OLEH ATIQAH ABD RAHIM

CERAMAH umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) Malaysia anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah bersiaran secara langsung menerusi Facebook Langsung DBP Malaysia pada 17 Jun 2020, jam 2.30 petang. Ceramah umum itu diadakan bersempena dengan ulang tahun DBP yang ke-64. Sesi perkongsian tersebut dikendalikan oleh ahli JKTBM yang juga pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Adi Yasran bin Abdul Aziz. Beliau membahaskan isu tulisan Jawi di Malaysia dalam kajiannya yang bertajuk, “Tulisan Jawi: Isu Agama atau Bahasa?”.

Prof. Madya Dr. Adi Yasran bin Abdul Aziz, pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, ketika menyampaikan ceramah umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu.

Dr. Adi Yasran memulakan perbincangan mengenai kedudukan tulisan Jawi yang disebut secara jelas dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 bahawa tulisan itu boleh digunakan dalam mana-mana urusan rasmi sebagai bahasa kebangsaan. Jika dirujuk dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan kepada seksyen berkenaan, tulisan Jawi menjadi sebahagian daripada bahasa kebangsaan. Hanya dua tulisan yang boleh digunakan untuk urusan rasmi, iaitu tulisan rumi dan tulisan Jawi, dan hanya bahasa Melayu digunakan untuk tujuan tersebut. Berdasarkan kajian yang dijalankan, beliau mendapati jumlah peratusan rakyat Malaysia yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut hampir seimbang. Beliau berpendapat bahawa masyarakat Malaysia mengetahui tulisan rumi bahasa Melayu sebagai tulisan rasmi, tetapi masih tidak menyedari tulisan Jawi juga diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan yang digunakan dalam urusan rasmi.

Dr. Adi Yasran kemudiannya beralih kepada isu tulisan Jawi sebagai identiti negara. Di Malaysia, tulisan Jawi digunakan secara meluas seperti cetakan tulisan itu di wang kertas, setem, sijil nikah, papan tanda rasmi kerajaan, logo rasmi seperti logo PTPTN, bangunan kerajaan seperti DBP, jata negara, kepala surat rasmi yang menggunakan nama agensi dengan kedua-dua tulisan rumi dan Jawi, dan pelbagai kegunaan rasmi yang lain.

Di Brunei pula, tulisan Jawi bukan sahaja dicetak pada wang kertas malah pada kad pengenalan, iaitu nama “Negara Brunei Darussalam” ditulis dalam tulisan rumi dan Jawi. Negara Singapura turut mengiktiraf tulisan Jawi sebagai tulisan bagi bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dan urusan rasmi negara. Walaupun penggunaan bahasa Melayu agak berkurangan di negara itu, mereka tidak mengubah kedudukan bahasa Melayu. Contohnya, cetakan tulisan rumi dan Jawi pada kad pengenalan dan surat beranak bagi nama orang Islam.

Melihat usaha kedua-dua negara itu dalam memartabatkan tulisan Jawi, Prof. Madya Dr. Adi Yasran menggesa negara Malaysia yang majoritinya penduduk Islam dan agama rasminya Islam, seharusnya tidak mempunyai masalah untuk menggunakan kedua-dua tulisan tersebut sebagai identiti negara. Beliau memberikan contoh ejaan untuk nama Muhamad yang pelbagai dalam tulisan rumi seperti “Muhammad” dan “Mohamad”, manakala di Turki pula disebut sebagai “Mohamed”. Yang sebaliknya, beliau menegaskan ejaan nama menjadi sama, dan bacaan dan maknanya lebih tepat sekiranya ditulis dalam tulisan Jawi,.

Seterusnya, Dr. Adi Yasran beralih kepada isu tulisan Jawi yang digunakan sebagai syiar Islam. Berdasarkan dapatan kajian beliau, kedua-dua golongan Islam dan bukan Islam bersetuju dengan kenyataan tersebut. Hampir 86 peratus rakyat Malaysia mengatakan bahawa tulisan Jawi melambangkan agama Islam. Tidak dinafikan, tulisan Jawi banyak digunakan di tempat ibadat orang Islam seperti masjid dan surau, tempat pengajian orang Islam seperti madrasah, maahad tahfiz, sekali gus melambangkan penyebaran syiar Islam. Namun begitu, tulisan Jawi juga digunakan di premis perniagaan dan syarikat orang bukan Islam.

Penggunaan tulisan Jawi untuk makanan yang tidak halal juga dilihat menjadi perbahasan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia. Dr. Adi Yasran menceritakan kisah rakannya yang melancong di Brunei dan mendapati papan tanda sebuah kedai makanan yang tidak halal menggunakan tulisan Jawi. Di Malaysia, kita menganggap tulisan Jawi sebagai imej agama Islam. Berbeza di Brunei yang telah lama melaksanakan arahan penggunaan tulisan Jawi di papan tanda dan rakyat di negara itu sudah sebati dengan penggunaan tulisan Jawi.

Majoriti responden dalam kajian Dr. Adi Yasran membantah penggunaan tulisan Jawi pada produk tidak halal. 79.6 peratus responden tidak bersetuju untuk pengiklanan makanan yang tidak halal dalam tulisan Jawi dengan peratusan orang bukan Islam lebih tinggi daripada orang Islam. Menurut pandangan peribadi beliau, hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana nilai komersial perniagaan dapat ditingkatkan dengan penggunaan tulisan Jawi. Disebabkan orang Islam dan bukan Islam tidak bersetuju dengan penggunaan tulisan Jawi pada produk tidak halal, beliau mencadangkan agar kerajaan sudah boleh melaksanakan arahan larangan penggunaan tulisan Jawi pada bungkusan produk atau apa-apa bentuk promosi dan pengiklanan yang berbentuk tidak halal.

Dr. Adi Yasran juga menjawab soalan penonton yang antaranya bertanyakan tentang sistem ejaan Jawi baku. Menurut beliau, sistem itu ialah sistem ejaan Jawi yang diiktiraf dan diterbitkan oleh DBP. Selain itu, sistem tersebut digunakan di Brunei, Singapura dan baru-baru ini di selatan Thailand. Namun begitu, sistem itu bukan bermaksud tidak boleh berubah, tetapi maknanya bersifat seragam dalam satu-satu masa dan tertakluk kepada penambahbaikan dari semasa ke semasa. Perbincangan menarik itu boleh dijalankan pada hari lain kerana memerlukan kupasan perbahasan yang berbeza.

Dr. Adi Yasran merumuskan bahawa kenyataan daripada responden tidak semestinya tepat kerana berdasarkan persepsi dan pengetahuan responden tersebut. Jika responden tidak pernah membaca Akta Bahasa Kebangsaan, maka mereka tidak mengetahui akan tulisan Jawi yang digunakan sebagai bahasa kebangsaan dan untuk tujuan rasmi. Bagi beliau, isu tulisan Jawi lebih dekat dengan isu bahasa berbanding isu agama. Namun demikian, beliau tidak menafikan bahawa adanya unsur agama seperti contoh bantahan terhadap penggunaan tulisan Jawi pada produk tidak halal.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036860
    Visit Today : 342
    This Month : 19459
    Total Visit : 1036860
    Hits Today : 1328
    Total Hits : 4253683
    Who's Online : 23
  • Kategori