Judul: Kumpulan Puisi Kanak-kanak: Sakura

Penulis: Mahaya Mohd. Yassin

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM9

Pengulas: Ismail Hashim

Salah seorang penulis yang dikenali ramai, iaitu Mahaya Mohd. Yassin turut menghasilkan dua buah kumpulan puisi untuk kanak-kanak lebih dua dekad yang lalu. Kumpulan puisi tersebut ialah Pelangi dan Ayahku Pulang.

Mahaya Mohd. Yassin juga telah menghasilkan sebuah lagi kumpulan puisi yang berjudul Sakura yang menghimpunkan 50 buah puisi dalam pelbagai tema. Antara puisi-puisi yang terkandung dalam kumpulan puisi ini ialah Di Negara Orang, Bahasa Ibunda, Kembang Sakura, Musim Bunga, Hijrah, Bawa Bersama-sama dan Bonda. Semua puisi tersebut mengandungi mesej positif yang dapat ditanamkan ke dalam jiwa pembaca terutamanya dalam kalangan kanak-kanak tentang nilai-nilai murni dan membina sahsiah diri yang berguna.

Saya suka akan beberapa buah puisi dalam kumpulan puisi tersebut seperti Bonda, Budi Bahasa, Bongai, Membalas Jasa, Naik Tangga dan Merdeka. Puisi-puisi ini boleh berdiri dengan maksudnya yang tersendiri.

Melalui puisi Bonda, Mahaya Mohd. Yassin menyatakan tentang keperibadian murni seorang ibu yang tidak kenal akan erti penat lelah. Puisi ini juga mengandungi nasihat yang sangat berguna. Seorang ibu juga adalah seorang pendidik yang penuh dengan kasih sayang terhadap anak-anaknya. Penulis turut menganalogikan jasa seorang ibu sebagai sebuah pustaka bestari.

Manakala dalam puisi Budi Bahasa,  Mahaya Mohd. Yassin telah menyemai nilai budi bahasa sebagai amalan dalam kehidupan seharian. Budi bahasa yang kita tunjukkan kepada orang lain ketika bercakap, menegur, marah atau melakukan apa-apa jua kerja, memperlihatkan tingkah laku diri kita yang sebenar.

Budi bahasa yang murni perlu disemai ke dalam diri sejak dari kecil lagi kerana tanpa budi bahasa yang baik, kita tidak akan dihormati oleh rakan dan taulan serta menjadi kebencian sesiapa juga yang berdamping dengan kita, walaupun kita mempunyai harta yang banyak.

Puisi Bongai pula, mengenengahkan sejenis permainan tradisional yang terkenal di Negeri Sembilan. Permainan ini  mempunyai lirik yang menghiburkan dan diselitkan dengan sindiran yang mempunyai kisah serta teladan kepada para pendengarnya.

Dalam puisi Membalas Jasa, Mahaya Mohd. Yassin mengingatkan pembaca agar mengenang jasa ibu bapa yang menjaga kita sejak dari kecil lagi. Merekalah yang membesarkan dan mendidik kita menjadi insan yang berguna. Mereka juga yang menghantar kita ke sekolah dan mendedahkan kita tentang erti sebuah kehidupan. Penulis juga mengajak pembacanya agar sentiasa mendoakan kesejahteraan hidup ibu bapa sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka.

Puisi Naik Tangga pula, mendidik jiwa kita supaya gigih berusaha untuk mencapai suatu cita-cita yang kita idamkan. Puisi ini juga menanamkan sifat sabar dalam diri ketika menghadapi apa-apa jua rintangan seperti pengaruh rakan sebaya, tidak membuat persediaan yang bersungguh-sungguh dan mudah berputus asa apabila menemui sesuatu kegagalan. Sifat-sifat begini dijelaskan oleh penulis menerusi bait-bait puisinya seperti yang berikut:

Kadang-kadang terpengaruh kawan

tak berpendirian

kecundang.

Selalu ke saat-saat akhir

terkebil-kebil

salahkan takdir.

Kita sentiasa berpeluang

ke mata tertinggi

asal beriltizam dan berani.

 

Setiap tahun kedatangan bulan Ogos, Perdana Menteri Malaysia akan merasmikan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan kempen kibarkan Jalur Gemilang bagi memperingati hari kemerdekaan negara kita dari belenggu penjajah. Penulis juga telah mengajak pembaca supaya sama-sama menghayati erti kemerdekaan ini dengan menanam semangat baharu dan sama-sama mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat dengan mengamalkan sikap toleransi, kerjasama, bersatu serta bertanggungjawab dan saling menghormati budaya masing-masing. Perkara ini diingatkan oleh penulis kepada pembaca dalam puisinya yang berjudul Merdeka.

Sebagai kesimpulannya, karya sastera seperti kumpulan puisi kanak-kanak ini mempunyai fungsinya yang tersendiri, khususnya dalam mendidik dan membimbing masyarakat ke arah kebaikan. Karya sastera sebegini perlu diperbanyakkan supaya sahsiah diri kanak-kanak dapat dididik dengan nilai-nilai keperibadian yang tinggi agar tidak terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat melalui media sosial.

Penulis telah menjelaskan hasratnya dalam ruangan Catatan Penulis dengan menegaskan bahawa karyanya ini adalah untuk memekarkan sukma kanak-kanak dengan puisi, iaitu sajak bagi membolehkan mereka dapat menikmati dan memulihara keindahan puisi tersebut sendiri.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042303
    Visit Today : 167
    This Month : 24902
    Total Visit : 1042303
    Hits Today : 370
    Total Hits : 4279965
    Who's Online : 7
  • Kategori