OLEH MOHD FAHIMI ZAKARIA

TERJEMAHAN antara sumber pembinaan perbendaharaan atau kosa kata sesuatu bahasa, bahkan usaha penterjemahan telah bermula sejak zaman lampau. Menurut Puteri Roslina dalam buku Meneroka Penterjemahan Bahasa Melayu menyatakan bahawa bukti awal penterjemahan melalui penemuan batu bersurat yang bertarikh 3000 SM di tebing sungai Nil pada zaman Mesir Tua di Timur Tengah. Bukti ini menunjukkan bahawa kegiatan penterjemahan telah bermula lebih awal daripada tempoh itu kerana bahasa-bahasa dunia telah wujud sekian lama, maka hal ini memerlukan kepada penterjemahan sebagai medium pemindahan bahasa.

Seterusnya menurut Ainon Muhamad penterjemahan semakin berkembang dengan kelahiran tamadun-tamadun awal dunia seperti Yunani, Rom, Parsi, Baghdad dan Sepanyol apabila penterjemahan bahasa Yunani ke dalam bahasa Latin, kemudian bahasa Arab seterusnya bahasa Sepanyol yang akhirnya membawa kepada penghasilan bahan terjemahan dalam pelbagai bidang seperti agama, sastera falsafah, pemikiran, saintifik dan teknologi.

Tamadun Andalus pada abad ke-12 berjaya mewujudkan sebuah pusat terjemahan di Toledo yang menghasilkan bahan terjemahan daripada bahasa Arab ke dalam bahasa Latin, bahasa Sepanyol dan seterusnya bahasa-bahasa Barat yang lain. Menurut Index Translationum keluaran tahun 1970, penubuhan organisasi antarabangsa seperti United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) berjaya meletakkan bidang penterjemahan sebagai bidang yang penting apabila organisasi ini melaporkan bahawa kegiatan penterjemahan telah meningkat lebih empat kali ganda antara tahun 1948 sehingga 1970.

Bagi Lilis Nurhatati pula melaporkan bahawa pada tahun 1973 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf lima bahasa dunia selepas bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi pertubuhan tersebut, iaitu bahasa Arab, bahasa Rusia, bahasa Perancis, bahasa Mandarin dan bahasa Sepanyol. Pengiktirafan ini jelas memberi gambaran bahawa penterjemahan memainkan peranan yang penting dalam ketamadunan dunia di samping membina perbendaharaan baharu bagi sesuatu bahasa sasaran.

Menyoroti penterjemahan bahasa Melayu, sejarah merekodkan bahawa tamadun Melayu yang menjadi teras tamadun Malaysia telah bergiat aktif dalam usaha penterjemahan yang dimulakan sejak era penterjemah istana, mubaligh sehinggalah penterjemah profesional apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Penterjemahan bahasa Melayu semakin mengorak langkah melalui penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berperanan menerbitkan bahan-bahan pendidikan pelbagai subjek dalam bahasa Melayu khususnya subjek-subjek sains dan teknologi.

Kewujudan badan-badan penterjemahan yang membantu merancakkan lagi aktiviti penterjemahan bahasa Melayu seperti Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM, dahulunya Institut Terjemahan Negara Malaysia) dan penawaran program pengajian penterjemahan di Universiti Sains Malaysia (USM). Melalui latihan sistematik dan kajian ilmiah yang diikuti ini berjaya melahirkan penterjemah profesional dalam pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran yang sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan kosa kata bahasa Melayu daripada bahasa-bahasa sumber.

Kepelbagaian bahasa yang wujud di Malaysia menjadikan peranan penterjemahan semakin luas. Terdapat bahasa sekunder seperti bahasa Mandarin dan Tamil manakala bahasa asing seperti bahasa Arab. Menurut Munif Zarirruddin dalam Dimensi Bahasa dalam Agama menerangkan bahawa bahasa dan agama mempunyai nilai pelengkap (simbiotisme) antara satu sama lain. Sebagai contoh majoriti orang Melayu beragama Islam, maka bahasa Arab menjadi keutamaan kerana al-Quran dan sumber agama Islam dalam bahasa Arab. Begitu juga kitab Veda dalam bahasa Sanskrit yang menjadi rujukan penganut agama Hindu, seterusnya kitab Bible dalam bahasa Aramik yang menjadi rujukan penganut agama Kristian.

Para penterjemah yang menguasai bahasa-bahasa sumber berusaha menterjemahkan kitab-kitab agama ke dalam bahasa sasaran seperti bahasa Melayu, bahasa Tamil dan bahasa Inggeris. Perkara yang sama berlaku pada bahasa Melayu apabila kitab al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW diterjemah dan diterbitkan dalam bahasa Melayu sebagai rujukan umat Islam yang didominasi oleh masyarakat penutur bahasa Melayu. Penterjemahan kitab-kitab agama telah melahirkan kosa kata bahasa Melayu khususnya istilah agama seperti șolāh (sembahyang), wudhū’ (air sembahyang), kitāb (buku), mușallā (surau) dan sebagainya.

Bahasa Melayu akan mencapai kedudukan yang tinggi apabila usaha penterjemahan dilakukan secara konsisten. Pakar bidang seperti Ainon Mohd dan Abdullah Hassan pernah menegaskan di dalam tulisannya bertajuk Teori dan Teknik Terjemahan bahawa bidang sains dan teknologi masih dikuasai oleh bahasa Inggeris yang sebenarnya sedikit demi sedikit akan mempengaruhi minda dan pemikiran orang Melayu yang mempelajarinya. Hakikatnya bahasa Melayu mempunyai kosa katanya yang tersendiri sejak sekian lama, justeru penterjemahan bidang sains dan teknologi hendaklah dilakukan secara aktif supaya pembaca bahasa Melayu tahu bahawa bahasa Melayu juga ada padanannya.

Penterjemahan di Kepulauan Tanah Melayu secara khususnya boleh dikatakan daripada bahasa Arab. Kajian yang dibuat oleh Pakar Bidang seperti Idris Mansor berkaitan aktiviti penterjemahan di Malaysia membuktikan bahawa bahasa Arab telah menjadi bahasa kedua terpenting selepas bahasa Melayu sejak abad ke-13, iaitu ketika zaman pemerintahan Melayu lama di Pasai. Pada waktu itu, banyak buku berbahasa Arab diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk digunakan dalam aktiviti pengajian keagamaan di Melaka, Acheh dan Riau secara meluas. Bagi Pakar Bahasa, Asmah Omar pula menambah bahawa penterjemahan bidang agama sangat penting pada waktu itu seperti terjemahan ayat-ayat al-Quran, hadis, doa dan zikir yang berkaitan dengan ibadat harian yang bacaannya menggunakan bahasa Arab.

Terjemahan bahasa Arab-bahasa Melayu menjadi dominan di Kepulauan Tanah Melayu, bahkan Syed Naquib al-Attas (1999) menyebut dalam tulisan beliau Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu bahawa bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa Islam oleh orang Arab yang datang sebagai pendakwah pada waktu itu. Bidang penterjemahan Arab-Melayu sangat diperlukan pada hari ini berasaskan kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan keperluan memahami agama Islam oleh masyarakat Melayu yang ramai tidak menguasai bahasa Arab.

Peranan penterjemahan di Malaysia khususnya dan di Kepulauan Tanah Melayu amnya menjadi sumber penting dalam proses pembinaan kosa kata bahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu yang bukan sahaja bidang agama, tetapi bidang sains dan teknologi yang perlu diperhebat bagi melahirkan sebuah pemikiran sains dan teknologi orang Melayu yang sememangnya telah wujud. Melalui sumbangan penterjemah Melayu sendiri, maka bahasa Melayu akan mampu berdiri dengan keunikannya yang tersendiri.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042352
    Visit Today : 216
    This Month : 24951
    Total Visit : 1042352
    Hits Today : 506
    Total Hits : 4280101
    Who's Online : 11
  • Kategori