OLEH ZETY NATAMULIA ELIAS

Menelusuri Sejarah Muzik Tradisional

Seni muzik merupakan satu daripada cabang seni tradisional Melayu selain seni gaya, seni rupa dan permainan tradisional. ‘Muzik’ merupakan istilah popular setelah kemasukan unsur barat. ‘Muzik’ merupakan istilah pinjaman dari Parsi.  Muzik diterima sebagai bunyi atau sesuatu yang sedap didengar dan dihasilkan secara sengaja oleh seseorang atau kumpulan. Muzik merupakan satu fenomena yang sangat unik, yang boleh juga dibunyikan dengan gabungan beberapa buah alat bagi mendapatkan hasil yang maksima.

Gedombak

Jika kita selusuri sejarah muzik dunia, hakikatnya tiada sesiapa pun yang tahu asal usul muzik ini.  Dikatakan bahawa pada kira-kira 100 hingga 180 ribu tahun dahulu manusia hanya mendengar bunyi deruan ombak, desiran angin, geseran daun-daun dan kicauan burung sebagai hiburan. Kekerapan mendengar suara alam menjadikan mereka semakin tersentuh dengan irama dan kesyahduannya. Dalam sejarah seni muzik, suara manusia merupakan suara muzik tertua. Manusia juga berkeupayaan meniru suara haiwan dan alam. Manusia boleh bersiul, manusia boleh melagukan suara mereka dengan nada yang tinggi ketika marah dan nada yang rendah ketika sedih. Dodoian seorang ibu ketika menidurkan anak telah membuktikan bahawa irama yang lahir daripada suara seorang manusia sebenarnya boleh diolah. Idea-idea spontan banyak menyumbang kepada terciptanya alat muzik tradisional yang bermula dengan tempurung kelapa yang dilaga-lagakan, biji-biji labu yang digoncang di dalam bekas, tiupan ke dalam tulang kaki haiwan yang telah kering sehingga terhasilnya bunyi dan kemudian mereka mulai mengorek lubang pada kayu dan ditiup sehingga terhasilnya bunyi.  Ia dikenali sebagai alat flut klasik.

Gendang

Sejak muzik diperkenalkan kepada masyarakat Melayu, banyak alat muzik yang dicipta dari semasa ke semasa. Namun begitu, alat muzik seperti rebab tiga tali, gendang, serunai dan gong dikatakan milik mutlak masyarakat Melayu yang dicipta dan diwarisi secara turun temurun semenjak berkurun lamanya. Semenjak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi ketika tersebarnya agama Islam, pengaruh Timur Tengah telah mulai memberikan kesan kepada penciptaan alat-alat gendang di Malaysia.  Kompang, jidor, nekara, rebana, maruas, gedombak, beduk dan tar rodat merupakan alat muzik yang terhasil daripada hubungan dagang dan penyebaran agama Islam di rantau ini. Ini sekali gus turut menambah nilai dan turut memperkaya lagi budaya masyarakat Melayu. Alat muzik gedombak yang dimainkan dalam wayang kulit mempunyai pertalian dengan alat muzik dari negara Iran iaitu dombak atau zarb manakala kompang pula jika di negara Iran ia dikenali sebagai daira dan di Syria kompang dikenali sebagai duff. Walau bagaimanapun, unsur-unsur pengaruh barat, Arab mahupun India ini sudah diterima umum kerana ia telah diasimilasikan atau disebatikan ke dalam bentuk muzik tradisional tempatan yang lebih bersesuaian dengan latar budaya tempatan.

 

Klasifikasi Alat Muzik
Secara dasarnya sifat dan bentuk sesebuah alat muzik yang terdapat di pelosok dunia pun merujuk pada dua pola yang umum iaitu penyesuaian (adaptational) dan cara atau gaya yang tersendiri yang lebih bersifat peribadi bergantung pada latar pencipta termasuk pemain dan latar budayanya. Penyesuaian ini menerangkan tentang alat muzik tidak kira sama ada yang digesek, dipalu, diketuk atau ditiup merupakan artifak seni yang berorganik, iaitu merupakan sesuatu yang hidup, berubah, bertambah dan berkembang. Dalam erti kata lain, alat muzik ini bukan sekadar menjadi cerminan masyarakat tetapi juga merupakan artifak sains yang diwarisi dan boleh dijadikan sebagai bahan kajian.

Alat Muzik Bertali (Cina) Yueqin

Secara umumnya, alat muzik Melayu tradisional ini terbahagi kepada empat jenis iaitu idiofon, membranofon, kordofon dan erofon. Jenis yang pertama ialah kumpulan idiofon. Idiofon merujuk pada alat muzik yang mengeluarkan suara atau bunyi yang dihasilkan secara spontan dan melalui kaedah laga, ketuk dan goyang mengikut keadaan dan bentuk semula jadi alat tersebut. Kumpulan idiofon yang kedua ialah yang berbilah. Alat muzik jenis ini biasanya diperbuat daripada perunggu, kayu atau buluh, kuningan dan besi. Alat muzik daripada jenis berbilah ini ialah kertuk kelapa atau kayu, saron demung, saron barung dan gambang buluh.  Kumpulan idiofon yang ketiga ialah jenis berpipa ataupun tabung. Alat muzik jenis ini biasanya diperbuat daripada buluh atau kayu contohnya kertuk buluh atau kertuk kayu dan angklung.  Yang terakhir adalah daripada kumpulan berlesung yang diperbuat daripada kayu seperti alu bunyi, tumbuk kalang dan tingkah lesung.

Alat Muzik Bertali : Liu Qin, Pipa, Gambus

Jenis alat muzik yang kedua ialah kordofon. Alat muzik kategori ini merupakan jenis alat muzik yang bunyinya terhasil daripada bahan tali yang diregangkan. Jenis alat muzik yang ketiga pula ialah membranofon. Alat muzik ini berfungsi untuk menghasilkan bunyi daripada bahan kulit yang diregangkan seperti gendang. Pada awal penciptaannya ia bertujuan sebagai upacara pemujaan bagi memohon kesuburan. Menurut Curt Sachs (1959), gendang bermula dari zaman neolitik iaitu zaman batu muda. Pada zaman itu manusia sudah pandai membuat periuk belanga dan bertukang.  Antara alat dalam kategori ini ialah gendang satu muka, gendang dua muka, beduk, rebana termasuk rebana besar, rebana ubi, rebana mangkuk, rebana zikir, dan tar rodat.

Jenis alat muzik yang terakhir ialah erofon. Erofon bermaksud alat muzik yang sumber bunyinya terhasil melalui tiupan ataupun hembusan angin contohnya seperti seruling, puling tanah, puput, selompret, serunai dan serunai batang padi. Melalui catatan sejarah seruling merupakan alat muzik tertua yang diakui kewujudannya di dunia.

Bonang, Gambang dan Gong

Gong
Perkataan gong berasal daripada Melayu/Indonesia. Nama ini merujuk pada bunyi yang terhasil daripada alat tersebut. Gong mempunyai dua bentuk yang khusus iaitu yang mempunyai busut atau tombol (knobbed gong type) dan satu lagi tanpa busut atau tombol (flat gong type). Gong secara umumnya dihasilkan mengikut tiga prinsip utama iaitu tempa yang merupakan peringkat pertama proses pembuatan gong. Gong ditempa dengan menggunakan penukul khas bagi membentuk logam seperti tembaga dan perunggu. Peringkat kedua ialah acuan. Pada peringkat ini, pembuat gong akan mula membuat sarang atau modul sebelum proses penuangan aloi. Teknik ini biasa digunakan untuk membuat alat-alat dalam keluarga gong yang bersaiz kecil seperti cak lempong, kesi dan canang. Peringkat seterusnya ialah petri iaitu proses mencantumkan bahagian-bahagian tertentu bagi membentuk alat yang sempurna. Contoh keluarga gong ialah gong atau tetawak anak dan ibu, gong suwukan, gong agung dan gong terinai.

Dalam persembahan nobat dan mek mulung gong dimainkan secara tunggal. Namun begitu, gong tetawak ibu dan anak akan dimainkan secara berpasangan ketika mengiringi persembahan teater tradisional seperti menora, mak yong dan wayang kulit.  Walaupun dari keluarga yang sama, gong diperbuat daripada material yang berlainan bagi menghasilkan bunyi atau suara yang berbeza. Contohnya, gong agung diperbuat daripada bahan perunggu. Gong agung mempunyai ukuran bergaris lintang sepanjang 90-95 sentimeter dan berketinggian antara 28-30 sentimeter.  Manakala cak lempong pula merupakan jenis gong yang bersaiz lebih kecil tetapi diperbuat daripada gangsa. Canang juga dalam keluarga gong yang bersaiz kecil tetapi dimainkan secara berpasangan ibu dan anak bagi mengiringi tarian istana seperti tarian Asyik.

 

Rebab
Contohnya rebab tiga tali, gambus dan kecapi buluh. Rebab dikatakan berasal dari negara Timur Tengah. Istimewanya rebab ini apabila ia dibentuk mengikut sistem anatomi manusia yang mempunyai kepala, leher, tengkok, muka dan kaki. Manakala bunyinya pula sering dikaitkan dengan spesies kumbang yang menghasilkan bunyi dengung. Mungkin kerana itulah rebab ini digelar sebagai “Sri Kumbang” oleh masyarakat terdahulu kala. Rebab dimainkan dengan alat muzik yang lain dalam ensemble mak yong, main petri, menora dan tok selampit.  Selain rebab, gambus juga merupakan alat muzik yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Terdapat dua jenis gambus seperti gambus Hadramaut dan gambus Hijaz. Gambus Hadramaut mempunyai 11 tali manakala gambus Hijaz mempunyai lapan tali.

 

Rebana

Rebana Ubi

Rebana merupakan gendang satu muka. Alat muzik tradisional ini berbentuk seperti pasu dan dimainkan dalam ensemble muzik Melayu bandaran seperti dondang sayang, joget inang dan zapin. Rebana diperbuat daripada kayu, kulit kambing, rotan dan buluh. Baluh ataupun temalangnya diperbuat daripada kayu nangka bagi memastikan mutu suara alat berkenaan menepati nada yang betul dan tepat.

Di Malaysia, terdapat dua sistem rebana yang digunakan. Ada rebana yang memerlukan rotan sedak untuk menegangkan kulitnya dalam proses penalaan bunyi sebelum persembahan dan satu lagi ialah yang memerlukan dua jenis bahan iaitu rotan sedak dan kayu pasak sebagai tuning block. Tujuannya ialah untuk menegangkan kulit bagi memastikan mutu penalaan bunyi yang baik. Terdapat belulang rebana yang dibuat daripada kulit kerbau sebagai bahan bunyi. Contohnya, rebana besar yang bersaiz 80-100 sentimeter pada garis lintang yang mempunyai rotan yang dibelah dua sebagai bahan utama bagi proses menegangkan kulit dan pancang-pancang kayu yang digunakan bagi memastikan kulit berkenaan kekal tegang. Ketegangan ini bagi memberi impak kepada penalaan bunyi. Alat rebana ini dimainkan dengan cara memalunya dengan tangan atau pun kayu pemalu yang dibalut dengan bahan lembut seperti kain, getah atau tali.

 

Kompang
Berbeza dengan rebana, kompang pula mempunyai baluh berbingkai yang diperbuat daripada kayu jenis keras dan kulit kambing. Kompang tiada pancang kayu untuk mengukuhkan belulang tetapi ia menggunakan bahan pelekat sebelum ditindih dengan paku supaya ketegangannya lebih terjamin. Selain itu, kompang memerlukan rotan sedak sebagai alat tala bagi menghasilkan bunyi yang baik. Kompang biasanya dimainkan secara berkumpulan dalam keadaan bersila, berdiri atau berarak. Lewat zaman moden ini terdapat kelompok masyarakat yang mempersembahkan permainan kompang secara lebih kreatif iaitu bergerak seperti menari dan berpuisi sambil berkompang. Tatacara permainan kompang, ialah pemain akan menggunakan sebelah tangan untuk memegang bingkainya dan sebelah lagi untuk memukulnya. Dalam persembahan kompang pemain akan dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu pembolong, peningkah dan penyilang.

 

Beduk

Tabuh

Beduk merupakan gendang satu muka yang berbentuk memanjang atau elongated. Beduk diperbuat daripada kulit lembu sebagai belulang. Beduk biasa digunakan di surau-surau kampung bagi mengingatkan waktu solat atau permulaan pemakluman kematian kariah. Siak atau noja akan memukul beduk dengan pemukul kayu dalam pola rima yang berunsur pantas.  Fungsi beduk hampir sama dengan peranan kertuk kayu yang bersifat kudus. Sesetengah daerah di semenanjung memanggil beduk sebagai tabuh.

 

Kesimpulan
Secara umumnya alat muzik ini boleh dianggap sebagai warisan budaya bangsa dan selayaknya diterima sebagai satu lagi artifak berharga yang perlu dipelihara selain diperluaskan fungsi dan kegunaannya. Keunikan pembuatan dan penciptaannya sendiri telah membuktikan tentang kehebatan, kepakaran dan ketelitian pemikiran sesuatu bangsa itu sendiri. Selain sebagai medium luahan naluri manusawi, ia juga merupakan warisan tradisi.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014533
    Visit Today : 562
    This Month : 33878
    Total Visit : 1014533
    Hits Today : 2214
    Total Hits : 4139016
    Who's Online : 12
  • Kategori