Judul             : Hari Ketiga Belas Bulan Lima

Penulis          : Zaharah Nawawi

Penerbit        : Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga             : RM20.00

Pengulas      : Mohd Helmi Ahmad

Nama Zaharah Nawawi tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia kesusasteraan Melayu. Faktor utama saya membeli buku ini pun kerana penulisnya. Sebelum ini saya pernah membaca novel Jalur Sinar di Celah Daun dan beberapa buah kumpulan cerpen beliau. Sudah lama Zaharah tidak muncul dengan novel baharu. Kemunculan Hari Ketiga Belas Bulan Lima setidak-tidaknya dapat mengubat rindu kepada peminatnya. Melihat tajuk dan kulit novel ini seperti memberikan bayangan yang pembaca akan dibawa menelusuri peristiwa sejarah yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969. Sudah pastilah, adegan peperangan, rusuhan kaum dan rasisme menguasai cerita. Paling tidak pun, jalan ceritanya menggunakan teknik imbas kembali dan diulit kenangan silam.

Cerita bermula dengan kekacauan yang melanda sebuah kawasan perumahan pangsa. Suasana itu digambarkan dengan penuh ketakutan dan kerisauan apabila orang Cina menyerang orang Melayu. Banyak rumah yang dibakar. Rusuhan itu tercetus selepas Parti Buruh memenangi pilihan raya. “Aku” dan Mahaya terpaksa menyelamatkan diri dan menjadi pelarian seketika.

Siapakah bayi yang tertera pada kulit novel? Sebenarnya, bayi berbangsa Cina itu telah dijumpai oleh Mahaya di atas tangga rumah pangsapuri mereka. Bayi itu ditinggalkan bersama-sama dengan sepucuk surat pendaftaran kelahiran. Mereka menganggap kehadiran bayi itu sebagai satu anugerah. Mereka memutuskan untuk menjaga bayi itu.

Aku turut berkongsi kesulitan hidup sebagai penyewa yang terpaksa berpindah dari satu rumah sewa ke satu rumah sewa. Kesulitan itu digambarkan seperti ruang tamu yang agak sempit, bilik tidur yang boleh memuatkan sebuah katil, ruang kecil untuk memasak, elektrik yang dikawal oleh tuan rumah serta terpaksa berkongsi kolah air mandi dengan anak menantu tuan rumah. Bahkan aku juga pernah berhadapan dengan jiran penyewa yang kaki judi sehinggakan mendorongnya membuat laporan polis. Oleh sebab penat dan tidak tahan lagi menjadi penyewa, aku membuat keputusan untuk membeli rumah sendiri di Mukim Damansara dengan ansuran bulanan sebanyak RM370.

Setelah aku membeli rumah sendiri, aku terpaksa bekerja lebih keras untuk menampung bayaran ansuran rumah, bayaran jagaan bayi yang dijumpai dan keperluan hidup. Aku bertungkus lumus membuat kerja terjemahan secara sambilan. Namun, kerja-kerja itu bertukar menjadi kerja hakiki apabila aku diarahkan bertugas di meja terjemahan. Sebagai wartawan yang sering bertemu dengan rakan-rakan dari stesen penyiar radio dan televisyen, aku dipelawa mengisi rancangan terbitan mereka dengan menulis rencana yang berkaitan dengan hal-hal kewanitaan dan sains kesihatan. Dengan cara itu, dapatlah aku menampung pendapatan bulanan.

Pada suatu hari, aku bertemu dengan Ketua Pengarang Kumpulan yang baru dilantik untuk membincangkan soal gaji yang masih rendah, kedudukan yang masih sebagai wartawan biasa, walhal aku sudah lama bekerja dan kerjanya sentiasa mendapat sanjungan pembaca. Akhirnya, aku dinaikkan gaji, tetapi dengan tambahan tugas dan tanggungjawab. Aku dilantik menjadi Pengarang/Editor majalah Ilmiah. Diskriminasi gender masih berlaku di syarikat yang selalu menyuarakan hak sama rata antara lelaki dan wanita. Namun, aku dilantik menggantikan tempat pengarang muda yang dilihat kecenderungannya menyokong pihak pembangkang dalam kata-kata, tindak-tanduk, tulisan serta pendiriannya. Penggantian itu berbaloi kerana pengedaran majalah Ilmiah meningkat sehingga mendapat tempahan vendor yang mencecah 12 ribu naskhah.

Namun, kejayaan itu tidak disenangi rakan-rakan sekerjanya. Malahan, Pihak Kesatuan Sekerja dan Kesatuan Wartawan (KSKW) cawangan syarikat turut membuat bantahan berkenaan tugasnya sebagai Pengarang majalah Ilmiah yang tidak mempunyai kelulusan. Disebabkan hal-hal berbangkit, jawatan Pengarang majalah Ilmiah ditukarkan kepada Ketua Redaksi. Ekoran tuntutan perjalanan yang aku buat menyebabkan KSKW membuat bantahan lagi. Katanya, aku tidak layak menerima elaun tetap perjalanan setiap bulan kerana aku bukan pemberita biasa yang keluar setiap hari. Oleh itu, jalan penyelesaian yang diambil, aku dilantik menjadi Anggota Sidang Pengarang majalah Wanita yang tidak perlu keluar mencari bahan lagi. Seharusnya, KSKW menjaga kebajikan pekerja, sebaliknya merekalah yang menganiaya dan menindas wartawan.

Semasa aku memikirkan nasib malangnya, aku terbaca satu iklan yang mencari editor majalah khusus untuk wanita. Aku terdorong untuk mencuba dan tidak menyangka yang hasrat itu direstui oleh Ketua Pengarang. Perpindahan itu bukan sahaja mencetuskan buah mulut di tempat kerja, malahan mereka membuat aduan kepada Kementerian Dalam Negeri, kononnya aku menjadi agen komunis. Kebetulan, bos tempat kerja baharuku itu pernah menjalani tahanan di Kamunting kerana didakwa menyebarkan ideologi komunis. Aku pula dikatakan menjadi kader komunis. Ekoran itu, dua orang Special Branch dari cawangan Bukit Aman mencariku untuk disoal siasat. Aku diminta bercerita sejujur-jujurnya tentang perjalanan hidupku.

Dalam Bab 10 hingga Bab 12, pembaca dibawa mengimbas kembali kisah perjalanan hidupku. Sejak dari zaman persekolahan, aku boleh menulis dan menghasilkan karya. Aku belajar menaip dan trengkas di sekolah Menaip, Trengkas dan Bahasa Inggeris Hashim Haji Rais setelah permohonanku untuk menjadi guru pelatih, kerani, operator telefon, konstabel polis wanita dan kelindan hospital gagal. Walau bagaimanapun, pertemuan aku dengan Kak Yam (Mariam Yunus), guru besar di Sekolah Perempuan Seri Melor, Rengit Batu Pahat membawa aku ke Pejabat Pelajaran Daerah Batu Pahat untuk urusan menjadi guru. Akhirnya, aku ditugaskan di Sekolah Cina Yong Peng. Ketika di Yong Peng, aku berkenalan dengan Cikgu Sabariah yang mengajak aku tinggal bersama-samanya. Tidak lama aku tinggal bersama-sama Cikgu Sabariah kerana keinginanku untuk hidup bebas. Jadi, aku menyewa bilik di sebuah kedai dua tingkat dengan membayar sewa RM25 sebulan. Di kawasan itulah aku bertemu dengan Lilian kawan lamaku. Apabila ibuku mengetahui yang aku menyewa di kawasan penempatan orang Cina, dia memintaku untuk mencari tempat tinggal lain.

Kisah Meiyang muncul kembali dalam Bab 15. Meiyang dijagai oleh kakakku. Dia disifatkan sebagai anak yang baik dan cerdik. Misalnya, Meiyang pandai buang air besar dan kecil di dalam bilik air tanpa perlu diajar. Walau bagaimanapun, Meiyang yang dibesarkan oleh kakakku bersama Alif anak kandungnya, tidak disenangi oleh abang iparku. Katanya, Alif tidak sepatutnya diajar bersopan santun seperti perempuan, takut besar nanti jadi pondan atau lelaki yang terikut-ikut gaya perempuan. Namun, kakakku tetap menyayanginya. Akulah yang menamai Meiyang dengan nama Maimunah bersesuaian dengan bangsa Melayu yang beragama Islam.

Kemuncak novel ini apabila Ah Seng dan Ah Moi muncul. Mereka inilah yang meninggalkan Meiyang di tangga perumahan pangsa suatu ketika dahulu. Berita kecerdikan dan kebijaksanaan Meiyang yang terpapar dalam akhbar bertulisan Cina telah dibaca oleh Ah Seng. Mereka mengesyaki gadis yang terpampang dalam akhbar itu ialah Meiyang berdasarkan tanda lahir di pelipis kanan. Ah Moi berasa kesal kerana meninggalkan Meiyang dahulu dek tekanan hidup. Mereka berhasrat untuk mengambil semula Meiyang daripada keluarga angkatnya. Lantaran itu, mereka mengupah peguam yang terhandal dari luar negara. Tanda lahir di pelipis kanan dijadikan bahan bukti, di samping tanda lahir di paha kanan Meiyang. Namun, hujah itu dibantah oleh peguam cara yang menolak tanda lahir sebagai bukti yang kuat. Akhirnya, ujian DNA dijalankan dan kemenangan berpihak kepada Ah Seng.

Meiyang menerima Ah Seng dan Ah Moi sebagai ibu bapanya walaupun mereka pernah membuangnya. Dalam masa yang sama, kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa angkatnya tidak pernah terputus. Di pihak Ah Seng pula, kemenangan itu tidak meletakkan ketenangan dalam dirinya. Masih ada pergolakan yang berlaku dalam jiwanya memikirkan penerimaan Meiyang dan perubahan cara hidup anaknya itu nanti. Akhirnya, mereka membenarkan Meiyang tinggal bersama-sama keluarga angkatnya.

Meiyang kini bergelar seorang doktor. Hospital tempatnya bertugas telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai antara hospital terbaik di dunia. Ah Moi boleh melawat Meiyang pada bila-bila masa sahaja. Disebabkan Ah Moi yang selalu datang tiba-tiba hilang khabar, Meiyang menelefon emaknya, namun tidak berangkat. Jadi, mereka ke rumah Ah Moi untuk melihat keadaan Ah Moi. Rupa-rupanya Ah Moi tidak sihat dan terbaring di atas katil. Meiyang membawa emaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Selepas itu, Ah Moi berhajat untuk mengambil semula Meiyang dan mengajak Meiyang untuk tinggal bersama-samanya. Setelah hajat itu tidak dipersetujui, Ah Moi membawa kes itu sekali lagi ke mahkamah. Tetapi, kes itu diselesaikan di luar mahkamah kerana mahkamah memutuskan bahawa keputusan berada di tangan Maimunah. Meiyang tetap dengan pendiriannya untuk meneruskan kehidupan sebagai penganut Islam. Apatah lagi, dia akan berumah tangga dengan Doktor Muhamad Nazwan Hafeez dan akan tinggal bersama suaminya nanti.

Ah Moi dikejarkan ke hospital kerana seluruh badannya kaku. Meiyang mengesahkan yang ibunya diserang strok dan masih dalam keadaan koma. Setelah pemeriksaan lanjut, Ah Moi disahkan mengidap ketumbuhan di antara tempurung kepala dan otak. Meiyang meminta kebenaran daripada ibu  bapanya untuk membawa emaknya pulang dan menjaganya. Ibu bapanya bersetuju dan Ah Moi ditempatkan di bilik tamu. Tindakan mereka itu mendapat cemuhan daripada Mak Joyah Becok, jiran mereka. Namun, cerita ini ditutup dengan lembut dan halus dengan lafaz syahadah oleh Ah Moi.

Novel ini seakan-akan kisah benar yang dilalui oleh Zaharah dan ditambah dengan unsur fiksyen. Ada nama-nama watak yang disebutkan itu wujud di alam realiti. Dengan menggunakan sudut padang pertama, cerita ini mudah diikuti. Sangkaan awal yang jalan cerita novel ini berbaur peperangan dan rusuhan kaum tidaklah benar sama sekali. Namun, pengarang berjaya menggarap cerita secara bersahaja dan menguasai ilmu kewartawanan. Pengarang juga tidak menghukum Ah Moi dan Ah Seng kerana meninggalkan Meiyang, sebaliknya hubungan antara anak dengan ibu bapa itu dipereratkan lagi. Secara halusnya, novel ini boleh dijadikan agen penyatuan antara kaum dan wajar dibaca oleh semua lapisan masyarakat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044273
    Visit Today : 694
    This Month : 26872
    Total Visit : 1044273
    Hits Today : 2180
    Total Hits : 4287154
    Who's Online : 18
  • Kategori