OLEH ATIQAH ABD RAHIM

Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2020, sebuah bicara bersama-sama Mufti Negeri Kelantan, YB Sahibus Samahah Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad telah diadakan dengan topik bicara, “Membina Generasi Membaca” yand diadakan pada 29 Jun 2020, jam 2.30 petang. Bicara mufti tersebut bersiaran langsung melalui laman rasmi Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka. Program bicara ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Kelantan.

Poster Bicara Mufti yang disampaikan oleh YB Sahibus Samahah Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad yang bertajuk Membina Generasi Membaca

Dato’ Haji Mohamad Shukri memulakan bicara dengan ayat al-Quran dari surah al-A’laq yang bermaksud “Bacalah”. Surah al-A’laq, ayat satu hingga lima telah menjadi tajuk utama dalam bicara mufti tersebut. Beliau menjelaskan surah al-A’laq merupakan ayat al-Quran pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W serta wahyu pertama yang diterima oleh baginda untuk umat manusia. Penurunan ayat al-Quran ini merupakan peristiwa yang sangat agung dan tidak seharusnya dilupakan oleh orang Islam kerana mencatatkan detik kelahiran semula tamadun manusia. Tamadun manusia yang berilmu pengetahuan bermula selepas turunnya ayat suci ini. Peristiwa agung tersebut telah memberikan kesan kepada kehidupan manusia dari segi tujuan hidup dan detik masa perubahan yang belum pernah berlaku kepada manusia. Ayat al-Quran ini menjelaskan tentang tiga perkara iaitu tentang alam raya, kehidupan manusia dan memberikan nilai kebebasan kepada manusia bagi menilai tentang perkara duniawi dan juga menjaga hubungan antara manusia dengan Penciptanya. Dalam erti kata lain, kehidupan manusia perlu bertunjangkan kepada akidah iaitu tidak terlepas daripada ketuhanan.

            Iqra’ daripada segi bahasa bermaksud arahan, iaitu perbuatan dan perintah Allah untuk membaca. Dato’ Haji Mohamad Shukri mengupas ayat ini bahawa dalam wahyu pertama, Allah turunkan kepada junjungan Nabi Muhammad S.A.W dengan perintah membaca. Di dalam penerangan beliau menjelaskan Allah tidak memerintahkan manusia untuk bersolat, berpuasa, menunaikan zakat dan haji terlebih dahulu tetapi dengan membaca. Ini bermaksud, konteks membaca seperti yang disarankan ialah manusia perlu menghimpun, menyampai serta mendalami ilmu terlebih dahulu dengan menjalankan penyelidikan. Walau bagaimanapun, suruhan tersebut tidak dinyatakan apa yang hendak dibaca atau objek bacaan tersebut. Maka, membaca di sini bermaksud secara umum. Beliau juga memberikan contoh satu perkataan dalam bahasa Arab, “tilawah” yang bermaksud bacaan ini khusus untuk objek yang suci, iaitu dengan membaca al-Quran. Beliau juga menjelaskan perintah untuk membaca ini meliputi ilmu pengetahuan yang bermanfaat atas nama Tuhan dan juga perlu meninggalkan bahan bacaan yang dilarang. beliau menegaskan orang Islam tidak boleh membaca atas dasar nama negara, negeri, ibu bapa atau sekolah kerana mereka bukan mencipta manusia.

            Membaca dapat menambah ilmu pengetahuan tetapi kita perlu bijak memilih bahan bacaan yang diredhai oleh Allah. Bahan bacaan yang tidak bermanfaat akan merosakkan pemikiran dan memusnahkan diri dan masyarakat. Allah memberikan kemuliaan dan mengangkat darjat orang yang membaca. Ada kata-kata mutiara yang berbunyi, “tuntutlah ilmu hingga ke negeri China”. Kata-kata tersebut menggalakkan aktiviti membaca dan menuntut ilmu walaupun perlu merantau jauh dan mempelajari pelbagai bahasa. Membaca ialah syarat utama untuk membangunkan peradaban. Dalam bahasa Arab, manusia digelar sebagai makhluk yang sosial dan berfikir. Dato’ Haji Mohamad Shukri mengatakan tidak salah sekiranya manusia juga digelar sebagai makhluk yang membaca. Beliau mencadangkan apabila mengkaji al-Quran, seseorang perlu membaca ayat-ayat al-Quran dan kemudian membaca fenomena alam yang diterangkan.

            Selain itu, Dato’ Haji Mohamad Shukri mendedahkan undang-undang yang ditulis dalam al-Quran sesuai dengan peredaran zaman manusia. Berbeza dengan undang-undang yang tidak berlandaskan al-Quran disebabkan lebih terdedah dengan ketinggalan zaman dan kadangkala bersifat tidak adil. Beliau mencadangkan agar melakukan proses pembelajaran daripada al-Quran dijalankan kerana segala sumber telah ditulis secara umumnya sebagai panduan kehidupan. Pada masa yang sama, kita perlu menghubungkan ayat al-Quran dengan proses kejadian alam. Inilah yang dinamakan kedinamikan pencarian ilmu dalam Islam yang tidak terlepas daripada roh pengabdian atau ketuhanan. Perkara ini yang membezakan antara pembacaan ilmu Barat dan Islam. Pembacaan ilmu sains Barat terlepas daripada konsep ketuhanan dan akidah. Manakala, sains dalam Islam berkait rapat dengan akidah dan mengajar umat Islam supaya cinta akan ilmu.

            Sejarah telah membuktikan umat Islam pernah menduduki kedudukan yang sangat gemilang dalam pencapaian ilmu dan teknologi. Sebagai contoh, penciptaan jam yang dihasilkan oleh ulama Islam. Seorang penulis bernama Dr Ahmad Amin menulis dalam bukunya yang bertajuk, “Fajar Islam” menyatakan bahawa Rasullah saw memerintahkan sahabat Zayd ibn Thabit untuk mempelajari ilmu penulisan dan membaca dalam bahasa Ibrani dan Suryani. Merujuk kepada sejarah ini, beliau menyatakan bahawa agama Islam juga mengajar umatnya untuk mempelajari bahasa-bahasa yang lain. Pilihan untuk menerokai bahan bacaan menjadi lebih luas sekiranya mahir dalam pelbagai bahasa. Martabat dan kedudukan  manusia menjadi lebih tinggi dengan ilmu yang diperolehinya. Beliau mengungkapkan sejarah Islam yang lain, iaitu Rasulullah telah membebaskan tawanan perang apabila mereka dapat mengajar anak-anak orang Islam menulis dan membaca. Kegemilangan kerajaan Umaiyah dan Abbasiyah juga berjaya melahirkan bangsa berilmu yang didorong oleh perluasan kerajaan dan secara tidak langsung, masyarakatnya terdedah dengan pelbagai budaya, bahasa dan ilmu. Beliau berharap agar generasi muda dapat mencipta zaman kegemilangan seperti yang telah dibuktikan oleh sejarah dengan salah satu caranya melalui membaca.

            Dato’ Haji Mohamad Shukri berkongsi pengalamannya melihat budaya membaca dalam kalangan orang Barat seperti yang dilihatnya semasa dalam penerbangan dari London ke Kuala Lumpur. Begitu juga semasa beliau belajar di negara Mesir yang memperlihatkan budaya membaca telah menjadi rutin harian masyarakatnya terutamanya semasa menaiki pengangkutan awam. Masyarakat Mesir juga gemar menjual buku-buku yang telah dibaca dan tidak akan menyimpannya di rumah kerana mereka mahu menyebarkan ilmu. Walau bagaimanapun, budaya membaca rakyat Mesir masih dipandang ringan oleh negara Israel. Menurut beliau, Perdana Menteri Israel pernah terlepas satu rahsia dan orang Israel memarahi ketua negara tersebut. Perdana Menteri itu kemudian menenangkan rakyatnya kerana menurut beliau walaupun rahsia mereka tersebar di negara-negara Arab, beliau percaya bahawa masyarakat di negara Arab tidak akan mengetahuinya kerana tidak membaca.

            Berbanding dengan negara Malaysia, Dato’ Haji Mohamad Shukri berpuas hati dengan budaya membaca masyarakat negara ini dan memandang positif terhadap langkah yang sedang dipergiatkan oleh kerajaan. Beliau menjelaskan masyarakat Malaysia suka membaca tetapi lebih cenderung memilih bacaan yang ringan seperti majalah yang tidak mampu membina pemikiran. Majalah berbentuk akademik dan ilmiah tidak mendapat sambutan dan sesetengah telah dihentikan operasinya. Walau bagaimanapun, beliau masih menaruh harapan kepada generasi kini untuk menjadi generasi yang membaca. Namun begitu, cabarannya sangat besar disebabkan oleh perkembangan teknologi yang menyediakan medium yang boleh menghalang anak muda daripada memilih bacaan yang bermanfaat. Oleh itu, beliau berharap agar ilmu yang bermanfaat dapat disediakan dengan lebih banyak di medium seperti di sosial media agar kecenderungan membaca rakyat Malaysia terhadap bacaan ilmiah dapat dipertingkatkan secara berperingkat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044864
    Visit Today : 1285
    This Month : 27463
    Total Visit : 1044864
    Hits Today : 4709
    Total Hits : 4289682
    Who's Online : 7
  • Kategori