Judul: Berikan Aku Cantiknya Hati

Penulis: Aminah Mokhtar

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Pengulas: Ismail Hashim

Aminah Mokhtar terkenal sebagai seorang penulis prolifik yang banyak menghasilkan pelbagai genre penulisan seperti novel, drama radio, cerpen dan puisi. Kumpulan puisi pertamanya terbit pada tahun 2004 yang berjudul Semoga Cepat Sembuh.

Kumpulan sajak Aminah Mokhtar berjudul  Berikan Aku Cantiknya Hati,  mengumpulkan sebanyak 102 buah sajak yang merangkumi pelbagai persoalan kehidupan sejagat dari perspektif tentang alam dan kemanusiaan dengan menggunakan  teknik penyampaian retorik dan kiasan yang menarik.

Beberapa buah sajak Aminah Mokhtar yang menarik perhatian saya antaranya ialah Berikan Aku Cantiknya Hati. Penulis menjadikan alam sebagai subjek utama untuk saling menghargai nilai-nilai murni yang terdapat padanya.

          Kau ambillah rembulan

          Berikan aku cantiknya hari.

          ………………………………

          Kau ambillah sejuknya dinihari

Berikan aku cantiknya hati.

Dalam alam yang terbentang luas yang dianugerahkan Tuhan dengan pelbagai keindahan dan keistimewaan seperti mentari, rembulan dan awan, penulis memaparkan nilai-nilai keindahannya sahaja dengan ramuan daripada keindahan ini untuk menutup kekurangan yang ada pada hati dan seterusnya membuatkan hatinya tambah berseri.

Paduan antara pengalaman dengan pengetahuan penulis dalam melukiskan suasana hati dan suasana alam sekitar mendorong ungkapan puisinya semakin menarik dengan pernyataan yang retorik.

Apa yang nyata, penulis memang suka akan sumber-sumber alam sebagai subjek utama untuk menukilkan sajaknya itu. Sajak-sajak ini ialah Akulah Laut itu, Angin, Sesudah Gelombang, Laut hanyalah, Daun di Jendela, Perahuku Kertas di Lautan Luas, Salam Rembulan, Salam Roh dan Salam Hujan.

Sebuah lagi sajaknya, Air Mata 12 Februari meninggalkan kesan sedih yang mendalam kepada penulis kerana tarikh itu (12 Februari 1949) ialah tarikh pemergian yang abadi buat As Syahid Hassan al-Banna, iaitu seorang tokoh dakwah Islam yang tersohor di Mesir khususnya pada pertengahan abad ke-20. Beliau adalah seorang ilmuan Islam yang gigih berusaha meniup semangat kesedaran Islam kepada umat Islam seluruh dunia.

 12.2.1949

           Merah Sungai Nil

           alirkan doa dan air mata

           dikau yang tiada, kami yang tiba

           As Syahid Hassan al- Banna yang mulia,

Pada tarikh yang sama juga (12 Februari 2015) pula ialah tarikh pemergian Tuk Guru Nik Aziz. Pemergian dua orang tokoh terkenal ini memberikan kesan yang mendalam kepada jiwa penulis yang banyak berjasa kepada dunia Islam.

12.2.2015

          Tuk Guru Nik Aziz

yang kami sayang

air mata kembali

jernihkan Sungai Kelantan

dikau yang pulang, kami yang datang,

Sajak Aminah Mokhtar yang berjudul Rahsia Akal Merpati menceritakan sifat rendah diri yang bertentangan dengan sifat tinggi diri. Sifat rendah diri tidak suka menunjuk-nunjuk keistimewaan yang ada pada dirinya. Manakala sifat tinggi diri seperti menunjukkan sikap yang sombong. Penulis telah menggunakan perlambangan merpati yang bersikap rendah diri dan merak yang mempunyai sifat meninggi diri kerana mempunyai warna yang menarik.

Perlambangan ini merupakan sindiran kepada manusia. Sifat-sifat sebegini tidak asing dalam kalangan manusia. Boleh dikatakan kita kerap bersua dengan gelagat manusia seperti ini dalam kehidupan harian kita. Aminah Mokhtar telah menggunakan analogi makhluk, manusia dengan sifat merpati dan manusia dengan sifat seekor merak.

Penulis mengharapkan segala keistimewaan yang ada itu seharusnya dilihat sebagai satu amanah daripada Allah SWT kepada kita dan seharusnya kita lebih bertanggungjawab menguruskannya dengan baik.

Hidup ini

kata merpati, hadiah Allah

jadi amanah.

Ujiannya bangga

nilainya rahsia.

Puisi Sebatang Jambatan Kenangan dan puisi Di Jambatan Masa Depan telah menghidupkan perasaan menghayati puisi dengan subjek yang ingin dinyatakan. Pemilihan diksi oleh penulis saling melengkapkan.

Sebatang jambatan

merentas pulau ingatan

di antara laut dan sungai perpisahan

di titian kenangan.

Sebatang jambatan

menghubungkan dataran perkasihan

antara lara dan percintaan

di tebing suratan.

Penyampaian diksi-diksinya tentang jambatan yang menghubungkan kenangan masa silam dan menyentuh perasaan. Terdapat sedikit ‘perbezaan’ apabila penulis mengukirkan penanya pada puisi Di Jambatan Masa Depan.

Di atas jambatan

masa depan

seekor gergasi

masa lalu

mengejar.

Aku

kau

kita

melihat jeritan.

Pelabuhan

jadi berbalam.

Penulis melahirkan ketidaktentuan tentang masa depan. Ada kemungkinan penyair ingin menyentuh tentang jurang ekonomi antara kaum dan jalan penyelesaiannya belum lagi terungkai. Sajak ini juga mengungkapkan ambiguiti dengan apa yang ingin disampaikan kepada pembaca.

Penulis juga ingin mengingatkan pembaca tentang suasana kucar-kacir apabila pihak-pihak tertentu yang membangkitkan isu hubungan antara kaum yang mampu mengeruhkan suasana perpaduan yang sedia ada di negara ini.

Sajak-sajak yang dihasilkan oleh Aminah Mokhtar telah menggunakan penampilan gaya bahasa yang lengkap dengan unsur-unsur perbandingan dan perulangan. Pertautan diksi-diksinya didapati saling berhubung kait antara satu dengan yang lain. Ini menjadikan sajak-sajaknya lebih indah dibaca.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043110
    Visit Today : 974
    This Month : 25709
    Total Visit : 1043110
    Hits Today : 3076
    Total Hits : 4282671
    Who's Online : 12
  • Kategori