Judul: Memori Terindah

Kata Pengantar: Siti Aisah Murad

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2019

Pengulas: ATIQAH ABD RAHIM

Antologi cerpen kanak-kanak, Memori Terindah menghimpunkan karya cerpen daripada penulis kanak-kanak yang akan menjadi pelapis dalam dunia penulisan. Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengetengahkan bakat muda dengan penerbitan antologi ini seharusnya dipuji dan dilaksanakan secara berterusan. Penulis kanak-kanak untuk antologi ini merupakan peserta program Minggu Penulis Kanak-kanak (MPKK) 2015 yang bercita-cita untuk menjadi penulis, bahkan ada yang ingin menjadi Sasterawan Negara. Cita-cita yang besar seharusnya dibimbing dan diasah sejak kecil lagi. Seperti pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Menurut kata pengantar yang dinukilkan oleh Puan Hajah Siti Aisah Murad, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran di Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, program ini menemukan murid yang telah mempunyai asas penulisan dari seluruh Malaysia. Ini memberikan mereka peluang untuk berinteraksi dengan rakan penulis yang lain dan menyerlahkan kesungguhan dan keupayaan mereka dalam berkarya. Kesemua karya dalam antologi ini membawa kisah sebenar kehidupan penulis muda yang diolah untuk bacaan umum. Begitulah asas utama dalam proses penciptaan jalan cerita cerpen mereka, tanpa mematuhi teori proses kreatif seperti biasanya, iaitu menyimpan idea terlebih dahulu dalam minda sebelum dilahirkan dalam bentuk tulisan.

Program MPKK ini mengisi objektif kedua DBP, iaitu “Memperkembangkan Bakat Sastera dalam Bahasa Kebangsaan”. Dalam Pelan Strategik (PS) DBP 2016-2020, perkara ini termasuk dalam Bidang Keberhasilan Utama (BKU) 3 iaitu, Peningkatan Bilangan Pelbagai Kategori Karyawan yang Berketerampilan. Bagi memenuhi objektif ini, DBP merancang bengkel pembinaan bakat penulisan kreatif dan bukan kreatif seawal mungkin bagi memberikan dorongan dan peluang kepada tunas muda. MPKK telah bermula untuk pertama kalinya pada tahun 1991 dengan nama Program Kem Penulis Kanak-kanak. Walau bagaimanapun, program tersebut berhenti dan kemudian, diteruskan kembali pada tahun 1996 dengan nama MPKK sehingga kini.

Program ini dilaksanakan pada awal cuti persekolahan pada hujung tahun dan ditawarkan kepada tunas muda yang berusia 10 hingga 12 tahun yang berminat, telah berkarya, dan karyanya tersiar atau yang telah memenangi hadiah pertandingan mengarang. Kepada ibu bapa yang masih mencari program yang bersesuaian untuk mengasah bakat anak masing-masing dalam dunia penulisan, program anjuran DBP ini seharusnya diletakkan dalam jadual aktiviti anak-anak apabila cuti persekolah bermula nanti!

Antologi cerpen kanak-kanak ini merupakan hasil karya sembilan orang penulis kanak-kanak dengan tiga belas buah cerpen. Antara nama penulis kanak-kanak yang seharusnya diberikan penghargaan dan perhatian ialah Nabilah Ahmad Zakri, Nurin Kamilia Noor As’shikin, Muhammad Farid Azim Ishak, Aliyah Afifah, Sofea Hana Zulkifli, Mohd Nuruddyn Hafiz Haridyn, Hannah Nabilah Abd Aziz yang mempunyai tiga buah cerpen dalam antologi ini. Manakala Abdul Halim Aman dan Nur Dhania Imani Sharil Nizam, masing-masing menyumbangkan dua buah cerpen dalam buku ini. Pelbagai tema yang dekat dengan kanak-kanak terkandung dalam antologi cerpen ini, seperti tema kekeluargaan, persahabatan, alam persekolahan dan fantasi. Mesej dan nasihat yang diselitkan dalam antologi ini membuktikan penulis kanak-kanak berupaya untuk menyuarakan pengalaman, pemikiran dan imaginasi mereka dalam bentuk penulisan cerpen.

Dua buah cerpen bertemakan fantasi yang menarik perhatian pengulas ialah “Peti Ajaib” dan “Samad Si Pemburu Naga”. Bukan mudah untuk mengarang cerpen fantasi yang mempunyai pengajaran dan nilai murni. “Peti Ajaib” tulisan Muhammad Farid Azim Ishak mengisahkan dua watak yang menerima peti ajaib daripada dewa segala lautan, dan mereka boleh membuat permintaan sebanyak tiga kali sahaja. Yang menariknya, dua watak tersebut tidak tamak dengan ganjaran yang akan ditunaikan. Mereka berdua meminta ganjaran yang boleh membahagiakan keluarga masing-masing dan hubungan persahabatan mereka terus berkekalan. “Samad Si Pemburu Naga” tulisan Mohd Nuruddyn Hafiz Haridyn pula menceritakan keberanian seorang pemburu terkenal yang bernama Samad dalam menewaskan naga-naga yang memusnahkan negeri orang. Samad dan rakan-rakannya mengembara ke seluruh pelosok dunia untuk membunuh mana-mana naga yang mengganggu keamanan penduduk. Samad diberi gelaran sebagai ‘Samad Si Pemburu Naga’.

Kebanyakan cerpen dalam antologi ini seperti cerpen “Memori Terindah”, “Hanya Keranamu Risalah”, “Jujur Aku Malu”, “Kegigihan Salman”, “Abangku Si Tukang Kasut”, “Persahabatan” dan “Ayahku yang Bisu” memaparkan cerita kehidupan yang dekat dengan alam kanak-kanak, iaitu tema alam persekolahan dan keluarga. Cerita tersebut selalunya mengenai hubungan persahabatan antara rakan-rakan, hubungan antara anak murid dengan guru, dan masalah dan kesusahan keluarga pelajar yang sentiasa mendapat perhatian para guru dan rakan-rakan bagi meringankan beban pelajar tersebut. Walaupun jalan cerita begini sudah biasa ditulis dalam kebanyakan penerbitan buku kanak-kanak yang lain, namun kisah yang mempunyai nilai positif dan membawa bimbingan yang baik seharusnya disebarkan, terutamanya kepada pembaca kanak-kanak. Yang mengagumkan, antologi cerpen ini ditulis oleh penulis kanak-kanak untuk pembaca kanak-kanak! Sewajarnya penulis muda inilah yang lebih mengetahui apa yang bermain-main di fikiran pembaca kanak-kanak.

Secara tuntasnya, antologi cerpen kanak-kanak ini sudah tentu ditawarkan untuk pembacaan golongan kanak-kanak. Namun begitu, antologi ini tidak seharusnya dihadkan dengan kategori pembaca yang lain. Pembaca umum juga digalakkan untuk mendapatkan antologi ini. Bagi pembaca yang baru berjinak-jinak dalam penulisan cerpen, antologi ini sesuai dijadikan panduan awal dalam merangka jalan cerita yang baik. Seperti yang dinyatakan, pembaca yang terdiri daripada golongan ibu bapa juga boleh memiliki antologi cerpen ini sebagai langkah pertama untuk mengembangkan bakat anak masing-masing yang berminat dengan dunia penulisan. Mungkin selepas ini anak anda terpilih untuk menyertai program Minggu Penulis Kanak-kanak (MPKK) dan berpeluang menerbitkan cerpen di bawah terbitan DBP.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044078
    Visit Today : 499
    This Month : 26677
    Total Visit : 1044078
    Hits Today : 1369
    Total Hits : 4286342
    Who's Online : 13
  • Kategori