Judul: Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka

Penulis: Ahmad Sarju

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Halaman: 146

Harga: RM 15.00

Pengulas: Khairol Anuar Harith Fadzillah

Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka merupakan kumpulan puisi terkini penyair prolifik terkenal Malaysia, Ahmad Sarju. Secara umumnya, Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka membincangkan tiga tema utama, iaitu Bahasa, Bangsa dan Merdeka. Keunggulan tema Bahasa, Bangsa dan Merdeka disampaikan menerusi kepelbagaian mesej yang memaparkan semangat dan nilai patriotisme bahasa Melayu, bangsa Melayu dan bangsa Malaysia. Secara keseluruhannya, keunggulan falsafah dan pemikiran Ahmad Sarju menghasilkan puisi bertajuk “Bahasa Itu Minda Bangsa” menceritakan sejarah kehebatan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca dalam sejarah tamadun Melayu dan tamadun dunia ratusan tahun dahulu.

Sejarah kehidupan dan kepenyairan Ahmad Sarju dalam dunia puisi Melayu moden di Malaysia bermula pada tahun 1960. Ahmad Sarju dilahirkan pada 10 Disember 1942 di Kelang, Selangor. Minat Ahmad Sarju secara mendalam dalam puisi Melayu moden, iaitu sajak bermula pada tahun 1960. Lebih membanggakan lagi, empat puisi terbaik Ahmad Sarju telah berjaya memenangi Hadiah Karya Sastera 1971. Rangkaian karya puisi Ahmad Sarju telah disiarkan dalam pelbagai akhbar, majalah tempatan dan beberapa buah antologi seperti Lapan Di Pantai, Pancaran Sajak, Perintis Sajak-sajak Melayu Moden dan Gema Membelah Gema.

Keunggulan tema kemerdekaan dalam Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka merupakan satu kebangkitan dalam membijaksanakan bangsa Melayu, bangsa Malaysia dan membebaskan negara Malaysia daripada penjajahan kuasa besar dunia, penjajahan bahasa dan menyatukan perpaduan rakyat Malaysia. Selain itu, Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka mengangkat keunggulan bahasa dalam 87 buah puisi bertemakan bahasa, bangsa dan merdeka yang dihasilkan oleh Ahmad Sarju sejak tahun 1969 hingga tahun 2015. Malah, keunggulan bahasa dalam dunia kepenyairan Ahmad Sarju telah mengangkat keunggulan sastera sebagai lambang pembentukan bangsa. Jelaslah bahawa keunggulan bahasa dalam puisi bertajuk “Bahasa Itu Minda Bangsa” dan “Kita Bukan Bangsa Yang Kerdil” melambangkan keunggulan bahasa Melayu dan perjuangan bangsa Melayu.

Pada dasarnya, Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka menonjolkan keindahan gaya bahasa dan estetika yang melambangkan jati diri bangsa Melayu dan bangsa Malaysia. Keindahan gaya bahasa dan estetika dalam Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka diserlahkan menerusi keindahan gaya bahasa personifikasi, alegori, imejan, alusi, metafora dan hiperbola. Secara keseluruhannya, keindahan gaya bahasa dan estetika dalam Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka melambangkan keunggulan bahasa Melayu dan amalan nilai murni bangsa Melayu sebagai bangsa bertamadun di Alam Melayu.

Kepentingan pendidikan sebagai asas pembentukan negara bangsa dalam Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka dipaparkan dalam puisi bertemakan bahasa, bangsa dan merdeka. Oleh itu, Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka sesuai digunakan sebagai alat bantu dalam bahan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPC) KOMSAS Bahasa Melayu SPM, Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPC) KOMSAS Bahasa Melayu PT3, Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPC) Kesusasteraan Melayu SPM dan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPC) Kesusasteraan Melayu Komunikatif STPM. Selain itu, kajian ilmiah puisi bertemakan Bahasa, Bangsa dan Merdeka dalam Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka sesuai digunakan dalam sesi pengajaran, perkuliahan dan tutorial dalam kursus Bahasa Melayu, Linguistik dan Kesusasteraan Melayu di Universiti Awam (UA), Institut Perguruan (IPG) dan Universiti Swasta di Malaysia.

Keunggulan tema bahasa sebagai tema pertama dalam Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka mempersembahkan 31 buah puisi bertemakan bahasa. Selain itu, rangkaian puisi bertemakan bahasa yang mengangkat kekuatan tema Bahasa, Bangsa dan Merdeka diungkapkan menerusi rangkaian puisiBahasa Bangsaku”, “Bahasa Itu Minda Bangsa” dan “Dirgahayu Bangsaku.” Kekuatan metafora dan hiperbola yang mengangkat tema Bahasa Bangsa Merdeka diungkapkan menerusi baris pertama dan baris kedua dalam rangkap kedua dan baris pertama dalam rangkap ketiga puisi “Bahasa Itu Minda Bangsa” seperti berikut:

            Bahasa itu bahasa ibunda

            yang pernah merentas Nusantara.

            Bahasa itu minda bangsa.

Kekuatan gaya bahasa metafora dalam rangkaian puisi bertemakan bangsa telah diungkapkan dalam 16 buah puisi seperti “Mengangkat Martabat Bangsa”, “Mahkota Bangsa” dan “Kita Bukan Bangsa Kerdil”. Sebagai contohnya, kekuatan gaya bahasa metafora dalam baris pertama puisi bertajuk “Mahkota Bangsa” telah mengangkat kekuatan tema Bahasa Bangsa Merdeka seperti yang berikut:

           Bahasa adalah mahkota bangsa.

Tema Merdeka dalam Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka memaparkan 39 buah puisi yang melambangkan perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu dalam rangkaian puisi bertemakan merdeka seperti “Erti Kemerdekaan”,“Pejuang Kemerdekaan” dan “Pentas Perjuangan Bangsa.” Keunggulan bahasa hiperbola dan metafora dalam puisi bertajuk “Pentas Perjuangan Bahasa” telah menghidupkan semangat waja dan laungan kemerdekaan seperti dalam tiga baris puisi berikut:

            Dengan gagah berdiri di pentas perjuangan

            di ruang yang panas dengan api kemerdekaan

            kita bukan lagi bangsa yang kerdil terpinggir.

Keunggulan Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka secara keseluruhannya telah mengangkat keunggulan bahasa, falsafah, pemikiran dan mesej dalam semua karya puisi bertemakan Bahasa, Bangsa dan Merdeka. Selain itu, keunggulan bahasa dalam semua puisi bertemakan Bahasa, Bangsa dan Merdeka dalam Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka melambangkan keunggulan negara bangsa Malaysia selepas mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka meniupkan semangat patriotisme bahasa Melayu sebagai asas pembentukan bangsa Melayu dan pembentukan negara bangsa Malaysia. Jelaslah bahawa Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka merupakan kumpulan puisi terbaik yang harus dimiliki oleh para pencinta bahasa Melayu, sejarah dan kesusasteraan Melayu di Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1041161
    Visit Today : 476
    This Month : 23760
    Total Visit : 1041161
    Hits Today : 1351
    Total Hits : 4271894
    Who's Online : 7
  • Kategori