OLEH IBRAHIM MAJDI BIN MOHAMAD KAMIL

BUDAYA adalah segala hasil dan idea yang dipelajari dan dikongsi oleh ahli-ahli dalam sebuah masyarakat. Ini termasuklah segala kepercayaan, politik, nilai, norma, undang-undang, bahasa, peraturan, dan bahan-bahan (Noran Fauziah, 1987). Mengikut definisi dominan yang diberi oleh Edward B. Taylor yang mendefinisikan budaya ialah satu keseluruhan yang kompleks yang merangkumi ilmu pengetahuan, kepercayaan, seni lukis, moral dan akhlak, undang-undang, adat resam dan kemahiran-kemahiran lain yang diperolehi manusia sebagai ahli masyarakat. Definisi yang telah dibincangkan tadi menunjukkan bahawa kebudayaan wujud dalam mana-mana kelompok masyarakat. Budaya ini telah membentuk dan mengawal tingkah laku dalam masyarakat. Sabah dan Sarawak mengandungi pelbagai kelompok etnik di dalamnya dan telah membentuk kepelbagaian budaya.

Kepelbagaian Etnik di Sabah dan Sarawak

Kepelbagaian etnik di Sabah dan Sarawak menyebabkan terdapat pelbagai budaya yang unik di negeri Sabah dan Sarawak. Pelbagai budaya yang terdapat di negeri Sabah dan Sarawak tidak terdapat di tempat lain termasuk di semenanjung Malaysia. Elemen budaya unik kelompok etnik Sabah dan Sarawak antaranya adalah seperti seni muzik dan tarian, cara hidup, agama, adat istiadat, pegangan hidup, pakaian, tradisi dan lain-lain. Walau bagaimanapun, terdapat juga persamaan budaya antara satu kelompok dengan kelompok etnik yang lain, sama ada di Sabah atau Sarawak. Budaya-budaya kelompok etnik di Sabah dan Sarawak juga telah dijadikan sebagai salah satu sektor pelancongan utama di Malaysia. Semestinya di Sabah dan Sarawak terdapat begitu banyak budaya oleh kerana kepelbagaian etnik dan subetnik di Sabah dan Sarawak. Umum mengetahui etnik majoriti bagi Sabah ialah etnik Kadazan Dusun, manakala etnik majoriti di Sarawak ialah etnik Iban dan telah banyak dibincangkan. Oleh yang demikian, artikel ini lebih memfokuskan  kepada etnik dan contoh budaya etnik minoriti di Sabah dan Sarawak sahaja. Perbincangan pertama akan difokuskan kepada budaya etnik minoriti di negeri Sabah.

Etnik Minoriti Sabah

Kelompok etnik pertama yang akan dibincangkan di Sabah ialah etnik Bajau. Salah satu keistimewaan masyarakat Bajau ialah mereka merupakan kelompok minoriti yang menjadi penunggang kuda yang mahir. Hal ini adalah hasil daripada sejarah awal masyarakat minoriti Bajau. Walau bagaimanapun, dari segi yang lain, budaya masyarakat Bajau mempunyai banyak persamaan dengan kelompok masyarakat Melayu di semenanjung Malaysia. Adat di dalam masyarakat Bajau yang terdapat banyak persamaan dengan masyarakat Melayu semenanjung adalah seperti adat wanita bersalin seperti berpantang, menggunakan kepakaran bidan dan juga melenggang perut. Agama utama yang diamalkan oleh masyarakat Bajau juga sama dengan masyarakat Melayu semenanjung. Majoriti masyarakat Bajau di Sabah beragama Islam. Antara tarian budaya masyarakat Bajau ialah tarian Runsai dan tarian Limbai (Anwar Sullivan dan Leong, 1981). Oleh yang demikian, adakalanya etnik ini juga dipanggil sebagai Melayu Sabah oleh banyak persamaan dari sudut fizikal dan budaya dengan masyarakat Melayu.

Kelompok kedua yang akan dibincangkan ialah kelompok masyarakat Murut. Kebudayaan popular oleh kaum Murut tentunya melalui tarianya, iaitu tarian Magunatip atau digelar sebagai tarian kaki sepit. Tarian ini selalunya dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan, penari yang menari perlu mengelak kaki mereka daripada tersepit  kayu yang digerakkan. Antara tarian lain yang menjadi budaya masyarakat Murut ialah tarian Lansaran. Kelompok masyarakat Murut juga masih mengekalkan budaya tradisi perkahwinan. Dari segi agama pula, sebahagian masyarakat Murut kebanyakan asalnya menganut kepercayaan animisme dan sebahagian masyarakat telah menukar kepada agama Kristian.

Kelompak seterusnya yang dibincangkan ialah kelompok Dusun Laut atau Dayak Dusun. Perayaan yang popular diamalkan oleh masyarakat Dusun ialah Pesta Keamatan (Mohd Suhaimi, 2010). Tarian budaya mereka untuk perayaan keamatan dipanggil sebagai tarian Sumundai Monggigol. Kelompok ini juga masih mengekalkan budaya-budaya tradisional seperti ‘puja semangat’, perkahwinan dan keraian.

Kelompok seterusnya merupakan masyarakat yang berbeza tetapi mempunyai beberapa persamaan terutamanya agama yang diamalkan, iaitu mengamalkan agama Islam. Kelompok masyarakat yang dimaksudkan ialah kelompok masyarakat Illanun, masyarakat Bisaya, masyarakat Suluk dan masyarakat Tidung. Kesemua kelompok masyarakat ini majoriti masyarakatnya beragama Islam. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan budaya terutamanya dari segi tarian, iaitu masyarakat Bisaya dan masyarakat Tidung mengamalkan budaya tarian Zapin, manakala tarian budaya masyarakat Suluk pula ialah tarian Bolak-bolak. Seperti di Sabah, Sarawak juga mempunyai pelbagai etnik yang membentuk kepelbagaian budaya di Sarawak.

Kepelbagaian Etnik Minoriti di Sarawak

Perbincangan seterusnya memfokuskan kepada kebudayaan masyarakat minoriti di Sarawak. Beberapa etnik masyarakat di Sarawak diambil sebagai contoh untuk membincangkan budaya yang diamalkan oleh masyarakat minoriti ini. kelompok minoriti pertama yang akan dibincangkan ialah masyarakat Bidayuh di Sarawak. Masyarakat Bidayuh di Sarawak ialah salah satu masyarakat minoriti utama di Sarawak. Mereka mempunyai perbezaan dari segi sebutan, pertuturan dan gerak gaya yang berbeza dengan masyarakat majoriti Sarawak. Etnik Bidayuh juga mempunyai budaya, iaitu warna hitam sebagai warna rasmi pakaian mereka. Budaya lain yang mereka amalkan ialah penggunaan muzik di dalam upacara keagamaan untuk menaikkan semangat dan menghalau roh jahat.

Etnik kedua yang akan dibincangkan ialah etnik Kenyah dan Kayan. Etnik Kenyah mempunyai ciri-ciri peperangan yang hampir sama dengan kelompok etnik majoriti di Sarawak, iaitu masyarakat Iban. Ciri-ciri peperangan tradisional yang sama ini, iaitu mereka akan memotong kepala ketua pihak lawan dan siapa yang membawa pulang kepala pihak lawan tersebut dianggap sebagai wira. Walau bagaimanapun, budaya sebegini sudah tidak diamalkan lagi. Mereka juga asalnya berpegang kepada kepercayaan animisme tetapi kebanyakan mereka telah berubah menganut agama Kristian. Bagi masyarakat Kayan pula, mereka mempunyai persamaan budaya dengan etnik Kenyah. Mereka turut mempunyai persamaan dengan etnik Iban dalam upacara perkahwinan masyarakat Kayan (Bibi Aminah et. al, 2009). Walau bagaimanapun, masyarakat Kayan berbeza bahasa dengan masyarakat Kenyah.

Seterusnya, kelompok yang akan dibincangkan ialah kelompok masyarakat Kelabit dan masyarakat Lun Bawang. Cara hidup dan bahasa yang digunakan oleh masyarakat etnik Kelabit dan etnik Lun Bawang mempunyai banyak persamaan. Kedua-dua kelompok minoriti ini kebanyakannya menganut agama Kristian pada masa kini. Masyarakat etnik Kelabit adalah antara populasi yang terkecil yang tinggal di rumah panjang. Antara budaya lain yang terdapat dalam masyarakat Lun bawang adalah seperti Pesta Inau Aco Lun Bawang sempena perayaan Gawai Dayak. Perbincangan terakhir pula akan tertumpu kepada masyarakat etnik Bisaya dan Melayu di Sarawak. Kedua-dua masyarakat etnik Bisaya dan Melayu majoritinya beragama Islam. Tetapi ada juga etnik Melayu yang beragama Kristian dan percaya kepada makhluk ghaib (animisme). Masyarakat Bisaya juga dikenali sebagai Melayu dan Islam dan tidak banyak perbezaan dengan masyarakat Bisaya di Sabah. Bagi etnik Melayu di Sarawak pula, antara perayaan yang masih diraikan ialah perayaan Kaul.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, sebagai rakyat Malaysia, masyarakat perlu meraikan semua etnik tidak kira etnik majoriti atau minoriti berserta budaya mereka. Kepelbagaian etnik dan budaya telah menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang unik di mata dunia. Akhirnya, peranan setiap anggota masyarakat perlu meraikan setiap etnik dan budaya yang ada di Malaysia supaya perpaduan terus dapat dipupuk dan dikekalkan sehingga ke masa hadapan.

 

 Rujukan

Malaysia. t.th. Etnik Sabah dalam kepelbagaian budaya: retreived from http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/budaya/7481-etnik-sabah-dalam-kepelbagaian-kebudayaan.html [15 Mei 2016].

Sarawak facts and figures 2010. Kuching: State Planning unit, Chief Minister Department.

Anwar Sullivan dan Leong, C. (pnyt.), 1981. Commerative history of Sabah 1881-1981. Sabah: Sabah state government.

Bibi Aminah Abdul Ghani. Terry Justin Dit dan Rama Venkatasawmy, 2009. Sarawak kayan culture. Sarawak: Pustaka Negeri Sarawak.

Mohd Suhaimi bin Haji Ishak. 2010. Cultural and religious festivals: the Malaysian experience. Jati(15): 97-111.

Noran fauziah Yaakub, 1987. Pengantar Sosiologi. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    119434
    Melawat Hari Ini : 94
    Jumlah Pelawat : 119434
    Hits Hari Ini : 185
    Jumlah Hits : 211021
    Siapa atas talian : 3
  • Kategori