulis: Azmah Nordin

                                                   Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

                                                   Tahun: 2015

                                                   Harga: RM10.80

                                                   Pengulas: Atiqah Abd Rahim

 

Cerita rakyat Sabah yang berjudul Bantogen ini mempunyai 197 halaman dan ditulis oleh Azmah Nordin. Cerita rakyat ini mengisahkan tentang seorang puteri raja bernama Puteri Innalang Intanku atau lebih dikenali dengan nama panggilan Puteri Jana, yang berdepan dengan tanggungjawab dan bebanan yang harus dipikul untuk menjaga adik lelaki kembarnya, Putera Bantogen yang nakal. Puteri Jana merupakan satu-satunya puteri raja daripada empat saudara lelakinya di kerajaan negeri terapung yang bernama Bembaran.

Ayahandanya, Tuminaman Sa Rogong sering  ke negeri yang jauh bersama-sama ibundanya, Permaisuri Kumala Intanku Berlian untuk merawat kesihatan baginda yang semakin merosot. Kekanda Puteri Jana yang lain mengambil alih urusan pentadbiran negeri sepanjang ketiadaan ayahandanya. Putera Bantogen pula selalu belayar ke luar negeri untuk bertemu rakan-rakan baharunya. Sifat ramah dan mesra yang dimiliki oleh Putera Bantogen menyebabkan tersebarnya khabar angin yang mengatakan adindanya itu bertunang dengan ramai puteri raja dan kemudian pergi meninggalkan puteri-puteri itu begitu sahaja.

Tinggallah Puteri Jana berseorangan di istana bersama-sama dayang peribadinya, Suli dan sahabat baiknya, Yuyulin. Di istana, Puteri Jana dan Suli melakukan kegiatan harian seperti belajar mengaji, membaca buku cerita dalam tulisan Jawi kepunyaan gurunya, belajar seni mempertahankan diri dan membuat perhiasan menggunakan mutiara. Kadangkala, Puteri Jana, Suli dan Yuyulin terhendap-hendap keluar dari istana dengan pakaian lelaki untuk menziarahi rumah datuk Suli di pinggir pantai. Sekiranya datuk Suli tiada di rumah, sahabat Suli, iaitu Awang dan Ari yang memberi kucing-kucingnya makan. Awang dan Ari bekerja sebagai pengusaha ternakan tiram mutiara.

Puteri Jana merungut kepada ibundanya kerana tidak mendapat kebebasan seperti saudara lelakinya. Baginda juga mahu membantu menguruskan negeri atau bebas belayar ke luar istana seperti adik kembarnya. Ibundanya mengeluh kerana tindakan Puteri Jana dahulu yang telah menolak peminangan Datu Maririndu dari negeri Minantara yang menjadi penyebab anaknya itu perlu tinggal di istana sepanjang masa.

Mengikut adat diraja Bembaran, urusan rasmi negeri hanya akan dilaksanakan oleh kerabat lelaki, termasuklah urusan peminangan Putera Bantogen. Saudara lelaki Puteri Jana perlu menyelesaikan masalah pertunangan antara Putera Bantogen dengan Puteri Ginawa dari negeri Gindolongan, iaitu perjanjian lama antara ayahanda dengan Datu Beruntai Marogong yang tersimpan baik di dalam destar mutiara diraja. Puteri Jana mahu sahaja mengetuai urusan peminangan itu apabila melihat semua kekandanya tidak mempunyai masa untuk ke negeri Gindolongan. Walau bagaimanapun, Puteri Jana telah dihalang untuk terlibat sama dengan alasan bahawa baginda ialah seorang puteri raja yang hanya perlu duduk di istana dan melakukan aktiviti yang berfaedah seperti belajar mengaji, belajar menenun benang emas, belajar mengurus istana atau apa-apa ilmu yang harus dikuasai oleh seorang perempuan atau puteri.

Puteri Jana bertekad untuk pergi ke negeri Gindolongan secara bersendirian dan menyamar menjadi seorang pemuda yang membawa utusan peminangan. Puteri Jana sanggup bergadai nyawa dan menempuh lautan gelora sehingga perahu kumpit milik dayang baginda, Suli yang digunakannya pecah dihempas lautan dan dirinya pula terdampar di tebing pantai. Mujurlah, nyawanya masih panjang. Semuanya dilakukannya demi menyelamatkan dan memperjuangkan maruah bangsanya daripada diserang oleh kerajaan negeri Gindolongan yang mendesak untuk disegerakan peminangan Putera Bantogen dengan puteri mereka. Semangat baginda terus menyala dan bergelora seperti laut.

Keputusan baginda itu sudah tentunya menimbulkan kekecohan di istana setelah Suli gagal menghalang Puteri Jana. Oleh itu, Suli bersama-sama Yuyulin, Pangeran Ridhwan, Awang dan Ari mengambil keputusan untuk mengekori Puteri Jana. Mereka membantu Puteri Jana tanpa pengetahuan baginda. Apakah yang terjadi semasa proses perundingan pertunangan Putera Bantogen itu? Berjayakah Puteri Jana meloloskan diri daripada taktik kotor Datu Padnutulan? Benarkah khabar angin yang mengatakan Putera Bantogen memang seorang kaki perempuan? Siapakah sebenarnya Datu Maririndu yang pernah ditolak peminangan oleh Puteri Jana? Pembaca boleh mendapatkan cerita rakyat Sabah ini di pasaran untuk menghayati kisah kehidupan Puteri Jana yang penuh dramatik.

Cerita rakyat ini secara keseluruhannya mampu menarik perhatian pembaca dengan jalan cerita dan gaya bahasa yang mudah difahami. Unsur lucu dan suspens yang diselitkan oleh penulis membuatkan cerita rakyat ini amat seronok untuk dibaca. Penulis turut memperkenalkan beberapa dialek masyarakat Sabah dan glosari tentang beberapa perkataan tersebut dan diterangkan pada halaman terakhir buku ini.

Selain itu, penulis menggunakan susunan penceritaan yang teratur dengan teknik plot pemerian dan imbas kembali dalam menelusuri perasaan dan konflik yang dihadapi oleh Puteri Jana. Pesanan ibunda Permaisuri Kumala Intanku Berlian, “Ingat ya, jagalah adindamu Putera Bantogen baik-baik”, diulang beberapa kali semasa Puteri Jana bermonolog seorang diri, yang menunjukkan beratnya tanggungjawab yang dipikulnya. Kata-kata itu turut menaikkan semangatnya untuk menyelesaikan masalah pertunangan Putera Bantogen.

Kekuatan cerita rakyat Sabah ini terletak pada mesejnya seperti keberanian dan kebijaksanaan seorang perempuan untuk cuba keluar daripada tradisi masyarakatnya. Puteri Jana sebagai watak utama digambarkan sebagai seorang puteri raja yang bijak dan berani dalam menghadapi cabaran dan musuh. Puteri Jana berjaya menyelesaikan masalah pertunangan adindanya dan menyelamatkan maruah negerinya daripada diserang oleh kerajaan lain. Baginda juga sangat hebat bersilat sehingga mampu menewaskan sesiapa yang mahu menghalang perjalanannya. Nilai persahabatan yang terjalin antara Puteri Jana dengan rakan-rakannya turut menunjukkan sifat rendah diri baginda yang boleh berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa melihat darjat dan kedudukan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013584
    Visit Today : 847
    This Month : 32929
    Total Visit : 1013584
    Hits Today : 2834
    Total Hits : 4134939
    Who's Online : 9
  • Kategori