Judul: Santun Berbahasa (Edisi Kedua)

Penulis: Awang Sariyan

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2015

Harga: RM18

Pengulas: Mahamad Fauzi Ab. Razak

Ramai dalam kalangan kita menyedari dan memahami kedudukan bahasa Melayu dari sudut perlembagaan. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara. Namun tidak kurang juga yang masih memandang sinis status bahasa Melayu sebagai “pelantar” yang signifikan bagi perpaduan dan pembangunan negara. Salah satu martabat bahasa Melayu yang perlu dipertahankan ialah unsur kesantunan berbahasa. Hal yang demikian kerana tanpa kesantunan bahasa maka runtuhlah peradaban dan ketamadunan sesuatu bangsa.

Buku hasil buah tangan Dr. Awang Sariyan, mantan Profesor Linguistik dan Perancangan Bahasa di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya yang sekarang merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dirasakan hadir tepat pada ketika masyarakat sedang berada di persimpangan, iaitu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda atau bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Buku ini merupakan rangkaian daripada beberapa siri kesantunan bahasa yang diterbitkan oleh DBP, iaitu Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan Media (Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar) dan Kesantunan Lisan (Profesor Emeritus Abdullah Hassan). Penulis membahagikan buku ini kepada dua bahagian. Pada bahagian pertama, penulis membahagikan aspek kesantunan bahasa kepada enam bab, iaitu asas kesantunan bahasa, lingkungan penggunaan kesantunan bahasa, santun berbahasa: sistem bahasa, sistem sapaan: aspek kata ganti nama diri, sistem sapaan: aspek panggilan hormat dan gaya pengungkapan. Manakala bab ketujuh yang diletakkan pada bahagian kedua membincangkan perbandingan kesantunan bahasa: bahasa Melayu dan bahasa Cina.

Pada bab pertama, penulis menjelaskan makna kesantunan bahasa yang dipetik daripada Kamus Dewan sebagai “halus (budi bahasa atau budi pekerti), beradab, sopan”. Sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu, bahasa Melayu terus mengekalkan tradisi kesantunannya bagi mengangkat martabat penutur selaku bangsa yang bermaruah dan beridentiti tinggi. Pendapat Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar dalam bukunya Setia dan Santun Bahasa (2002) merumuskan bahawa terdapat tiga jenis peraturan penggunaan bahasa yang terdiri daripada peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik. Untuk memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada pembaca, ketiga-tiga peraturan tersebut diperjelaskan dengan lebih mendalam agar kepatuhannya menjadi signifikan kepada asas kesantunan bahasa. Di samping itu pengamalan kesantunan bahasa sangat dituntut oleh agama, sesuai dengan kejadian manusia sendiri sebagai makhluk yang berakal dan bertaraf mulia. Persoalan dari sudut warisan kebudayaan bangsa juga turut disentuh di mana masyarakat Melayu yang menjadi penghuni teras di Kepulauan Melayu mengamalkan budaya sopan santun sebagai warisan bangsa. Buktinya dapat dilihat menerusi karya persuratan dan karya lisan seperti hikayat, syair, pantun, gurindam dan penglipur lara yang masih dipertahan sehingga ke hari ini.

Bab kedua membincangkan bagaimana kesantunan bahasa harus digunakan. Hal yang demikian diperkatakan kerana dalam urusan seharian, masyarakat akan berkomunikasi dalam dua bentuk, iaitu urusan rasmi dan urusan tidak rasmi. Pembaca akan diberikan penjelasan berkaitan takrifan majlis rasmi dan urusan rasmi di mana peraturan linguistik dan sosiolinguistik perlu diutamakan bagi mewujudkan suasana kesopanan ketika berkomunikasi. Walaupun peraturan linguistik bagi majlis dan urusan tidak rasmi tidak dititik beratkan, namun peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik masih dikekalkan bagi memelihara keharmonian dalam komunikasi lisan dan tulisan.

Seterusnya pembaca diberi kefahaman dalam aspek penggunaan sistem bahasa yang merangkumi tatabahasa, binaan kata, binaan ayat, sebutan, intonasi, ejaan dan tanda baca. Penulis menekankan bahawa penguasaan tatabahasa oleh seseorang untuk berkomunikasi adalah sangat penting kerana tatabahasa merupakan acuan bahasa. Penggunaan tatabahasa yang baik akan menghasilkan wacana yang berkesan kepada pendengar. Hal yang demikian kerana kata-kata, ayat dan wacana mempunyai pertalian yang rapat bagi menghasilkan komunikasi berkesan.

Bab keempat dan kelima, penulis mengajak pembaca memahami sistem sapaan dalam Bahasa Melayu. Oleh sebab orang Melayu terkenal dengan sikap merendah diri, hormat-menghormati dan bersopan santun, maka sistem sapaan yang betul sangat penting bagi mewujudkan komunikasi dua hala yang berkesan. Jika tidak, salah satu daripada dua pihak yang berkomunikasi akan tersinggung, marah dan boleh mengundang salah faham yang serius. Seterusnya penulis mengkategorikan sistem sapaan kepada kata ganti diri yang dibahagikan kepada kata ganti diri pertama, kata ganti diri kedua dan kata ganti diri ketiga. Penulis memperincikan setiap kata ganti diri tersebut berserta penerangan dan contoh-contoh yang mudah difahami oleh pembaca. Seterusnya penulis membincangkan sistem sapaan daripada aspek panggilan hormat. Panggilan hormat ialah bentuk sapaan atau rujukan kepada seseorang mengikut gelar dan jawatannya. Selanjutnya, penulis menerangkan sapaan bagi seseorang yang mendapat gelar daripada anugerah bintang atau darjah kebesaran yang dikurniakan oleh D.Y.M.M. Yang di-Pertuan Agong atau D.Y.M.M. Raja-raja adalah mengikut gelar yang diterimanya. Selain itu, sapaan  bagi seseorang mengikut jawatan hakiki adalah seperti Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Berhormat Menteri Besar atau Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara. Oleh yang demikian, sistem sapaan adalah berbeza mengikut gelar dan jawatannya agar menepati kesantunan bahasa.

Usaha penulis menghasilkan buku ini adalah selaras dengan inisiatif kerajaan bagi membentuk warganegara yang berjati diri, memelihara adab dan kesopanan serta bertamadun tinggi. Membaca, memahami dan menghayati inti pati buku ini bertepatan dengan inisiatif kerajaan yang telah melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada tahun 2005. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa dengan membaca dan memahami isi kandungan buku ini, inspirasi dan jiwa penulis berada dalam citra pembaca untuk sama-sama mengangkat dan memartabat bahasa Melayu yang kaya dengan adab dan kesopanannya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043217
    Visit Today : 1081
    This Month : 25816
    Total Visit : 1043217
    Hits Today : 3513
    Total Hits : 4283108
    Who's Online : 13
  • Kategori