OLEH JAYMANI SEVANATHAN

“JIKA ingin menjadi seorang penulis pertama sekali kena membaca. Kedua, kena membaca. Ketiga, membaca, keempat membaca dan kelima baru menulis”. – A Samad Said

Membaca adalah perkara wajib yang perlu dilakukan sekiranya kita bercita-cita untuk menjadi seorang penulis atau pengarang tidak kira sama ada karya eceran mahupun buku. Di sini, saya ingin mengupas sedikit sebanyak mengenai pentingnya membaca untuk menulis.

Saya yakin tanpa membaca, kita langsung tidak dapat menurunkan idea atau gagasan di atas helaian kertas. Malah, seseorang yang suka menulis merupakan seorang yang mencintai bahan bacaan. Hal ini adalah kerana membaca akan merangsang daya pemikiran dan keinginan untuk menulis.

Ramai individu bercita-cita untuk menjadi seorang pengarang tersohor, ingin menghasilkan karya dan menempa nama sebagai penulis. Walau bagaimanapun, adakah mereka membaca buku dengan secukupnya? Soalan ini perlu ditanya kepada diri sendiri sekiranya anda ingin menjadi seorang penulis. Tanpa pembacaan, penulisan adalah sia-sia dan tidak cukup kuat untuk menyampaikan gugusan idea tulisan akademik mahupun kreatif.

Tambahan pula, untuk menjadi seorang penulis yang baik, bukan sahaja karya tempatan perlu dibaca, malah karya antarabangsa juga perlu dibaca. Ia penting untuk membuka ruang pemikiran yang hanya terhad dengan perkara-perkara yang berkisarkan citarasa budaya lokal. Mengenali penulisan rentas sempadan dan global merupakan perkara wajib yang akan membantu untuk menulis karya yang cukup baik. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, karya tempatan sangatlah bermutu dan tidak kurang hebatnya berbanding dengan karya antarabangsa.

Pada masa yang sama, untuk menjadi penulis yang baik, anda harus membaca karya daripada penulis yang berkualiti seterusnya meneroka hasil penulisan mereka. Karya mereka boleh dijadikan inspirasi untuk mendapatkan idea dan mengenali pembawaan serta yang paling penting dapat mempelajari teknik dan gaya penulisan baharu. Membaca boleh membantu penulis secara langsung dan tidak langsung.

Selain itu, membaca sangat penting untuk seorang penulis supaya tidak tertumpu dengan penulisan yang klise, berulang dan terhimpit di dalam zon yang selesa. Pembaca tidak lagi berminat dengan kandungan penulisan yang membosankan dan tidak membawa faedah atau menyentuh emosi mereka. Kadang-kala persoalan yang timbul dalam diri seseorang yang bercita-cita ingin menjadi penulis adalah “adakah seorang penulis yang hanya ingin menulis pengalaman sendiri turut memerlukan pembacaan buku?” Jawapannya ialah ya, ia diperlukan juga. Hal ini adalah kerana penulisan pengalaman sendiri juga memerlukan asas yang kuat dalam struktur cerita dan pengembangan plot. Oleh itu, anda tiada cara lain selain membaca karya-karya penulis lain untuk mendapatkan idea penulisan. Sekiranya anda ingin menghasilkan buku travelog, anda perlu membaca buku-buku travelog. Sekiranya anda ingin menghasilkan novel genre seram, anda harus menelusuri karya-karya seram. Begitulah proses pembacaan yang anda harus lalui bagi menghasilkan karya yang berkualiti dan seronok untuk dibaca.

Sebagai seorang penulis eceran, saya juga wajib memperbanyakkan lagi bahan bacaan saya sekiranya saya ingin beralih ke arah penulisan buku pula. Percayalah, sebagai seorang penulis, anda tidak boleh lari daripada membaca. Setiap buku berperanan dalam mendidik kita sebagai seorang penulis atau pembaca dan ia tidak merugikan masa dan kehidupan kita sama sekali.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014967
    Visit Today : 996
    This Month : 34312
    Total Visit : 1014967
    Hits Today : 5434
    Total Hits : 4142237
    Who's Online : 12
  • Kategori