Judul: Invertebrata di Pulau Bidong

                                                   Penulis: Aizam Zainal Abidin dan Siti Jalilah Mohamad

                                                   Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

                                                  Tahun: 2015

                                                  Pengulas: Atiqah Abd Rahim

            Pulau Bidong merupakan sebuah pulau kecil di Terengganu, Malaysia yang terletak 45 kilometer di luar pantai bandar Terengganu dan Merang iaitu di Laut China Selatan. Pulau Bidong telah diwartakan sebagai sebuah Pulau Warisan Negeri dan dijadikan pusat penyelidikan bagi Universiti Malaysia Terengganu, khususnya bagi menjalankan kajian berkaitan hidupan marin. Persisiran pantai dan perairan pulau ini menjadi tumpuan para nelayan untuk mencari rezeki. Keaslian ekosistem dasar laut, pasir yang memutih serta air laut yang biru dan jernih telah mewujudkan suasana yang sangat indah di Pulau Bidong.

            Buku ini amat menarik dengan catatan mengenai sejarah Pulau Bidong dan kajian tentang hidupan invertebrata di dalam air dan di persisir pantai. Buku ini  membuatkan pembaca tidak hanya tertumpu dengan nama-nama saintifik hidupan marin di pulau itu malah sejarah Pulau Bidong yang cukup bermakna bagi negara Malaysia seharusnya diketahui dan diambil iktibar oleh pembaca. Bab pertama dikhususkan untuk menceritakan latar belakang Pulau Bidong dan kegiatan ekonomi yang dilakukan di sekitar pulau itu. Empat bab yang seterusnya menumpukan kajian penulis Aizam Zainal Abidin dan Siti Jalilah Mohamad tentang hidupan marin invertebrata atau haiwan yang tidak bertulang belakang.

            Pulau yang indah ini telah melakar peristiwa yang cukup bersejarah dan bermakna bagi misi kemanusiaan negara. Pada tahun 1975 sehingga tahun 1990, Pulau Bidong telah diwartakan sebagai penempatan kem pelarian Vietnam di bawah kawalan dan pengurusan Pesuruhjaya Tinggi bagi Orang Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM). Menurut penulis, peristiwa ini bermula sejak kejatuhan kerajaan Demokratik Vietnam Selatan kepada kerajaan Komunis Vietnam Utara pada bulan April 1975. Kejatuhan kerajaan itu telah mengancam nyawa rakyat Vietnam dan telah menyebabkan mereka membuat keputusan drastik dengan menjadi pelarian keluar negara. Mereka meredah lautan yang luas dan laluan darat untuk ke negara-negara lain termasuk Malaysia.

            Banyak nyawa yang terkorban dan pengalaman ngeri itu tentunya sukar dilupakan oleh pelarian Vietnam yang digelar sebagai ‘orang hanyut’. Pulau Bidong kemudiannya diisytiharkan sebagai Pusat Penempatan Pelarian Vietnam untuk mereka yang mendarat di Pulau Bidong atau yang dihantar oleh pasukan penyelamat ke pulau tersebut. Pendaratan pertama ‘orang hanyut’ ke Pulau Bidong dicatatkan pada 9 Mei 1975. Beberapa tahun kemudian, pertambahan jumlah pelarian semakin meningkat dan kerajaan negeri Terengganu telah bersetuju untuk mewartakan pulau itu melalui pewartaan PU (A) 227.  Pusat penempatan ini dibina dengan kerjasama Malaysia dan UNHCR bermula pada tahun 1978. Pelarian Vietnam turut dilindungi oleh Undang-undang Antarabangsa.

            Penempatan tersebut menyediakan kemudahan asas seperti rumah yang bersaiz kecil seperti rumah setinggan, sekolah, hospital, gereja dan juga beberapa bangunan untuk kegunaan mereka. Jumlah pelarian yang paling ramai yang pernah menetap di penempatan itu ialah seramai 60000 orang pada tahun 1978. Pada tahun yang sama juga, seramai 20000 pelarian telah berjaya dipindahkan ke negara ketiga. Selama tempoh penempatan pelarian tersebut, seramai 253390 orang telah sampai ke Pulau Bidong dan seramai 4535 orang bayi telah dilahirkan.

            Pengisytiharaan Pulau Bidong sebagai Pusat Penempatan Pelarian telah memberi kesan kepada nelayan tempatan kerana mereka dilarang untuk menghampiri perairan pulau tersebut pada jarak 182 kilometer. Pulau Bidong ditutup dan dikosongkan sepenuhnya pada tahun 1991. Semua pelarian di penempatan itu telah dihantar pulang ke negara asal dan ada juga di antaranya telah dipindahkan ke beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Perancis. Tugu peringatan telah dibina oleh pelarian Vietnam bagi memperingati sejarah mereka yang pernah menetap di Pulau Bidong selama 15 tahun. Pulau Bidong diserahkan kembali kepada kerajaan negeri dan terus ditutup kepada orang ramai sehingga tahun 1999.

            Sambutan orang ramai pada awal pembukaan pulau ini agak hambar. Orang ramai masih takut untuk ke Pulau Bidong kerana dikatakan masih wujud jerangkap samar yang masih aktif telah dipasang oleh pelarian Vietnam. Walaupun masih tidak mempunyai rumah peranginan atau penginapan serta kemudahan yang lain, aktiviti selaman skuba dan bersnorkel telah menjadi tarikan utama aktiviti pelancong. Pemandangan alam semula jadi di sekitar pantai dan dasar laut Pulau Bidong turut menjadi tarikan pelancong untuk menikmati keindahannya. Rakyat Vietnam yang pernah menetap di pulau itu mengunjungi semula kubur ahli keluarga dan rakan-rakan yang telah meninggal dunia dan disemadikan di pulau itu.

            Seterusnya, penulis memperkenalkan ciri-ciri haiwan invertebrata yang menjadi perbincangan utama  buku ini. Haiwan invertebrata tidak mempunyai tulang belakang dan  banyak ditemui di sekeliling kita seperti di atas tanah, rumput, celah pasu, lopak air dan ada yang tinggal di dalam kediaman kita. Contoh yang biasa ditemui ialah semut, labah-labah, lebah dan cacing. Haiwan invertebrata yang hidup di daratan biasanya bersaiz kecil berbanding yang tinggal di dalam air. Hal ini disebabkan oleh persekitaran air yang boleh menyokong berat badannya dan memudahkan pergerakan. Contoh yang mudah, kura-kura yang membawa cangkerang di belakangnya berjalan dengan perlahan semasa di daratan tetapi apabila memasuki air, pergerakannya menjadi lebih lancar dan laju.

            Dalam bab tiga, penulis menjelaskan hidupan di persisiran pantai Pulau Bidong dan struktur kawasan pantai berpasir di situ. Dalam bab empat pula penulis menerangkan secara ringkas hidupan di dalam air di pulau itu.

            Dalam bab terakhir, buku ini memaparkan haiwan invertebrata yang ditemui di Pulau Bidong. Spesis haiwan invertebrata yang ditemui mungkin mempunyai sedikit perbezaan dengan yang ditemui di kawasan lautan dunia yang lain, terutamanya dari segi kepelbagaian, rupa bentuk, warna dan tingkah laku. Penulis memaparkan dan membincangkan 40 spesis haiwan invertebrata yang melambangkan khazanah biologi di lautan Pulau Bidong. Setiap spesis disertakan dengan gambar dan penerangan ringkas tentang spesis daripada telah ditemui hasil daripada kajian penulis.

            Secara keseluruhannya, buku ini amat berguna untuk pembacaan ilmiah para pelajar, penyelidik dan orang awam. Bacaan tambahan ini diharapkan dapat menambah maklumat pembaca mengenai hidupan akuatik.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044989
    Visit Today : 1410
    This Month : 27588
    Total Visit : 1044989
    Hits Today : 5266
    Total Hits : 4290239
    Who's Online : 9
  • Kategori