OLEH KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

PENDEKATAN sosiologi merupakan sebuah pendekatan dan teori bercorak kontekstual juga ekstrinsik yang digunakan dalam penyelidikan kesusasteraan rakyat dalam warisan kesusasteraan Melayu tradisional di Alam Melayu. Selain itu, pendekatan sosiologi dalam kesusasteraan rakyat yang disifatkan sebagai “Reflections of Society” membincangkan fungsi dan hubungan kesusasteraan rakyat sebagai cerminan masyarakat dan cerminan budaya dalam aspek politik, ekonomi dan sosial dalam kehidupan manusia. Warisan kesusasteraan rakyat sebagai cerminan budaya masyarakat Melayu tradisional di Alam Melayu telah dipancarkan dalam mitos, legenda, cerita binatang, cerita jenaka dan cerita lipur lara.

Warisan prosa dalam kesusasteraan rakyat merupakan sebuah karangan panjang yang berbentuk cerita (naratif) dan bukan berbentuk cerita (bukan naratif). Selain itu, kemunculan prosa Melayu tradisional dalam kesusasteraan Melayu tradisional merupakan seluruh hasil karya kesusasteraan lisan dan kesusasteraan tulisan yang ditulis dengan menggunakan bahasa Melayu tanpa mengira batas wilayah geografi fizikal. Malah, rangkaian karya prosa Melayu tradisional yang ditulis dengan menggunakan bahasa Melayu telah digunakan secara meluas di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Filipina, Timur Leste, Kemboja, Papua New Guinea, Kepulauan Chrismas, Australia dan Madagascar. Jelaslah bahawa prosa Melayu tradisional merupakan semua bentuk karangan naratif yang disulami dengan pelbagai gaya bahasa dan teknik plot.

Warisan prosa Melayu tradisional merupakan warisan tradisi lisan dan warisan tradisi tulisan dalam kesusasteraan Melayu tradisional. Keunggulan warisan tradisi lisan telah melahirkan karya kesusasteraan yang dikenali sebagai kesusasteraan rakyat yang mengandungi tiga genre terbesar berbentuk cerita seperti mitos, legenda dan dongeng rakyat. Selain itu, warisan prosa Melayu tradisional terbahagi kepada sembilan genre berbentuk cerita dan bukan cerita. Karya kesusasteraan berbentuk cerita seperti kesusasteraan sejarah (historiografi), kesusasteraan hikayat, kesusasteraan epik dan kesusasteraan agama. Karya kesusasteraan berbentuk bukan cerita seperti kesusasteraan undang-undang, kesusasteraan ketatanegaraan, kesusasteraan kitab dan kepustakaan ilmu tradisional bangsa Melayu di Alam Melayu seperti ilmu geografi, ilmu astrologi, ilmu matematik, ilmu perubatan, ilmu pembuatan senjata, ilmu bedil dan sebagainya.

Kesusasteraan rakyat ialah terjemahan daripada istilah dalam bahasa Inggeris, iaitu folk literature. Asal-usul istilah folk literature menurut Richard M. Dorson dalam Folklore and Folklife (1973) dikenali sebagai oral literature (kesusasteraan lisan) atau verbal art (seni ujaran dan pertuturan) dan expressive literature (kesusasteraan ekspresif) dalam bentuk cerita dan bukan cerita dalam kehidupan masyarakat yang diwarisi secara lisan daripada satu generasi ke generasi terkini tanpa diketahui siapa penciptanya. Genre kesusasteraan rakyat merupakan hasil karya kepunyaan bersama (kolektif) oleh masyarakat yang mencipta sesebuah hasil kesusasteraan rakyat tersebut. Sejarah penciptaan kesusasteraan rakyat di Alam Melayu bermula ketika masyarakat Melayu tradisional masih berada di tahap pratulisan. Pencipta hasil kesusasteraan rakyat terdiri daripada golongan rakyat biasa dalam masyarakat Melayu tradisional di Alam Melayu yang memiliki ketinggian pemikiran, falsafah dan kekuatan bahasa.

Kesusasteraan rakyat dikenali sebagai kesusasteraan lisan berdasarkan wadah penyampaian kesusasteraan rakyat yang disampaikan secara lisan. Selain itu, istilah “lisan” dalam kesusasteraan lisan menunjukkan cara kesusasteraan lisan disampaikan dan diperturunkan kepada khalayak. Selain itu, warisan kesusasteraan rakyat terdedah kepada unsur tokok tambah yang mewujudkan pelbagai versi dalam kesusasteraan rakyat. Perkembangan teknologi media menerusi kesenian bahasa dalam kesusasteraan rakyat sudah menjadi statik setelah diabadikan dalam bentuk tulisan. Jelaslah bahawa karya kesusasteraan rakyat masih mengekalkan ciri lisannya dari aspek kesenian bahasa dan teknik penyampaian cerita.

Fungsi kesusasteraan rakyat sebagai cerminan budaya masyarakat menurut Ruth Fulton Benedict, iaitu seorang ahli etnografi, antropologi dan folklor Amerika Syarikat dalam kajian yang bertajuk Zuni Mythology (1935) menunjukkan bahawa penyelidikan data-data kesusasteraan rakyat bagi suku kaum dalam sesebuah masyarakat melambangkan cerminan etnografi budaya suku kaum tersebut. Selain itu, sesuatu perlanggaran terhadap peraturan dan undang-undang yang wujud dalam kesusasteraan rakyat merupakan sesuatu tindakan untuk meluahkan perasaan terhadap peraturan-peraturan budaya yang tidak dapat dilakukan dalam dunia realiti budaya tersebut. Terdapat empat fungsi kesusasteraan rakyat sebagai alat melepaskan ketegangan dan perasaan yang terbuku di hati menurut William Bascom dalam sebuah artikel yang bertajuk “The Forms of Foklore: Prose Narrativesdalam Journal of American Folklore (1965) seperti yang berikut:

  1. Sistem projeksi masyarakatnya.
  2. Alat pengesahan sesuatu institusi dan lembaga di dalam masyarakat.
  3. Alat pendidikan.
  4. Alat pengawal norma masyarakat.

(William Bascom, 1965: “The Forms of Foklore: Prose

Narrativesdalam Journal of American Folklore).

Kesusasteraan rakyat berfungsi menyalurkan pendapat rakyat di Indonesia. Hal ini demikian jelas terbukti ketika zaman pendudukan Jepun pada era Perang Dunia Kedua di Surabaya, tentera Jepun telah menyebarkan propaganda di pelbagai tempat pertunjukan nyanyian lagu rakyat, tempat pementasan cerita rakyat dan tempat persembahan Ludruk, iaitu persembahan kesenian drama tradisional di Jawa Timur. Kelantangan suara seorang seniman dan pelawak Ludruk terkenal, iaitu Cak Gondodurasim atau Cak Durasim mengkritik kekejaman tentera Jepun terhadap penduduk Surabaya telah menyebabkan Cak Durasim ditangkap dan diseksa sehingga mati oleh tentera Jepun (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003: 12).

Kepelbagaian khazanah kesusasteraan rakyat melambangkan cerminan budaya dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisional di Alam Melayu. Selain itu, keakraban masyarakat Melayu tradisional dengan alam yang disifatkan sebagai “Guru yang Terbentang” seiring dengan kedatangan Islam di Alam Melayu telah berjaya membentuk akal budi, kosmologi dan weltanschauung bangsa Melayu. Sejarah kedatangan agama Islam di Alam Melayu lebih 600 tahun lalu telah membawa sinar kesusasteraan Melayu yang mengubah pemikiran bangsa Melayu.

Kesusasteraan lahir daripada masyarakat yang menceritakan kisah alam, pengarang dan khalayak (Ali Ahmad, 1996: 108). Selain itu, kesusasteraan Melayu tradisional merupakan warisan bangsa Melayu di Alam Melayu yang bergerak maju seiring dengan kedatangan Islam (Al-Attas, 1972: 20). Kedatangan Islam di Alam Melayu telah membentuk kehidupan dan keunggulan akal budi bangsa Melayu menjadi bijaksana menerusi penceritaan dan pengajaran yang terdapat dalam watak cerita lipur lara, cerita binatang dan jenaka Melayu seperti Pawang Ana, Awang Batil, Awang Selampit, Awang Belanga, Sang Kancil, Pak Pandir dan Mat Jenin.

Awang Batil Tokoh Penglipur lara Tersohor Perlis dalam khazanah kesusasteraan rakyat Perlis.

Mitos dalam kesusasteraan rakyat ialah sejenis sastera lisan paling tua. Selain itu, mitos merupakan cerita-cerita yang berlaku dan bersifat suci menerusi kepercayaan masyarakat yang menegaskan bahawa mitos bukan cerita dongeng. Mitos mempunyai pengertian tertentu dalam kehidupan sistem masyarakat dalam semua tamadun. Kesucian mitos melambangkan nilai dan ciri-ciri keagamaan yang menjadi pegangan sesebuah bangsa terus kekal terpelihara sepanjang zaman.

Kelahiran mitos bermula ketika masyarakat berada di tahap primitif. Mitos dipercayai dan diyakini oleh masyarakat yang ingin mengetahui semua perkara yang dilihat dan dialami di sekeliling mereka. Mitos menceritakan asal-usul kejadian ketuhanan, iaitu pencipta, penciptaan alam semesta, penciptaan dunia, penciptaan manusia pertama, asal usul kejadian makhluk halus, kejadian binatang, tumbuh-tumbuhan, tasik, sungai, gunung-ganang dan pulau. Fenomena alam seperti ribut, kilat, siang, malam, gerhana bulan, gerhana matahari, percintaan dewa-dewi, peperangan dan pengembaraan telah diceritakan menerusi petikan dalam cerita “Asal Usul Kejadian Isi Dunia” (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003: 15) seperti yang berikut:

“Adapun tatkala langit akan terkembang dan bumi akan terhampar maka pada
masa itulah nenek kita Nabi Adam ditempa dari tanah. Isi dunia ialah anak cucu
Adam Alaihissalam (AS). Yang menjadi raja adalah anak Adam yang bongsu.”
                                                                (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003: 15)

Peristiwa dalam cerita “Asal Usul Kejadian Isi Dunia” telah berlaku di suatu masa silam dalam dunia berbeza daripada dunia kini. Selain itu, menurut Bronislaw Kasper Malinowski dalam Myth in Primitive Psychology (1926) turut menunjukkan bahawa mitos dalam kehidupan masyarakat primitif merupakan sistem kepercayaan dan agama, peraturan kehidupan masyarakat, undang-undang, moral dan pantang larang masyarakat silam. Namun begitu, selepas era kemasukan agama Islam di Alam Melayu lebih 600 tahun lalu, mitos dianggap sebagai dongeng kerana perkembangan agama Islam di Alam Melayu telah menentang amalan syirik. Malah, menurut Mohd Taib Osman dalam Kesusasteraan Melayu Lama (1974), mitos dilihat dalam cerita berbentuk tulisan yang memaparkan pengaruh animisme, Hindu-Buddha dan Islam. Terdapat juga mitos asal-usul, mitos budaya dan mitos politik. Mitos asal-usul menceritakan asal-usul kejadian alam seperti asal-usul kejadian manusia. Mitos budaya ialah cerita asal-usul budaya seperti asal-usul budaya dan adat istiadat bangsa Melayu dan bangsa lain. Akhir sekali, mitos politik merupakan cerita pembentukan sistem pemerintahan kerajaan-kerajaan Melayu di Alam Melayu seperti yang diceritakan dalam karya agung Sejarah Melayu oleh Tun Seri Lanang.

Legenda ialah cerita dongeng yang menceritakan sejarah tokoh, sejarah tempat dan sejarah peristiwa. Selain itu, legenda merupakan cerminan sejarah semua masyarakat dalam semua tamadun di dunia. Malah, legenda merupakan dokumen sejarah, dokumen budaya bangsa dan roman sejarah rakyat. Aspek cerita dalam legenda memaparkan sejarah tokoh yang terdiri daripada orang-orang biasa yang memiliki pelbagai sifat luar biasa dengan kuasa tertentu. Konsep legenda menurut Harun Mat Piah et. al dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional Edisi Kedua (2002) menceritakan sejarah tempat dan masyarakat seperti Legenda Sumpahan Batu Malin Kundang di Desa Air Manis, Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat, Indonesia sebagai pengajaran buat semua anak-anak di dunia agar tidak menderhaka kepada ibu bapa, selain menghormati ibu bapa dan tidak melupakan jasa dan asal-usul keluarga. Legenda pendosa Si Tanggang dalam budaya masyarakat Melayu tradisional telah difilemkan dalam filem Si Tanggang (1961), lakonan Allahyarham Normadiah, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin dan Dato Sarimah Ahmad. Manakala, legenda Malin Kundang dalam budaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau di Sumatera Barat diceritakan dalam drama bersiri Indonesia popular bertajuk Malin Kundang terbitan MD Entertainment pada tahun 2005. Drama bersiri Malin Kundang, lakonan Dessy Ratnasari dan Fachry Albar telah ditayangkan di Malaysia pada tahun 2006 di saluran TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan TV9 berjaya mendapat sambutan hebat daripada para peminat drama terbaik dari Indonesia di Malaysia.

Filem Si Tanggang (1961) filem yang diinspirasikan daripada kisah legenda pendosa, Si Tanggang dalam budaya masyarakat Melayu zaman silam.

Kepentingan legenda dalam kesusasteraan rakyat turut menceritakan wira dan tokoh kebangsaan yang menjadi kebanggaan masyarakat. Jumlah tokoh legenda bertambah dari semasa ke semasa berdasarkan penerimaan masyarakat terhadap seseorang tokoh. Sebagai contohnya, legenda Puteri Sa’dong di Kelantan terkenal sebagai anak angkat Cik Siti Wan Kembang yang memiliki kesaktian darah putih, sikap pemurah hati terhadap penduduk tempatan dan kesaktian menyeru nama Dewa Visnu dan Harimau Cula Sakti sebagai langkah untuk Puteri Sa’dong mempertahankan diri ketika hampir dibunuh oleh suaminya, Raja Abdullah. Selain itu, kisah legenda Mahsuri yang dibunuh akibat fitnah kakak iparnya, Wan Mahura cukup terkenal menerusi kesaktian Mahsuri yang mengalirkan darah putih ketika dibunuh dan meninggalkan sumpahan terhadap Pulau Langkawi sebagai Padang Jarak Padang Terkukur selama tujuh keturunan. Selepas era sumpahan Mahsuri selama tujuh keturunan, Pulau Langkawi terus pesat membangun sebagai destinasi pelancongan yang terkenal di seluruh dunia sehingga kini.

Gambaran wajah Mahsuri oleh pelukis.

Legenda tokoh merupakan legenda tokoh pemimpin, tokoh pahlawan dan tokoh pendosa. Selain itu legenda tokoh menceritakan lagenda tokoh tertentu sebagai pahlawan yang menjadi kebanggaan bangsa seperti Hang Tuah dan Hang Nadim. Selain itu, legenda Si Tanggang disifatkan sebagai tokoh pendosa. Legenda keagamaan menceritakan kisah nabi, tokoh agama dan ulama. terdapat pelbagai cerita dalam legenda keagamaan seperti cerita Nabi Sulaiman AS, Nabi Allah Khidir AS, Saidina Ali RA, Iskandar Zulkarnain dan kisah makam Habib Noh di Singapura.

Cerita binatang popular dalam budaya masyarakat Melayu tradisional. Selain itu, cerita binatang menggunakan binatang sebagai watak yang bercakap, berfikir dan menjalani kehidupan seperti manusia biasa yang berperanan sebagai watak yang bijak, sombong dan mudah ditipu. Terdapat juga watak manusia dalam cerita binatang sebagai watak utama (Abd Rahman Ab. Rashid, et. al, 2003: 17). Cerita binatang sarat dengan pengajaran, moral dan kiasan kepada tingkah laku manusia. Golongan kanak-kanak merupakan kumpulan sasaran utama cerita binatang yang kaya dengan paparan nilai-nilai murni, moral dan pembentukan modal insan.

Keunggulan watak kancil dalam koleksi cerita binatang Melayu merupakan watak binatang popular yang berjaya mengalahkan binatang besar yang buas dan berbahaya seperti harimau, gajah, ular dan buaya (Shaiful Bahri Md. Radzi, 2000). Terdapat tiga peranan utama kancil dalam cerita binatang, iaitu pertama sebagai binatang yang cerdik, selain mampu menewaskan binatang yang lebih besar dengan menggunakan akal dan kepintaran. Kedua, kancil bertindak sebagai hakim ketika menyelesaikan sesuatu masalah. Ketiga, kancil sebagai binatang yang sukar ditewaskan oleh binatang yang lebih kecil dan besar. Selain itu, terdapat cerita binatang yang bertajuk “Katak Membunuh Gergasi” menceritakan kehidupan katak, tikus dan harimau di dalam hutan. Kekuatan watak katak dalam cerita “Katak Membunuh Gergasi” telah berjaya membunuh gergasi sebagai watak jahat yang membunuh keluarga katak, selain gergasi tersebut mencederakan semut api, ular sawa dan memutuskan ekor burung pikau. Kerjasama katak betina bersama-sama dengan ular sawa, semut api, ular senduk dan harimau menyebabkan gergasi terjatuh ke dalam sungai dan mati lemas dibawa arus sungai yang deras selepas gergasi lari menyelamatkan diri setelah digigit oleh harimau.

Lakaran wajah Puteri Saadong dan ibu angkatnya, Cik Siti Wan Kembang oleh pelukis.

Cerita jenaka mengandungi unsur lucu yang menimbulkan gelak tawa dalam kalangan pendengarnya. Selain itu, cerita jenaka menggambarkan kebodohan watak utama melakukan aksi lucu. Terdapat juga watak pintar dan watak yang mengalami nasib malang dalam cerita jenaka. Terdapat lima watak jenaka Melayu terkenal, iaitu Pak Pandir, Pak Kaduk, Pak Belalang, Si Luncai dan Mat Jenin. Cerita jenaka Melayu turut memaparkan sikap negatif masyarakat Melayu tradisional seperti bodoh, tamak, mementingkan diri sendiri dan menipu untuk melepaskan diri.

Pengelompokan cerita jenaka Melayu berdasarkan sifat watak utama, iaitu bodoh sial terdapat dalam cerita Pak Kaduk dan Lebai Malang. Selain itu, sifat watak pintar bodoh dalam cerita Pak Pandir. Akhir sekali, sikap pintar menerusi watak Si Luncai dan Pak Belalang (Abd Rahman Ab. Rashid, et. al, 2003: 17). Sifat bodoh sial dalam cerita “Pak Kaduk” dan “Lebai Malang” kerana kebodohan melakukan sesuatu tindakan sehingga merugikan diri mereka sendiri. Hal ini demikian jelas terbukti dalam peristiwa Lebai Malang terlepas peluang untuk menikmati jamuan di beberapa majlis kenduri pada hari yang sama akibat kebodohan dan ketamakannya. Malah, cerita “Pak Kaduk” menunjukkan Pak Kaduk telah kehilangan kampungnya walaupun ayam Pak Kaduk menang dalam permainan sabung ayam kerana sikap gopoh dalam mengambil keputusan. Sifat pintar bodoh dalam cerita “Pak Pandir” dipaparkan menerusi kebodohan Pak Pandir bersama isterinya, Mak Andih. Cerita “Si Luncai” dan “Pak Belalang” memperlihatkan kemampuan menyelesaikan masalah secara kebetulan. Pak Belalang mendapat pertolongan daripada anaknya yang membantu menyelesaikan masalah. Si Luncai terselamat daripada maut kerana memperdaya pegawai istana yang akan membunuhnya.

Pada dasarnya, cerita lipur lara menurut Hooykaas dalam Perintis Sastera (1977) ialah sejenis cerita rakyat Melayu paling popular. Cerita lipur lara mendapat perhatian pengkaji sastera. Populariti cerita lipur lara berdasarkan cerita, pencerita dan bagaimana cerita lipur lara dipersembahkan kepada khalayak. Selain itu, warisan cerita lipur lara dalam masyarakat Melayu tradisional turut memaparkan unsur hiburan. Malah, cerita lipur lara merupakan cerita roman yang mengandungi unsur eskapisme dan unsur pengembaraan yang bertujuan mencari pasangan kehidupan. Terdapat cerita lipur lara bertemakan percintaan dan pengembaraan putera puteri raja di bumi dan di kayangan yang disulami dengan unsur keajaiban, kesaktian, percintaan, peperangan, perkahwinan dan penyamaran. Putera raja sebagai wira merupakan tokoh istimewa sejak dari proses kelahiran. Kelahiran wira diiringi dengan fenomena alam yang dahsyat, selain dibekalkan dengan objek ajaib seperti parang dan geliga. Puteri raja turut digambarkan sebagai tokoh istimewa sejak lahir lagi, selain digambarkan sebagai puteri jelita yang menjadi rebutan putera-putera raja sebagai wira dalam cerita lipur lara.

Terdapat watak-watak pembantu dalam cerita lipur lara seperti Nenek Kebayan, Awang Selamat dan Si Kembang Cina. Terdapat watak-watak bukan manusia seperti dewa, mambang, pari-pari dan jin. Latar cerita lipur lara melibatkan dunia dan kayangan. Hubungan antara kayangan dengan dunia tiada batasan. Kayangan terletak di lapisan langit yang didiami oleh dewa dan dewi, mambang dan pari-pari. Dalam cerita lipur lara, terdapat wira dan wirawati yang berketurunan dewa dan dewi yang berasal dari kayangan (Abd Rahman Ab. Rashid, et. al, 2003: 17).

Persembahan cerita lipur lara disampaikan dengan iringan muzik tertentu seperti rebab, biola dan batil seperti warisan Awang Belanga di Perlis yang diceritakan oleh Pak Mahmud yang diwarisi daripada gurunya, Tok Mat Selembum, iaitu tukang cerita Awang Belanga terdahulu menyebabkan cerita Awang Belanga mengalami tokok tambah dengan pelbagai pengurangan. Persembahan Awang Belanga merupakan sumber rezeki Tok Mat Selembum (Mokhtar A. K, 2010: 10). Penyampai cerita lipur lara di Perlis digelar sebagai Awang Batil. Selain itu, penyampai cerita lipur lara di Perak digelar sebagai “Penglipur Lara”, termasuklah penyampai cerita lipur lara di Kelantan sebagai “Tok Selampit” dan penyampai cerita lipur lara di Minangkabau yang digelar sebagai “Tukang Kaba”. Cerita-cerita lipur lara sering menggunakan kata “hikayat” di bahagian awal cerita dalam cerita lipur lara popular seperti Hikayat Raja DonanHikayat Malim DewaHikayat Malim DemanHikayat Awang Sulung Merah Muda dan sebagainya.

Keunggulan warisan kesusasteraan rakyat sebagai cerminan budaya masyarakat Melayu tradisional di Alam Melayu terserlah menerusi warisan mitos, legenda, cerita binatang, cerita jenaka dan cerita lipur lara. Selain itu, keunggulan warisan kesusasteraan rakyat sebagai cerminan budaya masyarakat Melayu tradisional melambangkan satu evolusi budaya masyarakat Melayu tradisional yang berkembang ke era kesusasteraan Melayu tradisional, kepustakaan Melayu klasik dan puisi Melayu tradisional sebagai lambang pusaka ilmu tamadun Melayu.

 

BIBLIOGRAFI

Ab. Alim Abdul Rahim dan Syed Idrus Syed Mat Zin, 2004. Tamadun Islam. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Ab.Rahman Ab. Rashid, Mohd Rosli Saludin dan Zakaria Perngis, 2003. Siri Analisis Autentik Sastera STPM Mutiara Sastera Melayu Tradisional. Petaling Jaya Pearson Malaysia Sdn Bhd.

Hooykaas, C., 1977. Perintis Sastera. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Jamilah Haji Ahmad (peny.), 1989. Kumpulan Esei Sastera Melayu Lama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mana Sikana, 2015. Penulisan Akademik Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mokhtar A. K, 2010. “Warisan Awang Belanga dan Cara Penyampaiannya“(Bahagian II) dalam Warisan Indera Kayangan Jurnal Jawatankuasa Gerakan Membaca Perlis. Perbadanan Perpustakaan Negeri Awam Perlis, Kangar.

Mokhtar A.K, 2010. “Mahmud Wahid: Tokoh Penglipurlara Awang Batil/ Awang Belanga Perlis”. (Bahagian II) dalam Warisan Indera Kayangan Jurnal  Jawatankuasa Gerakan Membaca Perlis. Kangar: Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Kangar.

Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Richard M. Dorson (peny.), 1973. Folklore and Folklife. London: The University of Chicago Press.

Siti Hawa Salleh, 1997. Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Vansina, J., 1972. Oral TraditionA Study in Historical Methodology. London: Routledge & Kegan Paul Ltd.

William Bascom, 1965. “The Forms of Foklore: Prose Narrativesdalam Journal of American Folklore.

Winstedt, R.O., 1969. A History of Classical Malay Literature. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Zainal Abidin Bakar (peny.) 1991. Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zalila Sharif dan Jamilah Haji Ahmad (peny). 1993. Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera (Dicapai pada 10 Oktober 2019)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1037223
    Visit Today : 705
    This Month : 19822
    Total Visit : 1037223
    Hits Today : 2234
    Total Hits : 4254589
    Who's Online : 11
  • Kategori