Judul:            Jantung Antara Hidup dan Mati

Pengarang:  Jamilah Jamaludin

Penerbit:       Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga:           RM 10

Tahun:          2015

Pengulas:     Ismail Hashim

Kita perlu memberikan perhatian kepada penjagaan kesihatan jantung kerana jika tidak, kita mungkin akan menghadapi serangan penyakit jantung yang boleh membawa maut.

Umur atau usia merupakan salah satu faktor fizikal yang tidak dapat dikawal oleh setiap makhluk. Usia manusia dapat dibahagikan kepada dua peringkat. Peringkat pertama, kebiasaannya manusia tidak mengalami apa-apa penyakit. Namun, peringkat kedua pula, manusia mungkin boleh mendapat sebarang jenis penyakit sekiranya manusia mengabaikan penjagaan kesihatannya.

Menyedari betapa pentingnya fungsi jantung, maka Jamilah Jamaludin telah menulis dalam bukunya yang berjudul Jantung Antara Hidup dan Mati yang bertujuan untuk menyedarkan pembaca akan kepentingan penjagaan kesihatan jantung.

Bagi memudahkan pemahaman pembaca, penulis telah membahagikan kandungannya kepada beberapa bab yang menerangkan secara terperinci tentang jantung manusia. Bab-bab tersebut telah menyentuh perkara-perkara seperti bagaimana jantung bekerja, penyakit jantung kongenital, penyakit injap jantung, penyakit jantung koronari, penyakit darah tinggi, kegagalan jantung dan jantung terhenti serta penjagaan jantung.

Penerangan tentang cara-cara penjagaan jantung yang sihat adalah seperti dengan mengamalkan kawalan berat badan, pemakanan, berhenti daripada tabiat merokok, melakukan senaman, mengurangkan rasa tekanan dan stres serta perubahan gaya hidup.

Penulis menerangkan bahawa berat badan yang berlebihan dapat dielakkan dengan mengambil makanan yang sesuai dengan jenis pekerjaan yang mereka lakukan. Orang yang bekerja keras lebih memerlukan makanan yang berkalori tinggi berbanding dengan orang yang bekerja di dalam pejabat yang selesa sambil duduk dikerusi empuk menaip atau menghadiri mesyuarat.

Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, eloklah mengelakkan makanan yang kaya dengan lemak seperti mentega, keju, minyak sapi (lemak haiwan) dan makanan yang bersantan atau pun makanan yang menggunakan minyak kelapa untuk menggoreng.

Makanan yang kaya dengan kolesterol seperti telur, mentega, hati, otak dan sebagainya mestilah dielakkan. Bahkan pesakit jantung hendaklah mengambil makanan yang hanya mengandungi sedikit lemak sahaja. Penggunaan minyak dalam penyediaan makanan juga patut dikurangkan. Makanan yang dimasak secara kukus atau panggang adalah lebih baik.

Manakala, apa yang dimaksudkan dengan perubahan gaya hidup pula adalah dengan memberikan tumpuan dan penjagaan dari aspek pemakanan, aktiviti riadah, tabiat merokok dan sebagainya.

Penulis juga menerangkan penyakit jantung berkait rapat dengan penyakit darah tinggi yang boleh memberikan kesan kepada sistem jantung kerana terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengepam darah.

Keadaan ini mendorong otot jantung membesar atau mengalami hipertrofi dan menyebabkan dinding jantung menjadi tebal. Ketebalan dinding jantung menyebabkan oksigen yang diperlukan oleh sel otot jantung menjadi meningkat. Sekiranya, keperluan oksigen tidak mencukupi, maka kegagalan fungsi jantung akan berlaku.

Tekanan darah yang tinggi secara berterusan boleh menyebabkan berlakunya perubahan pada dinding salur darah. Tekanan darah tinggi juga mempercepatkan proses aterosklerosis, iaitu suatu keadaan pengerasan arteri yang disebabkan oleh timbunan plak kolesterol. Plak ini bersama-sama dengan kalsium dan trombosit akan menebal dan seterusnya menyumbatkan seluruh pembuluh darah.

Komplikasi daripada penyakit tekanan darah tinggi ini boleh berlaku dalam jangka masa yang cepat atau pun lambat. Ia bergantung kepada bagaimana tekanan darah tersebut dapat dikawal oleh seseorang pesakit.

Sekiranya pesakit darah tinggi mempunyai masalah kesihatan yang lain seperti kencing manis atau pun penyakit jantung, keadaan ini akan mempercepatkan lagi berlakunya komplikasi penyakit tersebut.

Kesimpulannya, buku setebal 66 halaman ini mengajak pembaca agar menjaga jantung mereka, terutamanya kepada golongan tua dan muda dengan penerangan tentang kaedah-kaedah tertentu untuk menjaga kesihatan jantung secara berkesan. Selain itu, jika kita mengabaikannya ia boleh mendatangkan risiko terhadap penyakit-penyakit lain.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013807
    Visit Today : 1070
    This Month : 33152
    Total Visit : 1013807
    Hits Today : 3812
    Total Hits : 4135917
    Who's Online : 6
  • Kategori