Oleh SALIAPIZAH KADRI

Muhammad Haji Salleh sedang menyampaikan syarahan

PROGRAM memartabatkan bahasa Melayu sentiasa dijalankan secara berterusan pada peringkat Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Pulau Pinang. Pada 8 Februari lalu,  IPG kampus tersebut telah mengadakan Program Wacana Ilmu bertempat di Dewan Persidangan IPG Kampus Pulau Pinang.

Seramai 60 orang pelajar dan lima orang pensyarah dari IPG Kampus Sultan Abdul Halim dan  IPG  Kampus Tuanku Bainun menghadiri program tersebut. Program turut dihadiri oleh pensyarah IPG Kampus Pulau Pinang dan  pelajar Pengajian Melayu. Program dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Melayu IPG Kampus Pulau Pinang dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU). Objektif program adalah untuk menimbulkan rasa bangga, menghargai di samping memberikan kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan sastera pada era globalisasi masa kini.

Peserta yang memenuhi dewan khusyuk mendengar syarahan yang disampaikan.

Pengisian kandungan yang disampaikan oleh Sasterawan Negara (SN) Muhammad Haji Salleh yang berkisar mengenai fungsi dan kerelevanan sastera termasuk fungsi sastera sebagai memori bangsa, sastera membawa faedah, sastera sebagai terapi, sastera sebagai wacana intelektual, sastera sebagai alat demokratis, dan sastera sebagai pelipur. Pengisian yang jelas ialah bahasa sastera, iaitu bahasa terindah dan unggul serta dapat menyerlahkan sesuatu pencapaian.

Menurut beliau, bangsa yang tidak menghormati sejarahnya, leluhurnya dan pemikirnya bukan sahaja bangsa yang cetek kewujudannya, tetapi singkat ilmu dan wawasannya. Oleh itu, pengarang atau penulis baharu secara analoginya harus tumbuh bersama-sama tradisinya, mengutip daripada taman kebijaksanaan yang subur dan menaburkan benih baharu sambil memupuk pohon yang telah tua.

Tidak disangkalkan lagi bahawa sastera ialah bahasa yang unggul, padat dan menunjam ke dasar makna. Hal ini boleh dilihat di Kota London misalnya, yang menaikkan sastera pada iklan-iklan bas atau kereta api  bawah tanah dan akan sentiasa ditukar ganti . Negara Belanda pula mempunyai helaian kalendar harian yang menawarkan karya penyair  setiap hari.

Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh  turut berpendapat bahawa setiap negara memerlukan Jalauddin Rumi yang ada pandangan hidup dan ada terapi. Hal ini bermaksud bahawa semoden atau seganas mana sesebuah negara itu, negara tersebut masih memerlukan Rumi dan penyair yang melahirkan dan memperdengarkan suara yang tenang, yang rendah diri dan sedar diri, bijaksana dan terbuka, dapat melepasi dunia sempit diri dan melayang naik untuk menemukan Tuhan dan seterusnya menemukan inti kehidupan.

Beliau menyimpulkan bahawa sastera melukis wajah jati diri bangsa kita, menenteramkan jiwa, mengajar kita menjadi manusia yang bertanggungjawab kepada jiran dan bumi kita, dan akhirnya akan menyempurnakan kewujudan kita sebagai makhluk di dunia ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043103
    Visit Today : 967
    This Month : 25702
    Total Visit : 1043103
    Hits Today : 3061
    Total Hits : 4282656
    Who's Online : 12
  • Kategori