OLEH ATIQAH ABD RAHIM

Teo Kok Seong menyatakan bahawa bahasa Melayu perlu digunakan dengan baik dan betul tidak kira untuk perkara formal atau tidak.

SESI Wacana Ilmu 2020 Siri Pertama yang bertajuk, “Orang Muda dan Bahasa Melayu dalam Media Sosial” telah diadakan melalui siaran langsung di Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 13 Julai 2020. Sesi tersebut menampilkan Profesor Dato’ Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama Bersama, Institut Kajian Etnik Kebangsaan (KITA) dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Sesi itu membincangkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan anak muda melalui wadah digital dan media sosial.

            Teo Kok Seong mengaitkan cara orang muda yang suka mencuba, meneroka dan berani mengambil risiko dalam menggunakan bahasa Melayu semasa berinteraksi sesama pengguna dalam jaringan media sosial seperti Twitter, Instagram, Facebook, Youtube dan Whatsapp. Menurut beliau, penggunaan bahasa Melayu di media sosial telah banyak mengubah sifat perkataan bahasa Melayu. Sifat bahasa Melayu yang baharu ini diberi gelaran seperti bahasa Melayu semu, bahasa Melayu baharu yang turut disertakan dengan bahasa slanga. Bahasa Melayu tersebut dikaitkan dengan bahasa yang jelik kerana tidak memperlihatkan usaha dalam bentuk penyuntingan, penyemakan dan pemantauan bagi memastikan bahasa yang digunakan mengikut amalan berbahasa yang lazim.

            Beliau memberi beberapa contoh penggunaan singkatan bahasa seperti “pu3” yang dimaksudkan sebagai puteri dan juga penggunaan simbol emoji. Selain itu, penggunaan singkatan seperti kosa kata yang sedia ada dan diberi makna yang baharu tetapi terhad mengikut pemahaman dalam kalangan pengguna media sosial sahaja. Contohnya, perkataan “ciap” yang makna asalnya ialah bunyi anak ayam tetapi telah diangkat maknanya kepada apa-apa yang dihantar melalui medium Twitter.

Kosa kata baharu turut diperkenalkan tetapi hanya difahami oleh golongan tertentu dalam media sosial. Misalnya perkataan bahasa Inggeris yang dipinjamkan tanpa terjemahan yang betul, seperti “otw” dan “lol” dan dicampuradukkan dengan bahasa Melayu. Ketiga-tiga ciri yang disebutkan adalah bersifat tidak formal, tidak berperaturan dan sukar difahami oleh masyarakat umum. Beliau menegaskan bahawa penggunaan bahasa di media sosial ini bukan sahaja digunakan oleh golongan muda malah golongan yang lebih tua dan elit seperti pensyarah. Mereka ini turut tidak ketinggalan menggunakannya dalam pertukaran mesej yang bersifat tidak formal.

            Bagi Teo Kok Seong, beliau berpendirian bahawa masyarakat hendaklah mengambil kira lingkungan penggunaan bahasa Melayu tersebut. Baik dalam ranah formal atau majlis rasmi, kita perlulah menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Manakala, kita boleh menggunakan bahasa yang kurang formal dan yang tidak mengikut peraturan dalam suasana yang tidak formal atas dasar kebebasan linguistik.

Dalam konteks media sosial, ruangan teks yang ditawarkan juga mempengaruhi penggunaan bahasa. Misalnya, Twitter mempunyai ruang teks yang terhad sebanyak 140 patah perkataan. Manakala, Facebook memberikan ruang teks sebanyak 60 000 patah perkataan. Yang paling penting, beliau menggalakkan pengguna media sosial untuk melakukan penyuntingan, penyemakan dan pemantauan kendiri setiap kali selesai menaip teks. Dalam hal ini, masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan betul. 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    127841
    Melawat Hari Ini : 69
    Jumlah Pelawat : 127841
    Hits Hari Ini : 152
    Jumlah Hits : 229488
    Siapa atas talian : 1
  • Kategori