Judul: Kajian Motif Cerpen-cerpen Dewan Siswa 1983-1989

Penulis: Abdul Ahmad

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 1992

Pengulas: Mohd Haniff Mohammad Yusoff

BUKU berjudul Kajian Motif Cerpen-cerpen Dewan Siswa 1983-1989 merupakan tulisan Abdul Ahmad yang memperkayakan lagi khazanah dalam meneliti karya-karya kesusasteraan remaja. Abdul Ahmad mengambil inisiatif dengan meneliti sejumlah cerpen-cerpen yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa sepanjang tahun 1983 sehingga 1989. Sejumlah 81 buah cerpen remaja telah dijadikan bahan kajian untuk dianalisis motif yang cuba diketengahkan oleh para penulis, secara tidak langsung memperlihatkan pola bagi motif yang dominan yang menjadi pilihan para penulis, lalu dipersembahkan dalam karya kreatif berbentuk cerpen. Buku ini tampil dengan pecahan kepada bab 1, bab 2, bab 3, bab 4 dan bab 5 dalam menghuraikan hasil sorotan serta penelitian kajian penulis.

Dalam bab 1, penulis mengemukakan konsep remaja, seterusnya memerihalkan remaja dalam pendidikan kesusasteraan. Penulis menyorot beberapa pendapat dalam mengupas konsep remaja yang sebenar. Walau bagaimanapun, percambahan pendapat menjadikan perbahasan terhadap konsep remaja semakin merumitkan. Umpamanya, ada yang berpendapat usia remaja ialah mereka yang telah mencapai akil baligh sehinggalah usia memasuki alam dewasa. Walau bagaimanapun, kenyataan ini tidak dapat diterima sebagai penanda bagi menentukan usia remaja memandangkan setiap individu melalui pengalaman akil baligh pada tingkat umur dan tahap kematangan yang tidak serupa. Ada juga yang mengklasifikasikan sebagai ‘melepasi usia kanak-kanak’ sebagai takrif remaja, namun tetap juga mengundang kesamaran dalam menentukan tahap usia remaja yang sebenarnya.

Pelbagai faktor yang mendasari pertumbuhan dan perkembangan secara biologi dan fizikal seseorang seperti pengalaman, pemakanan serta kepelbagaian budaya, lantas menjadikan setiap individu tercipta sebagai susuk berbeza-beza yang mewakili tahap keremajaan ataupun kedewasaan yang tidak sama. Penulis turut mengupas mengenai remaja dalam pendidikan kesusasteraan dalam bab ini. Penulis menggambarkan akan kepentingan kesusasteraan sejak zaman masyarakat tradisional lagi, malah penulis mengemukakan perkembangan kesusasteraan dalam sistem pendidikan dalam negara.

Pada bab 2 pula menyingkap sejarah kesusasteraan remaja di Malaysia. Penulis menyingkap konsep dan skop kesusasteraan remaja yang diberikan oleh beberapa sarjana sebelum merumuskannya secara tuntas. Antara pandangan sarjana yang diberikan perhatian ialah tanggapan kesusasteraan remaja oleh Hashim Awang yang menyifatkan kesusasteraan remaja itu bersandarkan pada tema dan persoalan yang melingkari remaja itu sendiri. Penulis meneruskan perbincangan dengan memperincikan persoalan kesusasteraan remaja secara serius. Perdebatan berlaku dalam mengklasifikasikan sastera kesusasteraan remaja dan kesusasteraan kanak-kanak secara jelas memandangkan tanggapan terhadap kedua-dua genre ini mendatangkan kekeliruan. Penulis menegaskan sesungguhnya masing-masing, iaitu genre kesusasteraan remaja dan kesusasteraan kanak-kanak tidak boleh disamakan, malah perlu pendirian yang tegas dalam memisahkan kedua-duanya agar tiada lagi kekeliruan dalam menentukan karya bagi kedua-dua genre. Dalam bab ini juga, penulis tidak ketinggalan mengutarakan perbincangan tentang hala tuju kesusasteraan remaja secara khusus di Malaysia dengan membahagikan perbincangan kepada tiga sub tema, iaitu Pertumbuhan dan Perkembangan Sebagai Landas, 1980-an: Ke Arah Kemantapan Satu Tradisi serta Peranan dan Kewajaran.

Tajuk Motif dalam Karya Sastera terkandung dalam bab 3 yang mengajak penulis kembali berfokus kepada penelitian yang dilaksanakannya. Dalam bab ini, penulis memulakannya dengan mengemukakan takrif serta konsep bagi istilah ‘motif’ secara khusus. Pengertian istilah ini yang ditinjau dari pelbagai sumber dibahaskan bagi memperjelaskan pemaknaan istilah ‘motif’ secara lebih terperinci. Penulis menjalurkan penelitian dalam bab ini kepada mekanisme motif yang memperlihatkan kesalingbergantungan antara karya, pengarang dan audiens. Situasi ini menjurus kepada proses yang berlaku dalam komunikasi yang melibatkan interaksi antara ketiga-tiga elemen.

Berdasarkan proses interaksi atau komunikasi yang berlaku, akhirnya akan menyerlahkan motif yang tersirat dan yang tersurat dalam karya sastera. Penulis menjelaskan persekitaran merupakan elemen penting mempengaruhi pengarang dalam kerja-kerja kepengarangannya. Elemen persekitaran yang dimaksudkan berpunca sejak zaman kecil lagi termasuk asuhan daripada ibu bapa, penjaga, rakan sebaya dan pelbagai golongan manusia yang mengitari kehidupan seseorang. Penulis menambah, persekitaran pengarang turut dipengaruhi oleh pembacaan dan sensitiviti dalam pengamatan sesuatu peristiwa yang meninggalkan kesan. Seterusnya, pengarang dan karyanya mempunyai perhubungan yang sangat erat. Karya yang dihasilkan merupakan suara hati dan interpretasi penulis terhadap sesuatu perkara. Perhubungan sedemikian akan menyerlahkan motif tertentu yang bermanfaat kepada pembaca untuk dirungkaikan melalui karya sastera. Perhubungan selanjutnya melibatkan audiens dan karya, di mana audiens yang dimaksudkan dalam konteks ini ialah pembaca. Latar belakang pembaca yang berbeza pastinya menghadirkan takrifan yang pelbagai terhadap karya sastera.

Seterusnya bab 4 yang mempersembahkan hasil penelitian yang dilakukan penulis dalam meneroka motif yang terdapat dalam cerpen-cerpen remaja terpilih. Memandangkan unsur motif tidak terjangkau banyaknya, penulis hanya menyasarkan empat sahaja motif yang hendak dikenal pasti dalam cerpen-cerpen remaja yang dianalisis. Empat motif tersebut ialah motif percintaan murni, motif pelajaran dan ilmu, motif akhlak dan moral serta motif ketauhidan. Berdasarkan 81 cerpen yang dijadikan penelitian, penulis mengenal pasti sekitar 46 orang penulis yang terlibat secara keseluruhannya begitu dominan dalam mengutarakan keempat-empat motif tersebut.

Beberapa cerpen yang diklasifikasikan sebagai cerpen bermotifkan percintaan murni seperti cerpen Siti Asnidar, Aku Akan Menantimu oleh Ghazali Ngah Azia dan Sebungkah Hati yang Cekal oleh Halilah Khalid. Kedua-dua cerpen ini mengekspresikan kisah percintaan antara guru dan juga anak murid yang menyelubungi perasaan remaja. Walau bagaimanapun, cerpen-cerpen yang disiarkan membawa pembaca mendekati perspektif positif dalam mengimbangi kehidupan remaja mereka. Motif kedua, iaitu motif kepentingan pelajaran dan ilmu merupakan elemen yang sering melingkari dan begitu dekat dengan usia remaja memandangkan kebanyakannya pada usia remaja masih dalam pengajian sama ada di sekolah atau di institut pengajian tinggi. Antara cerpen yang dikelompokkan dalam motif ini ialah cerpen yang berjudul Mahu Ikut Jejak Abang karya Abdullah Tahir. Cerpen ini mengetengahkan persoalan berlumba-lumba berusaha dalam menuntut ilmu dalam kalangan adik-beradik. Motif moral dan akhlak pula akan mempertemukan kita dengan cerpen seperti Anggerik Merah karya Jaafar Selamat yang mengisahkan tentang Jali yang ingin menghadiahkan Cikgu Hasyimah dengan bunga anggerik, walau bagaimanapun Jali terpaksa melupakan hasratnya memandangkan bunga anggerik itu bukanlah kepunyaannya walaupun niatnya murni untuk dihadiahkan kepada gurunya. Motif terakhir yang dikenal pasti begitu dominan dalam karya-karya yang disiarkan dalam Dewan Siswa pada tahun penelitian ialah motif ketauhidan. Melalui motif ketauhidan, cerpen-cerpen yang dikelompokkan ini ialah cerpen-cerpen yang mengisahkan tentang perhubungan dengan tuhan yang Esa seperti cerpen yang berjudul Tuhan, Berikan Aku Ketabahan. Cerpen ini secara jelasnya menggambarkan kebergantungan wataknya kepada tuhan.

Akhirnya, pada Bab 5 merupakan kesimpulan secara keseluruhan penulisan buku ini. Penulis menyifatkan cerpen-cerpen yang dianalisis tidak menafikan realiti kehidupan remaja. Pengarang menyedari remaja dalam usia sebegitu sedang membina identiti dan jati diri. Tidak dilupakan perihal percintaan dan tanggungjawab remaja terhadap tuhan, ibu bapa, guru dan sahabat. Tuntasnya, buku ini dapat dijadikan rujukan dalam menggambarkan pola penceritaan cerpen-cerpen remaja pada tahun 1983 sehingga 1989.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035468
    Visit Today : 246
    This Month : 18067
    Total Visit : 1035468
    Hits Today : 1549
    Total Hits : 4247639
    Who's Online : 8
  • Kategori