Judul: Dimensi Bahasa dalam Agama
Penulis: Munif Zarirruddin Fikri Nordin
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun terbit: 2015
Harga: RM25
Pengulas: Fahimi Zakaria

BAHASA dan agama ialah dua perkara yang saling melengkapi antara satu sama yang lain. Setiap bahasa mempunyai sejarah dalam penyebaran agama di dunia sehingga agama tersebut dapat disebarluaskan dan ajarannya dianuti oleh sekalian manusia. Semua kitab suci agama ditulis dalam bahasa tertentu, contohnya kitab al-Quran ditulis dalam bahasa Arab, kitab Veda dalam bahasa Sanskrit dan Bible dalam bahasa Yunani. Oleh itu, bahasa memainkan peranan yang penting dalam penyampaian agama dan penganut agama akan lebih mengenali tuhannya.

Menurut penulis, bahasa juga merupakan teras pembinaan sesebuah tamadun manusia seperti tamadun Islam, tamadun India, tamadun Cina dan sebagainya. Manusia dalam tamadun tersebut mempunyai proses dan sistem bahasa yang diperkenalkan. Contohnya tamadun Islam yang dibina oleh Rasulullah SAW pada tahun 610 Masihi ketika baginda diangkat menjadi rasul pada usia 40 tahun di Mekah. Secara rasminya tamadun Islam lahir melalui risalah Islam yang dibawa oleh baginda untuk mengajak seluruh bangsa Arab menyembah Allah SWT dengan bahasa Arab yang difahami oleh semua penduduk Mekah pada ketika itu.

Dimensi bahasa Arab menjadi lebih luas apabila al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab yang mengandungi sistem bahasa seperti sintaksis, morfologi dan retorik yang tinggi sehingga bahasa Arab menjadi antara mukjizat besar Rasulullah SAW. Maka, memahami bahasa Arab dengan baik menjadi syarat utama seseorang yang beragama Islam untuk menjadi lebih sempurna kerana bahasa Arab menjadi bahasa al-Quran, sumber hukum dan asas amalan beragama dalam kehidupan orang Islam. Justeru itu, perlu difahami bahawa bahasa Arab merupakan sumber teras kefahaman setiap orang Islam untuk memahami agama Islam melalui isi kandungan al-Quran dan bacaan sumber-sumber hukum secara terus daripada bahasa Arab.

Namun, tidak dapat dinafikan hari ini ahli bahasa telah mula menterjemah bahasa-bahasa asal agama ke dalam bahasa dunia khususnya bahasa Inggeris. Walaupun usaha penterjemahan bahasa suatu yang baik, terdapat implikasi yang tidak baik, iaitu penganut agama gagal memahami agama secara terus daripada bahasa asal agama. Seorang yang beragama Islam tidak cukup memahami agama Islam hanya melalui bacaan al-Quran terjemahan bahasa Melayu, seorang India tidak cukup memahami agama Hindu melalui bacaan Veda dalam bahasa Tamil dan begitu juga seorang Kristian tidak cukup hanya membaca Bible dalam bahasa Inggeris.

Seterusnya penulis menyebut bahawa hubungan bahasa dan agama semakin berkembang apabila ahli bahasa mula membincangkan ilmu-ilmu linguistik terapan seperti sosiolinguistik, sintaksis, semantik, semiotik, falsafah bahasa, pemikiran dan tamadun. Manakala, agamawan pula membincangkan ilmu-ilmu agama khususnya teologi yang menjadi asas penghayatan penganut agama untuk mengenal tuhannya. Bahasa akan menjadikan manusia itu beragama. Pada masa yang sama, agama akan menjadikan manusia itu pandai berbahasa kerana bahasa dan agama saling berupaya membentuk manusia menjadi lebih sempurna. Sejarah agama dunia jelas membuktikan bahawa agama datang dengan sistem bahasa yang baik dan muncul istilah dan kosa kata bahasa agama yang baharu seperti yang terdapat dalam agama Islam yang dipakai dalam bahasa Arab antaranya Tauhid, Syariah, Akhlak dan sebagainya.

Mengkhususkan bahasa dan agama di Malaysia, penulis berpendapat bahawa bahasa Melayu mempunyai unsur simbiotisme antara semua agama di Malaysia, iaitu Islam, Hindu, Buddha dan Kristian. Hal ini adalah kerana bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia yang difahami oleh semua penganut agama meskipun agama di Malaysia didominasi oleh agama Islam yang dianuti oleh majoriti bangsa Melayu, manakala agama Hindu pula oleh bangsa India dan Buddha oleh bangsa Cina.

Bahasa dan agama di Malaysia dipengaruhi oleh sejarah bangsa yang melatari Tanah Melayu bermula era penjajahan kuasa besar Barat yang melahirkan kepelbagaian bangsa di Malaysia hari ini yang berteraskan acuan bangsa. Penjajah telah berjaya mencorak sistem bahasa dan agama melalui acuan bangsa atas nama ekonomi, politik dan sosial yang retorik semata-mata, kesannya terhadap warna-warni bahasa dan agama yang wujud sehingga hari ini.

Hakikatnya, apa yang berlaku di Malaysia ialah bahasa Melayu dan agama Islam yang menjadi dominan. Ini kerana kedua-dua bahasa dan agama ini telah membawa revolusi baharu yang berasaskan rasionalisme dan intelektualisme seperti yang dibahaskan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas. Inilah titik pertemuan antara bahasa Melayu dengan agama Islam yang mengisyaratkan bahawa semakin tinggi kefahaman tentang agama, maka semakin meningkatlah keperluan bahasa yang akan menyumbang kepada perkembangan penguasaan bahasa.

Penulis seterusnya memperincikan lagi unsur simbiotisme bahasa Melayu dengan agama Islam melalui penerimaan elemen penting bahasa Arab dalam bahasa Melayu, iaitu seperti tulisan dan kosa kata kerana elemen ini telah membantu mengubah taraf kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca yang digunakan secara meluas dalam kalangan orang Melayu. Lebih jelas apabila terciptanya tulisan Jawi sekali gus sebagai perangsang daya kreativiti masyarakat Melayu dan memperkembangkan tamadun Melayu ke tahap yang unggul melalui sistem tulisan Jawi. Kesannya lebih kurang 2000 perkataan Arab diserap dan diguna pakai dalam bahasa Melayu yang sebahagian besarnya merupakan kosa kata keagamaan.

Kesimpulannya, penulis merumuskan pengaruh dalam aspek ilmu bahasa dan agama yang secara khususnya merujuk kepada bahasa Arab dan agama Islam. Setiap bab dibincangkan secara terperinci tentang bagaimana bahasa dan agama menjadi sumber dalam pembinaan bangsa, tamadun dan wacana dalam konteks agama. Hasil rumusan ini jelas memperlihatkan bahawa bahasa Melayu dan agama Islam mempunyai titik persamaan dan hubungan simbiotik yang menjadi bukti bahawa perkembangan bahasa dan peranan agama sangat penting.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013886
    Visit Today : 1149
    This Month : 33231
    Total Visit : 1013886
    Hits Today : 4183
    Total Hits : 4136288
    Who's Online : 8
  • Kategori