Genre lipur lara sebagai sastera lisan berbentuk cerita lazimnya ditandai oleh tiga ciri penting sebagai bahagian dasarnya. Pertama, cerita bermula dengan peristiwa sebelum pengembaraan putera raja. Kedua, perkembangan cerita berlaku semasa putera raja mengembara dan menempuhi pelbagai cabaran dengan segala peristiwa yang boleh mematangkan pengalaman hidup. Ketiga, cerita biasanya berakhir dengan kegembiraan. Anak raja/putera raja kembali ke negeri ayahanda dan bonda bersama-sama dengan puteri raja yang dinikahi semasa pengembaraan.

Cerita Mak Jerbek memiliki ciri-ciri tersebut dan tergolong dalam cerita lipur lara. Cerita ini dikaji dengan menggunakan pendekatan strukturalisme, iaitu kajian yang memberikan perhatian sepenuhnya kepada karya sastera sebagai struktur yang autonomi. Dengan ciri khas teori ini, cerita Mak Jerbek dikaji bagi melihat kesatuannya yang membulatkan makna berdasarkan unsur-unsur yang berjalinan dan menstrukturkannya. Unsur-unsur tersebut ialah tema, plot, watak dan perwatakan, latar, gaya bahasa dan sudut pandangan. Sebagai kajian yang bersifat close reading, strukturalisme mempunyai beberapa kelemahannya.

Kajian ini melepaskan pandangan penceritanya yang mewarisi pandangan hidup masyarakat Melayu silam; tidak menghubungkan dunia cerita dengan dunia nyata; dan pembaca sebagai pengkaji juga tidak dapat melihatnya sebagai sistem tanda yang bermakna. Meskipun adanya kelemahan-kelemahan tersebut, pendekatan strukturalisme juga adalah penting. Pendekatan ini sahajalah yang dapat menggali makna daripada karya. Maka, untuk memahami makna atau untuk melihatnya melalui pendekatanpendekatan yang lain, strukturalisme tidak dapat dilepaskan daripada perhatian pengkaji.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044969
    Visit Today : 1390
    This Month : 27568
    Total Visit : 1044969
    Hits Today : 5204
    Total Hits : 4290177
    Who's Online : 7
  • Kategori