OLEH DIVIYA DEVARAJ

MASYARAKAT Melayu lama akrab dengan alam semula jadi seperti alam tumbuhan, haiwan dan cakerawala. Ini kerana masyarakat pada masa tersebut sering berinteraksi dengan alam yang berada di sekeliling mereka sama ada di laut, hutan, bendang dan gunung. Oleh itu, peribahasa dikaitkan dengan alam semula jadi sebagai perbandingan dan perlambangan yang berfungsi sebagai sumber pengajaran dan nasihat. Segala pengalaman dan pandangan hidup yang ingin dikemukakan dalam peribahasa menggunakan latar alam semula jadi sebagai pembayang. Pelbagai jenis unsur alam semula jadi telah digunakan dalam peribahasa Melayu, antaranya ialah unsur air. Menurut Kamus Dewan (2004), air bermaksud cecair terbentuk daripada dua bahagian hidrogen dan satu bahagian oksigen dalam keadaan yang murni tidak mempunyai warna, bau atau rasa.

Masyarakat Melayu memilih unsur air sebagai unsur alam semula jadi untuk diterapkan dalam peribahasa kerana mereka menganggap air penting untuk kehidupan di muka bumi dan sebagai satu khazanah alam yang tidak ternilai harganya. Jika dilihat dari aspek pekerjaan masyarakat Melayu dahulu, kebanyakan mereka merupakan seorang petani, penternak dan nelayan. Untuk memperoleh hasil tanaman yang subur, petani memastikan bekalan air sentiasa mencukupi terutamanya pada peringkat awal pertumbuhan padi. Bukan sahaja petani, malah penternak juga memerlukan air untuk memelihara ternakan mereka. Selain itu, air juga dianggap penting untuk kegunaan seharian masyarakat Melayu. Oleh sebab itu, dalam peribahasa Melayu mereka kerap menggunakan unsur air sebagai salah satu unsur alam yang dekat dengan diri mereka.

Peribahasa yang disenaraikan dalam jadual di bawah berkaitan unsur air :

Bil. Peribahasa dan Makna Contoh Ayat
1. Air yang dingin juga yang dapat memadamkan api

 

Makna

Kata-kata yang lembut sahaja yang dapat meredakan kemarahan seseorang.

Atif memujuk Reshma yang tengah marah dengan kata-kata sopan dan lemah-lembut kerana Atif sedar bahawa air yang dingin juga yang dapat memadamkan api.
2. Air dicincang takkan putus

 

Makna

Pergaduhan antara adik-beradik tidak akan berpanjangan

Siti telah berbaik semula dengan adiknya selepas tiga walaupun bergaduh teruk kerana air dicincang takkan putus.
3. Air digenggam tiada tiris

 

Makna

Amat berhati-hati membelanjakan duit

Nithya sanggup berlapar daripada menghabiskan wangnya bagai air digenggam tiada tiris.
4. Air susu dibalas dengan air tuba

 

Makna

Sesuatu kebaikan dibalas dengan kejahatan.

“Jangan sekali-kali menjadi seperti Liana kerana sanggup menderhaka kawan baiknya umpama air susu dibalas dengan air tuba,” kata Rani kepada Ali.
5. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya

 

Makna

Orang yang pendiam jangan disangka bodoh atau penakut.

Walaupun Aminah seorang pendiam, namun dia seorang yang bijak dan berani meluahkan pendapat di kelas umpama air yang tenang jangan disangka tiada buaya.
6. Air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam

 

Makna

Sangat sedih, sehingga tidak enak makan dan minum.

Pak Cik Ahmad berasa sedih bagai air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam kerana isterinya meninggal dunia akibat kanser payudara.
7. Dari telaga yang jernih, takkan mengalir air yang keruh

 

Makna

Dari sifat mulia, tak akan lahir budi bahasa yang kasar.

Orang tua memainkan peranan yang sangat penting dalam membesarkan anak mereka dengan baik dan berakhlak mulia kerana dari telaga yang jernih, takkan mengalir air yang keruh.
8. Air pun ada pasang surutnya

 

Makna

Kehidupan seorang itu tidak tentu, ada kalanya senang dan ada kalanya susah.

Ayah sering berpesan kepada kami supaya sentiasa bersifat sederhana kerana dengan cara ini kita dapat menghadapi cabaran bagai air pun ada pasang surutnya.
9. Garam jatuh di air

 

Makna

Nasihat itu diterima dengan baik

Cikgu Asmah selalu memuji Halim kerana dia cepat mempelajari sesuatu perkara yang baharu kerana dia bagai garam jauh di air.
10. Mencurah air ke daun keladi

Makna

Berikan nasihat yang sia-sia

Segala nasihat ibu bapa kepada Ashyura bagai mencurah air ke daun keladi kerana dia masih degil tidak mahu mengubah perangai malasnya

Kesimpulannya, unsur air ini digunakan dalam peribahasa ini untuk mencerminkan dan memaparkan budaya yang terdapat pada masyarakat Melayu pada zaman dahulu dengan mengaplikasikan pengalaman dan pengamatan mereka terhadap alam sekeliling. Selain itu, peribahasa digunakan secara meluas dalam masyarakat Melayu terutamanya nenek moyang terdahulu. Tujuan utama masyarakat Melayu mencipta peribahasa adalah untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat. Penggunaan peribahasa dalam masyarakat Melayu menggambarkan bahawa mereka turut menjaga kesantunan berbahasa dalam memberikan teguran, nasihat atau sindiran kepada orang lain.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044924
    Visit Today : 1345
    This Month : 27523
    Total Visit : 1044924
    Hits Today : 5079
    Total Hits : 4290052
    Who's Online : 9
  • Kategori