OLEH ATIQAH ABD RAHIM

Program Canai Bahasa dan Sastera Bil. 4/2020 telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Jun 2020 di Anjung DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Program ini juga boleh ditonton di laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Program yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) ini membincangkan tajuk “Komposer Muda Kontemporari” oleh dua orang komposer muzik, Ikhwan Fatanna dan Adeep Nahar, serta Liza Ramli sebagai moderator.

Program bicara Komposer Muda Kontemporari ini memberi manfaat kepada masyarakat.

Ikhwan Fatanna merupakan seorang komposer yang berpengalaman selama lebih tujuh tahun dalam industri seni dan telah menghasilkan lebih 70 buah lagu. Antaranya ialah lagu “Jatuh Bangun” oleh Haqiem Rusli, “Kisah Cinta Kita” oleh Hafiz Suip dan “Ku Bersuara” oleh Ernie Zakri. Manakala, Adeep Nahar telah terlibat dalam industri muzik Malaysia dan Singapura sejak tahun 1993. Beliau telah berkarya dengan lebih kurang 500 buah lagu.

Adeep Nahar menggalakkan komposer muda untuk berkarya

Dalam sesi perkongsian tersebut, para ahli panel berkongsi pengalaman dan pandangan terhadap dunia seni muzik, khususnya dalam penghasilan lagu yang baik dan diterima oleh pendengar. Ikhwan Fatanna mendefinisikan muzik kontemporari sebagai lagu yang menjadi pilihan dan kegemaran semasa dan sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Hal ini dapat menjelaskan sebab sesebuah lagu yang kurang mendapat penerimaan pendengar apabila lagu tersebut dikeluarkan tetapi menjadi kegemaran pendengar pada beberapa tahun kemudian. Muzik kontemporari juga lebih tertumpu kepada kecenderungan individu terhadap sesuatu kategori muzik dan pemilihan kumpulan muzik tertentu seperti yang ditawarkan oleh medium Spotify dan Joox. Peranan medium digital membantu muzik untuk bergerak dan membentuk peralihan pilihan muzik yang lebih pantas. Sebagai pengkarya, beliau hanya mencipta lagu dengan ikhlas kerana penerimaan hasil ciptaannya terletak di tangan pendengar.

Ikhwan Fatanna sentiasa mengikut perkembangan muzik terbaru semasa penghasilan lagunya

Adeep Nahar pula berpendapat kontemporari mengambil daripada perkataan bahasa Inggeris, temporary yang bermaksud bersifat sementara. Justeru itu, seorang pemuzik harus mengikut peredaran masa dan menerima muzik yang dimahukan oleh pendengar. Perubahan muzik pada sesuatu masa dapat dilihat melalui pemilihan muzik pada tahun 1990-an dan 1980-an yang lebih menggemari genre alternatif rock, rock kapak dan balada. Berbanding kini, penggemar muzik mempunyai pilihan muzik yang pelbagai dan lebih bersifat digital.

Kunci utama dalam penghasilan sebuah lagu ialah pendengar mahu mendengar lirik sesebuah lagu dan melodinya. Seorang komposer tidak mempunyai pilihan lain selain perlu mengubah cara penciptaan lagunya mengikut kesesuaian perubahan muzik pada sesuatu masa. Misalnya, beliau pernah mencipta sebuah lagu pada tahun 2015. Disebabkan lagu tersebut bukan yang menjadi kegemaran pendengar pada masa itu, beliau mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan komposer lain untuk mengubah lagu itu mengikut penerimaan pendengar semasa.

Kedua-dua ahli panel turut berkongsi sumber ilham dalam penghasilan muzik. Ikhwan Fatanna menjelaskan kebiasaannya beliau memilih konsep atau genre muzik yang sedang popular terlebih dahulu. Kemudian, penulisan lirik lagu ditulis berdasarkan keadaan sekeliling dan kehendak masyarakat pada masa itu. Walau bagaimanapun, beliau tetap mengekalkan identiti muziknya yang menggunakan konsep berunsurkan Islamik dan iramanya berentak muzik moden. Begitu juga Adeep Nahar yang suka melihat keadaan sekitarnya semasa mencipta lagu. Beliau juga mengingatkan bahawa seseorang komposer perlu membuang perasaan ego dalam penghasilan lagu untuk kekal relevan dalam industri seni. Beliau tidak menafikan seorang komposer mempunyai identiti tersendiri dan sentiasa berusaha untuk mempertahankannya. Namun, sekiranya muzik yang dihasilkan tidak diterima lagi oleh pendengar, cara yang terbaik ialah dengan mencuba kelainan dalam penghasilan muzik yang baharu. Yang menariknya, muzik hip hop kekal relevan sehingga kini kerana muzik tersebut sentiasa berevolusi pada setiap era.

Perbincangan diteruskan mengenai topik penggunaan bahasa dalam penulisan lirik lagu. Adeep Nahar membuat perbandingan penulisan lirik lagu para komposer pada era Gen X, iaitu pada tahun 1970-an sehingga awal tahun 2000 dengan komposer era digital kini. Beliau memuji kumpulan muzik rock di Malaysia seperti kumpulan Sofea, BPR dan SYJ yang walaupun muzik yang dibawa kedengaran berat tetapi masih mengekalkan penulisan bahasa Melayu baku dengan lirik yang puitis dan indah. Yang sebaliknya, penulisan lirik lagu pada era digital ini gemar menggunakan bahasa yang terlalu langsung dan kurang menggunakan bahasa Melayu baku. Hal ini mungkin disebabkan pemuzik lebih selesa dengan penggunaan bahasa itu dan berasa mudah untuk meluahkan perasaan mereka dalam penulisan lirik masing-masing.

Adeep Nahar turut berkongsi proses kekreatifan seseorang komposer dalam penghasilan sebuah lagu yang boleh menyentuh hati pendengar, iaitu melalui keikhlasan dan kebersamaan dalam penulisan lagu. Malah, peranan seorang penyanyi amat penting dalam menyanyikan lagu yang ditulis oleh komposer, yang beliau ibaratkan seseorang penyanyi sebagai penglipur lara yang menyampaikan cerita dan lakonan dalam persembahannya.

Pada akhir bicara, para panel menitipkan kata-kata semangat buat bakal komposer agar mengetahui minat dan pendirian diri sebelum menceburi bidang ini. Panel menggalakkan komposer baru untuk mengusulkan karya kepada yang berpengalaman supaya dapat belajar daripada kesilapan. Walaupun tidak mampu untuk berguru dengan komposer yang lebih berpengalaman, seseorang juga boleh mengambil inisiatif untuk mengkaji setiap karya komposer senior yang diminati atau belajar mencipta dan menulis lagu melalui saluran Youtube. Para panel berharap agar komposer muda lebih berani untuk berkarya dan tidak mudah berputus asa sekiranya menemui jalan kegagalan, dengan mengambil contoh kejayaan seorang penyanyi dan penulis lirik, Charlie Puth yang menghasilkan puluhan buah lagu sebelum namanya masyhur dalam kalangan peminat muzik dunia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044653
    Visit Today : 1074
    This Month : 27252
    Total Visit : 1044653
    Hits Today : 3983
    Total Hits : 4288956
    Who's Online : 13
  • Kategori