OLEH ISMAIL HASHIM

SIAPA menyangka bahawa bakat menulis lirik lagu yang tumbuh dalam diri Jasni Matlani terus berkembang dan mencipta nama yang cemerlang dalam dunia penulisan dengan jayanya.

Jasni Matlani menghafal lirik-lirik lagu yang berkumandang di radio sekitar tahun 1970-an dendangan para penyanyi tersohor negara seperti Sharifah Aini, Latif Ibrahim, Hail Amir, Uji Rashid, Dahlan Zainudin, D.J. Dave, A.Razak, Halil Cik, Sudirman dan ramai lagi. Lirik-lirik lagu yang didengarinya ditulis dalam buku tulisnya.

Setelah mendengarkan lirik-lirik lagu berkenaan, timbul pula keinginannya untuk menulis lirik lagu. Ternyata bahawa minat yang mendalam pada sesuatu perkara, boleh mendorongkan kita untuk ‘bergerak’ lebih jauh dari garisan yang asal.

Atas kesungguhan Jasni Matlani, beliau telah berjaya mengangkat dirinya menjadi seorang penulis lirik yang mula dikenali ramai. Salah sebuah lirik lagu nukilan beliau yang berjudul Hijrah Membentuk Kesejahteraan Ummah telah dinobatkan sebagai lirik lagu terbaik dalam Pertandingan Nasyid Peringkat Negeri Sabah pada tahun 1994. Begitulah kata orang, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’.

Bagaikan bunga-bunga yang menguntum dalam jambangan, yang dipupuk dengan dingin embun pagi, bakatnya itu semakin subur dan memperlihatkan bakatnya semakin mekar dalam bidang penulisan karya sastera.

Minatnya ini mula menguntum dalam diri, setelah diperkenalkan dengan dua buah buku sastera yang dipelajarinya semasa di peringkat sekolah menengah pada ketika itu, iaitu Antologi Puisi Biru Matamu dan Kumpulan Cerpen Hadiah.

Beberapa penulis terkenal dalam antologi dan kumpulan cerpen tersebut adalah seperti Usman Awang, A.Latiff Mohidin, Abdullah Hussein dan beberapa orang lagi yang berjaya menyuntik minat dan semangatnya untuk berkarya.

Menurut Jasni Matlani, bakatnya dalam penulisan telah dititipkan oleh Cikgu Shaari ketika beliau menuntut di Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajah Rahmah,Kota Kinabalu.

Setelah menamatkan pengajian, Jasni Matlani telah bekerja di Bank Negara Malaysia Cawangan Kota Kinabalu pada tahun 1981. Pun begitu, Jasni Matlani masih meneruskan minatnya untuk terus berkarya.

Jasni Matlani telah diberi peluang untuk menulis dalam ruangan majalah Hikmah terbitan Bahagian Sebaran Am, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Jasni Matlani turut berkarya bersama-sama dengan rakan seangkatannya pada ketika itu, iaitu Arifin Arif.

Dalam penulisan puisi, Jasni Matlani lebih gemar menulis puisi pendek yang hanya mempunyai beberapa rangkap dan baris ayat sahaja tetapi mempunyai maksud tersendiri yang biasanya disesuaikan dengan jiwa seninya itu.

Usaha gigih Jasni Matlani berjaya membuahkan hasil apabila karya beliau, iaitu Kumpulan Puisi Dongeng Perkebunan telah berjaya memenangi hadiah ketiga dalam Peraduan Menulis Buku Kumpulan Puisi anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Berita Harian dan PENA.

Bakat penulisannya semakin bergemerlapan apabila karyanya memenangi Hadiah Sastera Sabah bagi tahun 1998/1999, iaitu bagi tiga buah puisinya yang berjudul Lingkaran,Setia dan Sebatang Pohon.

Puisi Di Muka Jendela pula telah memenangi Hadiah Sastera Sabah bagi tahun 1990/1991. Beliau terus mengekalkan kecemerlangannya pada tahun 1994/1995 dengan memenangi puisi Perahu dan puisi Pada Hari Menjelang Pilihan Raya Umum.

Karya seni Jasni Matlani turut berjaya ke peringkat antarabangsa seperti puisi Kalau Aku Pergi dan puisi Kenangan Kecil di Perth yang telah memenangi anugerah pada tahun 2002/2003.

Bukan itu sahaja, puisinya Hujan Petang di Kundasang juga telah memenangi anugerah pada tahun 2006/2007. Jasni Matlani terus mengukir namanya menerusi puisinya Sepetang Mengenangmu dan Kunang-Kunang pada tahun 2010/2011 dan 2012/2013.

Pada tahun 2014/2015 dan tahun 2016/2017, Jasni Matlani telah memenangi kategori penulisan buku Kumpulan Puisi Dongeng Perkebunan dan puisi Tentang Pertemuan.

Kecemerlangannya terus terserlah dengan menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) bagi kategori puisi pada tahun 1997/1998 melalui puisi yang berjudul Waktu Gerimis Petang Turun di Masjid Jamik. Selain itu, beliau juga  memenangi hadiah tempat ketiga Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH ke-2 pada tahun 2015 bagi kategori buku Kumpulan Puisi Dongeng Perkebunan.

Bukan itu sahaja, buku ini juga turut memenangi Hadiah Sastera Sabah bagi kategori buku puisi pada tahun 2014/2015. Hasil karyanya semakin dihargai apabila terdapat beberapa buah puisi Jasni Matlani turut diterjemahkan ke dalam bahasa asing seperti bahasa Inggeris, bahasa Tamil dan bahasa Thai.

Puisi-puisinya juga telah dimuatkan dalam buku An Anthology of Malaysian Poetry: The Voices of Malaysian Poets (DBP:2009), antologi puisi Sekali Imbasan Puisi dalam Jiwa dan Raga: Antologi Puisi Malaysia-India, yang diterbitkan dalam bahasa Tamil (PENA dan ITBM:2014).

Selain itu, puisinya yang berjudul Taman Permainan Kita juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Tamil dan dimuatkan dalam buku Pelangi Merentasi Benua (2017) yang diterbitkan oleh Syarikat Penerbitan Kalaignaan Pathipagam,India.

Pada tahun 2009, Jasni Matlani telah dianugerahkan bintang kebesaran Ahli Darjah Kinabalu (ADK) oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah Abdullah sempena Hari Jadi yang ke-63 Tuan Yang Terutama.

Jasni Matlani seterusnya menerima pengiktirafan atas kesungguhannya dalam bidang seni, apabila beliau dianugerahi bintang Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) daripada Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah,Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin pada tahun 2013.

Pada tahun 2015, Jasni Matlani telah dipilih sebagai penerima anugerah S.E.A Write Award daripada keluarga Diraja Thailand, iaitu suatu anugerah tertinggi atas pencapaian dalam bidang penulisan.

Lembaran sejarah bakat seninya terus terukir apabila pada tahun 2017, Jasni Matlani sekali lagi telah dianugerahi pingat kebesaran Panglima Darjah Kinabalu (PGDK) bersempena dengan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin bagi kali ke-64 yang membawa gelaran Datuk.

Begitulah jejak seni yang berjaya dituai oleh Datuk Jasni Matlani dalam mengorak langkahnya menerokai alam penulisan seni kreatif dengan hanya bermula sebagai minat untuk penulisan lirik lagu yang boleh berubah ke tahap yang lebih tinggi daripada itu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034840
    Visit Today : 1056
    This Month : 17439
    Total Visit : 1034840
    Hits Today : 5063
    Total Hits : 4243397
    Who's Online : 9
  • Kategori