Lirik lagu juga berperanan menggambarkan emosi dalam lagu

FUNGSI sari kata adalah untuk membantu penonton memahami dan menghayati cerita yang ditonton dengan lebih baik. Oleh itu, bayangkanlah jika kita berasa lucu apabila  menonton cerita seram kerana sari kata yang dipaparkan tidak diterjemahkan dengan betul. Contohnya, perkataan serial killer diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu menjadi “pembunuh bijirin” (cereal killer).

Antara faktor kelemahan sari kata adalah disebabkan oleh kekurangan pengetahuan penulis sari kata. Ketidakupayaan penulis sari kata menguasai bahasa sasaran ataupun mungkin tidak mempunyai pengetahuan langsung  dalam bahasa sasaran menyebabkan timbulnya kesalahan penterjemahan ini.

Rancangan di televisyen baik di RTM mahu pun di stesen swasta adalah rancangan terbitan tempatan dan rancangan yang diimport dari luar negara. Rancangan yang diimport kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris dan ada juga bahasa-bahasa lain. Bagi program televisyen luar negara yang menggunakan bahasa asing akan menyebabkan wujudnya halangan kepada komunikasi, maka terjemahan merupakan jalan yang terbaik untuk membolehkan penonton memahami mesej yang ingin disampaikan dalam sesebuah program itu. Sebagai contoh, rancangan drama dan dokumentari yang mempunyai istilah-istilah teknikal seperti CSI, National Geographic dan Grey’s Anatomy. Sudah sewajarnya ia memerlukan penterjemahan sari kata yang baik bagi memudahkan penonton yang bukan pakar dalam bidang tersebut memahaminya.

Keberkesanan sari kata bergantung pada tahap intelektual seseorang penulis sari kata. Hal ini melibatkan pengetahuan mereka tentang bahan cerita, pengetahuan am, kemahiran membuat rujukan, kebiasaan dengan budaya asing dan kecekapan berbahasa.

Secara umumnya, mutu penterjemahan sari kata boleh dikatakan berada pada tahap yang memuaskan sahaja. Hal ini disebabkan penterjemahan audiovisual pada prinsipnya hanyalah 60 peratus sahaja, emosi dan maklumat utama adalah pada visualnya manakala sari kata sebagai bahan bantu. Oleh itu penterjemahan sari kata hendaklah tepat dan berkesan.

Terjemahan merupakan jalan yang terbaik untuk membolehkan penonton memahami mesej yang ingin disampaikan oleh sesebuah program

Pihak stesen TV awam dan swasta, syarikat pascaproduksi, pengedar dan pengeluar filem, firma pengiklanan dan komunikasi perlu memainkan peranan sebagai perantara untuk memastikan kualiti penterjemahan sari kata sentiasa terjaga.

Walaupun penggunaan bahasa baku tidak digunakan secara meluas dalam industri media, namun ia bukanlah halangan untuk mereka yang terlibat  dalam industri untuk mengamalkannya. Penggunaan gaya bahasanya bolehlah disesuaikan dengan  gaya media agar mudah difahami dan dihayati oleh khalayak kerana industri media juga bertanggungjawab dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036521
    Visit Today : 3
    This Month : 19120
    Total Visit : 1036521
    Hits Today : 4
    Total Hits : 4252359
    Who's Online : 10
  • Kategori