OLEH DR. NAZARIYAH BINTI SANI

PERIBAHASA Melayu ada menyatakan “bodoh tidak dapat diajar, cerdik tidak dapat diikut’. Apakah maksud yang tersirat di sebalik peribahasa tersebut?  Merujuk Kamus Dewan (2007) maksud peribahasa ini ialah orang yang tidak mahu mendengar kata atau tidak mahu ditunjuk ajar langsung. Mereka hanya bertindak mengikut kata hati sendiri sahaja.

Selain itu, mereka juga berlagak pandai, bodoh sombong dan tidak mahu akur akan petunjuk yang diberikan walaupun dikurnia akal yang dapat membezakan manusia dengan haiwan.  Sebagai contoh, kalau merujuk kepada anak, enggan mendengar kata orang tua. Kalau pelajar, enggan mendengar dan patuh arahan guru. Kalau pekerja pula, enggan menurut arahan majikan.

Namun begitu, situasi ini berbeza dengan haiwan. Walaupun haiwan tidak dikurniakan akal, makhluk ini sebenarnya masih boleh diajar dan dibentuk. Sebagai contoh, haiwan seperti kera dan beruk masih boleh diasuh dan dibentuk untuk mematuhi arahan. Haiwan ini walaupun tidak berakal, dapat diberi petunjuk, diasuh untuk membantu menjalankan tugas manusia, iaitu memetik buah kelapa.

Sumber : https://twitter.com/hashtag/sekolahberuk

Malahan ada pihak yang telah membuka “sekolah” untuk melatih dan mengajar haiwan ini bagi membantu pekerjaan manusia seperti memetik buah kelapa. Sungguh menakjubkan walaupun belum ada pedagogi khusus yang didendang untuk sekolah ini, namun begitu kejayaan melahirkan kera dan beruk yang pandai memetik buah kelapa sudah terbukti. Keadaan ini sangat unik untuk kita renungkan bersama.

Kebiasaannya, dalam masyarakat Melayu, kera dan beruk merupakan simbol yang negatif. Hal ini demikian kerana haiwan ini merupakan simbol, kiasan kepada orang yang tidak tahu menghargai sesuatu, perosak, orang yang resah gelisah serta orang yang takut bergaul. Buktinya terdapat banyak perumpamaan, peribahasa dan simpulan bahasa yang merujuk pada simbol haiwan ini.

Sebagai contoh, perumpamaan “bagai kera mendapat bunga”. Maksudnya orang yang diberi sesuatu tetapi pemberian itu tidak dihargai atau digunakan malahan dirosakkan.  Perumpamaan “bagai kera kena belacan” membawa maksud orang yang tidak boleh duduk diam atau selalu gelisah.

Simpulan bahasa seperti “kera sumbang” pula merujuk orang yang tidak gemar bersosial dan mencampuri orang ramai. Peribahasa tentang beruk juga berkonotasi negatif seperti “berhakim kepada beruk” yang bermaksud meminta pengadilan kepada seseorang yang tamak dan akhirnya kedua-dua pihak akan mengalami kerugian.

Oleh itu, kita perlu bersyukur dan menganjak paradigma untuk akur bahawa sejak azali bukan sahaja manusia yang berakal boleh dididik untuk menerima proses pembelajaran dan pengajaran (pdp). Dengan sedikit komitmen, usaha gigih bersulamkan pedagogi yang tidak tertulis, tanpa sukatan, proforma atau maklumat kursus, haiwan seperti beruk dan kera juga dapat dihantar ke ‘sekolah’ untuk sesi pdp.

Hal ini demikian agar mereka memperoleh ilmu, kemahiran dalam membantu melakukan pekerjaan yang sukar dilakukan oleh manusia seperti memetik buah kelapa. Bak kata pepatah, “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.

Pengalaman menjadi “guru” di sekolah haiwan ini telah dikongsi oleh seorang “pendidik” yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Beliau sangat berpengalaman dalam melatih haiwan ini. Insan istimewa ini ialah Wan Ibrahim Wan Mat, berusia 61 tahun.  Beliau telah membuka sekolah beruk di Kampung Padang Halban, Melor, di Kota Bharu, Kelantan.  “Sekolah” ini telah beroperasi sejak 20 tahun lalu, iaitu sewaktu beliau berusia 40-an.

Menurut beliau usaha mengajar kera dan beruk ini bukanlah satu tugas yang mudah. Hal ini demikian kerana ketika sesi menuntut ilmu di sekolah, bukan semua ‘pelajar’ ini mudah menerima pelajaran. Seperti manusia juga, ada yang bersikap nakal, susah diajar, tidak fokus, suka bermain-main, melawan dan tidak serius ketika dalam kelas.

Namun begitu, ada juga dalam kalangan kera dan beruk yang cepat belajar. Tiga hari di bangku sekolah sudah pandai memetik kelapa. Malah, ada juga yang lambat belajar sehingga memakan masa berbulan-bulan. Nampaknya proses pendidikan haiwan juga sesuai dikaitkan dengan Teori Kecerdasan Pelbagai, iaitu guru perlu memahami bahawa anak murid itu berbeza-beza tahap penerimaan pembelajaran.

Kos untuk melatih haiwan ini tidaklah begitu mahal, dalam lingkungan RM200 sahaja.  Masa yang diperlukan bergantung kepada keupayaan “guru dan pelajar” tersebut.  Haiwan ini diajar secara berperingkat dari yang mudah kepada susah tetapi akan membuahkan hasil. Tanpa teori pembelajaran namun pedagogi ini terbukti berkesan.  Seperti maksud peribahasa Melayu, “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”.

Sesi pdp dijalankan secara berperingkat. Pada peringkat awal, kera dan beruk diajar memulas buah kelapa yang hanya diletakkan pada sekeping papan. Papan itu cuma dipaku rapat ke dinding pondok, rumah dan sebagainya.

Setelah peringkat awal ini dikuasai, haiwan ini diajar peringkat yang lebih tinggi, iaitu memulas kelapa secara tergantung menghampiri situasi sebenar pada pokok. Buah kelapa diikat pada tandan kelapa. Akhir sekali, barulah haiwan itu diajar memetik kelapa pada pokok kelapa dalam situasi sebenar.

Waktu produktif untuk sesi pembelajaran haiwan ini ialah pada waktu pagi tatkala matahari terbit dan waktu petang sebelum matahari terbenam. Fokus proses pengajaran digunakan untuk seekor kera atau beruk sahaja pada satu masa.

Hal ini demikian agar haiwan tersebut mudah faham tanpa gangguan “rakan sekelas”.  Oleh itu, haiwan tersebut dapat menguasai kemahiran dengan pantas untuk membantu tuannya menjalankan tugas secepat mungkin. Haiwan ini mudah terpengaruh dengan sikap “rakan sekelas” sekiranya mereka belajar bersama-sama.

Had umur haiwan ini untuk diterima masuk ke “sekolah” bukanlah masalah utama dan tidak ditetapkan. Saiz dan jantina haiwan ini juga bukan ukuran utama. Yang penting keserasian perlu ada antara “pelajar” dan “guru”. Teknik sentuhan dapat membina perhubungan yang erat bagi memudahkan proses pdp.

Menurut beliau, haiwan ini boleh dikenali tahap kecerdasan daripada air muka mereka.  Hebat dan menakjubkan interaksi menerusi pedagogi yang tidak didendang antara dua makhluk yang berbeza-beza personaliti ini. Moga anugerah ini membuat kita lebih muhasabah diri dan menghargai kebesaranNya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    119434
    Melawat Hari Ini : 94
    Jumlah Pelawat : 119434
    Hits Hari Ini : 184
    Jumlah Hits : 211020
    Siapa atas talian : 3
  • Kategori