Oleh Nor Syamimi binti Musa

TEKNOLOGI canggih kadang-kala menjadi punca keracunan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Penggunaan bahasa rojak, bahasa kesat dan tidak sopan sudah menjadi kebiasaan terutamanya di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Budaya ini agak sukar untuk diubah sekiranya tiada usaha untuk memurnikan bahasa santun dari mana-mana pihak.

Justeru, Ahmad Fedtri Yahya, seorang personaliti TV dan penulis lirik lagu juga merupakan seorang yang amat menghayati cintanya terhadap bahasa dan sastera tampil dengan inisiatif yang sangat menarik untuk membentuk atmosfera penggunaan bahasa Melayu yang betul, puitis dan santun. Baru-baru ini tular di media sosial mengenai usahanya mengadakan ‘kelas puitis’. Perkongsian tweet melalui twitter pertamanya telah mendapat lebih 10 ribu ketikan butang suka.

Poster Gelanggang Puisi Bersama Fedtri Yahya

Usaha beliau disambut baik sehingga ada beberapa pihak tampil untuk memberikan sumbangan berbentuk hadiah kepada peserta terbaik yang menyertai sesi tersebut yang  dinamakan Gelanggang Puisi Bersama Fedtri Yahya (GPBFY).

Usaha ini bermula dengan perkongsian di twitter iaitu gambar tweet seorang warga maya memuat naik gambar sebuah jentera pengorek tanah di stesen minyak dan menyatakan keterujaan melihatnya buat kali pertama menggunakan bahasa slanga. Fedtri membuka gelanggang dengan arahan : Tukarkan kepada ayat gramatis dan puitis. Hasilnya, Beliau menerima kira-kira empat ribu kirim balas dari Twitter, Instagram dan juga Facebook.

Menurut Ahmad Fedtri Yahya dalam perkongsian tweet beliau, apabila berada dalam nuansa lingkungan yang tepat, idea-idea kreatif membuak mengalir laju kerana ekosistem itu sendiri membantu. Rata-rata warga maya memberikan maklum balas positif dan menyokong usaha beliau. Budaya bahasa boleh dibentuk dengan usaha dan kerjasama semua pihak supaya bahasa Melayu yang betul dan baik dapat diterima dan digunakan dalam kehidupan seharian termasuk ketika berkomunikasi di media sosial. “Bahasa yang buruk jangan dizikir, kelak jiwa menjadi fakir.”

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043616
    Visit Today : 37
    This Month : 26215
    Total Visit : 1043616
    Hits Today : 65
    Total Hits : 4285038
    Who's Online : 11
  • Kategori