Judul: Bahasaku Belum Merdeka

Penulis: Hasan Baseri Budiman

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2019

Harga: RM20

Pengulas: Atiqah Abd Rahim

Mutakhir ini, kedudukan bahasa Melayu sering dipersoalkan sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia. Buku tulisan Hasan Baseri Budiman ini diharapkan mampu merungkaikan pelbagai persoalan dan cabaran bahasa Melayu yang sering menghantui masyarakat Malaysia. Buku ini menghimpunkan 30 buah rencana yang pernah tersiar di dalam majalah Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat dan Pelita Bahasa sepanjang tahun 2000 sehingga tahun 2015. Penulis membahagikan kumpulan esei beliau kepada dua bahagian, iaitu “Bahasa dan Masyarakat” dan “Bahasa dan Sekolah” supaya pembaca lebih mudah meneliti topik yang dikongsikan. Pengalaman penulis sebagai guru bahasa Melayu selama lebih 30 tahun turut memberikan kelebihan untuk berkongsi penulisannya tentang permasalahan bahasa dalam sistem pendidikan dan masyarakat sekelilingnya.

Dalam bahagian pertama, terdapat 19 buah tajuk yang membincangkan isu mengenai bahasa dan masyarakat. Antara permasalahan yang diutarakan ialah isu mengenai bahasa dalam kalangan pemimpin, penggunaan bahasa di tempat awam, laman media sosial dan filem, perkembangan bahasa Melayu di luar negara, kempen bahasa di peringkat kebangsaan dan identiti bahasa Melayu di Malaysia. Penulis menerangkan bahawa penggunaan bahasa Melayu bukan sekadar digunakan dalam urusan rasmi malah sebagai bahasa pergaulan di Malaysia seperti yang termaktub dalam perlembagaan yang meletakkannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Justeru itu, penulis menjelaskan penggunaan bahasa Melayu merupakan cara untuk merapatkan perpaduan antara kaum di Malaysia, dan bukannya menjadi penghalang penggunaan bahasa ibunda yang lain seperti bahasa Tamil, Mandarin, Melayu Sarawak dan bahasa-bahasa etnik yang ada di negara ini. Isu penggunaan bahasa ibunda masing-masing sepatutnya tidak wujud kerana kerajaan tidak pernah mengeluarkan larangan penggunaannya sebagai bahasa harian masyarakat Malaysia. Yang dipinta hanyalah untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghubung antara kaum dan langkah memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Penulis turut berasa hairan melihat sesetengah rakyat Malaysia yang masih belum matang dengan sengaja memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu tanpa memikirkan kerelevanannya dalam konteks kenegaraan pada masa hadapan. Perkara ini telah dibuktikan setelah kita digagalkan oleh Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang pernah merosakkan sistem pendidikan negara. Penulis berharap agar Dasar Martabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dapat memainkan peranannya untuk mengangkat kembali kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar terutamanya dalam penyampaian subjek-subjek di sekolah. Kurangnya penggunaan bahasa Melayu di sekolah dibimbangkan akan memberi kesan kepada keinginan generasi muda untuk terus mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Hal ini berterusan apabila melihat gelagat para pemimpin yang tidak lagi berminat untuk menggunakan bahasa Melayu ketika diwawancara atau ketika menyampaikan ucapan. Menurut penulis, walaupun ada para pemimpin yang berbahasa Melayu, tetapi mereka menggunakan bahasa rojak yang digelar oleh penulis sebagai “bahasa sekerat belut, sekerat ular”. Para pemimpin tersebut menggunakan bahasa komunikasi formalnya yang tidak lagi menyantuni dasar bahasa Melayu baku. Penulis menyoal tentang penggunaan bahasa Melayu dalam kepimpinan mereka walaupun pemimpin ini perlu menyampaikan amanat, pandangan dan arahan yang perlu difahami oleh rakyat dan berada dalam lingkungan hubungan dengan rakyat dalam negara sendiri.

Selain itu, buku ini mengupas mengenai bahasa kolokial atau bahasa basahan yang mengandungi pelbagai bahasa slanga, dialek, bahasa pasar dan pelbagai bahasa yang tidak terkawal gaya penggunaannya. Contoh perbualan yang kita sering dengar di pasar ialah, “Tauke aa, itu musat punya ikan ata ka? Satu kilo belapa? Nati lu kasi potong sama lia punya kapla …”. Hasil kecelaruan berbahasa ini dikhuatirkan akan menjadi kebiasaan ketika berkomunikasi di tempat awam mahupun di rumah dan pejabat. Yang lebih merunsingkan, suatu ketika nanti jika terlalu ramai yang terpengaruh dengan bahasa kolokial ini sehingga lama-kelamaan akan digunakan sebagai bahasa rasmi negara. Tidak salah sekiranya kita menggunakan tatabahasa bahasa Melayu yang betul apabila berbicara dengan rakan-rakan di tempat awam. Begitu juga apabila kita menulis di laman media sosial dan menggunakan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan gaya bahasa Melayu yang betul dan tersusun.

Bahagian kedua buku ini pula membincangkan 11 tajuk perbahasan mengenai isu bahasa dan sekolah seperti peranan guru dalam memartabatkan bahasa di sekolah, dasar pendidikan negara dan bentuk pengajaran yang boleh dimanfaatkan di bilik darjah. Dalam bab 20 “Guru Bahasa Melayu Martabatkan Bahasa Kita”, penulis menyatakan bahawa terdapat sesetengah pihak yang membuat andaian yang melucukan, iaitu semua guru yang boleh bercakap dalam bahasa Melayu juga  berkebolehan untuk mengajarkan mata pelajaran bahasa Melayu. Menurut penulis, kejahilan inilah yang menjadi pembunuh kepada pertumbuhan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berdaulat dan bermaruah. Hasilnya, guru yang tidak pernah kenal dengan tatabahasa bahasa Melayu dipaksa mengajar subjek berkenaan. Perkara ini dikhuatirkan sekiranya cara pengajaran guru yang bukan daripada latar belakang pendidikan bahasa Melayu akan mencampuradukkan dengan sistem bahasa pasar atau bahasa slanga yang bercempera sifatnya.

Dalam bab terakhir buku ini, Hasan Baseri Budiman menyelitkan ilmu tentang tanda baca dan penggunaan simbol tertentu yang digunakan sewaktu menulis. Dalam bahasa lisan, jeda ditandakan dengan kesenyapan dan ditandakan dengan tanda garis miring [/], tanda koma [,], tanda koma bertitik [;], tanda titik bertindih [:], tanda hubung [-] atau tanda pisah [-]. Begitu besar nilai tanda baca walaupun sesetengah guru bahasa Melayu selalu mengabaikan dan merasakan simbol-simbol tersebut tiada perkaitan dengan soalan peperiksaan. Bab ini amat menarik kerana selain membahaskan isu bahasa Melayu di Malaysia, penulis turut mencurahkan ilmunya dalam pengajaran bahasa Melayu.

Secara keseluruhannya, buku ini berjaya membawa isu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan agar bahasa ibunda ini tidak terus diperlekehkan. Penulis berharap agar pembaca terus mendaulatkan bahasa Melayu. Buku ini sesuai untuk bacaan umum.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044774
    Visit Today : 1195
    This Month : 27373
    Total Visit : 1044774
    Hits Today : 4401
    Total Hits : 4289374
    Who's Online : 7
  • Kategori