Dr. Siti Zainon Ismail

SITI ZAINON ISMAIL dilahirkan di Gombak pada 18 Disember 1949, penyair tanah air yang mempunyai riwayat yang panjang dalam bidang penulisan seni sastera, budaya dan akademik. Beliau merupakan lulusan Sekolah Menengah Aminuddin Baki (1964-1968). Di samping meminati penulisan, Siti Zainon Ismail berbakat sebagai pelukis dan pernah dididik oleh Idris Salam dan Naz Achnas. Oleh sebab cita-citanya membumbung tinggi, dalam usia 20 tahun, selepas Sijil Tinggi Pelajaran, beliau meneruskan pengajiannya di Yogyakarta, mengambil jurusan Seni Lukis di Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI). Beliau pernah berdampingan dengan pelukis terkenal Indonesia seperti Affandi dan lain-lain.

Siti Zainol Ismail mengarifi ABC seni lakon, seni tari dan seni lukis. Pedagogi dan filsafat seni juga ditekuni. Apabila beliau kembali ke tanah air, beliau meneruskan tingkat Sarjana Sastera (pengkhususan Reka Bentuk Tradisional Melayu) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seterusnya Ijazah Doktor Falsafahnya (Busana Melayu) di Universiti Malaya (UM) melalui asuhan Profesor Mohamad Taib Osman dan Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Pada tahun 1976, Siti Zainon Ismail menjadi tutor di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM. Beliau menjadi pensyarah pada tahun 1980-1992 di universiti yang sama. Kemudian beliau diangkat menjadi Profesor Madya pada tahun 1995-1996. Beliau dilantik sebagai Felow Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM. Siti Zainon Ismail seterusnya dilantik sebagai Pengarah Unit Kebudayaan Melayu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UKM (1996-1999). Dilantik sebagai Profesor Kebudayaan Melayu, Sejarah Seni dan Ketamadunan  Melayu, Pusat Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM pada tahun 2003-2004. Pada tahun 2006, Siti Zainon Ismail dilantik sebagai Profesor Luar Biasa di Universitas Jabal Ghafur, Aceh Indonesia. Pada tahun 2007-2008 beliau dilantik sebagai Sarjana Tamu di ATMA. Pada tahun 2009-2010, beliau menjadi Ahli Lembaga Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor. Pada 2010-2014 menjadi Pensyarah Bebas Warisan Budaya dan Estetika. Pada tahun 2014-2016 beliau menjadi Profesor Sejarah dan Estetika Seni dan Penyelaras Kursus Teras di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dengan kelulusan dan pengalaman yang luas itu, garapan seninya melalui puisi dan cerita pendek digarap secara berestetika. Jika puisinya bernada tinggi bagi membela rakyat yang hina dina, dibawakannya dalam nada yang bukan propaganda. Siti Zainon Ismail memenangi Hadiah Karya Sastera 1976 untuk puisinya “Romansa Petani di Gunung”.

Pembelaannya terhadap masyarakat marhaenbukanlah secara pretense. Bapanya, Ismail bertahun-tahun bekerja sebagai buruh kereta api yang membakar dan menempa besi menjadi alat bagi bola-bola besi dan roda kereta api di bengkel kereta api Sentul. Dia menghayatinya dalam “Tukang Besi di Bengkel Keretapi”.

Sesitiviti Siti Zainon Ismail terhadap erti kehidupan dan maruah diri rakyat kecil mengangumkan. Namun sebagai sasterawan beliau terus mencari makna diri dan peribadinya sebagai penyair. Beliau mencari pengucapannya yang tidak lagi meniru penyair besar sebelumnya yang terbayang dalam kreativitinya. Apalagi beliau sudah maklum akan erti seni audio-visual yang dipelajarinya di ASRI. Seni audio-visual yang diperkasakan dan dikuasai nya bertahun-tahun di ASRI dimanfaatkan sepenuhnya. Beliau mencari makna Siti Zainon Ismail dalam keseniannya, seni puisi dan prosa serta seni lukisnya.

Selain memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia untuk puisinya, Siti Zainon Ismail sudah dimartabatkan sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) dari Thailand pada tahun 1989. Beliau giat membaca puisi dan membentangkan kertas kerja pada peringkat Negara dan mancanegara. Pendapatnya didengar, kuliahnya mendapat perhatian para mahasiswa. Bidangnya selain persuratan Melayu, juga tentang hal ehwal seni budaya dan busana Melayu di Nusantara. Beliau pernah dilantik sebagai Profesor Luar Biasa di Universitas Jabal Ghafur, Aceh. Beliau juga pernah melakukan perjalanan seni marathon di Malaysia dan di Indonesia dengan mengadakan pameran lukisan dan bicara karya. Ketika ziarah seninya, beliau sempat bertemu dengan Presiden Habibie, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan kalangan sasterawan Indonesia berbobot seperti A. Hasjmy, Moechtar Lubis, Goenawan Mohamad, Taufiq Ismail, Ajip Rosidi, N.H. Dini dan lain-lain.

Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-14.

SENARAI KARYA

Kajian Ilmiah-Buku

  1. Alam Puisi (DBP, 1989)
  2. Kembara Seni Siti (Galeri Melora-Utusan Melayu, 1990)
  3. Getaran jalur dan Warna (Fajar Bakti, 1990)
  4. Percikan Seni (DBP, 1989)

Novel

  1. Rembang Flamboyan (Fajar Bakti, 1990)
  2. Pulau Renik Ungu (DBP, 1995, 2005)
  3. Delima Ranting Senja (Utusan Melayu Publications, 2009).

Kumpulan Cerpen

  1. Seri Padma (DBP, 1984)
  2. Attar Lembah Mawar (Marwilis, 1988)
  3. Dogeng Si Siti Kecil (Teks Publishing 1988)
  4. Bunga Putik Putih (DBP, 1992)
  5. Kampung Paya Kami (Galeri Melora, 1998, 2010)
  6. Nyanyian Orang Laut (Galeri melora, 2000)
  7. Jurai Palma (DBP, 2004)
  8. Rindu Pala Muda (DBP, 2006)
  9. Piaza di Spagna (Galeri Melora, 2010)

Kumpulan Puisi

  1. Nyanyian Malam (DBP, 1976/Galeri Melora 2004)
  2. Puisi Putih Sang Kekasih (UKM, 1984/2016)
  3. Perkasihan Subuh (Bulan Bintang bandung, 1986/ Cindai Cinta, 1987)
  4. Daun-daun Muda (Media Intelek, 1986)
  5. Aquarium Kota (Cindai Cinta, 1988)
  6. Bunga-bunga Bulan (Creative Interprise, 1990)
  7. Kaun Nyalakan Lilin (Grupemuisi UKM, 1990)
  8. The Moon is a Candle (trj. Harry Avelling, DBP, 1992)
  9. Taman-taman Kejadian (Galeri Melora, 1996)
  10. Pumplet Penyair: IBUNDA – Mother (Unit Kebudayaan UKM, 1996)
  11. Witir Merapi (Galeri Melora, 2004)
  12. Geulumbang Rayei Nota SMS Tsunami (Galeri Melora, 2005)
  13. Kasih Bonda (DBP, 2010, 2015)
  14. Bait Senandung Malam (ITBM, 2011)
  15. Bonda’s Love (ITBM, 2011)
  16. Bijak Si Katak Bijak (Puisi Kanak-kanak) (ITBM, 2012)
  17. Angsa Istana di Jambul Desa (ITBM, 2014)
  18. Surat dari Awan (ITBM, 2015)
  19. Sahabat Bulu Cantik (Puisi Kanak-kanak_ (ITBM, 2016)
  20. Zaman Cicak dan Mengkarung (Puisi Kanak-kanak) (ITBM, 2016)
  21. Cik Bunga Rantau abang (Puisi Kanak-kanak) (ITBM, 2016)

Siti Zainon Ismail mengibaratkan dirinya sebagai “pengembara yang tidak kenal lelah”, dia ialah cebisan mutiara yang sedikit demi sedikit menyatukan elemennya dalam perut tiram di samudera dalam. Dia tetap akan tampil dengan kelembutan dan jati diri Melayu, katanya. Dia seiringan dengan bakat seninya yang tiga dimensi; yakni seni lukis, busana (seni pakai memakai) dan kreativiti seni sastera. Dia bersatu dan bersebati secara estetika dan menyalurkan pemikiran yang berseni penuh dengan kesopanansantunan puteri Melayu.

Citra seninya yang kreatif selalu menarik perhatian sarejana tempatan dan antarabangsa. Antaranya termasuklah A.Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Kemala, Harry Aveling, Zakaria Ali dan Hashim Awang. Pada akhirnya, Siti Zainon Ismail berasa bahawa ketabahan dan kesabarannya menganyam seni , beliau dapat berseiringan dengan Muhammad Haji Salleh, A. Samad Said, Baha Zain, Ahmad Kamal Abdullah dan sasterawan berbobot yang lain.

Siti Zainon Ismail tampil dengan tiga buah novel, 10 kumpulan cerpen dan 10 antologi cerpen. Beliau sudah membuktikan bahawa dirinya sebagai penulis cerpen yang baik. Ada hubung kait yang utuh antara kerjayanya sebagai ilmuan, bidang seni dan budayanya. Hal ini diakui oleh Dr. Rosnah Baharuddin selepas mengkaji 37 buah cerita pendek Siti Zainon Ismail. Watak dan diri penulis saling mengimbangi, mencari peribadi dan erti kehadiran. Nada puitis selalu timbul di sana sini. Ceritanya menggamit pembaca untuk berfikir, bukan sebagai realism polos. Beliau membangkitkan keharuan dan keindahan yang segar dan baharu. Anda membaca esei-esei Goenawan Mohamad yang reflektif filsafi yang indah? Maka, Siti Zainon Ismail membawa anda membaca dan menelaah makna keindahan itu dalam cerita pendeknya, watak berbaur dengan panorama alam, wawasan yang menyelitkan makna kerinduan. Kekasih yang berurai sendu dengan nostalgia lama. Perpisahan yang digumam dalam dukungan maknawi. Apalah erti ini kalau tidak ada kasih saying? Perkara yang ditemukan oleh Dr. Rosnah Baharuddin bahawa Siti Zainon Ismail sentiasa menginginkan pembaharuan dalam mencipta cerita pendeknya. Beliau ingin menemukan teknik penulisan yang malar segar yang lain daripada Keris Mas dan Anwar Ridhwan. Selagi beliau berpijak di dunia kreatif dan berfikir tentang perubahan baharu yang positif, beliau yakin dunia cerita pendek Malaysia baharu akan terbuka pintu dengan jayanya. Sebagai budayawan dan Tokoh Busana Melayu, beliau sering bersedia membawa citra budaya Melayu seperti sarong, cindai, sabuk, boning dan lain-lain. Watak dan perwatakan wanita bukan hanya menjadi mangsa dalam tangan penulis lelaki yang berat sebelah. Tragedi dan kezaliman tanpa alasan dan keadilan penulis lelaki yang jahil, sudah tiba masanya untuk ditamatkan. Penulis kreatif wanita bangun dengan segala kemampuannya. Wadah dan madah punya alasan dan kini wajar ditangani dengan sebaik-baiknya. Wanita ada masa depan, bangkit dari penjara dan gua gelap yang selama ini dibina oleh lelaki.

Menurut Hashim Awang, Siti Zainon Ismail ialah sasterawan yang berbakat besar dan majmuk. Siti Zainon Ismail mempunyai kemampuan dan masa depan kerana dalam dirinya juga sebagai pelukis dan penyair. Keterkaitannya dengan sejarah amat nyata. Cerpennya segar dan mempunyai elemen tersendiri yang menyatakan bahawa itu ialah cerpen ciptaan Siti zainon Ismail.

Sumbangan Terhadap Perkembangan Sastera

Memang tidak dapat dinafikan Siti Zainon Ismail mempunyai tempat yang jelas sumbangannya terhadap perkembangan kesusasteraan tanah air. Beliau memberikan dampak kegiatan di Malaysia dan di dunia. Di samping penulisan kreatifnya dan kegiatan dunia akademik, memberikan syarahan dan bimbingan kreatif dan juga hal ehwal budaya dan busana, beliau juga aktif membentangkan kertas kerja pada peringkat Negara, serantau dan dunia. Beliau turut terlibat dalam mendeklamasikan puisi dalam Festival Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur dan seterusnya memenuhi undangan dalam Festival Puisi di Indonesia seperti Baca Puisi Istiqlal (1995), mendeklamasikan puisi di Bangkok sewaktu menerima S.E.A. Write Award (1989), mendeklamasikan puisi di Bhopal, India, di Box Theatre, London (1992), di Eropah, Jepun dan lain-lain lagi.

Perlu dicatatkan bahawa Siti Zainon Ismail banyak melibatkan diri dalam penjurian untuk sayembara mencipta puisi dan mengarang cerita pendek dan novel. Beliau juga dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penerbitan Manuskrip Puisi pada peringkat nasional di Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan Jabatan Hal Ehwal Pelajar, beliau pernah menganjurkan pembacaan puisi bagi penyair tanah air mutakhir. Program ini berjalan dengan jayanya dan dihadiri oleh para penyair berbobot seperti A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Kemala, Baha zain, Suhaimi Haji Muhammad dan lain-lain lagi. Beliau juga aktif  menulis kertas kerja mengenai kebudayaan Melayu, kesusasteraan kebangsaan mutakhir dalam rangkaian seminar Nusantara, di Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu, Kelantan, di Singapura, di Aceh, Palembang, Makasar dan Bali.

Seyogia disebutkan bahawa Siti zainon Ismail mempunyai Ruangan Khas Puisi dan ilustrasi lakaran peribadi dalam majalah Dewan Sastera yang diterbitkan setiap bulan. Dalam tiga tahun terakhir (2016-2019) beliau memuatkan puisi pengalamannya terhadap budaya etnik di Sabah dan Nusantara Melayu Raya. Sebagai Profesor Budaya Melayu yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek mentari, ia kukuhkan lagi dalam irama nan syahdu ini. Inilah sumbangan terbesarnya yang disambut Dewan Sastera agar tidak punah ranah digulung taufan.

Sekurang-kurangnya ada dua buah buku yang patut diketengahkan bagi mewakili diri Siti Zainon Ismail, iaitu kumpulan puisi Perkasihan Subuh dan novel Delima Ranting Senja. Inilah grand Ouvre Siti Zainon Ismail. Perkasihan Subuh ialah jelmaan sederhana manis namun memikat, magnetic dan akrab, utuh memaknakan pertemuan syahdu Siti Zainon Ismail dengan Aceh dan kebudayaannya. Pertemuan pertama selalunya membawa asyik dan omen terhadap sesuatu yang bakal berlaku kepada empunya diri dalam putaran roda takdirnya. Beliau bertemu dengan Profesor A. Hasjmy yang menjadikannya sebagai anak angkat dan diberikan gelaran oleh adat Aceh sebagai Dayang Fakinah kepada Siti Zainon Ismail.

Siti Zainon Ismail amat karismatik dan mempunyai aura dan sifat sasterawan, budayawan dan ahli akademik yang dapat meyakinkan para pelajar, calon penulis, para guru dan masyarakat di tanah air dan peringkat dunia dengan profesionalisme dan kepakaran yang ada padanya. Selain Puan Azah Aziz yang menjadi tonggak budaya dalam hal ehwal busana Melayu di nusantara, kini kepakaran itu juga ada pada Siti Zainon Ismail. Beliau juga seorang pelukis kontemporari Malaysia yang sudah diterima pada peringkat Asia dan dunia sejak menekuni bidang seni lukis ini empat dasawarsa. Lakaran dan permainannya dengan garis sudah dikuasainya semenjak beliau belajar di ASRI, Yogyakarta. Gurunya ialah seniman besar Affandi, Fadjar Sidek dan Nyoman Gunarsa.

Siti Zainon Ismail banyak melakukan kajian teks klasik bagi mengkaji pakaian dan busana Melayu lama. Di Indonesia, terutamanya di Yogyakarta menjadi wadah bagi Siti Zainon Ismail mendalami bidang seni lukis dan penulisan. Puisinya tersiar dalam jurnal antarabangsa, diterjemahkan ke dalam bahasa Bulgaria, Hindi, Urdu, Inggeris, Jepun, Thai dan Korea. Raja Ahmad Aminullah, seorang pengkritik seni lukis dan penghimpun lukisan seniman tanah air semasa pameran Angin Si Pauh menyatakan bahawa Siti Zainon Ismail “sebagai seorang penyair dan pelukis perempuan yang karyanya meninggalkan kesan (impak) mendalam kepada mereka yang menghayati penulisan dan lukisannya”. Di Yogyakarta dia banyak mengenal penyair berbobot seperti W.S. Rendra, Sapardi Djoko Damono dan lain-lain.

Menurut Muhammad Haji Salleh, Siti Zainon Ismail mula secara serius menulis puisi di Yogyakarta. Di sinilah beliau menemukan gayanya yang tersendiri. Gayanya itu dibawa kembali ke tanah air dan dimajukan lagi sehingga dapat menghuraikan situasi yang lain pada tempat yang lain. Beliau kaya dengan citranya, menganugerahkan ribuan imej dan episode untuk dinikmati, diambil dan dirasakan. Pengalamannya luas dan luar biasa, diabadikan dalam garapan keseniannya dalam puisi dan lukisan. Beliau berjaya mengekalkan gaya peribadinya. Puisi ciptaannya dengan kesan budaya dapat dilihat dalampuisi “Baju Pisak Pinggang” (2011).

Beliau ialah anugerah Allah bagi bangsa Melayu dan negara Malaysia kerana dedikasinya dalam bidang keilmuan busana dan hal ehwal pakaian Melayu yang eksotik. Selain bakat kreatifnya yang tinggi, intelektualisme (Adabiah) terserlah dalam ratusan esei yang sudah dibentangkan dalam seminar, simposium, konvensyen di dalam dan di luar negara. Siti Zainon Ismail juga menyentuh hal ehwal alat muzik tradisional. Berdasarkan kepakaran, Siti Zainon ismail dilantik menajdi Sarjana Tamu, pakar rujuk, penasihat dan juri. Beliau pernah ditugaskan untuk menyiapkan Muzium Tekstil Negara dan turut terlibat dalam penubuhan Perbadan Adat dan Kebudayaan Negeri Selangor. Selesai tugasan tersebut, beliau menumpukan perhatian pada projeknya yang ada hubung kait dengan bidang penulisan, lukisan, membimbing bakat-bakat baharu dan menulis atas dasar kecintaanya.

Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Balai Seni Lukis Ngera (1991-1993), Ahli Majlis Sastera Asia Tenggara (mastera) tahun 1997-1998, pakar rujuk Tekstil dan Busana Johor, Yayasan Warisan Johor, Ahli Lembaga Penasihat yayasan Usman Awang (2014), pengerusi Penyelidik Etnografi Bajau Sama dan Iranun, Sabah (2015-2016), Penyelia Pelopor Binaan Seni Arca Laman Merpati Putih, UMS 2015/2016.

Kepakaran dan Ilmu disebarkan bagi mendidik penulis muda kerana profesionalisme dan kepakarannya dalam bidang penulisan dan lukisan. Pada tahun 1996 beliau dihadiahi lukisan batik MAHA 1986. Kerajaan Negeri Selangor menghadiahkan Pingat Jubli Perak. Beliau merupakan pemenang Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1976, 1979, 1983, 1985, 1986, penerima Hadiah Maybank-DBP untuk puisinya pada tahun 1996, 1997 dan 1998. Beliau juga pernah memenangi Hadiah Esei Dewan Sastera. Selain guru-gurunya di indonesia, beliau juga berguru dengan tokoh budayawan Pak Mae di Perlis, Pak Mat Petah di Ulu Tembeling, Khatijah Awang primadona Mak Yong Kelantan, dan Mak Nang di Terengganu. Masa yang terluang sewaktu festival puisi atau simposium sastera digunakan untuk mencari bahan budaya yang berguna, dimuatkan dalam novel dan cerpen pada tempat yang sesuai dengan data dan fakta sejarah yang tepat seperti Laporan Van Vlekke mencakupi peristiwa Maluku, Ternate, Tidire dan Halmahera yang terakam dalam cerpennya “perjanjian Laut Banda”.

Kita dapat melihat impak yang kuat dalam setiap kreativitinya kerana penglibatan seriusnya berbekalkan ilmu. Profesor Zakaria Ali mencatatkan perihal kesungguhan Siti Zainon Ismail ini sebagai “barangkali metafora yang bagus ialah air yang mengalir perlahan pada sungai yang jernih, berpunca, katakanlah di pergunungan Behrang Ulu. Siti membentuk telapak tangannya menjadi mangkuk mencedok ke dalam air disaksikan oleh burung-burung berkicauan di dalam semak. Dia menjulang tangannya seperti berdia selepas solat dan terus menuang air ke dalam mulutnya sehingga haus ditekaknya hilang. Banyak mana air diminum susah dipastikan. Dia berhenti apabila tidak haus lagi. Begitulah umpamanya puisi yang ditulis, atau catan yang terlukis, membawa kepuasan. Sama ada berbentuk catan atau puisi kesudahannya menyerlahkan peri pentingnya isi karya seni tersebut.”

Selanjutnya Zakaria Ali menambah, “Kepada SZI sesuatu idea itu tidak sepenuhnya visual, atau tidak sepenuhnya verbal. Untuk mengolahnya sebagai bahan visual atau bahan verbal satu cabaran kepada SZI yang melukis, dan SZI yang menulis sebagai pemerhati suasana yang fana dan adengan sedih yang silih berganti. Penyuaran tentang dilema esksitensi ini, pada buku Kasih Bonda, Kampung Paya Kami, (DBP, 2008). Terdapat 47 puisi dan 47 sketsa yang merakamkan zaman dia membesar di Kampung Paya terletak di tebing sungai Gombak. Suasana kedesaan di situ banyak menyumbang kepada pembinaan bakatnya sebagai pelukis dan penyair.”

Siti Zainon Ismail merupakan Ahli Persatuan Penulis Nasional (PENA). Beliau hadir dalam setiap aktiviti PENA. Oleh sebab PENA merupakan badan Gabungan Pesatuan Penulis Nasional (GAPENA), beliau juga kerap mengikuti aktiviti GAPENA sama ada di malaysia dan juga di nusantara. Selain itu, Siti Zainon Ismail juga merupakan Ahli Persatuan Kesusteraan Bandingan Malaysia (PKBM), Timbalan Presiden Persatuan Penulis Negeri Selangor selain memimpin Kumpulan SEBUDI; iaitu kegiatan penulis Wanita.

Sewaktu GAPENA menganjurkan seminar di Semantan, Sarawak pada 1985, beliau membentangkan kertas kerja Hubungan Sasterawan (Penyair) dengan Alam. Kunjungan ke sematan ini secara tidak langsung membawa peserta termasuk Siti Zainon Ismal berkunjung ke Rumah Panjang Kampung Pueh. Beliau rajin mencatat, melakar sketsa-sketsa yang ada kaitan dengan adat setempat dan alam yang dapat mengusik perhatian kesenimanannya.

Pada 15-23 September 1985, Siti zainon ismail diundang ke Pertemuan Apresiasi Penyair Puncak Asean (APPA 1) di Bali, anjuran Sekretriat APPA yang diketuai oleh Wirawan Sudewa. Pertemuan ini dilanjutkan dengan Ziarah Kompleks yang dimiliki oleh Pujangga Bungkah, kompleks yang dimiliki oleh Pujangga agung Sutan Takdir Alisjahbana. Beliau menulis kertas kerja “Seni dan Sastera Sezaman”. Beliau mendengar ucapan Sutan Takdir Alisjahbana dengan huraian maksudnya dengan falsafah dan Tema Kesusasteraan Masa Depan itu. “persaingan akan bertambah tajam, teknologi dan sains wajar dikuasai dan kita mestilah memandang kepada kemajuan yang cepat dikuasi oleh Jepang sebagai kuasa besar yang dapat menyaingi Amerika Syarikat!”

Bagi Takdir dalam kesempatan itu juga, Sutan Takdir Alisjahbana mengagumi keindahan dan kebesaran yang diperlihatkan oleh puisi-puisi Amir hamzah dan menerbitkan puisi “Buah Rindu” dan “Nyanyi Sunyi Amir Hamzah”. Amir Hamzah ialah ahli dalam redaktur majalah Poedjangga Baroe pimpinan Sutan Takdir Alisjahbana. Waktu  itu berlaku polemik tegar antara Goenawan Mohamad dengan Sutan Takdir Alisjahbana. Hubungan murid dengan guru antara Siti Zainon Ismail dengan Sutan Takdir Alisjahbana memang sudah berlaku sebelum ini. Apabila Sutan Takdir Alisjahbana menyampaikan syarahannya di UKM, Bangi pada tahun 1990, neliau mengambil kesempatan berkunjung ke Studio Siti Zainon Ismail, melihat dengan rapi Koleksi lukisannya.

Semasa Pertemuan di Toya Bungkah, para penyair Asean membaca puisinya. Hadir sama dari Malaysia ialah Muhammad Haji Salleh dan Kemala. Dari Indonesia Diah Hadaning, Mamang Rahman, kemalawati, Dinullah Rayes, Ahmad Fahrawi. Ikut serta dalam pertemuan itu ialah wartawan satera majalah Asian Week dari Hong Kong yang membuat liputan. Sejambak puisi peserta APPA 1 ini disiarkan dalam majalah ini termasuklah puisi Siti Zainon Ismail. Puisi beliau turut tersebar ke negara-nergara Asia dan sebahagian negara Eropah, Australia dan New Zealand.

Secara peribadi dan melalui undangan rasmi di universiti, Siti Zainon Ismail turut terlibat dalam banyak program pembacaan puisi di Asia seperti di Bhopal, India, Baca Puisi International South Bank, London (1992) bersama-sama Usman Awang, Kemala, Abdul Ghafar Ibrahim, Muhammad Haji Salleh dan Kassim Ahmad. Beliau juga membentangkan kertas kerja dalam Seminar Sastera SOAS-DBP. Buku empat penyair; iaitu Usman Awang “Matinya Seorang Pahlawan” lakonan Eman Manan Sharifuddin Thamby dan Kuza turut dipentaskan.

Siti Zainon Ismail terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Kebudayaan Negeri Selangor ketika Kerajaan Negeri Selangor mengadakan Hari Puisi anjuran bersama GAPENA di Shah Alam (1998). Para peserta diraikan oleh penduduk kampung Sungai Udang, Kampung Delek Klang dalam kenduri puisi yang ikut dihadiri oleh SN Datuk A.Samad Said, Tan Sri Ismail Hussein, Ketua Satu GAPENA dan Exco Kebudayaan Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan. Ratusan peserta penyair seluruh Malaysia dan juga tamu dari luar negara memeriahkan program ini. Penduduk kampung mempersembahkan tarian kebudayaan dan nasyid. Para penyair membaca puisinya. Siti Zainon Ismail sendiri turut membaca puisi khasnya.

Siti Zainon Ismail sudah menjadi ikon di negaranya sendiri. Sebagai tokoh akademik, pelajar bimbingan dan seliaanya pada peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah telah berjaya setelah mengikuti kursus yang dikendalikannya sewaktu beliau menjadi profesor di UMS dan UKM.

Sudah dinyatakan bahawa Siti Zainon Ismail bukan sahaja mahir melukis, pakar busana, penulis sastera kreatif malah juga penulis esei ilmiah yang terbit dalam jurnal tanah air. Antara eseinya yang terbit dalam jurnal itu termasuklah:

  • “Akar-akar peribumi dalam Seni Lukis Malaysia”(Dokumentasi kongres Kebudayaan Malaysia”(DBP Vol.20,1976:237)
  • “Penyair-penyair Mutakhir Masa kini Sabah. Monograf Sejarah Perkembangan Puisi Sabah”(DB{ cawangan Sabah 1994).
  • Seni Cipta Malaysia Indonesia: Satu Tanggapan Sastera dalam Seni Budaya” 1987, SARI 5:121-132.
  • “Unsur Minangkabau dalam Pakaian Cara Melayu”,193.SARI 11:87-97
  • “Gaya Hidup Sastera Budaya”, Analisis, Dewan Sastera,Disember 2011.
  • “Acropolis Sebutir Zaiton Parakalo”, Karya Kreatif, Jurnal Melayu. 2015 Bil.14 No 1.
  • “Sastera dan Seni Lukis: Satu Pengalaman Puisi”, Siti Zainon Ismail. Percikan seni. DBP, 1989:3-310.
  • “Puisi dan Muzik Rakyat-Kajian Pendekatan Kesenian dalam Kajian Sosiobudaya”. Siti Zainon Ismail. Percikan seni. DBP, 1989: 41-58.
  • “Unsur Seni Lukis dalam Puisi Sasterawan Negara A.Samad Said”. Kata Luhur A.samad said. Kuala Lumpur: BSLN, 2010:61-94.
  • “40 Puisi-puisi Siti Zainon”. Sakinah Abu Bakar.
  • Silang Seni Siti Zainon Ismail. Dewan Bahasa dan Pustaka:2013.
  • Denyut Alam sekitar dan perkembangan kota- Tinjauan Nilai Kemanusiaan dan Sinisme Budaya Puisi Usman Awang”. Seminar denyut alam dan pembangunan kota. Jabatan Bahasa Melayu, Falkulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM 12 Julai 2008.

Siti Zainon Ismail terlibat dalam Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur, mewakili Malaysia dalam acara yang diadakan pada 26-29 Oktober 1990. Beliau membaca puisi serta membahasakan puisi para penyair besar di Eropah, Indonesia dan Asia lainnya.

  • Pengalaman Berkarya Penerima anugerah SEA Write Award”, Majlis Pertemuan Para Sasterawan Negara dan Penerima SEA Write Award. ITBM: 18 Mei 2006.
  • “Sastera Serantau-Pengalaman Madhuiah Novita MZ” Dialog / Sastera Remaja Malysia. DBP Wilayah Selatan, Johor Bharu 24 Feb. 2012.
  • “Kilauan Benang Emas Pengalaman Seni di Aceh. Dialog Utara. Lhok Seumawe, Disember 1995.
  • “Masa Depan Kebudayaan Melayu Memasuki Abad ke 21”. Orasi Ilmiah. Wisuda Universiti Jabal Ghafur, Pidie Aceh, 21 Okt. 1996.
  • “Teks Sastera Melayu dalam Seni Lukis Malaysia: Kajian Bandingan Antara Dia Displin Seni Budaya”. Universiti Brunei Darussalam, 13-15 Nov. 1997.
  • “Bahas Manifestasi Budaya”. Bulan Bahsa 2000. Peraturan Guru-guru bahasa Melayu Hotel Grand Hyatt, Singapore 12 Ogos 2000.
  • Malaysian Women dan Literature. Literature Forum, Hamburg University, Jerman 18 Dis.2000.
  • “Open Art Discussion”, Penulis Undangan Boligna International Books Fai. Boligna Italy 27 Mac-3 April 2013.
  • Bijak Si Katak Bijak, Pembacaan Puisi Tokyo International Books Fair 2014, Tokyo Jepun 26 Jun-4 Julai 2014.
  • “Jejak dan Jalur Pemikiran Seni Budaya Pengalaman Dialog bersama Profesor Ali Hasjmy”. Temu Penyair International 8 Negara LAPENA. Banda Aceh, Indonesia 14-17 Julai 2016.

Tidak syak lagi bahawah Siti Zainon Ismail ikon budaya, bahasa dan sastera. Seni Lukis memberikan kesan berganda kepada pertumbuhan peradaban bangsa dan negara. Kita dapat melihat betapa aktif dan meriahnya tokoh ini dalam kerja-kerja seni dan bimbingannya terhadap pelajar dan masyarakat. Ketokohannya mendasar dan tidak dapat dinafikan.

Siti Zainon Ismail  yang memulakan langkah kecil bagi menyambung pembelajaran seninya di ASRI pada awal 1980-an itu rupa-rupanya bagai tiram yang mengandungi cebisan mutiara di semudera dalam. Siti Zainon Ismail sendiri yakin bahawa beliau akan mengharungi dugaan luar biasa di Yogyakarta. Pesan Gurunya, Idris Salam dan Nas Achnaz agar melanjutkan pengajiannya di ASRI mengejutkan kalangan seniman dan para profesor seni di yogyakarta. Affandi pelukis besar Indonesia membukakan pintu rumahnya untuk dikunjungi dan melindungi Siti Zainon Ismail. Beberapa tahun di ASRI, beliau pulang dengan Ijazah Seni Rupa Indonesia. Lihat betapa lelah dan stabilnya beliau dengan dugaan itu. Ribuan lakaran dan sketsa menjadi miliknya. Kekaguman para profesor dan teman-teman seniman Yogyakarta beralasan. Kini beliau pulang bukan dengan snobishness, tetapi tunduk tafakur atas kebesaran Allah yang mengabulkan cita-citanya.

Ramai rakan dalam kalangan seniman, pemikir dan penyair. Bagong sifu seni tari yang handal di Yogyakarta ialah gurunya. Rendra penyair si merak yang bokal itu juga gurunya. Beliau mendeklamasikan puisi dengan gaya puteri Melayu Semenanjung. Maka itu sebabnya dengan pegangan yang tunduk dan tawaduk beliau menghasilkan masterpiecenya Perkasihan subuh, ada nilai Melayu dan nilai Islam dan ketakwaan didalamnya. Inilah yang dialu-alukan oleh Bapak Ali Hasjmy. Dengan Perkasihan Subuh beliau memberikan gesture atau isyarat bahawa puteri Melayu yang membuka diri untuk pertumbuhan yang lebih seru lagi. Inilah Isyarat yang kemudiannya memikat hati beberapa Cut Bang yang mahu menyuntingnya. Hal ini terkerlap, yang berani dan yakin sahaja dengan cara dan pembawaannya dapat membukakan peti hatinya. Dalam novel Delima Ranting Senja tampillah watak pejuang Aceh AbyRedha yang idealistis dan Sofina bertaut hati dan doa menjadi Cut Dek. Namun banyak konflik yang berlaki. Inilah novel yang menjadi grand ouvre Siti Zainon Ismail yang memungkinkan beliau meraih Anugerah Sastera Negara Ke-14. Beliaulah mutiara dalam tiram itu dan beliaulah pelumba kura-kura yang yakin diri mengesot menuju pita akhir.

Lihatlah sumbangannya yang ilmiah, kreatif dan nonkretif. Perjalanan mengengsong langit dan bumi Tuhan dalam merembuk ilmu dan memintal keyakinan diri, rupa-rupanya beliaulah serikandi Melayu, anak Malaysia yang telah mengukir nama utuh di persada bumi Allah sebagai khalifah yang mengenal dirinya. Apa-apa yang ada dalam diri dipersembahkan kembali kepada anak watan dan dunia kemanusiaan. Padi yang kuan berisi, kian merunduk. Beliaulah butiran mutiara dalam perut tiram tenggelam di samudera dalam, kini mengerlap dengan cahanya. Beliaulah butiran Sasterawan Negara Ke 14 yang menyosong dan tak diendahkan wajahnya sebelum ini. Namun Kun Fa Yakun sudah menampilkan Kun-Nya. Marilah kita meraikan kemenangannya atas 99 nama dan sifat Allah yang indah.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1031727
    Visit Today : 686
    This Month : 14326
    Total Visit : 1031727
    Hits Today : 2089
    Total Hits : 4224361
    Who's Online : 9
  • Kategori