Oleh ATIQAH ABD RAHIM

   Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempersembahkan Persembahan Puisi Artistik “Langkahan Wira” bersempena dengan ulang tahun DBP yang ke-64. Tayangan persembahan tersebut bersiaran secara langsung melalui laman rasmi Facebook PENYAIR pada 14 Jun 2020, pukul 5.00 petang. Persembahan puisi artistik arahan Dato’ Rahman Shaari ini berkisar tentang perjuangan manusia dalam menegakkan keadilan dan kebenaran.

Poster Persembahan Puisi Artisitik “Langkahan Wira” yang telah berlangsung melalui Facebook PENYAIR pada 14 Jun 2020

            Dikendalikan oleh seorang jurupanggung, iaitu Siti Nazdhirah Mohd Rajoli, persembahan dimulakan dengan babak pertama yang menampilkan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hashim Yaacob, Usman Gumanti Ibrahim, Razali Mohd Yussof dan Aqila Fauzi. Keempat-empat persembahan puisi telah dipersembahkan dengan penuh bersemangat dan berjiwa perwira. Antara mesej yang disampaikan ialah dengan mengamalkan sikap perdamaian serta menghentikan peperangan, saling hormat-menghormati antara satu sama lain walaupun berlainan pandangan, ciri-ciri wira itu yang seharusnya disanjungi oleh masyarakat dunia.

            Sebagai contohnya, Usman Gumanti Ibrahim, dalam puisinya menyampaikan bahawa para wira wujud dalam setiap peperangan termasuklah wira yang mengangkat fahaman yang salah dalam menentukan hukum tadbir kehidupan orang bawahannya atau yang menyelewengkan kuasanya. Manakala, wira yang menegakkan kebenaran kebiasaannya mudah dimatikan atau ditolak fahamannya.  Beliau menegaskan bahawa kebenaran akan tetap terus hidup walaupun penegak kebenarannya mungkin diambil nyawa oleh golongan yang menolak kebenaran. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hashim Yaacob, Razali Mohd Yussof dan Aqila Fauzi juga menyuarakan kepada masyarakat untuk kembali bersatu dan sentiasa ke hadapan membela nasib bangsa demi kebahagiaan generasi yang akan datang. Masyarakat perlu mengekalkan keamanan dunia dan menjaga hak kita supaya tidak dicerobohi oleh orang luar. 

Persembahan disampaikan oleh Prof.Emeritus Dato’ Dr Hashim Yaacob

            Dalam babak kedua pula menampilkan siri Wacana Minda, Dr. Sheila RS, Dato’ Rahman Shaari dan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hashim Yaacob. Dalam babak ini, penonton dapat memahami bahawa langkah wira bukan sahaja ditafsirkan sebagai perjuangan masyarakat malah perjuangan individu itu sendiri dalam membentuk seorang insan yang bersifat positif. Wacana Minda menyatakan keinginannya untuk bebas dalam membuat keputusan hidup tanpa sebarang halangan dan ingin berjuang untuk menegakkan pendiriannya. Dr. Sheila RS turut memperjuangkan maruah peribadi dan semangat juang demi kemerdekaan negara dan tanah air tercinta.

Persembahan yang disampaikan oleh Dato Rahman Shaari

            Dato’ Rahman Shaari mengajak penonton untuk melangkah dan bergerak pantas bagi membina masa depan yang cerah. Dalam erti kata lain, kita tidak boleh leka dan membuang masa membiarkan diri kita melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat dan seharusnya mempunyai semangat pahlawan yang pantas dalam membuat keputusan di medan perang. Sekiranya lambat bertindak dan menangguhkan keputusan, beliau membayangkan tentunya musuh akan menyerang kita.

            Persembahan puisi artistik yang terakhir menyaksikan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hashim Yaacob sekali lagi memukau penonton dengan semangat wira dalam puisinya. Beliau mengajak penonton agar  tidak mempersiakan ilmu yang diperolehi. Beliau juga bertanyakan sekiranya kita sudah cukup ilmu untuk membangkitkan langkah wira kita.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    146174
    Melawat Hari Ini : 604
    Jumlah Pelawat : 146174
    Hits Hari Ini : 2013
    Jumlah Hits : 285311
    Siapa atas talian : 2
  • Kategori