Judul:          Mencari Kasih

Pengarang:  Abu Hassan Morad

Penerbit:      Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga:          RM 10.00

Tahun:         2019

Pengulas:    Ismail Hashim

NOVEL kanak-kanak ini menceritakan tentang An yang telah dilahirkan pada 10 Mei 1957, iaitu tiga bulan sebelum Malaysia merdeka. An seorang kanak-kanak yang kurang kasih sayang setelah ibunya meninggal dunia. Lang Hawa yang mendidik An dan adik beradiknya. An lebih rapat dengan datuknya, Haji Din bin Jaafar.

Ayah An bertugas sebagai homeguard, iaitu pengawal kampung yang bertugas jauh hingga ke kawasan sempadan. Mereka tinggal bersama-sama dengan datuk. Di kampung tempat An tinggal itu berlaku kegiatan pengganas yang melakukan serang hendap dan suka mengganggu ketenteraman di kawasan kampung. Pengganas mengugut penduduk-penduduk kampung supaya membekalkan mereka makanan. Datuk An ialah seorang ketua kampung dan juga seorang pendekar yang handal serta rajin melakukan ibadat.

Datuk An meminta penduduk kampung supaya rajin memohon pertolongan Allah dengan menunaikan solat wajib, solat sunat dan kerap membaca al-Quran bagi melindungi kampung mereka daripada ancaman serangan pengganas. Setelah kampung menjadi tenang dan aman, penduduk kampung mulai lupa dan mereka tidak lagi membaca al-Quran malah menggantikan amalan itu dengan pertunjukkan makyung, wayang kulit dan acara menari pada hari perkahwinan.

Kelalaian penduduk kampung menyebabkan pengganas telah datang semula mengganggu kawasan kampung dan berjaya membunuh penduduk kampung bernama Pak Amat kerana enggan bekerjasama dengan pengganas. Pengganas Siam telah menyerang Kampung Kubang Chenok pada musim menuai dari arah Kampung Cina. Sawah padi telah dibakar. Akhirnya, Kampung Kubang Chenok terlepas ke tangan pengganas Siam. Orang kampung terpaksa berpindah ke pekan Padang Sera. Bagi mengusir pengganas Siam itu, datuk An telah mendapatkan bantuan pendekar-pendekar dari Kampung Belukar dan Kampung Seputih.

Suasana menjadi aman semula dan penduduk kampung sudah mula ke sawah padi, ladang dan melakukan kerja-kerja bercucuk tanam. Majlis kenduri kesyukuran telah diadakan atas kemenangan mereka dan turut menjemput orang Kampung Seputih, Kampung Belukar dan pekan Padang Sera yang membantu mereka mengusir pengganas dari Siam itu. Datuk An bersama-sama dengan penduduk kampung seramai 10 orang menunaikan haji ke Mekah. Persiapan telah dibuat pada bulan Syawal dan mereka pergi menunaikan haji dengan menggunakan kapal laut. Mereka akan berada di atas kapal kira-kira tiga minggu sebelum sampai ke Jeddah.

Kami menyambut kepulangan datuk An di Pelabuhan Pulau Pinang. Datuk An kelihatan uzur. Ramai orang kampung yang datang menziarahinya. Datuk An meninggalkan pesanan yang berkaitan dengan iman dan hal-hal agama. Sekiranya yang datang orang muda, datuk An akan berpesan supaya menjaga akhlak, amanah dan berbuat baik kepada orang tua.

Setelah terlantar hampir lima bulan, akhirnya datuk meninggal dunia. Jenazah datuk An dimandikan, dikafankan dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Menerong. An berasa sedih atas pemergian datuknya. Ayah dan ibu sibuk ke sawah. Adik kecil An bernama Razali dijaga oleh jiran sebelah yang bernama Ngah Leha. Hal ini memberikan An ruang untuk berbaik-baik dengan Ku Aziz, anak Pak Ku Mat, Ku Halim anak Ku Ali, Mansur anak Haji Mat dan Salim anak Wa Ramli. Ini adalah rakan-rakan yang sebaya dan rapat dengan An.

Ayah sibuk menguruskan tanah yang baharu untuk dijadikan dusun dan menanam getah. Tanah datuk hanya tinggal dua relung sahaja kerana yang lain sudah tergadai ke tangan Pak Ku Mat setelah ayah tidak dapat menjelaskan hutang semasa datuk jatuh sakit. Selepas itu, ayah pula jatuh sakit dan di hantar ke Hospital Kangar untuk rawatan lanjut. Ibu memerlukan wang belanja berulang-alik ke hospital untuk menjaga ayah dan terpaksa meminjam wang daripada Pak Ku Mat.

Tuk Imam telah mendapat berita daripada Pejabat Hutan Jitra bahawa kawasan yang diusahakan oleh penduduk kampung itu ialah kawasan hutan rizab kerajaan. Akhirnya setelah melakukan rundingan antara penduduk kampung dengan Pejabat Hutan Jitra, kerajaan Kedah telah bersetuju memajukan kawasan hutan untuk dijadikan kawasan tanah pinggir dan berita ini dianggap berita yang baik kepada penduduk kampung. Tanah yang telah dibersihkan itu ditanam dengan padi huma. Kemudiannya ditanam dengan tanaman getah.

Tiga bulan lalu, ibu melahirkan bayi perempuan yang dinamakan Cik Su. Ketika itu umur An sudah menjangkau enam tahun. An tidak dibenarkan keluar dengan rakan-rakannya Chin dan Shuib kerana perlu menjaga adik-adiknya di rumah. Walau bagaimanapun, Ah telah ‘curi-curi’ keluar rumah tanpa pengetahuan ayahnya. An sudah berjanji dengan Chin dan Shuib untuk melastik burung dan pergi ke tempat pembinaan Tali Air Muda. An, Shuib dan Chin ke belukar untuk melastik burung. An kemudian berasa kesian pada burung yang dilastik hingga mati. An membuat keputusan untuk pulang ke rumah sendiri manakala Shuib dan Chin berjalan jauh ke dalam belukar dan meraung kesakitan lalu pengsan kerana diserang tebuan. Dengan bantuan penduduk kampung yang lain, mereka berjaya membawa keluar Chin dan Shuib dari belukar itu.

Ayah membawa An ke Sekolah Pondok Bukit Keplu. An diperkenalkan dengan Haji Samad. Ada 800 orang pelajar yang belajar di sekolah pondok itu. An bercadang mahu meninggalkan sekolah itu dan lebih suka tinggal di rumah. An pulang apabila mendapat khabar yang ibunya sakit. Sewaktu sampai ke rumah, ibunya telah dihantar ke hospital. Ibunya disyaki menghidap penyakit batuk kering.

Kesimpulan daripada novel ini dapat dikupaskan tentang diri An yang mencari kasih sayang yang sejati setelah pemergian ibunya buat selama-lamanya. Jalan cerita novel ini diselang-seli dengan teknik imbas kembali oleh pengarang untuk lebih menarik.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036107
    Visit Today : 885
    This Month : 18706
    Total Visit : 1036107
    Hits Today : 3397
    Total Hits : 4249487
    Who's Online : 11
  • Kategori