Tiga orang ahli panel diundang untuk membicarakan kepengarangan Mawar Safei dalam karyanya yang dipengerusikan oleh Encik Saifullizan Yahya.

OLEH MUHAMAD RAFIQ ABDUL RAHMAN

HADIAH Sastera Utusan Melayu-Public Bank, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Esso-GAPENA X, Hadiah Sastera Berunsur Islam IX, Hadiah Sastera Darul Ta’zim, Hadiah Sastera Sempena Bulan Budaya Pulau Pinang dan Anugerah Akademik Negara ke-12 (Seni dan Kreativiti) antara deretan kejayaan yang diperolehinya sejak bergelar seorang penulis prolifik. Anak kelahiran Kota Singa ini bukan sahaja bangga dengan pencapaian sedia ada malah baru-baru ini mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Thailand melalui Anugerah S.E.A. Write Award 2018 yang disampaikan pada tahun 2019.

Pencapaian tertinggi dalam kariernya ini tidak sesekali membuatnya dibuai mimpi malah lebih tekun menghasilkan karya yang lebih bermutu khususnya ke arah nilai keagamaan. Baru-baru ini, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengundang beberapa orang tokoh dalam bidang bahasa dan sastera membicarakan tentang karya Mawar Safei sekali gus mengiktiraf kejayaannya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa khususnya Asia Tenggara. Program Bicara Tokoh: Penerima S.E.A. Write Award 2018: Mawar Safei yang berlangsung pada 16 Julai 2020 di Anjung DBP ini turut dihadiri oleh tiga ahli panel, iaitu Profesor Dato’ Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Profesor Dr. Hashim Ismail, Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan Profesor Dr. Fariza Md. Sham, Pengarah Institut Islam Hadhari, UKM.

Bagi Teo Kok Seong yang mengupas aspek bahasa dalam karya Mawar Safei menyatakan bahawa bahasa yang digunakan oleh Mawar dalam penulisannya cukup puitis hingga membawa kepada nilai sastera yang sebenar. “Karyanya cukup indah dan mempunyai nilai estetika yang cukup tinggi,” jelas Teo Kok Seong. Kepengarangan Mawar Safei dalam aspek bahasa memang tidak dapat dinafikan dan itulah yang membezakan karyanya dengan penulis yang lain. Bahasanya cukup tersirat dan memerlukan pembaca itu mengulangi bacaannya untuk memahami maksud sebenar yang ingin disampaikan.

Bagi Teo Kok Siong, bahasa yang digunakan oleh Mawar Safei dalam karyanya mempunyai nilai estetika yang cukup tinggi.

Bagi Fariza pula yang mengupas aspek keagamaan yang diterapkan dalam karya Mawar Safei turut bersetuju dengan pandangan Teo Kok Seong. Fariza yang mengenali Mawar sejak di bangku sekolah menjelaskan nilai sastera dalam kehidupan masyarakat sebenar tidak dapat dipisahkan. “Nilai sastera itu tinggi martabatnya sehingga mampu mendidik anak bangsa tentang nilai kemanusiaan sejagat,” jelas Fariza memulakan ulasannya.

Mengulas tentang karya Mawar, Fariza cukup tertarik untuk membicarakan buku Kumpulan Cerpen Narasi Gua dan Raqim. Buku ini menurut Fariza cukup “rencahnya” dalam menyampaikan mesej kepada pembaca. Gabungan 10 bab dalam naskhah ini sememangnya cukup cantik dengan berlatarkan mesej islamik yang tidak terlalu ketara tetapi boleh diterima kehadirannya. “Buku ini cukup sesuai untuk anak muda zaman sekarang yang semakin melupakan sastera. Aspek nilai-nilai murni yang ditonjolkan dalam cerpennya menjelaskan bahawa sastera bukanlah sekadar karya imaginasi semata-mata tetapi sangat berkait rapat dengan kehidupan yang hakiki,” kata Fariza.

Menurut Ketua Pengarah Institut Islam Hadhari, UKM ini lagi, cara berdakwah mempunyai pelbagai cara dan salah satunya melalui karya kreatif. Penulisan yang mengajak pembaca ke arah kebaikan mampu mempengaruhi minda dan pemikiran pembaca secara tidak langsung. “Mawar menggunakan diksi yang cukup baik dan berhati-hati hinggakan pembaca tidak terasa dipengaruhi oleh kiasan yang ditampilkan dalam tulisannya,” jelas Fariza.

Dakwah yang dibawakannya menjadi sebahagian daripada asas penceritaan. Dalam Islam, dakwah juga adalah seni dan memerlukan elemen nilai-nilai murni dalam menyampaikannya kepada masyarakat. Selain faktor psikologi untuk berkomunikasi dengan minda pembaca agar tidak terlalu berat penerimaannya semasa membaca buku. Kesimpulannya, Fariza menyatakan bahawa karya Mawar Safei mempunyai banyak pengajaran yang baik dan boleh dijadikan sebagai rujukan. Malahan kisah-kisah yang dipaparkan dalam cerpennya diambil dalam surah yang terkandung dalam al-Quran yang dimodenkan watak dan perwatakannya mengikut keadaan semasa. “Penulisan yang bagus ialah mengajak pembaca untuk berfikir dalam ruang lingkup yang lebih terbuka,” tegas Fariza.

Berlainan sedikit pandangan Hashim Ismail akan kepengarangan Mawar Safei. Baginya, pengkritik sastera bukan hanya melihat naskhah seseorang penulis tetapi turut menilai personaliti pengarangnya. Hal ini jelas terlihat melalui kesopanan dan budi bahasa yang sangat tinggi ditampilkan oleh Mawar Safei. “Jiwa Mawar sangat romantis sehinggakan kita dapat lihat karya-karyanya lebih menjurus kepada kisah kasih sayang yang mendalam antara manusia dengan pencipta-Nya,” ujar Hashim Ismail.

Latar belakang Mawar dalam bidang psikologi dan geografi telah mempengaruhi tulisannya sehingga karyanya banyak yang berkaitan ilmu geografi. Walau bagaimanapun, elemen ini sebenarnya “rencah” yang mampu menambah cita rasa yang pelbagai daripada pembaca sehingga diterima dalam dunia sastera. Bagi Hashim Ismail lagi, watak-watak yang dibangunkan dalam karyanya merupakan mereka yang cukup cerdik dan gaya tulisannya jika dibaca hampir sama seperti individu yang dihormatinya dalam dunia sastera, iaitu Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail, Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dan Zain Kasturi.

“Karya Mawar Safei dipengaruhi unsur-unsur dari Indonesia khususnya bahasanya yang puitis,” jelas Hashim Ismail.

Namun begitu, menurut Hashim Ismail kepengarangan Mawar banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Indonesia. “Bahasa yang digarapnya cukup puitis persis gaya penulisan negara jiran,” kata Hashim Ismail. Tidak hairanlah hal ini boleh berlaku kerana Mawar Safei mempunyai pertalian darah dari negara republik tersebut.

Hashim turut menyatakan kekagumannya terhadap penulisan Mawar kerana sejak akhir-akhir ini penulisannya banyak mengetengahkan ilmu tasawuf yang cukup dekat di hati masyarakat khususnya mereka yang beragama Islam. Hakikatnya, karya berunsur keagamaan ini sukar untuk dihasilkan kerana perlunya keseimbangan dan tidak keterlaluan dalam dakwahnya. Mawar pula berjaya mengimbangi situasi tersebut dan membawa pembaca berfikir di luar kotak dan meninggalkan pelbagai persoalan yang jawapannya terkandung dalam al-Quran.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1032302
    Visit Today : 1261
    This Month : 14901
    Total Visit : 1032302
    Hits Today : 4738
    Total Hits : 4227010
    Who's Online : 4
  • Kategori