Oleh KHAIROL ANUAR BIN HARITH FADZILLAH

 

Program Bimbingan Penulisan Novel Sejarah untuk Remaja Zon Utara 2019 bersempena dengan Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM 2019 telah diadakan di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 22 Januari 2019. Selain itu, Program Bimbingan Penulisan Novel Sejarah untuk Remaja Zon Utara 2019 menampilkan dua ahli panel dalam bidang kajian sejarah Malaysia dan kesusasteraan Melayu moden dari Universiti Malaya (UM), iaitu Prof Emeritus Dato’ Dr. Abdullah Zakaria dan Prof Madya Dr. Hashim Ismail. Secara keseluruhannya, penganjuran Program Bimbingan Penulisan Novel Sejarah untuk Remaja Zon Utara 2019 bersempena dengan Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM 2019 bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU).

Program Bimbingan Penulisan Novel Sejarah untuk Remaja bersempena Sayembara Penulisan Novel Sejarah untuk Remaja DBP PSM 2019.

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdullah Zakaria sebagai mantan pensyarah sejarah Malaysia dari Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Kuala Lumpur memulakan sesi pertama dalam bengkel bertajuk “Pengenalan Sejarah Tempatan” berdasarkan kajian sejarah Melayu dan sejarah raja-raja Melayu yang bermula di Bukit Si Guntang, Palembang, Sumatera Selatan  seperti yang diceritakan dalam karya agung bertajuk Sejarah Melayu, karya Tun Seri Lanang. Selain itu, kajian sejarah Melayu dan sejarah raja-raja Melayu di Bukit Si Guntang merupakan warisan sejarah institusi kesultanan Melayu dalam tamadun Melayu dan sejarah Malaysia yang berkembang dari era Kesultanan Melayu Melaka hingga ke sistem Raja Berperlembagaan. Sejarah Kesultanan Melayu Melaka sebagai “batu asas dalam sejarah Malaysia dan kebudayaan pemerintahan tradisional Melayu” boleh diceritakan dalam penulisan novel sejarah Malaysia untuk remaja (Ruslan Zainuddin, 2004: 7).

                Sejarah awal Kesultanan Melayu Perak menurut Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdullah Zakaria terkandung dalam Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdP) Sejarah Tingkatan 2 Alam Melayu Bab 7: Kesultanan Melayu Perak merupakan satu kajian utama yang boleh diceritakan dalam penulisan novel sejarah Malaysia untuk remaja. Selain itu, sejarah awal Kesultanan Melayu Perak dalam Sejarah Ringkas Negeri Perak dan Adat Lembaga Orang-Orang Melayu di Dalam Negeri Perak Darul Ridzuan (2007) bermula ketika pemerintahan para pembesar Melayu seperti Tun Saban di Hulu Perak, selain pemerintahan Tok Temong sebagai pembesar di daerah Temong, Perak. Tun Saban sebagai wakil pembesar Melayu Perak bersama Tok Temong dan Nakhoda Kassim berangkat ke Kampar untuk menghadap Sultan Mahmud Shah bagi mendapat perkenan Baginda untuk menjemput Raja Muzaffar Shah yang akan ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama. Keberangkatan Sultan Muzaffar Shah ke Perak bersama alat kebesaran berupa sebilah Pedang Cura Si Manja Kini, sebilah keris, cap mohor, nobat dan Surat Ciri. Sejarah adat istiadat Memijak Beting Beras Basah dalam sejarah awal Kesultanan Melayu Perak menurut Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdullah Zakaria Ghazali bertujuan untuk memperingati sejarah ketibaan Sultan Perak yang pertama, Sultan Muzaffar Shah menerusi kapal Baginda yang tersekat di Beting Beras Basah, lantas Baginda turun dan berpijak di Beting Beras Basah sehingga membolehkan kapal belayar masuk ke Sungai Perak.

Sejarah Kesultanan Melayu Perak telah diasaskan oleh Paduka Seri Sultan Muzzafar Shah sebagai “Marhum Tanah Abang” pada tahun 1528. Sultan Muzzafar Shah mendirikan pusat pemerintahan pertama Kesultanan Melayu Perak di Tanah Abang. Pada hari Upacara Istiadat Pertabalan Sultan Muzaffar Shah, Tok Temong telah mengurniakan Baginda sebutir batu geliga yang bernama Mestika Embun sebagai salah satu alat kebesaran diraja negeri Perak (Lee Sin Lian, 2019: 53).

Profesor Emeritus Dato Dr. Abdullah Zakaria Ghazali bergambar bersama Shirley Idris dan Nur Ain Hanis dari ASASI.

Sejarah jin dalam sejarah Kesultanan Melayu Perak menurut kajian Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdullah Zakaria boleh diceritakan dalam novel sejarah Malaysia untuk remaja bagi menambahkan pengetahuan mereka tentang sejarah Kesultanan Melayu Perak, selain menjunjung kedaulatan warisan sultan dalam sejarah Kesultanan Melayu Perak dan sejarah Malaysia. Senarai jin penjaga Negeri Perak (jin kerajaan) dan jin-jin penjaga Perkakas Kerajaan (Royal Regalia) dalam sejarah Kesultanan Melayu Perak turut diceritakan dalam A History of Perak (Winstedt, R.O dan Wilkinson, R.J., 1934).

Penceritaan sejarah dalam penulisan novel sejarah Malaysia untuk remaja menurut Profesor Emeritus Dato Dr. Abdullah Zakaria Ghazali tidak boleh diubah dari segi fakta, tarikh, peristiwa, tempat, masa dan masyarakat melibatkan tokoh, wira serta individu dalam sejarah. Hal ini jelas terbukti menerusi sejarah pembunuhan James William Woodford Birch atau J. W. W Birch di Pasir Salak pada 2 November 1875 ketika melabuhkan Perahu Naga di tepi Sungai Perak. Pembunuhan Birch berlaku akibat dendam dan kebencian para pembesar Melayu dan Sultan di Perak akibat keperibadian Birch yang tidak tahu berbahasa Melayu dengan baik, tidak menghormati adat resam orang Melayu, menghapuskan hak pungutan cukai dan menghapuskan amalan adat perhambaan. Secara keseluruhannya, Profesor Emeritus Dato Dr. Abdullah Zakaria Ghazali  turut menasihati para peserta program bimbingan yang ingin menulis novel sejarah Malaysia untuk remaja agar membaca pelbagai kajian sejarah daripada pelbagai sumber sejarah berautoriti, membuat penyelidikan sejarah secara terperinci, termasuklah mengekalkan jati diri Alam Melayu dan jati diri sejarah Malaysia dalam penulisan novel sejarah Malaysia buat para remaja.

Prof Madya Dr. Hashim Ismail menyampaikan penerangan konsep novel sejarah Malaysia untuk remaja kepada para peserta program menulis novel sejarah untuk remaja.

Program Bimbingan Penulisan Novel Sejarah untuk Remaja Sesi Kedua bertajuk “Estetika Penulisan Novel Sejarah” disampaikan oleh Prof Madya Dr. Hashim Ismail menerusi kertas kerja bertajuk “Konsep Novel Sejarah Remaja.” Prof Madya Dr. Hashim Ismail menerangkan konsep novel sejarah Malaysia. Istilah “novel” dari segi bahasa ialah kata pinjaman dalam bahasa Inggeris, iaitu novella yang berasal dari satu genre sastera Itali yang memaparkan cerita-cerita realistik yang pendek dan padat (C Hugh Hollman dan William Harmon, 1986: 336-337). Komponen utama novel sejarah menceritakan dunia realisme seiring dengan latar masa, latar tempat dan latar masyarakat. Novel sejarah menyajikan watak manusia biasa dengan pelbagai sikap, emosi, mental, prinsip, persepsi, selain interaksi manusia sesama manusia berkaitan sejarah lampau.

Konsep pensejarahan merupakan satu kajian penulisan sejarah pada zaman lampau yang memaparkan sejarah kehidupan dan tamadun manusia. Kepentingan aspek sejarah dan pensejarahan dalam penulisan novel sejarah Malaysia untuk remaja perlu bersifat rasional, menolak unsur legenda, mitos dan khayalan. Selain itu, semua fakta, hujah, data dan contoh dalam penulisan novel sejarah Malaysia untuk remaja perlu diceritakan dengan tepat  berdasarkan tarikh, peristiwa dan tokoh sejarah. Ketepatan pemilihan dokumen, surat, monumen, foto, artifak, tulisan dan sumber sejarah amat penting bagi mengekalkan keaslian kajian sejarah untuk diceritakan dalam penulisan novel sejarah Malaysia untuk remaja. Penulisan novel sejarah Malaysia untuk remaja tidak bersifat bias dan bersifat objektif dalam pemilihan fakta dan penceritaan fakta melalui hukum sebab dan akibat dalam sesuatu peristiwa sejarah. Jelaslah bahawa penulisan sejarah dalam novel sejarah Malaysia untuk remaja disusun dalam bentuk tafsiran sejarawan dalam kajian sejarah dan pensejarahan.

Konsep novel sejarah menurut kajian Prof Madya Dr. Hashim Ismail merupakan rangkaian fakta yang menceritakan kisah tokoh sejarah dan peristiwa sejarah yang dihidupkan oleh watak-watak sejarah dalam sejarah Malaysia. Selain itu, latar masa, latar tempat dan latar masyarakat dalam penulisan novel sejarah Malaysia untuk remaja menepati perkembangan sejarah Malaysia. Ringkasnya, novel yang menceritakan kisah tokoh sejarah yang tiada dalam peristiwa sejarah dan watak-watak rekaan sememangnya bersifat bukan novel sejarah!

            Plot novel sejarah Malaysia untuk remaja perlu menceritakan pelbagai tema dan persoalan besar dalam sejarah Malaysia seperti politik, ekonomi dan sosial berkaitan kehidupan watak tokoh sejarah Malaysia. Menurut Prof Madya Dr. Hashim Ismail, novel Puteri Gunung Rindu (2015), karya Rahimah Muda sebagai pemenang tempat ketiga Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja menceritakan plot novel sejarah secara kronologi untuk bacaan para remaja. Penulisan novel sejarah Malaysia untuk remaja yang menceritakan peristiwa peribadi pengarang tidak tergolong sebagai novel sejarah kerana perspektifnya sangat terhad dan nilai sejarahnya tidak sempurna, selain novel tersebut bersifat novel autobiografi.

Kemenangan novel Mengukir Larut, Puteri Gunung Rindu dan Awang Kembara Mengelilingi Dunia dalam kedudukan tempat tiga teratas Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja menurut Prof Madya Dr. Hashim Ismail dan Prof Emeritus Dato Dr. Abdullah Zakaria Ghazali berjaya memaparkan idealisme, kekuatan nilai sejarah dan nilai sastera, selain memaparkan keindahan bahasa dan kekuatan aspek imbas kembali yang mengukuhkan plot novel sejarah.

            Kajian ciri-ciri novel sejarah Malaysia untuk penulisan novel sejarah remaja menurut Prof Madya Dr. Hashim Ismail perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh DBP dan PSM. Novel sejarah remaja berkonsepkan novel sejarah edisi remaja yang menceritakan kisah tokoh sejarah dan wira sejarah untuk bacaan remaja. Sasaran khalayak pembaca novel sejarah untuk remaja ialah remaja yang berumur 13 tahun hingga 21 tahun. Kandungan novel sejarah untuk remaja setebal 150 halaman hingga 250 halaman. Watak “bersejarah” berperanan sebagai penggerak cerita yang memberi pengajaran kepada remaja, selain menggunakan sudut pandangan sejarah dan pemikiran sejarah. Selain itu, ciri peristiwa sejarah perlu mendasari plot novel sejarah. Manakala, ciri novel sejarah perlu menerapkan nilai motivasi yang dapat membangkitkan semangat dan memupuk jiwa remaja yang memiliki akal budi, nilai sahsiah tinggi dan memiliki jati diri bangsa Malaysia yang bertamadun.

            Kepentingan idealisme sebagai wajah karya novel sejarah Malaysia untuk remaja menurut Prof Madya Dr. Hashim Ismail merupakan landasan kewibawaan pemikiran pengarang yang merangsang strategi naratif. Sebagai contohnya, kepentingan idealisme dalam novel Awang Kembara Mengelilingi Dunia dipaparkan berdasarkan formula 5W1H, iaitu What (Apa), Why (Mengapa), Where (Di Mana), When (Bila), Who (Siapa) dan How (Bagaimana). Gabungan rumus 5WIH dalam novel Awang Kembara Mengelilingi Dunia menyampaikan kajian dan fakta sejarah tentang pelayaran Panglima Awang ke seluruh dunia yang melambangkan asas keunggulan dan kejayaan Panglima Awang sebagai pelayar pertama yang belayar mengelilingi dunia dari Alam Melayu. Hal ini demikian kerana kepentingan idealisme dalam novel sejarah Malaysia bagi remaja meningkatkan motivasi serta berjaya seperti Panglima Awang yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu dari Nusantara di mata dunia. Kepentingan idealisme dalam novel sejarah Malaysia untuk remaja turut diolah oleh Amer Hamzah L. Kadir menggunakan keindahan bahasa yang menceritakan sejarah Perang Larut dan pergaduhan kumpulan kongsi gelap Gee Hin dan Hai San dalam novel Mengukir Larut. Keunggulan novel Mengukir Larut memaparkan sejarah kongsi gelap, sejarah Perang Larut dan sejarah ketokohan Orang Kaya Larut, iaitu Ngah Ibrahim dalam sejarah Larut dan sejarah Malaysia. Secara keseluruhannya, kepentingan idealisme dalam novel Awang Kembara Mengelilingi Dunia dan Mengukir Larut, “menghidupkan” keunggulan nilai sejarah dalam  sejarah Alam Melayu dan sejarah Malaysia.

Juara Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja DBP PSM, Amer Hamzah L. Kadir bergambar bersama editor Jendela Utara, Puan Roshasliza Sulaiman dan Shirley Idris.

Penganjuran Program Bimbingan Penulisan Novel Sejarah untuk Remaja Zon Utara yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara pada 22 Januari 2019 telah mencipta sejarah baharu menerusi penglibatan ramai para peserta. Semoga Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk DBP dan Persatuan PSM 2019 melahirkan para peserta dari Wilayah Utara sebagai “Juara” yang mengikuti jejak langkah Amer Hamzah L. Kadir sebagai Juara Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja DBP dan PSM menerusi novel Mengukir Larut (2015). Penulisan novel sejarah Malaysia untuk remaja membentuk kemahiran pemikiran sejarah yang menyuburkan nilai ilmu, rohani, emosi dan jasmani untuk remaja sebagai tonggak kepemimpinan negara pada masa hadapan. Penulisan novel sejarah Malaysia untuk remaja melahirkan para remaja yang memelihara warisan sejarah Malaysia sebagai bangsa Malaysia yang bertamadun dan memiliki keunggulan semangat patriotisme.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014660
    Visit Today : 689
    This Month : 34005
    Total Visit : 1014660
    Hits Today : 2669
    Total Hits : 4139471
    Who's Online : 12
  • Kategori