Judul              : Menulis Buku Secara Bijaksana

Penulis          : Abdul Aziz Hussin

Penerbit         : Dewan Bahasa dan Pustaka (2019)

Halaman        : 162

Harga             : RM16.00

Pengulas       : Mohd Helmi Ahmad

 

MENURUT Kamus Dewan Edisi Keempat, buku ialah helaian kertas berjilid yang berisi tulisan dan sebagainya untuk dibaca atau yang mengandungi ruangan kosong untuk ditulis. Bagaimanakah kertas yang berjilid itu dimanfaatkan secara berkesan agar setiap tulisan yang tercatat bermanfaat apabila dibaca?

Menerusi buku Menulis Buku Secara Bijaksana, penulis dapat mempelajari cara membangunkan sesebuah buku secara terancang. Buku yang terbahagi kepada empat bab ini diterbitkan hasil daripada kerjasama antara Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam bab satu, pembaca didedahkan tentang buku, jenis dan kandungan buku. Pelbagai rujukan dan dapatan yang dibentangkan oleh penulis tentang takrifan buku termasuklah daripada Merriam – Webster, Camridge Dictionaries Online, dan Oxford Advanced Learner’s Dictionary.

Takrifan daripada seksyen 3 Akta-akta Tafsiran 1948 dan 1967 menjelaskan buku merupakan suatu “dokumen”. Seksyen 3 Akta Keterangan 1950 pula mentakrifkan “dokumen” sebagai apa-apa hal yang dinyatakan, diperihalkan, atau bagaimana jua yang digambarkan atas apa-apa benda, bahan, barang atau artikel, termasuklah apa-apa hal yang terkandung dalam cakera, pita, filem, runut bunyi atau apa-apa jua peranti lain.

Oleh hal yang demikian, Abdul Aziz Hussin merumuskan sesebuah buku boleh mengandungi tulisan, perkataan, angka, tanda, peta, pelan, graf, lakaran, inskripsi, lukisan, citra, gambar atau karikatur dan fotograf, atau mana-mana perkara berikut atau kombinasi dua atau lebih daripadanya yang dinyatakan atau dihuraikan di atas apa-apa bahan.

Sesebuah buku yang dibangunkan dan diterbitkan akan melalui proses penjenisan berdasarkan cara persembahan buku yang merangkumi cara penghuraian sesuatu perkara, pembentangan fakta, penganalisisan sesuatu tajuk, ulasan atau kombinasi daripada gabungan ciri-ciri tersebut. Manakala, ssebelum menulis buku pula, penulis seharusnya jelas tentang tujuan, konsep dan falsafah menulis dan menerbitkan buku.

Pada asasnya, sesebuah buku yang ditulis untuk bacaan pembaca dapat memberikan pengajaran atau manfaat kepada pembaca. Selain itu, buku yang diterbitkan juga menjadi wadah atau alat dalam menyampaikan dakwah melalui pelbagai bidang termasuklah perubatan, kesihatan, sejarah, fizik, dan sebagainya.

Penulis turut menyenaraikan beberapa orang tokoh yang membangunkan dan menerbitkan buku untuk menyampaikan dakwah dan ilmu dalam bidang masing-masing seperti Abu Bakar Muhammad  bin Zakaria al-Razi (ahli perubatan dan ahli falsafah), Muhammad ibn Musa al-Khawarizmi (pakar algebra, astronomi dan geografi), Abu Hamid al-Ghazali (pakar bidang tasawuf, teologi, falsafah, logik, fiqah, mantik) dan beberapa orang tokoh yang lain. Buku-buku yang dibangunkan dan diterbitkan ini berlandaskan beberapa prinsip asas, iaitu mereka memiliki ciri kebaikan, memiliki ilmu yang bermanfaat, mempunyai pengalaman hidup yang berfaedah dan mereka menyedari bahawa ilmu dan pengalaman tersebut wajar diwarisi oleh orang lain (pembaca).

Bab dua pula membicarakan mengenai pelan tindakan untuk menulis sesebuah buku. Pelan tersebut dibahagikan kepada dua, iaitu pelan tindakan berkaitan diri penulis dan pelan tindakan dalam proses membangunkan buku. Pelan tindakan berkaitan diri penulis merangkumi dua perkara, iaitu persediaan diri dan persediaan minda penulis termasuklah persediaan psikologi, kesihatan dan seumpamanya.

Terdapat lapan tindakan yang dikongsi oleh penulis dalam pelan tindakan berkaitan proses membangunkan buku termasuklah melaksanakan penjelajahan dan penyelidikan. Bagi membangunkan buku yang bermutu, penulis terlebih dahulu perlu mendalami ilmu, menimba pengalaman dan pengetahuan serta kemahiran yang sepatutnya. Menurut pelan tindakan ini, pembangunan sesebuah buku turut mengambil kira aspek penting, segera dan relevan. Sebelum sebuah buku ditulis, penulis haruslah mempertimbangkan ketiga-tiga aspek tersebut dan bertanyakan kepada diri tentang adakah sesebuah buku yang ditulis itu dikategorikan penting dan relevan serta segera untuk diterbitkan pada masa kini.

Dalam bab tiga pula, penulis menerangkan tentang bidang penulisan turut mempunyai pantang larang yang perlu dipatuhi agar penulis tidak menulis buku yang menyalahi undang-undang. Seseorang penulis terikat pada Akta Rasmi 1972, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986, Undang-undang Penulis dan Majikannya dan Kanun Keseksaan.

Penulis dikatakan melakukan perbuatan jenayah di bawah Kanun Keseksaan, apabila menerbitkan buku lucah atau ada kaitannya dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan mana-mana penganut agama, menulis buku yang menyebabkan dan sebagainya atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, benci-membenci atau niat jahat, atau memudaratkan dan sebagainya, pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan dan melakukan perbuatan fitnah.

Sebelum sesebuah buku diterbitkan dan perjanjian dimeterai, penulis-penerbit haruslah mencapai kata sepakat melalui perjanjian yang dibuat. Penulis dinasihati menyemak, membaca dan memahami kandungan perjanjian dengan teliti sebelum menandatanganinya. Antara perkara yang mesti diambil perhatian serius oleh penulis sebelum menandatangani perjanjian termasuklah memastikan butiran fakta yang betul, butiran waad (Aku Janji) (Hak dan Obligasi) pihak-pihak, cara menandatangani dokumen perjanjian dan perkara berkaitan hak cipta. Di bawah seksyen 3 Akta Hak Cipta 1987, hak cipta ialah hak eksklusif yang diberikan kepada penulis, penggubah untuk melindungi karya grafik, karya sastera dan karya seni. Perbuatan plagiarisme merupakan musuh dalam bidang penulisan dan penulis boleh dikenakan tindakan undang-undang seandainya disabitkan bersalah.

Bab terakhir pula menitipkan pesanan kepada penulis berdasarkan pengalaman beliau menulis buku. Terdapat 11 pesanan yang diberikan termasuklah penulis yang berhasrat menulis buku agar tidaklah bertangguh, sebaliknya bersegera untuk menyiapkannya. Betulkan niat untuk menulis untuk menyampaikan ilmu dan berdakwah bukannya mencari musuh.

Buku yang bermutu dan bermanfaat ialah buku yang ditulis dengan kebijaksanaan. Penulis disarankan mengaplikasikan konsep munasabah bergantung pada masa, tempat dan keadaan. Sebagai penulis yang bertanggungjawab terhadap hasil tulisannya, setiap fakta yang diutarakan dipastikan jelas, tepat dan jitu. Bagi mengelakkan bahan rujukan dan draf penulisan hilang dan rosak, penulis dicadangkan membuat lebih daripada satu kotak simpanan.

Buku yang laris, pastinya berpotensi dicetak ulang. Sebelum dicetak ulang, penulis perlu meneliti semula kandungan buku tersebut. Jika kandungannya perlu diperbaiki atau memperbaharui data dan statistik, eloklah buku tersebut dicetak semula sebagai “Edisi Baharu”.

Kesimpulannya, panduan menulis buku secara bijaksana ini dibangunkan secara mudah tetapi jelas matlamat dan tujuannya. Setiap panduan yang diberi dihuraikan beserta contoh yang relevan. Walau bagaimanapun, buku ini bukanlah bimbingan asas cara menulis buku, sebaliknya lebih kepada perancangan yang harus dilakukan oleh seseorang penulis untuk membangunkan sesebuah buku. Perancangan yang bijaksana dapat menerbitkan buku yang bermutu untuk bacaan masyarakat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013816
    Visit Today : 1079
    This Month : 33161
    Total Visit : 1013816
    Hits Today : 3848
    Total Hits : 4135953
    Who's Online : 10
  • Kategori