OLEH MUHAMAD RAFIQ ABDULRAHMAN

“RAKYAT patut berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu mengurangkan beban yang dihadapi semasa wabak Covid-19 melanda negara,” titah Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan ketika melontarkan pandangannya dalam program Wacana Diraja: Ekonomi Negara Pasca-Covid-19 di Balai Budaya Tun Syed Nasir pada 14 Julai yang lalu.

Titahnya, pemulihan ekonomi negara tidaklah semudah yang disangka kerana mengambil masa yang lama. Namun begitu, pelbagai inisiatif yang dirangsang oleh kerajaan dalam membantu sektor ekonomi sedikit sebanyak melegakan para pemain industri tersebut. Pakej yang dimaksudkan ialah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 khususnya melindungi pekerja serta menyediakan dana dan sokongan kepada Perusahaan Kecil Sederhana yang merangkumi perbelanjaan sebanyak RM250 bilion.

Pada pandangannya, tempoh pemulihan ekonomi negara sekurang-kurangnya mengambil masa selama enam bulan untuk kembali pulih berdasarkan persekitaran ketika ini. Hal ini turut dibantu oleh kepekaan rakyat di negara ini yang mempunyai budaya menabung yang sangat tinggi. Faktor ini jelasnya dapat membantu kerajaan khususnya ekonomi domestik. “Apabila rakyat mempunyai kewangan yang cukup, mereka akan berbelanja dalam negara dan hal ini membantu sektor pelancongan domestik agar kembali pulih,” titahnya ketika diajukan soalan oleh moderator, Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Selain itu, Yang Berhormat Mulia Tengku melihat negara seperti Belanda boleh dijadikan kayu ukur dalam memulihkan ekonomi negara. Jelasnya, walaupun negara kincir angin ini memiliki jumlah penduduk yang tidak ramai namun negara ini berjaya memacu ekonominya dengan pesat hingga digelar pengeluar utama industri makanan dunia. Oleh itu, Malaysia yang mempunyai kebudayaan yang unik serta jenis makanan yang pelbagai ini boleh melihat hal ini sebagai suatu sektor yang boleh ditekankan untuk mempelbagaikan sektor pemacu ekonomi negara.

“Kejayaan sesebuah negara bukanlah hanya terletak kepada kebijaksanaan dan kecekapan kerajaan semata-mata, hal ini perlu disokong bersama-sama pihak swasta agar berganding bahu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara,” tegas Yang Berhormat Mulia Tengku.

Turut berangkat dalam wacana tersebut ialah Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati binti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tengku Puan Temenggong Kelantan; Profesor Datuk Dr. Awang bin Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Haji Abang Sallehuddin bin Abg. Shokeran.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013334
    Visit Today : 597
    This Month : 32679
    Total Visit : 1013334
    Hits Today : 1935
    Total Hits : 4134041
    Who's Online : 11
  • Kategori