Judul buku: Siri Kajian Pemikiran Sasterawan Negara: Pemikiran Sasterawan Negara Usman Awang

Pengenalan: Anwar Ridhwan

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun terbit: 2015

Harga: RM45.00

PENGULAS: MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF 

BUKU Siri Kajian Pemikiran Sasterawan Negara: Pemikiran Sasterawan Negara Usman Awang telah menghimpunkan sejumlah besar kertas kerja yang digarap oleh ahli akademik, penulis dan juga pengamat karya kesusasteraan terutamanya karya-karya tulisan Usman Awang. Usman Awang merupakan penerima ketiga Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara oleh Yang di-Pertuan Agong. Sebagai seorang penulis yang menulis dalam pelbagai genre, Usman Awang tidak terlepas dalam menggunakan beberapa nama pena seperti Tongkat Warrant, Setiabudi, Manis, Adi Jaya, Atma Jiwa dan Zaini. Menerusi buku ini, Anwar Ridhwan tampil menulis pengenalan yang menyentuh tentang kesemua kertas kerja yang dikemukakan dalam buku ini. Terdapat enam kelompok yang dibahagikan bagi membicarakan karya dan kegiatan kesusasteraan Usman Awang. Kelompok yang dimaksudkan ialah puisi, drama, cerpen, novel, esei kritikan dan kegiatan.

Pada bahagian puisi, terdapat 13 kertas kerja yang membicarakan puisi-puisi karya Usman Awang. Norhayati Ab Rahman selaku seorang ahli akademik tampil dengan makalahnya yang berjudul ‘Wanita dalam Persepsi dan Pemikiran Sasterawan Negara Usman Awang: Dari Perspektif Wanita’ dalam membicarakan puisi-puisi Usman Awang. Pendekatan kaedah bacaan feminis yang dikemukakan oleh Elaine Showalter mengemudi penelitian ini. Pendekatan ini ialah kaedah yang berteraskan pembacaan hasil-hasil karya sastera pengarang lelaki daripada perspektif wanita. Sejumlah puisi Usman Awang yang mendukung penulisan ini diperoleh daripada kumpulan puisi serta antologi seperti Gelombang (1961), Teluk Gong (1988), dan Duri dan Api (1973) sebagai data penelitian. Penulis membangkitkan persoalan; apakah pemikiran yang mendasari puisi-puisi ciptaan Usman Awang jika dilihat dari kaca mata seorang wanita? Secara tidak langsung, persoalan ini menjadi pemangkin dalam usaha menghasilkan penulisan ini. Berdasarkan penelitian yang dilakukan, puisi-puisi Usman Awang begitu dominan dalam memberikan penghargaan terhadap wanita menerusi perasaan dan emosi dalam puisi-puisi karangannya. Sebagai tamsil, Usman Awang begitu romantis dalam penulisan puisinya terhadap wanita yang begitu dikasihinya. Luahan perasaan ini dikenal pasti menerusi bait-bait berikut yang merupakan sebuah luahan rindu daripada puisi yang berjudul ‘Kasih dan Rindu’;

Alangkah sunyinya taman hati ini,

Lengang dalam wajah membisu,

Dan pada kesepian begini adinda,

Kenangan kepadamu manis menjelma.

Penulis secara keseluruhannya mentafsirkan puisi-puisi Usman Awang sebagai puisi-puisi yang memaparkan rasa penghormatan dan kasih sayang terhadap wanita. Penulis juga mendapati kebanyakan karya Usman Awang menyerlahkan pemikiran yang positif terhadap wanita.

Bab seterusnya pula merupakan kelompok kertas kerja yang membicarakan karya Usman Awang berdasarkan karya bergenre drama. Terdapat empat kertas kerja yang dikumpulkan dan masing-masing menguliti drama seperti ‘Tamu di Bukit Kenny’, ‘Muzika Uda dan Dara’, ‘Atap Genting Atap Rumbia’ dan drama berjudul ‘Matinya Seorang Pahlawan’. Antara penulisan yang dikumpulkan bersama ialah kertas kerja yang berjudul ‘Anjakan Makna Jebat, Tuah dan Baru/Wangi dalam drama ‘Matinya Seorang Pahlawan’ oleh Rahman Shaari. Penulisan ini begitu menarik untuk dihadamkan kerana menyerlahkan pemaknaan yang baharu terhadap watak Jebat, Tuah dan Baru/Wangi berbanding yang terkandung dalam teks sejarah sastera Hikayat Hang Tuah. Penulis secara objektifnya berhasrat mengemukakan perihal yang bertentangan daripada pengarang Hikayat Hang Tuah yang terkandung dalam drama ‘Matinya Seorang Pahlawan’. Hasil penelitian yang dilakukan memperlihatkan pertentangan dalam perwatakan watak Jebat, Tuah dan Baru/Wangi berbanding hipotek. Menerusi drama ini, watak Tuah digambarkan negatif apabila mencuri keris Taming Sari dari Jebat. Jebat dan Baru/Wangi pula digambarkan sebagai pasangan yang romantis dan babak pengakuan Jebat yang telah bermukah dengan Baru/Wangi dalam Hikayat Hang Tuah disingkirkan daripada drama ini, lantas memperincikan perwatakan yang baik terhadap Jebat dalam drama ini. Penulis menyimpulkan menerusi drama ‘Matinya Seorang Pahlawan’, Usman Awang telah menganjakkan pemaknaan yang terkandung dalam Hikayat Hang Tuah.

Melewati buku ini, para pembaca juga dapat membaca kajian-kajian yang menelusuri karya-karya Usman Awang bagi genre cerpen. Judul-judul yang mengisi kajian cerpen ialah ‘Garis-garis Kreativiti Usman Awang: “Dirinya” dalam Cerpennya’, ‘Cerpen-cerpen Usman Awang dalam Bacaan Kritikan Feminisme’, ‘Pemikiran Alamiah dalam Cerpen Usman Awang’ dan penulisan yang berjudul ‘Strategi dan Teknik Naratif dalam Cerpen “Kami yang Terlibat”.  Selain itu, masing-masing sebuah kajian yang menyentuh tentang novel dan esei kritikan yang ditulis oleh Usman Awang. Muhd Yusof Hasan menerusi kajian berjudul ‘Analisis Novel Tulang-tulang Berserakan dari Sudut Pemikiran Pengarang’ menerapkan Teori Sistem Pemikiran Bersepadu 4L (SPB4L) yang diasaskannya sendiri. Teori ini merangkumi empat jenis kemahiran pemikiran iaitu Pemikiran Kerohanian, Pemikiran Kebitaraan, Pemikiran Kesaintifikan dan Pemikiran Kekreatifan. Teks novel Tulang-tulang Berserakan dianalisis secara analisis kandungan dan hasil penelitian memerihalkan novel ini memenuhi keempat-empat pemikiran yang dianjurkan dalam teori SPB4L. Hamzah Hamdani menerusi makalahnya yang berjudul ‘Pembicaraan Tentang Sikap dan Pemikiran Usman Awang’ telah menghadamkan sejumlah 45 esei tulisan Usman Awang yang dikumpulkan atas usaha Dinsman dan Sutung Umar Rs. Penelitian ini menyerlahkan sikap serta pemikiran Usman Awang sendiri secara tidak langsung. Penulis turut menyatakan bahawa pandangan Usman Awang mengenai konsep dan fungsi kesusasteraan sebagai wahana perjuangan dalam zaman peralihan dan pembangunan bangsa sentiasa diperkatakan, diperluas dan dipertegas.

Bab terakhir dalam buku ini pula merupakan kelompok makalah atau kertas kerja yang membicarakan kegiatan yang berkaitan dengan Usman Awang. Judul-judul yang terlibat pada kelompok ini ialah, ‘Usman Awang: Perspektif Persatuan Penulis’, ‘Meragui Metanaratif: Usman Awang Bukan Pelopor ASAS 50’ dan ‘Kesusasteraan Bercorak Rakyat, Kepunyaan Rakyat dan untuk Rakyat’. Menerusi makalah berjudul ‘Meragui Metanaratif: Usman Awang Bukan Pelopor ASAS 50’, Awang Azman Awang Pawi cuba memperbetulkan persepsi masyarakat yang mengaitkan Usman Awang sebagai pelopor ASAS 50. Menerusi makalah ini, penulis menyorot kembali sejarah penubuhan ASAS 50 dan membongkar akan kenyataan Usman Awang sendiri yang menyatakan bahawa dia sekadar penggerak dan bukanlah pengasas ASAS 50 seperti yang terkandung dalam naskhah-naskhah ilmiah.

Kesimpulannya, buku ini meninjau susuk kesusasteraan seorang Sasterawan Negara yang menghasilkan karya dalam pelbagai genre, malah buku in turut meneliti kegiatan kesusasteraan yang dikaitkan dengan Usman Awang. Sesungguhnya, buku ini merupakan usaha pendokumentasian yang begitu bermakna mengenai Usman Awang untuk kesejahteraan kesusasteraan tempatan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014406
    Visit Today : 435
    This Month : 33751
    Total Visit : 1014406
    Hits Today : 1294
    Total Hits : 4138096
    Who's Online : 17
  • Kategori