OLEH KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

KEUNGGULAN sejarah kepemimpinan negarawan Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein dalam sejarah Malaysia dan sejarah politik Malaysia amat terkenal sebagai Bapa Pembangunan Malaysia kerana sumbangan beliau dalam pembangunan kawasan luar bandar dan masyarakat luar bandar menerusi Dasar Ekonomi Baru. Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein telah dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang. Beliau merupakan anak sulung kepada Orang Kaya Indera Shahbandar Datuk Hussein Mohd Taib dan Hajah Teh Daud dalam kalangan keluarga bangsawan Melayu tradisional. Tun Abdul Razak telah dibesarkan oleh datuknya di Kampung Jambu, Langgar, Pekan dalam suasana kampung yang sederhana. Pendidikan awal Tun Abdul Razak bermula di Sekolah Melayu, Kampung Jambu, Langgar, Pekan, Pahang menerusi Kelas Pendidikan Rendah pada sebelah pagi dan Kelas Pendidikan Agama Islam dan Kelas Al-Quran pada sebelah petang. Tun Abdul Razak telah berjaya melanjutkan pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kuala Kangsar, Perak dan lulus cemerlang dalam peperiksaan Junior Cambridge pada tahun 1937 (Ong Loo Chen, 2015: 252).

Kejayaan Tun Abdul Razak dalam peperiksaan Junior Cambridge pada tahun 1937 telah melayakkan Tun Abdul Razak dilantik sebagai Pegawai Muda Pelatih dalam Skim Perkhidmatan Pentadbiran Melayu pada tahun 1939. Pada tahun 1940, Tun Abdul Razak telah melanjutkan pelajaran ke Raffles College, Singapura pada tahun 1940. Namun demikian, hasrat Tun Abdul Razak untuk meneruskan pelajaran di Kolej Raffles, Singapura tidak kesampaian kerana Perang Dunia Kedua telah berlaku di Tanah Melayu pada 6 Disember 1941 hingga 12 September 1945. Pada masa yang sama, Tun Abdul Razak telah menyertai gerakan bawah tanah melalui Pasukan Gerila Melayu Force 136 yang ditubuhkan semasa Perang Dunia Kedua (Ruslan Zainuddin, 2004: 230). Setelah Jepun menyerah kalah di Bangunan Perbandaran Singapura pada 15 Ogos 1945, Kerajaan British telah memberikan biasiswa kepada Tun Abdul Razak untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang pada tahun 1947 di Lincoln’s Inn, London, United Kingdom.

Pada tahun 1950, Tun Abdul Razak telah berjaya menerima ijazah di Lincoln’s Inn, London. Hasil perkahwinan Tun Abdul Razak dengan Toh Puan Rahah binti Tan Sri Haji Mohamed Noah pada 4 September 1952 telah dikurniakan lima orang cahaya mata lelaki, iaitu Mohd Najib, Ahmad Johari, Mohd Nizam, Mohd Nazim dan Mohd Nazir. Pada 22 September 1970, Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Kedua menggantikan Tunku Abdul Rahman ketika Malaysia dilanda masalah perpaduan kaum dan kemiskinan. Sejarah dan kepemimpinan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Kedua selama enam tahun bermula dari tahun 1970 hingga ke tahun 1976 telah memberi sumbangan besar dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Pada 14 Januari 1976, Tun Abdul Razak telah meninggal dunia ketika mendapat rawatan perubatan di London kerana menghidap penyakit leukemia. Selepas kematian Tun Abdul Razak, beliau telah dianugerahkan gelaran “Bapa Pembangunan” (Tun Razak Dalam Ingatan, 2015: 11).

Sejarah awal kepemimpinan negarawan Tun Abdul Razak dalam kerjaya politik bermula semasa beliau melanjutkan pengajian di United Kingdom. Semasa di United Kingdom, Tun Razak melibatkan diri dalam bidang politik sebagai Setiausaha Persatuan Pelajar Melayu Great-Britain, selain menjadi ahli Parti Buruh. Selain itu, Tun Abdul Razak telah menubuhkan Forum Malaya bagi semua pelajar dari Tanah Melayu membincangkan semua persoalan tentang politik negara. Malah, Tun Abdul Razak turut menyertai Perkhidmatan Awam Malaya selepas pulang ke Tanah Melayu pada tahun 1950.  Tambahan pula, sejarah dan kepemimpinan Tun Abdul Razak dalam bidang politik Tanah Melayu bermula setelah menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Kepemimpinan Tun Abdul Razak dalam dunia politik Tanah Melayu terserlah apabila beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO. Pada tahun 1951, Tun Abdul Razak telah dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua UMNO. Seterusnya, Tun Abdul Razak dilantik sebagai sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 1952 dan Pemangku Menteri Besar Pahang pada tahun 1955, selain turut dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 9 Ogos 1955 (Tun Abdul Razak Dalam Ingatan, 2011: 11). Pada tahun 1959, Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, selain memangku portfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Pertahanan. Secara keseluruhannya, Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Kedua sehingga 14 Januari 1976 sebelum Tun Razak meninggal dunia kerana penyakit leukimia ketika berusia 54 tahun (Tun Razak Dalam Ingatan, 2011: 11).

Sejarah kepemimpinan Tun Abdul Razak dalam sejarah Malaysia dan sejarah politik Malaysia bermula ketika negara Malaysia mula mengorak langkah ke arah mencapai kemerdekaan. Tun Abdul Razak telah menganggotai Rombongan Rundingan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Rundingan Kemerdekaan yang diadakan mulai 18 Januari hingga 8 Februari 1956 telah berjaya menunjukkan bahawa Kerajaan British bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 (Ruslan Zainuddin, 2004: 272). Selain itu, kejayaan Tun Abdul Razak juga terlibat sebagai Timbalan Pengerusi, selain bertindak sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan atau Inter Governmental Committee (IGC) ketika pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963 (Ruslan Zainuddin, 2004: 285). Jelaslah bahawa kepemimpinan dan kebijaksanaan Tun Abdul Razak berjaya menyelesaikan Konfrontasi Indonesia yang dilancarkan oleh Parti Komunis Indonesia (PKI), selain berjaya menyatukan Malaysia dan Indonesia, termasuklah memulihkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia menerusi perjanjian damai yang ditandatangani oleh Tun Abdul Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Luar Indonesia, Adam Malik pada 11 Ogos 1966 di Jakarta, Indonesia (Ruslan Zainuddin, 2004: 285).

Kepemimpinan Tun Abdul Razak juga turut menghadapi cabaran dan pergolakan sewaktu Peristiwa 13 Mei yang berlaku pada 13 Mei 1969, iaitu peristiwa rusuhan kaum yang membawa titik hitam dalam sejarah Malaysia. Perlembagaan negara telah digantung dan parlimen dibubarkan menyebabkan darurat diisytiharkan di seluruh negara Malaysia. Oleh itu, kepemimpinan Tun Abdul Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan telah berjaya mempengerusikan dan membentuk Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada 16 Mei 1969 yang bertanggungjawab menerajui pentadbiran kerajaan bagi menyelesaikan dua masalah utama negara, iaitu masalah perpaduan kaum dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Selain itu, penubuhan Majlis Perundingan Negara (MPN) dan Jabatan Perpaduan Negara (JPN) bertujuan untuk menangani isu pembinaan semula perpaduan negara yang rapuh ketika itu. Maka, penubuhan Rukun Negara diperkenalkan oleh MAGERAN pada 31 Ogos 1970 mengukuhkan kesetiaan rakyat kepada negara. Rukun Negara merupakan ideologi kebangsaan yang mengandungi hasrat murni yang dizahirkan ke arah membentuk sebuah masyarakat dan negara bangsa Malaysia yang demokratik, adil, saksama, liberal dan progresif. Rukun Negara tidak termasuk dalam perlembagaan dan bukan satu bentuk undang-undang. Rukun Negara merupakan batu asas falsafah dan amalan rakyat Malaysia sehingga ke hari ini. Apabila Parlimen berfungsi semula, MAGERAN dibubarkan pada Februari 1971 dan dijadikan satu badan tetap yang dinamakan sebagai Majlis Keselamatan Negara (MKN). Penubuhan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertujuan untuk menjaga keamanan dan kestabilan negara.

Pada masa yang sama, negara Malaysia masih berhadapan dengan ancaman komunis yang menggugat keselamatan awam walaupun darurat tamat pada tahun 1960. Berbekalkan pengalaman menyertai Force 136 dan taktik perang gerila, Tun Abdul Razak melancarkan satu gerakan memerangi pengganas komunis dengan berkesan. Jelaslah bahawa pada tahun 1971, Tun Abdul Razak telah berjaya membentuk gabungan sembilan parti politik di bawah payung Barisan Nasional (BN) menerusi satu sistem muafakat parti politik.

Era kepemimpinan Tun Abdul Razak sepanjang tahun 1970 hingga 1976 menurut Wong Khek Sheng, Raminah Hj. Sabran dan Kok Meng Kee dalam Pengajian Am Kertas 1 dan 2 STPM (2004) bermula menerusi pelaksanaan Dasar Berkecuali yang diamalkan oleh Tun Abdul Razak selepas tahun 1970. Pelaksanaan Dasar Berkecuali ketika era kepemimpinan Tun Abdul Razak merupakan keperluan untuk pembangunan negara bangsa Malaysia yang merdeka dan bebas daripada penguasaan Barat menerusi hubungan tanpa mengira ideologi.  Selain itu, pelaksanaan Dasar Berkecuali bersifat tidak antikomunis tetapi bukan komunis. Hal ini demikian bermakna Malaysia akan menolak segala doktrin komunisme yang tidak sesuai dengan kehidupan bangsa Malaysia. Namun begitu, hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara komunis akan dipelihara. Pelaksanaan Dasar Berkecuali telah berjaya meluaskan hubungan diplomatik dengan dunia luar seperti Afrika dan Asia, Amerika Latin, Pasifik Selatan dan Timur Tengah. Demikian juga hubungan dengan Negara China dan Vietnam. Jelaslah bahawa pelaksanaan Dasar Berkecuali ketika era kepemimpinan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia Kedua telah bersetuju dengan konsep ZOPFAN pada tahun 1971.

Sejarah kepemimpinan Tun Abdul Razak sebagai negarawan dalam hubungan antarabangsa seiring dengan rancangan pembangunan dalam negara. Oleh itu, Tun Abdul Razak telah mengukuhkan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa. Maka, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mengeratkan lagi hubungan di peringkat antarabangsa, serantau dan rantau-rantau kecil.  Selain itu, di bawah kepemimpinan Tun Razak, Malaysia mengalihkan dasarnya ke arah pendirian berkecuali. Pada 27 November 1971, ASEAN mengeluarkan Deklarasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Zone of Peace, Freedom and Neutrality, ZOPFAN) yang berfahaman berkecuali dan antinuklear. Malaysia turut menyertai Pergerakan Negara-negara Berkecuali yang memberi peluang untuk Malaysia menjalin hubungan diplomatik yang lebih akrab dengan negara-negara ASEAN, selain dapat menjamin keselamatan serantau (Ong Loo Chen, 2015: 254).

Tun Abdul Razak merupakan pengasas kepada jambatan hubungan dua hala Malaysia-China. Pada tahun 1974, Malaysia telah mengiktiraf Republik Rakyat China merupakan sebuah negara yang berfahaman komunis menerusi lawatan bersejarah Tun Abdul Razak ke Beijing, China. Hasil daripada lawatan sulung Tun Abdul Razak ke China telah menyaksikan negara Malaysia buat pertama kali telah menjalinkan hubungan dua hala dengan negara komunis China kerana sebelum ini, dasar luar Malaysia bersifat antikomunis.

Malaysia turut memainkan peranan penting dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), selain mengukuhkan hubungan dengan Kesatuan Ekonomi Eropah (ECC) dan pelbagai pertubuhan antarabangsa di seluruh dunia. Hal ini demikian jelas terbukti ketika Tun Abdul Razak mengetuai lawatan rasmi ke negara China bersama rombongan disambut secara besar-besaran di Lapangan Terbang Peking, Peking, China pada 28 Mei hingga 2 Jun 1974. Tun Abdul Razak turut bertemu dengan Perdana Menteri Nigeria, Sir Abu Bakar Tafawa Balewa ketika mengadakan lawatan rasmi ke Nigeria menghadiri Sidang Perdana Menteri-Perdana Menteri Komanwel di Lagos, Nigeria pada 9 Januari 1966.

Sejarah kepemimpinan negarawan menunjukkan Tun Abdul Razak seorang tokoh negarawan yang hadir ketika negara Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kemelut politik. Secara umumnya, tahun 1956 merupakan tahun persediaan yang merintis pelbagai perancangan untuk memastikan kuasa ketuanan Melayu yang bakal diterima menjadi kuasa yang berwibawa di Tanah Melayu. Tambahan pula, Tanah Melayu terpaksa mewarisi pelbagai masalah ekonomi, sosial dan politik yang ditinggalkan oleh British dan Jepun, selain menangani keadaan darurat yang dicetuskan oleh Parti Komunis Malaya (PKM), Tanah Melayu turut berhadapan dengan kemelesetan ekonomi dunia yang berlaku pada tahun 1957 hingga 1958 (Tun Razak Dalam Ingatan, 2011). Namun demikian, pelbagai cabaran tersebut telah ditangani dengan penuh iltizam dan keyakinan kerana Tun Abdul Razak merupakan seorang negarawan yang mempunyai keperibadian yang tinggi dan bersemangat waja. Keunggulan sejarah kepemimpinan Tun Abdul Razak dalam sejarah Malaysia dan sejarah politik Malaysia seiring dengan kekuatan tongkat yang tidak pernah terlepas daripada genggaman tangannya menemui rakyat di seluruh pelusuk negara untuk memastikan pembangunan yang dirancang sampai kepada rakyat jelata. Atas perasaan cinta kepada rakyat jelata, Tun Abdul Razak turun padang ketika banjir, ribut, hujan, menyusuri sungai, semak, belukar, meniti jambatan gantung dan menyingsing seluar untuk bersama rakyat meneruskan perjuangan membangunkan negara sehingga ke akhir hayatnya. Pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak merupakan satu kehilangan besar kepada rakyat Malaysia dan negara Malaysia.

Secara keseluruhannya, sejarah kepemimpinan negarawan Tun Abdul Razak dalam sejarah Malaysia dan sejarah politik Malaysia telah mengangkat keunggulan Tun Abdul Razak sebagai legasi dalam kalangan kawan dan lawan, parti pemerintah dan parti lawan. Kepemimpinan Tun Abdul Razak mencetuskan revolusi politik, revolusi ekonomi dan revolusi sosial bangsa Melayu di Tanah Melayu seiring dengan usaha dan kejayaan beliau meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa rasa trauma dan pertumpahan darah. Atas daya usaha Tun Abdul Razak, Malaysia bangkit daripada era kemunduran ekonomi dan sosioekonomi. Selain itu, kepemimpinan Tun Abdul Razak berjaya menyatukan perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan suku kaum. Jelaslah bahawa sejarah kepemimpinan Tun Abdul Razak dalam sejarah Malaysia dan sejarah politik Malaysia telah mengangkat keunggulan batu asas kemajuan negara bangsa Malaysia pada hari ini dan pada masa hadapan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    127840
    Melawat Hari Ini : 68
    Jumlah Pelawat : 127840
    Hits Hari Ini : 141
    Jumlah Hits : 229477
    Siapa atas talian : 3
  • Kategori